Nilai Segulung Ijazah dan Realiti Alam Pekerjaan

Asalamualaikum dan salam sejahtera. Jika anda membaca tajuk yang dipaparkan di atas, saya yakin dan pasti anda sudah tentu dapat meneka apa yang akan saya utarakan dalam artikel ini. Pertama sekali, saya memohon maaf seandainya tulisan saya ini agak formal, membosankan, dan isinya sudah seringkali diulang tulis oleh para confessor. Saya rasa tidak perlulah saya memperkenalkan diri saya, cukup sekadar saya menyentuh satu dua peristiwa dalam perjalanan hidup saya selaku graduan yang sedang mencari kerja dan pendapatan yang lebih stabil untuk dikaitkan topik ini secara umum.

Jika ditanyakan kepada para pelajar dan graduan IPTA khususnya, saya percaya majoriti menyambung pengajian sehingga peringkat Ijazah Sarjana Muda dan ke atas demi mencapai matlamat untuk memperoleh pekerjaan yang sesuai, gaji yang bersesuaian, dan kerjaya yang stabil. Iya saya mengakui bahawa terdapat juga individu yang menyambung pengajian semata-mata hanya ingin memenuhkan ilmu di dada tetapi percayalah bahawa sebilangan besar graduan mengimpikan untuk memperoleh kedudukan yang selayaknya dalam sektor awam dan swasta.

Masyarakat negara ini termasuklah netizen, “kaum bawang”, dan juga pihak kerajaan sendiri seringkali melabel para graduan memilih kerja, malahan terdapat NGO seperti Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) secara semberono menyenaraikan lima punca utama kesukaran graduan memperoleh pekerjaan dan kelima-lima punca itu disalahkannya kembali kepada graduan. Lima punca tersebut adalah graduan memilih kerja, graduan menginginkan gaji yang tidak realistik, graduan lemah penguasaan Bahasa Inggeris, graduan tidak memiliki pesonaliti yang menarik, dan graduan tidak memiliki kemahiran. Sekali lagi, isu graduan memilih kerja dan graduan “demand” gaji dimainkan untuk meletakkan keseluruhan kesalahan dan masalah ketepuan pasaran kerja ke atas tengkuk graduan.

Di sini saya ingin menghuraikan mengapa graduan sukar memperoleh pekerjaan dari sudut pandang graduan seperti saya. Pertama adalah ketepuan dalam pasaran kerja khususnya dalam sektor swasta itu sendiri. Saya bukanlah pakar ekonomi tetapi jika kita perhatikan secara kasarnya, kebanyakkan syarikat-syarikat mega yang telah lama bertapak telah pun cuba mengecilkan saiz operasinya dan penamatan khidmat pekerjaan sedia ada melalui Pemberhentian Sukarela (VSS) sedang giat dilaksanakan dan saya merupakan salah seorang yang menjadi mangsanya walaupun saya baru setahun berkhidmat di syarikat tesebut.

Dalam masa yang sama syarikat enggan mengambil risiko untuk menerima graduan dengan gaji setaraf ijazah kerana pengucupan keuntungan semasa yang diperoleh oleh syarikat di samping keperluan memberi latihan dan sebagainya buat pekerja baru. Walau bagaimanapun, masih terdapat syarikat yang tetap menerima permohonan sang graduan untuk berkhidmat akan tetapi gaji yang dibayar hanyalah setaraf gaji diploma atau SPM. Di samping itu, alasan-alasan lain seperti pengalaman, penguasaan bahasa Mandarin, diskriminasi berasaskan bangsa, dan sebagainya turut menjadi kekangan kepada para graduan untuk menembusi pasaran kerja sektor swasta.

Kedua, dasar kerajaan itu sendiri yang tidak mengawal populasi graduan berijazah. Iya sememangnya diakui bahawa kerajaan tiada hak untuk menghalang rakyatnya menuntut ilmu tetapi biarlah pengeluaran graduan sesuai dengan kekosongan tempat yang ada dalam pasaran kerja. Dalam bahasa mudahnya, biarlah penghasilan graduan saban tahun sesuai dengan konsep “supply and demand”. Kemunculan pelbagai IPTS dengan pelbagai jurusan yang tidak seimbang dengan keperluan pasaran kerja di samping kewujudan berbelas buah IPTA sedia ada telah menyebabkan berlakunya lambakan graduan berijazah yang kelak akan menjadi penganggur berijazah. Sasaran kerajaan lalu untuk mempertingkatkan tahap pendidikan rakyatnya tidak seiring dengan penyediaan peluang pekerjaan yang sesuai. Tiada tindakan atau jawapan yang bersifat holistik daipada kerajaan terhadap permasalahan ini.

Ketiga, sistem pengambilan penjawat awam oleh SPA melalui SPA8i kelihatannya tidak menyebelahi para graduan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dan ke atas. Jika anda menyedari, kini pihak SPA telah menggunakan dasar One Step Lower iaitu dengan mengharamkan para graduan Sarjana Muda dan ke atas untuk memohon jawatan bertaraf SPM (gred 19) dengan alasan untuk melindungi hak mereka yang hanya memiliki SPM dalam memohon jawatan sebagai penjawat awam daripada direbut oleh para graduan Sarjana Muda. Hasilnya graduan hanya dibenarkan memohon jawatan bertaraf STPM/Diploma (gred 29) dan jawatan bertaraf Ijazah (gred 41) sahaja.

Malangnya, dasar ini dilihat sangat menekan dan bersifat “zalim” terhadap graduan. Hal ini kerana bukan semua graduan memiliki STPM atau Diploma untuk memohon jawatan bergred 29, dan jika graduan ingin memohon jawatan bergred 41 pula para graduan wajib bersaing dengan penjawat awam sedia ada yang bercita-cita untuk naik pangkat melalui sistem Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) dan sudah pastilah mereka akan menjadi pilihan utama untuk menduduki jawatan bergred 41 kerana kaya dengan pengalaman di sesebuah jabatan tertentu berbanding para graduan yang tidak pernah berkhidmat dalam sektor awam.

Jadi di manakah keadilan dasar One Step Lower dan KPSL ini terhadap graduan? Akhirnya munculah humor yang berbunyi “lebih baik selepas SPM/STPM terus apply jawatan kerajaan dalam SPA berbanding sambung ijazah di universiti. Hutang PTPTN tak perlu nak bayar, kerja pun mudah nak dapat.”. Lihatlah bertapa hinanya kita para graduan berijazah di mata pihak kerajaan tuan-tuan dan puan-puan.

Itu belum termasuk lagi masalah penjawat awam tetap sedia ada yang ditawarkan jawatan lain tetapi masih lagi dalam gred yang sama oleh pihak SPA. Berkenaan Badan Berkanun dan PBT usahlah diperkatakan lagi, sudah pasti apa sahaja kekosongan jawatan yang ada akan diisi oleh anak beranak, saudara marah, jiran, dan sahabat handai pihak yang berkepentingan terhadap kedua-dua entiti tersebut. Walau bagaimanapun, masalah ini mungkin akan dapat diselesaikan sekiranya pihak kerajaan dan SPA menghapuskan dasar One Step Lower dan menyimpan sebahagian jawatan kosong bagi gred 41 untuk kuota “fresh graduate” agar tidak dibolot sepenuhnya oleh kakitangan awam tetap sedia melalui KPSL.

Desas desus khabar angin ada mengatakan bahawa kerajaan bakal memperkecilkan saiz penjawat awam dan mungkin akan menghentikan sebentar pengambilan penjawat awam baru. Jika ini benar, semakin kecil peluang para graduan untuk memasuki sektor awam. Sama-samalah kita nantikan bajet 2018 pada November nanti jika perkara ini akan disentuh. Dengan kos pembayaran gaji penjawat awam berjumlah RM 8 bilion sebulan dan pembayaran pencen sebanyak RM 30 bilion setahun (sumber: KOSMO 30 Jun 2017), di samping langkah berjimat cermat oleh kerajaan baru besar kemungkinan berita ini adalah benar. Sama-samalah kita berdoa agar masih ada rezeki kita dalam sektor awam kelak.

Setakat ini dahulu penulisan saya berkenaan isu ini. Jika ada mulut-mulut yang mencadangkan agar graduan cuba bermandiri sendiri melalui perniagaan tanpa makan gaji, jangan risau itulah yang sedang dilakukan oleh sebahagian besar graduan termasuk saya sendiri secara sampingan dan ada juga yang menjadikannya sebagai profesion utama. Dalam masa yang sama kami sebagai graduan tidak pernah memilih pekerjaan hatta bekerja kilang, “cleaner”, pengawal keselamatan, mahupun sebagai buruh.

Saya sendiri hari ini setelah diberhentikan kerja melalui VSS, saya hanya bekerja sebagai pengutip buah sawit dengan pendapat RM35 sehari dan dengan pendapatan itulah saya menyara diri sendiri, isteri, dan ibu yang kerosakan buah pinggang sehingga memerlukan dialisis sebanyak tiga kali seminggu. Insyallah jika ada kesempatan saya akan menulis semula bahagian kedua artikel ini.

– Graduan

Hantar confession anda di sini ->Β www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *