Suatu hari sewaktu Amina pulang ke rumah, dia turun dari bus stop dan berjalan kaki ke rumahnya dengan jarak 50 meter. Dia melalui gerai-gerai di bahu jalan berhampiran rumahnya. Tiba-tiba seorang lelaki membuat bunyi cencorot kepadanya. Amina memandang lelaki tersebut dan perlahan-lahan menghentikan langkahnya. Kelihatan lelaki itu masih memerhatinya sambil mengenyit mata padanya.
Dengan rasa menahan marah dan sabar, Amina berjalan menuju ke arah lelaki itu. Amina memerhati keadaan sekeliling untuk memastikan keadaan selamat dan tidak terlalu sunyi untuk dia menghampiri lelaki itu. Kelihatan juga beberapa orang pakcik duduk bersembang di meja makan tidak jauh dari kedudukan Amina dan lelaki itu.
“Apa yang kau cuba lakukan?” tanya Amina. Lelaki itu tersengih saja dan mula malu kerana tidak menyangka Amina akan datang dengen riak muka sedikit berang.
“Saya tidak buat lawak. Apa yang kamu cuba lakukan tadi? Buat bunyi begitu kepada saya?” soal Amina lagi.
Lelaki tu menjawab “Eh tak ada apa, saja je..”.
“Adakah kamu mengenali saya? Adakah kamu cuba mengurat saya?” bingkas Amina terus mengajukan soalan.
“Err.. saja je tegur..” jawab lelaki itu terkulat-kulat kerana tahu Amina sedang marah.
“Adakah pakaian saya tidak sempurna menutup aurat?” tanya Amina lagi.
Lelaki itu menggeleng.
“Adakah saya nampak seperti wanita murahan?”
Lelaki itu menggeleng.
“Jika saya bertudung litup atau berpurdah adakah kamu berani mengorat saya? Pasti tidak bukan?Adakah martabat saya lebih rendah dari wanita berpurdah sampai kamu berani bersiul mengacau saya?”
Diam lelaki itu, kali ini dia tidak mahu membalas pertanyaan Amina lagi.
“Jika adik perempuan kamu berjalan kemudian digoda oleh lelaki seperti kamu, adakah kamu suka? Jika anak perempuan atau isteri kamu ditegur seperti kamu buat tadi, adakah itu menghormati wanita? Tindakan kamu bersiul-siul kepada wanita tidak dikenali sama sekali merendahkan maruah wanita itu. Kamu fikir kami ni objek hiasan untuk kamu permainkan?” jelas Amina dalam bentuk soalan.
Kali ini lelaki itu mula memahami apa yang wanita itu cuba sampaikan. Perbuatan seperti menggoda wanita itu tidak layak dan merendahkan martabat kaum wanita itu sendiri. Waimah dengan memberi salam sekali pun, jika tujuannya hanya ingin mempermainkan atau menggoda wanita bukan muhrim, ianya tetap tidak sopan di sisi agama. Menggoda wanita dengan mensiulkannya ditepi jalan sudah pun mengaibkan wanita, apatah lagi mencabul anggota badannya. Dari sekecil-kecil perkara sudah dipandang serius dalam maruah wanita, apatah lagi pada perkara yang besar.
Jika ditelusuri kisah Hasan Al Basri dengan seorang wanita yang lantas mencabut dan memberi sepasang matanya kepada Hasan Al Basri yang mengekorinya hanya kerana kecantikan matanya, jelaslah di situ bahawa wanita yang tinggi imannya tidak suka diperhati dan dikejari oleh mana-mana lelaki atas dasar kecantikan fizikalnya. Malah wanita seperti itu tidak mahu menjadi punca fitnah kepada lelaki dan tidak kisah jika matanya tidak lagi cantik.
Wanita zaman dahulu ada yang mengeraskan suara jika berbual dengan lelaki kerana tidak mahu lelaki ‘flirt’, cair atau tergoda dengan suara wanita yang lembut, walaupun perbualan itu terpisah dibalik tabir dengan jarak yang tidak dekat. Wanita zaman ini mungkin tidak mampu untuk menjadi seperti ini namun tidak salah jika kita mengambil iktibar dan belajar dari perwatakan wanita dahulu yang akhlaknya jelas terpuji dalam catitan sejarah islam.
Perempuan yang baik ialah perempuan yang tidak memandang dan tidak dipandang. Huraian ayat ini ialah:
1) Perempuan yang tidak memandang
Ini bermaksud perempuan itu menjaga matanya supaya tidak melilau bertentang mata dengan lelaki, dan mengelak dari memerhati dan menikmati ketampanan ajnabi yang belum halal untuknya. Namun kebanyakan perempuan zaman sekarang yang gemar men’stalk’ gambar-gambar lelaki, itu adalah perbuatan tidak layak ke atas seorang perempuan. Malah ada yang mengenali ramai lelaki dalam hidupnya, bila ditanya siapakah watak yang kacak dalam filem itu, siapakah jejaka paling polular di sekolah atau fakultinya, siapakah lelaki yang pandai mengayat wanita, semuanya dia mampu memberikan nama dengan ejaan penuh tanpa gagal.
Bila ditanya siapakah tokoh-tokoh islam yang penting, langsung tidak pernah dia dengar nama mereka. Kemudian wanita yang suka memandang ini suka bercerita tentang perihal yang tidak berfaedah mengenai lelaki pada kebanyakan masa. Walhal seorang perempuan yang baik selalunya tidak cakna tentang siapa lelaki yang paling diminati ramai mengikut trend dan gosip yang terbaru. Dia tidak kenal malah malu untuk menyebut-nyebut dan memuji ketampanan seorang lelaki.
2) Perempuan tidak dipandang
Ini pula membawa maksud seorang perempuan yang tidak suka menarik perhatian dan “low profile”. Dia tidak suka memuat naik gambar wajahnya pada kebanyakan masa di media sosial. Dia malu menjadikan wajahnya bahan tatapan lelaki secara percuma dan terbuka. Suaranya tidak pula galak atau bising sampai kedengaran oleh orang yang jauh di sekitarnya sebab malu jika dia diperhatikan orang. Solekannya tidak keterlaluan, pakaiannya tidak moncolok mata, gayanya tidak menggoda, tidak terlalu manja, tidak terlalu lembut supaya tidak ada lelaki yang cair dengan dirinya. Segalanya sederhana. Tidak pula terlalu kasar atau kurang ajar.
Ada sebuah kata-kata hikmah yang masyur dari sudut pandangan islam iaitu, wanita yang baik bagaikan angin lalu. Kehadirannya tidak disedari sesiapa umpama angin yang tidak dapat dilihat, namun keberadaannya membawa ketenangan dan merasa nyaman akan orang di sekelilingnya, yakni wanita itu menjalankan tanggungjawabnya meringankan beban orang di sekelilingnya.
Jika mensiulkan perempuan itu telah membawa makna bahawa kehadiran perempuan itu telah disedari, dimanakah letaknya lagi martabat wanita itu yang sudah dicemari? Kerana itulah, wanita yang baik akan mengelakkan diri dari digoda oleh lelaki, adapun jika dia digoda maka malulah ia dan merasa dirinya sudah aibkan.
Wallahua’lam.
– Muannas
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit