Assalamualaikum semua pembaca. Pertama sekali saya kenalkan diri saya sebagai Puan Aishah. Saya berusia 40 dan baru graduasi pengajian sarjana dan sedang meneruskan pengajian di peringkat PhD. Saya ingin membuat perkongsian ini selepas membaca beberapa luahan perasaan tentang kesukaran graduan sarjana/PhD mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
Pada hari ini saya merupakan seorang usahawan dan juga majikan kepada 22 orang pekerja yang terlibat dalam sektor pendidikan. Alhamdulillah bisnes saya berkembang dengan baik dan sudah memasuki tahun kesepuluh. Saya juga telah membangunkan beberapa bisnes sampingan lain untuk mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat.
Apa yang ingin saya kongsikan ialah jerih perih dan perjalanan yag saya lalui untuk berada pada tahap ini. Saya bukan pelajar yang cemerlang. Saya kategori pelajar biasa-biasa sahaja. Tidak pernah dapat straight A dan sebarang biasiswa. Malahan ramai rakan dari zaman sekolah saya masih tidak percaya dengan pencapaian saya pada hari ini.
Walaupun saya ini kategori pelajar biasa-biasa sahaja, namun saya direzekikan bersekolah di sebuah sekolah ternama. Rata-rata pelajar lain akan lulus dengan cemerlang. Saya ini pelajar nombor corot di sekolah ternama itu. Hanya beberapa ketul A.
Malahan selepas keputusan SPM hanya saya seorang sahaja dalam kelas saya yang tidak berjaya dalam permohonan matriks atau asasi. Malahan saya hanya ditawarkan dalam kursus diploma dalam bidang yang tidak dipohon. Dalam erti kata lain, zaman itu, borang UPU saya dilelong. Syukurnya bidang tersebut merupakan bidang popular (kejuruteraan). Jadi saya tidaklah rasa rendah diri sangat berbanding rakan-rakan lain.
Maka saya pun sambung pengajian dengan penuh kepayahan kerana saya sangat lemah dalam bidang matematik. Di universiti saya aktif dengan pelbagai kegiatan untuk mengurangkan tekanan pembelajaran. Dalam persatuan dan kolej kediaman saya memang popular. Terlibat dengan aktiviti peringkat nasional. Namun dalam kelas saya rendah diri. Gagal beberapa subjek dan mengulang beberapa kali. Namun akhirnya, saya menamatkan diploma berserta hutang PTPTN. huhu
Selepas tamat diploma dan saya masih ingat linangan air mata semasa konvokesyen kerana tak percaya akhirnya tamat juga pengajian saya mula mencari pekerjaan. Sebenarnya pada masa itu saya masih berminat menyambung pengajian peringkat ijazah, tetapi disebabkan saya masih trauma dengan pengajian diploma, saya ambil sedikit masa untuk bertenang dan menyusun kembali hidup saya. Kali ini saya bertekad untuk sambung pengajian bidang yang saya minati dan skor dengan cemerlang.
Saya mula bekerja di beberapa tempat dengan gaji yang tidak seberapa. Malah ada yang serendah RM450. Namun saya teruskan juga untuk mengumpul pengalaman. Di situ saya mengenal pelbagai ragam bos. Pada kebanyakkannya kenangan pahit. Berkerja dalam tekanan dengan gaji yang rendah. Bos yang suka memaki hamun. Tiada potongan KWSP dan Socso.
Namun saya teruskan juga kerana saya memang suka bekerja dan sudah terbiasa dengan kesibukan sejak belajar. Walaupun tak tahan dengan bos, tetapi saya enjoy dengan tugas saya kerana saya selalu ingat pesan ibu saya bahawa kerja kerana Allah, bukan kerana bos. Lagipun saya bekerja dalam bidang pendidikan, jadi sekurang-kurangnya fikir juga saham akhirat.
Kemudian saya dapat peluang sambung ijazah dalam bidang saya minati. Kali ini belajar tanpa apa-apa pinjaman. Saya berkerja sambil belajar dan mula membayar hutang PTPTN dengan jumlah yang paling minimum. Kalau diikutkan gaji memang tak mampu nak bayar, tapi sebab surat PTPTN sampai ke kampung, mak saya akan bising apabila tengok ada tunggakan.
Maka saya pun ikatlah perut sambil bekerja dan belajar. Saya tinggal di rumah sewa. Jadi saya akan memasak dan bawa bekal. Kadang-kadang bekal saya dikongsi dengan rakan sekelas. Nak kata sedap tu taklah, tapi bolehlah nak jamu orang. Untuk ke kelas, saya gunakan motor cabuk arwah saya. Isi minyak pun kadang-kadang RM3 je.
Dalam tahun kedua pengajian ijazah, Alhamdulillah saya dapat rezeki gaji yang jauh lebih baik. Pada masa itu, bakal suami ajak bernikah. Mungkin berkat nak bernikah tiba-tiba Allah lorongkan rezeki. Saya dapat buat simpanan dan gunakan sebahagiannya untuk kenduri kahwin.
Maka saya pun kahwin sambil belajar. Kemudian dapat anak dan tamatkan pengajian dengan keputusan yang cemerlang. Salah satu faktor kejayaan pada masa ini ialah kerana saya belajar bidang yang saya minat dan fokus dalam kelas. Pada masa ini saya ada keyakinan diri yang lebih tinggi. Tamat degree dan ada pengalaman kerja.
Selepas tamat pengajian saya berhenti kerja kira-kira setahun untuk besarkan anak. Ketika ini suami tolong bayarkan PTPTN juga dalam jumlah yang minimum. Masa tu target tak nak kena blacklist. Memandangkan hanya suami yang kerja dan simpanan yang sudah habis, maka kami pun hidup ala kadar sahaja. Rumah kami kosong sahaja. Barang-barang rumah kebanyakkannya hadiah kahwin. Selepas itu saya mula mohon kerja menggunakan ijazah.
Alhamdulillah direzekikan jawatan kontrak dalam kerajaan. Walaupun bekerja, kami masih kekalkan gaya hidup sederhana dan jimat cermat. Sebahagian gaji tersebut saya simpan dan mula bayar hutang PTPTN dalam jumlah yang lebih. Kami juga bayar pinjaman kenderaan dalam jumlah yang banyak. Oh ya, kami pakai kereta second hand buatan Malaysia sahaja. Dalam tempoh dua tahun saya berkerja, kami selesai bayar hutang kereta dan PTPTN. Kemudian kami mula beli rumah pertama.
Dalam tempoh dua tahun itu, status jawatan masih lagi kontrak dan tiada ura-ura untuk diserap ke jawatan tetap. Saya pula memang jenis rajin bekerja an disayangi bos. Biasalah kerja kerajaan ni, makin rajin makin banyak kerja yang diberi. Jadi saya fikir, sudah sampai masa untuk saya fikirkan karier saya. Saya rasa tak seronok makan gaji kerana terikat dengan waktu kerja dan berdasarkan pengalaman kerja lalu, saya yakin saya boleh maju dalam karier saya dengan tahap kerajinan ini.
Maka saya pun ambil keputusan untuk letak jawatan dan mulakan bisnes dalam bidang pendidikan secara kecil-kecilan. Keputusan saya mendapat tentangan keluarga. Namun saya teruskan juga dan pekakkan telinga walaupun makan hati dengan sindiran. Saya dikata kurang bersyukur, gila duit dan tolak tuah sebab berhenti kerja kerajaan.
Awal-awal mulakan bisnes memang sangat perit. Untuk membina nama dan jenama bukan mudah. Daripada simpanan ada berbelas ribu, akhirnya tinggal akaun yang kosong. Ada masa memang langsung tak ada duit nak balik kampung. Namun korek-korek juga mana saki baki. Keluarga memang tak tahu kesusahan saya masa tu.
Disebabkan sebelum ini saya memang selalu sponsor adik beradik dan ipar duai, jadi saya mereka masih anggap saya berduit dan kena hulur duit sekiranya ada makan-makan dan program keluarga. Masa ini saya selalu berdoa semoga Allah tetapkan bukakan rezeki saya untuk terus memberi. Alhamdulillah, saya selalu ada rezeki tak disangka-sangka untuk kongsi dengan keluarga.
Selepas tahun ketiga berbisnes, saya mula nampak jalan. Dalam tempoh tiga tahun memang perit sangat sebab tak pernah jadi bos. Masih kurang pengalaman nak atasi kerenah pekerja. Saya asyik fikir nak jadi bos yang disayangi sampai pekerja pun naik lemak. Saya sukar nak kawal disiplin pekerja. Masuk kerja sesuka hati. Duit jualan yang short. Staff suka bergaduh dengan customer sampai tercemar reputasi syarikat.
Dengan pekerja yang keluar masuk, saya mula jadi stress. sampai satu hari saya stress sampai sakit kepala yang teramat. Masa tu baru saya sedar, tekanan darah tinggi dah naik. Saya boleh mati macam ni. Saya rasa susahnya nak bangunkan bisnes sebab tiada team yang mantap. Saya mula berdoa kembali, Ya Allah tunjukkan hikmah di sebalik dugaan ini.
Akhirnya staff yang menyakitkan jiwa itu berhenti 24 jam selepas bertengkar. Saya rasa lega sangat. Macam lepas satu beban yang berat. Hari itu juga saya iklankan jawatan kosong dalam group whatapss masjid. Petang itu juga datang seorang gadis untuk mintak kerja. Dia seorang pelajar master. Ingin kerja sambil belajar. Saya katakan jawatan ini hanya gaji SPM sebab itu taraf jawatan tersebut. Dia setuju dan mula berkerja.
Di sinilah bermula sinar cahaya saya. Dengan menggunakan ilmu master yang dia sedang belajar, dia bantu saya untuk susun semula bisnes saya. Dalam masa sebulan, semuanya semakin baik dan teratur. Saya nampak ke mana duit mengalir ke arah pembaziran. Kos yang saya dapat jimatkan saya gunakan untuk naikkan gaji dia.
Akhirnya bisnes semakin baik dan dia dinaikkan jawatan sebagai pengurus. Saya sendiri sambung master selepas itu untuk tambah ilmu pengetahuan. Pada hari ini dia masih bekerja dengan syarikat saya dan saya berikan sedikit saham syarikat sebagai penghargaan.
Jadi apa yang saya ingin simpulkan, master atau PhD bukan jalan pintas untuk berjaya. Untuk dapatkan peluang pekerjaan yang baik, pengalaman kerja dan sikap sangat penting. Hari ini bersepah orang ada master dan PhD. Saya terima banyak permohonan kerja dari graduan ini. Kebanyakkan mereka muda-muda. Terus sambung belajar lepas degree. Dan ramainya yang ambil coursework untuk master. Alasannya mudah dan senang nak lulus berbanding ambil mix mode.
Namun ramai tak sedar ruginya sambung master dengan coursework kerana untuk bekerja, majikan lebih suka pekerja yang ada pengalaman. Sekurang-kurangnya kajian lapangan. Kesukaran menyiapkan tesis atau disertasi akan membentuk satu sikap positif terutamanya sanggup menghadapi cabaran dan tidak mudah berputus asa.
Dalam sesi temuduga saya berdepan dengan graduan master yang kuat mengeluh. Menyalahkan itu ini kerana tidak mendapat peluang pekerjaan yang baik. Malahan saya pernah berdepan dengan seorang pemegang MBA yang memburuk-burukkan bekas majikan kerana beri gaji yang kecil berbanding kelulusannya. Saya terus menempelakknya dengan mengatakan, kalau awak ada MBA, sepatutnya awak boleh buat bisnes lebih baik berbanding bos awak, daripada usung sijl ke sana sini.
Akhir kata, saya harap para graduan master dan PhD tidak mudah berputus asa. Timbalah dulu pengalaman kerja sebanyak mungkin. Saya sangat galakkan adik-adik yang sambung pengajian ini bekerja sambil belajar. Biasakan diri dengan kesibukan supaya lebih cekap apabila bekerja. Selain itu, boleh jana pendapatan dan tak perlu berhutang untuk belajar.
Kalau nak diikutkan penat, memanglah penat. Tapi kalau tak sanggup berpenat, mana nak rasa kejayaan. Satu lagi, bekerja sambil belajar akan meningkatkan kemahiran komunikasi dan keyakinan diri. Namun perlu juga sentiasa rendah diri. Walaupun orang lain kelulusannya lebih rendah, namun pengalaman kerjanya lebih mahal. Tak rugi berguru dengan mereka ini.
Selamat maju jaya ya adik-adik.
– Puan Aishah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit