Ku tuliskan kenangan tentang caraku menemukan dirimu,
Tentang apa yang membuatku mudah berikan hatiku padamu,
Takkan habis sejuta lagu untuk menceritakan cantikmu,
Kan teramat panjang puisi untuk menyuratkan cinta ini,
Telah habis sudah cinta ini tak lagi tersisa untuk dunia,
Karena telah ku habiskan sisa cintaku hanya untukmu…
Puluhan tahun lalu, dalam kedinginan Subuh Isnin, ketika kebanyakan warganegara Malaysia masih lena diulit mimpi yang syahdu, seorang wanita berusia dalam lingkungan empat dekad sedang menyabung nyawa untuk melahirkan seorang lagi khalifah di muka bumi Tuhan ini.
Berkat kesabaran dalam menempuh sakit bersalin yang tidak berpanjangan, maka lahirlah seorang cahaya mata dengan begitu mudah yang menjadi penutup legasi generasi kedua bukti cinta antara beliau dan suami.
“Abahnya, ini anak bongsu kita.”
“Syukur Alhamdulillah. Penutup.”
Rezeki ini tidak disangka-sangka. Ramai yang tidak tahu bahawa si ibu sedang berbadan dua hatta si abang dan si kakak bayi gebu tersebut yang duduk serumah pun tidak tahu.
Apabila mereka celik mata untuk bersiap-siap pergi ke sekolah, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan perkhabaran menyeronokkan itu. Gembira bukan kepalang mereka semua. Bertambah seorang lagi teman bermain. Itulah aku.
“Mak, bila mak mengandung ni?” Tanya abang aku yang ketiga.
“Abah, nak letak nama adik baru kita ni apa?” Kakak aku yang ketiga pula tidak sabar-sabar untuk mengetahui nama adik bongsunya.
Dikurniakan dengan ‘bala tentera’ yang ramai, emak dan abah aku bijak mengurus segala-galanya supaya semuanya cukup apa adanya dan tidak pernah sekalipun meminta-minta pada orang lain.
Itulah keistimewaan emak dan abah. Setiap kali mendapat wang pencen, abah akan mencukupkan barang-barang keperluan dapur dan bil utiliti terlebih dahulu.
“Ni aku dah beli beras, tepung gandum, biskut, bawang merah, cili kering, telur, kopi, teh, gula dan garam. Kalau barang basah dah habis nanti, sekurang-kurangnya kita boleh makan nasi goreng atau buat cucur manis.” Abah memberitahu emak.
Kehidupan ketika itu tidak semanis impian dan mimpi setiap orang yang tinggal dalam rumah pusaka kami. Kami makan untuk hidup dan bukannya hidup untuk makan.
Prinsip abah mudah sahaja – biar papa asalkan dapur berasap, bukannya biar papa asal bergaya. Setelah semua keperluan dapur lengkap, emak pun mula beraksi di dapur dengan lagak bagaikan seorang cef di hotel lima bintang.
Emak aku memang pandai memasak. Tanyalah sesiapa sahaja yang menjamah air tangan emak, pasti tiada yang komen bukan-bukan. Masaklah apa sahaja, pasti semuanya sedap – secukup rasa pedas, masam, manis dan masinnya.
“Mak masak apa hari ni?” Tanya aku sebaik pulang dari sekolah.
“Hari ni mak masak rendang cendawan udang. Ada atas meja kat dapur nun.”
“Sedapnya mak.” Terus aku berlari ke dapur mengambil pinggan lalu mencedok nasi dan lauk kegemaran seisi rumah.
Kehebatan air tangan golongan yang mampu menggoncangkan dunia ini tidak boleh dipertikaikan lagi. Diwarisi turun-temurun daripada satu generasi ke generasi yang lain.
Walaupun aku tidak berkesempatan berjumpa dengan opah aku, emak selalu bercerita bahawa opah sangat pandai memasak.
Emak kata, beliau belajar memasak daripada arwah opah aku sejak dari kecil. Tambah emak lagi, beliau berasa malu apabila tidak turun ke dapur untuk berganding bahu memasak juadah setiap waktu makan.
Sungguh berbeza dengan muda-mudi zaman sekarang. Kalau boleh, mereka mahu duduk goyang kaki sahaja menunggu lauk jatuh ke riba. Apabila makanan sudah siap dihidangkan, mereka pun memulakan aksi mencedok lauk itu dan ini.
Lagak mereka tidak ubah seperti mereka yang berpenat-lelah di dapur dalam menyediakan hidangan. Kalau boleh, semua lauk hendak diambil lebih dan tidak perlu untuk disimpan untuk orang belakang.
“Dulu, opah tak pernah pun ajak mak masak tapi mak yang sendiri masuk ke dapur masa umur 7 tahun.” Emak selalunya membuka cerita lama sebelum tidur.
“Orang dulu lebih banyak rasa kasihan, hormat dan sayang pada mak bapak, tak macam budak zaman sekarang.” Emak mengomel ketika bercerita.
Emak aku bukan sahaja pandai memasak tetapi memang suka memasak. Ala-ala hobi baginya. Hidup beliau banyak dihabiskan di dapur dalam menyediakan makanan untuk suami dan ana-anak tercinta.
Tanyalah setiap anak di seluruh dunia, masakan siapa yang paling dirindukan? Pasti jawapannya, tidak lain tidak bukan, masakan bonda. Setiap menu yang dipinta oleh suami dan anak-anak pasti akan ditunaikan terutamanya pada bulan Ramadan.
Kalau tidak dipinta pun, emak memang sudah tahu makanan kegemaran setiap orang. Pergi sahaja ke dapur, tengok-tengok sudah siap juadah kegemaran setiap orang.
Pada bulan puasa, emak suka menyediakan aneka kuih manis kerana abah suka makan kuih-kuih seperti kanji som-som, roti pelengat, limas, jongkong, buah Melaka dan macam-macam lagi semasa berbuka puasa.
Lagipun, bukankah disunatkan berbuka puasa dengan benda-benda manis selain daripada buah kurma? Abah cuba menerapkan sunnah Nabi dalam diri kami sejak dari kecil lagi.
Kami, orang Perak panggil bubur sebagai kanji manakala kuih tepung pelita dan puding roti dipanggil kuih limas dan roti pelengat. Semua ini menu kegemaran abah semasa berbuka puasa.
Dalam banyak-banyak pelbagai kuih manis yang dimasak penuh cinta dan kasih sayang oleh emak, aku sangat menyukai kuih jongkong dan limas, begitu juga adik-beradik aku yang lain.
Kalau emak memasak kuih jongkong dan limas, cepat sahaja licin. Sedap sehingga menjilat sudu. Kini, para menantu dan cucu emak pun sudah terikut sama kegemaran anak-anak emak dan abah.
“Mak masak apa hari ni untuk berbuka nanti? Aku bertanya kepada emak selepas emak selesai menunaikan solat Zuhur.
“Mak nak masak limas dan jongkong hari ni. Bahan-bahan tak banyak beza. Masak sekali harung je.”
“Bestnya, tak sabar nak makan berbuka nanti.”
Kebiasaannya, emak mula berkelentang-kelentung di dapur untuk menyediakan juadah berbuka selepas waktu Zuhur.
“Mak, jangan lupa tau lepas jongkong tu dah siap, masukkan dalam peti ais. Adik suka bila masa kuah santan tu masuk dalam mulut, lepas tu turun melalui kerongkong, sejuk dia tak boleh nak diceritakan. Sedapnya tak dapat digambarkan.”
Kuih jongkong ini merupakan resipi warisan yang semakin dilupakan pada masa ini. Sukar untuk mendapatinya sekarang.
Kuih lama ini dikatakan resipi turun-temurun kaum Mandailing di Sumatera Utara. Di Malaysia pula, kuih tradisional ini popular di Perak dan Johor. Di sesetengah tempat, ada yang memanggilnya kuih botok. Rupa yang sama tetapi nama yang berbeza.
Rasanya seakan bubur som-som bezanya cuma kuih jongkong dibalut dengan daun pisang dan dikukus. Penyediaannya juga sedikit berbeza.
Kuih orang lama ini tidak dapat disangkal lagi kesedapannya. Lemak santan dan manis gula yang mencair apabila dikukus sungguh enak apabila dinikmati. Kuih lama ini makin bertambah sedap apabila dimakan ketika sejuk.
Kuih ini apabila dibuka daun pisang, akan kelihatan air gula di sekeliling adunan pandan. Sekali pandang seperti sebuah pulau yang dikelilingi air laut.
Apabila hendak makan, cedok adunan pandan dengan kuah santan. Petua emak aku untuk menyedapkan lagi kuih jongkong ini adalah dengan melebihkan gula dan santan untuk menghasilkan kuah santan yang banyak dan lemak manis.
Kuih ini hanya popular dan mendapat tempat di hati para pembeli sewaktu bulan Ramadan. Oleh itu, jika anda ingin mencari dan merasai keenakan pencuci mulut tradisional ini, sila cari di pasar Ramadan namun tidak semua tempat yang menjualnya.
“Akak, nak kuih jongkong ni 5. Boleh tahu, akak orang mana ya?”
“Akak orang Perak. Kenapa?”
“Ooo patutlah. Kuih ni memang popular kat Perak. Tu yang saya terkejut bila jumpa kat KL ni.”
Aku berharap supaya generasi sekarang tidak melupakan kuih ini yang pada suatu masa dulu cukup diminati. Jika tidak, kuih ini akan pupus ditelan zaman sama seperti kuih-kuih tradisional yang lain.
Apabila aku membeli kuih ini di luar, rasanya tidak sama seperti sentuhan abadi dan cita rasa rinduan emak aku. Janggal rasanya. Air tangan yang tumpah ke dalam kuih jongkong yang dibeli berbeza benar rasa lemak manisnya.
Jongkong Perak emak selalu dalam hati aku untuk diingati dan dirindukan. Jongkong Perak emak tidak dapat dijual beli, ia berada dalam kelasnya yang tersendiri. Ekslusif, elit dan premium.
Buat emak, terima kasih kerana membesarkan aku sehingga menjadi orang. Terima kasih juga kerana sabar melayan kerenah aku dari kecil sampailah sudah tua bangka ini.
Terima kasih kerana menumpahkan segala rasa sayang dalam masakan untuk aku, abah dan adik-beradik yang lain. Kami dapat merasainya dari lubuk hati yang paling. Ia benar-benar tulus dan ikhlas.
Kita jaulah sampai syurga. Semoga emak ditempatkan di syurga yang paling tinggi. Engkau hanyalah satu dalam hidup aku.
Hanyalah satu,
Yang bertakhta di hatiku,
Hanya dirimu,
Yang ku sayangi oh kasih,
Hanyalah satu asmara di jiwa,
Dan jangan kau sangsi cintaku,
Hanyalah satu hanya satu.
Siapa nak resipi kuih jongkong ni? Nanti aku share.
– Jacaranda (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit