Nikmat Yang Ditarik

Rasanya saya dah lama tak berkongsi sesuatu di page IIUM Confession ni. Jadi, hari ini saya akan berkongsi kepada pembaca mengenai kisah seorang lelaki, yang merupakan bekas juruterbang syarikat penerbangan yang paling besar di Malaysia dan bagaimana penyakit yang didapatinya mengubah kehidupannya secara keseluruhannya.

Semuanya nampak indah buat Jefri (bukan nama sebenar) apabila dia berjaya menamatkan kursus pengajiannya untuk menjadi seorang juruterbang di negara ini. Memang itulah cita-citanya sejak dia berumur 5 tahun lagi, dan angan-angannya untuk bekerja dan sentiasa berada di langit biru sudahpun menjadi kenyataan.

Pada usia 28 tahun, Jefri sudah pun berkahwin dengan Farhana, iaitu seorang guru sekolah menengah. Masa depan Jefri dalam membina rumahtangganya tampak cerah. Walaupun jadual pekerjaannya amat sibuk, terutama sekali apabila dia mulai menerbangkan pesawat ke destinasi antarabangsa, namun, pendapatan yang didapatinya sudah lebih daripada mencukupi untuk menanggung dirinya dan isterinya.

Dia memberitahu isterinya tentang hasratnya untuk mendapatkan seorang cahaya mata apabila usianya mencecah 30 tahun. Pada pertengahan tahun 2009, Jefri keluar seawal jam 6.00 pagi daripada rumahnya yang terletak di Semenyih. Dia mempunyai satu penerbangan yang dijadualkan berlepas jam 8.00 pagi nanti, menuju ke Australia.

Pada masa itulah, dia mulai perasan sesuatu yang tak kena. Dia mempunyai kesukaran untuk melihat jalan kerana keadaan ketika itu masih lagi gelap. Hampir beberapa kali dia hampir terbabas kerana kegagalannya untuk melihat garisan putih di atas jalanraya, walaupun dia sudah memasang lampu tinggi (high beam) dan keadaan jalanraya yang tidaklah gelap sepenuhnya, tetapi lebih kepada suram dengan bantuan lampu jalan.

Jefri mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Namun, dalam hatinya terfikir, hal tersebut mungkin disebabkan oleh dirinya yang terlalu penat dan tidak cukup tidur. Namun, dia bersyukur kerana perjalanannya ke lapangan terbang itu selamat. Dia merupakan pegawai pertama atau first officer untuk penerbangan yang dijadualkan pada pagi itu.

Setelah hari bertukar minggu, minggu bertukar bulan, bulan bertukar tahun, dan lebih kurang setahun selepas itu, keadaan penglihatannya semakin teruk. Dia tidak mahu mendapatkan rawatan di hospital kerana pada firasatnya, apa yang dirasainya itu tidak serius. Mungkin disebabkan oleh faktor umurnya yang meningkat. Mungkin dia tidak mempunyai apa-apa penyakit, sebaliknya, hanya rabun jauh atau rabun cahaya sahaja.

Walaupun dia mempunyai masalah untuk melihat di dalam gelap, ataupun di dalam keadaan yang suram, tidak ada apa-apa insiden berlaku sepanjang beberapa tahun itu. Dia tidak memberitahu sesiapa, hanya isterinya sahaja yang mengetahui keadaaan dirinya, itupun tidak semua. Bukan apa, dia terlalu takut jika syarikat penerbangan mendapat tahu mengenai hal tersebut, ada kemungkinan dia akan diberhentikan daripada perkhidmatannya.

Jefri menemui optometris di sebuah kedai cermin mata. Ujian penglihatannya normal. Dia tiada rabun jauh mahupun rabun dekat. Dia berasa amat pelik, dan setelah direkomenkan oleh jurujual kedai tersebut, Jefri membeli satu cermin mata yang mana kantanya tiada power, tetapi polarized dan mempunyai penapis ultraviolet. Pada awalnya, dia merasakan bahawa cermin mata tersebut membantu, tetapi, lama-kelamaan, cermin mata tersebut tidak lagi boleh membantu dirinya untuk melihat dengan jelas.

Pada satu pagi, dia menjadi terkejut apabila keadaan peripheral vision-nya, iaitu pandangan sisinya menjadi gelap. Dia mulai merasakan dirinya mempunyai satu gejala yang dipanggil sebagai tunnel vision, iaitu hanya pandangan tengah sahaja yang kelihatan jelas, tetapi, di sisinya semuanya gelap. Tetapi, walaupun dengan keadaan sebegitu, dia masih lagi berdegil, dan akibat dia bimbang akan leteran isterinya yang sudah tentu akan memaksanya ke hospital, dia memendam rasa sahaja.

Pada musim perayaan, sewaktu itu adalah Hari Raya Aidilfitri tahun 2010 Jefri balik kampung menemui ibunya yang sudah lama dia tidak bertemu. Maklumlah, mendapatkan cuti dalam pekerjaan yang menguruskan pergerakkan orang ramai daripada satu tempat ke satu tempat yang lain tampak mustahil. Ayah Jefri sudah lama meninggalkannya, sewaktu Jefri berusia 8 tahun lagi.

Ayahnya meninggal dunia apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan 10 buah kenderaan di sebuah lebuhraya ketika arwah ayahnya dalam perjalanan pulang daripada melakukan tugas di pejabat kira-kira jam 8 malam. Jadi, membesar tanpa kehadiran ayah di sisi, Jefri sudah biasa menceritakan segalanya kepada ibunya.

Pada dia, ibunya itulah ibunya dan ibunya itulah ayahnya. Tempat dia meluahkan apa sahaja perkara sekalipun. Tempat dia menceritakan sekiranya dia mempunyai apa-apa masalah. Sewaktu itu, teknologi telefon pintar tidaklah sehebat sekarang. Ibunya pula sudah agak berumur, dan kebanyakkan masanya, Jefri hanya sempat membuat panggilan telefon sahaja kepada ibunya.

Tetapi, hari itu sedikit berbeza. Entah bagaimana sewaktu dia dan ibunya berada di meja makan, tiba-tiba Jefri mengatakan kepada ibunya

“Jefri rindu pada ayah”.

Kata-katanya itu menyebabkan ibunya tersenyum. Mereka meluahkan rasa yang terbuku di hati mereka berdua. Saat berkualiti yang amat sukar didapatinya akibat terlalu sibuk dengan pekerjaan. Tetapi, apa boleh buat, itulah nature pekerjaan seorang juruterbang.

Jefri kemudiannya meluahkan masalah penglihatannya kepada ibunya. Katanya, dia mempunyai masalah untuk melihat dengan jelas, dan terdapat ibarat satu kegelapan pada pandangan sisi matanya. Taktala ibunya mendengar luahan anak sulungnya itu, tiba-tiba ibunya mengalirkan air mata.

Jefri tidak mengerti, apa sebenarnya yang berlaku. Jefri tidak tahu, mengapa kata-katanya itu membuatkan hati ibunya menjadi begitu sedih. Ibunya bangkit daripada kerusi di dapur, dan menarik tangan anaknya untuk masuk ke bilik tidur di dalam rumah kampung yang mempunyai 3 bilik itu. Ibunya menguncikan pintu, ibarat ada sesuatu yang besar ingin diperkatakan.

“Kenapa ni mak?”, tanya Jefri.

“Kalau Jefri nak tahu, dulu ayah Jefri pun rasa benda yang sama. Dia tiba-tiba jadi tak berapa nak nampak, tapi beberapa minggu sebelum dia kemalangan”, kata ibunya.

“Maksud mak?”

“Bila Jefri cerita pasal tak berapa nampak dalam gelap, lepas tu pandangan jadi gelap di sisi, itulah apa yang ayah Jefri kena”, jawab ibunya dan menyambung,

“Mak dah suruh ayah pergi dapatkan rawatan masa tu, tapi ayah tak nak. Dia takut. Dia takut dengan doktor, dia takut dengan bau hospital. Kiranya, apa-apa yang berkaitan dengan hospital, dia tak mahu pergi. Hujungnya dia berubat dengan bomoh… lama pulak tu”.

“Tapi lepas jumpa bomoh tu, ayah jadi macam mana mak?”

“Mak rasa, sebetulnya dan sejujurnya, ayah Jefri tu tipu je pada mak. Dia kata dia penglihatannya makin jelas. Maklumlah dah beribu ringgit habis, bayar dekat bomoh tu semua. Mak rasa, kemalangan tu semuanya berpunca daripada masalah penglihatan dia”.

“Apa? Bukan mak cakap ayah kena langgar sebab ada orang langgar lampu merah ke?”

“Mak minta maaf Jefri, mak terpaksa menipu. Masa mak pergi jumpa pegawai trafik tu, dia ada kata kalau ikut laporan saksi, ayah bawa kereta tu, hilang kawalan dan akhirnya terbabas langgar divider jalan. Daripada situlah kereta dia melambung ke jalan bertentangan, dan sebab masa tu ada banyak kereta, habis semua sekali pun terbabit. 3 orang mati Jefri malam tu”, kata ibunya.

“Selama ni mak tipulah kiranya?”, tanya Jefri.

“Mak terpaksa. Mak tak boleh nak kenangkan lagi pasal benda ni. Mak terpaksa sebab tak mahu Jefri dengan adik-adik sedih. Lagipun, masa tu Jefri semua masih kecil”, kata ibunya sambil mengelap air mata di pipinya.

“Tak mengapa mak. Jefri faham. Jefri faham sebab mak nak protect kami semua masa kecil..”. jawab Jefri.

Dia sememangnya menerima bahawa penipuan yang dilakukan ibunya, setelah hampir 20 tahun lebih akhirnya difahaminya. Dia tahu keadaan ibunya yang tersepit, dan tak nak dia dan adik beradik daripada terus bersedih.

“Jefri, beginilah. Jefri tolonglah dapatkan rawatan di hospital. Mak tak nak benda macam ni berulang lagi. Cuba periksa dulu dengan doktor mata. Sebab mak pun tak tahu apa yang berlaku sebenarnya dengan ayah, sekarang nampak Jefri pun dah kena. Mak tak tahu kenapa. Apa dia benda tu. Mak jadi tekanan apabila mak tak ada jawapan untuk mengapa dalam keluarga mak ni ada masalah macam tu.”.

Jefri mengangguk. Ada kemungkinan besar apa yang dialaminya itu satu jenis penyakit. Tak mungkin apa yang terjadi itu semua satu kebetulan. Kemungkinan besar apa yang dialaminya itu sama dengan apa yang arwah ayahnya alami. Bukan apa, sekiranya dia masih tak mahukan rawatan, dan nak menangguhkan lagi rawatan, dia takut perkara sama akan menimpa dirinya.

Yalah, jika benar bahawa ayahnya adalah punca kemalangan tersebut, bagaimana pula dengan 2 lagi nyawa mangsa yang lain? Yang turut meninggal dalam kemalangan maut itu? Tetapi, hatinya berbelah bagi. Dia takut keputusannya itu akan menyebabkan kerjayanya hancur lebur. Mungkin ada pampasan, namun, bukan semuanya tentang duit untuk Jefri.

Dia menganggap menerbangkan pesawat itu satu kebanggaan. Satu perkara yang sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya. Dalam perjalanan pulang ke Semenyih, Jefri menceritakan segalanya kepada isterinya. Isteri Jefri, Farhana pada awalnya berang kerana sifat Jefri yang suka menyembunyikan dan merahsiakan hal ini kepadanya. Walhal mereka berdua sudah berjanji, tiada rahsia. Tiada apa-apa yang perlu disembunyikan dalam rumahtangga mereka.

“No matter what sayang, I will always be with you. Jom kita selesaikan perkara ni secepat mungkin ya. Jom kita pergi hospital terus ya?”, kata Farhana.

Pada keesokkan harinya, Farhana mengambil emergency leave untuk menemani suaminya berjumpa dengan doktor. Klinik mata di hospital kerajaan tersebut pada awalnya tidak menerima pesakit yang walk-in, semuanya untuk pesakit yang mempunyai temujanji sahaja. Namun, dia bernasib baik kerana berjumpa dengan seorang jururawat yang sangat-sangat memahami dan boleh merasakan sense of urgency untuk Jefri.

Kebetulan pula, pesakit tidak ramai. Jururawat tersebut memberitahu seorang doktor, iaitu seorang medical officer di jabatan ophthalmology. Doktor tersebut tiada masalah untuk melihat Jefri walaupun dia tidak mempunyai apa-apa kad temujanji. Pasangan ini bersyukur kerana Allah memudahkan dan melancarkan urusan mereka pada hari itu. Selepas 30 minit menunggu, Jefri dipanggil untuk berjumpa dengan doktor tersebut.

Dia menceritakan segalanya, termasuk sejarah dan tragedi yang menimpa arwah bapanya. Doktor tersebut mencatatkan beberapa sejarah pesakit ini, dan kemudiannya mendapatkan kebenaran Jefri untuk dia memeriksa bola mata Jefri menggunakan satu alat yang dinamakan sebagai slit lamp.

Untuk pengetahuan anda, slit lamp adalah sejenis peralatan yang digunakan oleh doktor untuk memeriksa anak mata pesakit dengan terperinci. Melalui ujian ini, Jefri diberikan sejenis ubat titis mata yang dinamakan sebagai mydriatic.

Ubat ini bertujuan untuk menjadikan anak mata seseorang itu mengembang, dan tidak mengecut apabila disinari cahaya. Begini, pengembangan dan pengecutan anak mata ini dibantu oleh otot yang dinamakan sebagai iris sphincter. Anak mata manusia, sama seperti mata spesis lain di dunia ini akan mengecut sekiranya terlihat akan satu cahaya yang terang. Hal ini adalah untuk mengehadkan jumlah cahaya yang masuk ke dalam mata, kerana cahaya yang terlalu terang apabila terkena dan masuk ke dalam mata untuk jangkamasa yang panjang akan berpotensi untuk merosakkkannya.

Organ atau tisu yang dikawal oleh autonomic nervous system ini bermaksud ianya berada di luar kawalan kita. Jika kita baca sekalipun, kita akan nampak perkataan autonomic, yang secara langsungnya memberitahu kita semua bahawa ianya berlaku secara automatik. Contohnya adalah seperti kadar degupan jantung kita, kadar tindakan peristalsis di dalam usus kita, dan dalam hal ini adalah pengembangan atau pengecutan anak mata kita.

Dalam autonomic nervous system, terdapat 3 pembahagian yang lain iaitu symphathetic nervous system, parasymphathetic nervous system dan enteric nervous system. Sekarang, kita tumpu pada bahagian anak mata kita ya. Apabila kita berada di dalam keadaan yang stres, iaitu respon kepada mana-mana stimulus yang akan menyebabkan kita berasa fight, flight or fright (3F), symphathetic nervous system akan diaktifkan.

Untuk bahagian anak mata, bukaan ini dikawal oleh otot yang dinamakan sebagai iris sphincter. Jika kita berada dalam keadaan ketakutan atau 3F, otot ini akan mengecut, dan menyebabkan anak mata kita mengembang. Hal ini adalah supaya lebih banyak cahaya yang masuk ke dalam mata kita untuk menjadikan kita nampak dengan lebih jelas persekitaran yang ada.

Baik, secara mudahnya, untuk mana-mana pesakit yang kita ingin memeriksa bahagian dalam bola mata mereka, maka ubat ini akan dititiskan terlebih dahulu dan kesannya akan mencapai efek maksimum diantara 15 – 30 minit selepas dititiskan, dan kemudiannya kesan ubat tersebut akan hilang.

Slit lamp examination ini adalah pemeriksaan di mana cahaya tersebut akan masuk ke dalam anak mata (pupil) yang telah mengembang, dan daripada situlah para doktor boleh melihat keadaan di dalamnya di mana terletaknya satu jenis sel iaitu sejenis saraf yang istimewa dan dikhaskan untuk mengesan kehadiran cahaya. Sel-sel ini mempunyai taburan di bahagian sisi dan belakang anak mata dan kita kenali sebagai retina. Okay tak? Saya harap anda semua memahami penerangan ini walaupun agak kompleks.

Jadi, untuk Jefri pula, dia diberikan ubat titis dan seterusnya diarahkan untuk untuk meletakkan dagunya, merapati alat yang dipanggil slit lamp ini. Slit lamp ini ibarat macam satu teropong sebenarnya, dan pemeriksaan ini tidak menyentuk pesakit pun. Satu jenis mentol dipancarkan untuk menyinari bahagian belakang mata Jefri.

Dalam masa tak sampai seminit, doktor tersebut sudah mengetahui apakah diagnosis pesakitnya ini. Melihat akan bahagian sisi dan tepi retinanya yang sepatutnya bewarna kekuningan telah digantikan dengan sel-sel bewarna gelap dengan rupanya yang dipanggil dengan nama ‘bony spicule’ mengikut kepada terminologinya dalam bahasa Inggeris, dan keadaan ini bermaksud Jefri menghidapi satu jenis penyakit yang dinamakan sebagai retinitis pigmentosa (RP).

RP ini adalah sejenis penyakit bersifat degenerative yang terjadi kepada sel-sel saraf retina ini. Penyakit ini adalah disebabkan mutasi genetik, dan boleh diwarisi. Untuk Jefri, kemungkinan besar bapanya penghidap RP juga, namun tidak sempat di diagnos kerana arwah sudahpun meninggal akibat kemalangan jalan raya, dan Jefri mewarisi penyakit ini dalam bentuk yang kita panggil sebagai autosomal dominan. Hal ini bermaksud sekiranya salah seorang daripada ibu bapa Jefri mempunyai penyakit ini, ianya sudah cukup untuk mewariskan penyakit ini kepada anaknya.

Maafkan saya kerana saya terpaksa berbalik kepada sains semula. Sel di bahagian retina kita ini terdapat 2 jenis, iaitu rod dan cones. Rod ini mempunyai taburan di sisi mata, dan fungsinya lebih kepada untuk pandangan mata kita di dalam gelap serta penglihatan di sisi. Cones pula lebih tertumpu kepada bahagian tengah retina, dan fungsinya adalah untuk mengesan imej bewarna dalam keadaan yang terang. RP akan menyebabkan sel-sel rod ini degenerated terlebih dahulu, dan kemudiannya disusuli dengan cones.

Setelah segala penerangan diberikan kepada Jefri, dia akur. Farhana yang berada sisinya bertambah sedih apabila diberitahu bahawa penyakit ini masih belum ada rawatannya pada ketika itu (sekarang pun masih sedikit sahaja jenis rawatan yang ada seperti penggunaan retinal progenitor cell dan juga bionic eyeball). Prognosisnya tidak baik kerana kebanyakkan pesakit hanya akan tinggal kurang daripada 10% sahaja penglihatannya ketika mencecah umur 40 tahun.

Sampai sahaja di rumah, Jefri ketika itu masih lagi boleh melihat seperti biasa, namun perasaannya mula tertekan kerana dia tahu, dalam masa beberapa tahun, dia akan menjadi buta. Atas rasa tanggungjawab terhadap penumpang syarikat penerbangan, dia ditemani Farhana mula berjumpa dengan orang atasan syarikat tersebut.

Sememangnya, dengan penyakit sebegini, Jefri tidak boleh meneruskan kerjayanya sebagai seorang juruterbang. Pada awalnya dia dipindahkan untuk membantu jurulatih penerbangan dalam penerbangan yang berbentuk simulasi yang digunakan sebagai latihan untuk mana-mana juruterbang pelatih, Namun, beberapa tahun selepas itu, Jefri tidak mampu lagi membuat tugasan sebegitu.

Perkara semudah untuk dirinya ke tandas, makan dan minum juga mulai menjadi sesuatu yang mustahil. Namun, Jefri beruntung kerana dia mempunyai isteri yang sangat memahami akan keadaaan yang dihadapi oleh suaminya ini. Farhana juga selalu membaca mengenai apa-apa perkembangan terbaru dalam bidang perubatan untuk pesakit RP.

Walaupun ada, namun ianya dilakukan di luar negara, dan kebanyakkan daripada rawatan yang ada masih bersifat eksperimental sahaja, dan dalam fasa awal kajian. Dalam perbualan bersama saya (penulis), dia sempat memberitahu bahawa dia tidak inginkan seorang pun cahaya mata kerana dia bimbang, penyakitnya akan diwarisi anaknya.

Walaupun mengikut statistik, jika dia mempunyai anak sekalipun, peratusan bahawa anaknya mendapat penyakit sepertinya itu tidak tinggi, namun, dia sudah membuat keputusan. Dia tidak mahu mengambil peluang dan mahu anaknya merasakan apa yang dirasai olehnya. Adik beradik Jefri yang lain juga nampak seperti tidak mempunyai apa-apa masalah penyakit ini.

Kini Jefri tinggal di rumah bersama isterinya sahaja. Memang dari segi wang ringgit, dia tidak mempunyai apa-apa masalah yang serius, akan tetapi, dalam kes sebegini, wang tidak akan dapat mengubah apa-apa. Dia banyak bersedekah dan melakukan amal jariah, dan dia ada memberitahu saya tentang keinginannya untuk mengambil anak angkat kelak.

Kini, umurnya sudah nak masuk 41 tahun. Dia sempat berkata dengan saya sedikit pesanan untuk mana-mana individu yang membaca kisah hidupnya ini. Saya kongsikan dalam bentuk setiap perkataan yang diungkap untuk anda semua

“Assalamualaikum dan salam hormat kepada semua pembaca kisah saya yang ditulis oleh penulis (nama penulis) ini. Dalam kehidupan kita yang singkat ini, adakalanya kita mudah lupa akan nikmat yang diberikan oleh Allah. Tak kira betapa sukarnya kehidupan kita dalam masa seharian, pasti kadangkala kita terlupa untuk bersyukur kepadanya”

“Kita manusia yang lemah dan kita ada tendensi untuk selalu melihat perkara yang negatif di dalam hidup kita mahupun kehidupan orang lain. Walaupun sehelai kertas bewarna putih sebesar padang bola sepak sekalipun, sekiranya ada satu titik hitam yang kecil di atasnya, kita, manusia akan lebih sibuk melihat kepada titik hitam tersebut sehinggakan kita tidak nampak betapa besarnya kawasan yang bewarna putih itu”

“Samalah seperti kehidupan kita. Kadangkala, kita merungut kerana tidak punyai harta dan wang yang cukup. Walhal, kita boleh bangun daripada tidur, masih lagi boleh bernafas, boleh bergerak seperti biasa dan kesemua penglihatan, pendengaran, bau, rasa dan percakapan itu normal tanpa ada apa-apa masalah, tetapi kita tidak melihat semuanya itu sebagai satu nikmat”

“Orang kata, kita tidak akan bersyukur nikmat apa yang kita ada sehinggalah satu hari nikmat tersebut ditarik. Masa itu, barulah kita sedar bahawa betapa besarnya nikmat-nikmat yang kita take for granted sebelum ini. Hanya setelah saya bangkit daripada tidur, dan saya hanya nampak kegelapan sahaja memenuhi ruang penglihatan saya, masa itulah baru saya sedar betapa kufur nikmatnya diri saya sebelum ini”

“Saya tidak lagi dapat melihat wajah isteri saya. Semasa ibu saya meninggal (pada tahun 2018), saya tidak nampak wajahnya buat kali terakhir. Apa yang saya boleh lakukan hanyalah merasai wajahnya dengan tangan dan cuba sedaya upaya untuk membayangkan dalam otak saya bagaimana rupa ibu saya”

“Inilah pesanan yang saya boleh sampaikan. Saya tidak ingin simpati anda semua. Insha Allah setakat ini saya tidak memerlukan apa-apa pertolongan daripada makhluk lain kecuali Allah. Namun, sekali lagi saya ingin pesan, belajarlah bersyukur. Dengan adanya rasa kesyukuran, barulah kita dapati betapa banyaknya nikmat yang diberikan olehnya. Daripada situlah baru kita dapat rasakan kegembiraan dan kebahagiaan di dalam hidup kita. Bersyukurlah”

Itu adalah pesanan yang ingin disampaikan oleh Jefri kepada kita semua dan termasuk dengan diri saya sendiri. Memang saya pun berasa sangat terkesan dengan kata-kata yang diungkapkan olehnya. Apapun, kita ambil segala pesanannya dan jadikan pengajaran di dalam hidup kita, terutama sekali sekiranya anda ada sifat kufur nikmat seperti saya.

===========================================================

Kisah ini adalah berdasarkan kisah benar yang berlaku oleh salah seorang pesakit yang pernah saya jumpa sewaktu zaman facebook saya yang pertama dulu. Baru-baru ini, saya banyak mengulangkaji mengenai topik yang berkaitan dengan deria penglihatan. Daripada sinilah saya mengambil inisiatif untuk menghubungi semula pesakit tersebut melalui media sosial (namun dia tidak ingin mendedahkan identitinya kepada para pembaca semua) yang dijawab dengan bantuan isterinya.

Semasa saya mengatakan bahawa saya ingin berkongsi tentang kisah hidupnya, dia bersetuju dan katanya, asalkan selepas pembacaan kisah ini, kita semua supaya bersyukur atas kurniaan tuhan yang selalu kita ambil mudah, maka perkara ini tidak menjadi apa-apa masalah untuk dirinya mengongsikan kisah hidupnya.

Semoga anda semua mendapat sesuatu yang baru serta ilmu ini membuka lagi pemikiran anda untuk terus menerus berusaha sedaya upaya bagi mengisi segala ilmu di dalam minda anda. Saya juga nak ambil kesempatan untuk memohon kemaafan sekiranya kisah cerita ini terlalu panjang untuk anda baca. Terima kasih.

– Ilzanno Sharky (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *