Nikmati Saja Hidup Ini

Ada kenalan aku sorang ni asyik merungut pasal jodoh. Katanya semua doa dia dah makbul kecuali 1, jodoh.

Kenapa Allah tak makbul doa dia? Dia tak boleh bahagia jika tak kawin.

Aku bosan mendengar orang yang suka merungut tak bersyukur. Tak tau ape cerita dia sekarang lepas aku marah dia.

Ada kerja bagus, gaji besar, rumah besar, perabot mahal dan kereta mahal pun masih tak bersyukur.

Ketika ada masalah di tempat kerja, aku buat keputusan balik kampung. Berbekal duit simpanan 10k dan duit pengeluaran KWSP ketika MCO tu la aku teruskan hidup.

Berjimat membeli barang keperluan harian dan barang dapur.

Aku tidak punya hutang. Ada sebuah kereta buruk yang sudah habis bayar dan rumah kecil kepunyaan sendiri.

Dari seorang extrovert, hidup aku berubah total menjadi introvert. Tinggal jauh di hujung kampung, selepas kematian orang tua.

Ada satu filem Korea atau Jepun (aku lupa) tentang seorang gadis muda yang dibuang kerja, balik ke kampung halaman tinggal di rumah pusaka.

Dia menghabiskan masa berkebun dan belajar memasak.

Aku tertarik melihat life dia berjimat cermat dan menguruskan kehidupan dalam keadaan kekurangan duit.

Aku suka tengok dia tanam sayur, tuai, masak dan hias cantik macam kat restoran.

Bukan mudah gadis bandar untuk hidup di kampung. Tapi dia berjaya mengharunginya. Aku tidak tahu kesudahan cerita itu kerana menonton sedutan di reels mukabuku.

Tapi kisahnya hampir mirip denganku..

Ketika aku bersedih teringat kenangan lama dan tidak tahu nasib selepas ini, aku cangkul tanah di tepi rumah dan mula menanam bibit-bibit sayur.

Setiap pagi itulah rutin aku seusai subuh sehingga jam 10 pagi.

Kemudian aku memasak sarapan dan menikmatinya sendirian. Waktu petang aku habiskan masa online mencari info, belajar resepi baru, menonton ceramah agama dsb.

Setiap hari aku siram tanaman dan pantau perkembangan. Setiap hari aku duduk tepi pintu belakang sambil tenung sayur berjam-jam lamanya.

Hasilnya aku tuai dan sedekahkan kepada jiran tetangga. Subur sehingga aku boleh menjualnya. Tak sangka berjaya kumpul 250.

Duit tu aku beli anak pokok dan enjin air. Kenangan hasil berbudi pada tanah.

Aku ni cerewet bab makan dan mudah jemu. Jadi setiap hari aku masak lauk berbeza, sayur berwarna warni dan buah-buahan supaya berselera makan.

Ada hari tertentu, aku siapkan hidangan istimewa. Makan malam berteman cahaya lilin. Feeling macam makan di restoran mewah.

Sejak menjaga makan minum dengan teratur aku rasa sangat sihat. Tidak lagi terkena gastrik/diarrhea macam dulu.

Kadangkala aku brisk walk atau berbasikal sendirian berhampiran rumah. Kadangkala riadah ke playground berdekatan.

Ketika online, aku melihat menu menarik di facebook, aku cari bahan dan memasaknya sendiri.

Sekarang dah boleh masak pelbagai resepi lauk pauk, kuih muih, aneka dessert dan pastry. Resepinya aku post ke group masakan.

Di dalam parit air, ada hidupan akuatik. Aku masuk menggagau etak dan masak lemak putih. Ulam-ulaman ada di sekeliling. Percuma tumbuh di dalam semak.

Waktu malam, suasana sangat sunyi sepi. Biasanya aku makan malam selepas maghrib.

Lepas Isyak, masuk bilik tidur sambil online. Sebelum tidur baca Al Mulk dan 10 ayat terakhir Al Kahfi.

Waktu malam, hanya terdengar bunyi cengkerik dan reriang sampailah aku tertidur dengan nyenyak dan bermimpi perkara yang baik-baik.

Seawal jam 5 pagi aku dah bangun bertahajud sebelum subuh. Selepas subuh, aku berbaring atas katil sambil berzikir dan baca Quran surah Waqiah serta 10 ayat awal Al Kahfi.

Hujung minggu, aku ke pasar mencari lauk pauk, buah-buahan dan sayur-sayuran. Mahu mencuba pelbagai masakan dan menghiasnya secantik mungkin.

Walaupun tak bergaji, aku masih makan sedap. Ada daging, pelbagai jenis ikan, ayam, udang, ketam dan sotong.

Aku suka cendawan. Nak jimat dan dapat cendawan yang segar, aku beli bongkah cendawan. Melihat pertumbuhan cendawan setiap hari pun dah buat aku rasa bahagia dan tersenyum.

Aku bayangkan video-video dan movie yang aku tonton. Seolah-olah akulah watak utama.

Aku beli beras mahal. Basmathi. Beli ketika diskaun lebih murah. Aku betul-betul nak menikmati hidup yang singkat ini. Jangan kedekut untuk makan.

Seharian online, aku search semua pasaraya dan kedai berdekatan yang menjual barang dapur dan lauk dengan harga murah.

Follow page pasaraya untuk melihat jualan murah setiap hari. Aku banyak shopping di online juga. Banyak diskaun dan lebih murah. Aku beli buat stok prep.

Gitulah cara aku habiskan masa supaya tidak bosan. Setiap hari jugak aku akan menulis posting pelbagai isu. Salah satunya tentang perbelanjaan dan urus wang.

Apabila duit simpanan hampir habis, aku mula cari kerja. Tanpa menggunakan sijil degree, dapat kerja di sebuah tempat.

Gaji tak besar pun tapi berjaya simpan 1k sebulan. Makanan disediakan. Pasal tu aku boleh jimat duit.

Masa ni aku ambil peluang bercuti. Staycation. Lebih jimat. Aku nak life aku yang dulu. Tapi aku dah tak boleh nak bercuti jauh-jauh atau ke luar negara macam dulu.

Aku dapat idea buat review hotel-hotel di daerah tempat tinggal. Bawa anak buah aku sekali.

Aku ambik pakej sekali dengan breakfast sebab nak buat review. Nak promosikan tempat menarik dan hotel terbaik di negeri aku.

Dengan niat semoga posting aku tu membantu sektor pelancongan negeri juga.

Hampir setahun bekerja, aku terpaksa resign sebab masalah kesihatan. Kerap demam panas dan jatuh sakit.

Aku kembali menganggur dan fokus membuat posting dan pelbagai content di media sosial. Berharap satu hari nanti boleh jadi sumber pendapatan.

Ada satu post aku tentang cara urus kewangan dan berbelanja menjadi viral. Banyak page siar. Dapat ribuan like dan share.

Aku terkejut posting cara aku berbelanja dan berjimat rupanya disukai orang. Ini mencetus idea aku menulis ebook dan jual.

Berbekal duit simpanan seribu ringgit terakhir, aku beli laptop terpakai dan mula menulis. Dalam masa 2 bulan, berjaya siap 3 ebook.

Aku tidak menaruh harapan tinggi untuk ebook yang aku hasilkan. Sebab aku tidak dikenali. Hanya ada 20k follower. Tapi aku syukur sangat ada yang sudi beli ebook aku.

Hasil penulisan ebook ini aku dapat sara hidup. Bantu family aku yang susah. Hantar sedikit duit untuk kakak aku yang sakit kanser dan sedang menjalani rawatan kemoterapi. Bagi duit jajan untuk anak-anak saudara yang sedang belajar di IPTA.

Begitulah hidup ini. Tak semua indah dan mudah seperti orang lain. Tapi akan ada hasilnya jika berusaha.

Setiap dari kita ada rezeki dan ujian berbeza. Jangan mengeluh. Jangan merungut.

Belajarlah bersyukur. Nikmat yang anda pandang remeh, di idamkan oleh orang lain.

Nikmati saje hidup ini. Ia sangatlah singkat.

– Lady N (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Tahniah. Anda menikmati kehidupan. Allah pilih anda untuk melalui kehidupan ini. Teruskan lakukan apa yang anda fikir ia memberi impak positif dalam kehidupan anda. Moga terus sihat dan memberi manfaat kepada orang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *