Assalamualaikum dan hai rakan pembaca. Nama saya Mira (bukan nama sebenar). Saya berusia pertengahan 20-an. Kisah yang ingin saya ceritakan ialah tentang diri saya yang bukan anak emas dan kakak, selaku pemegang gelaran tersebut.
Saya mulakan dengan kisah kakak saya. Kakak seorang yang cerdik pandai dan elok rupa paras. Mak dan ayah sering berbangga dengan pencapaiannya dari awal usia, sehingga kini, ketika dia sudah bergelar isteri.
Bahkan dalam kalangan ahli keluarga besar dan rakan-rakan mereka, nama yang sering disebut-sebut hanyalah kakak. Kakak itu, dan kakak ini. Kawan-kawan mak bahkan tidak kenal siapakah saya kerana mereka hanya didedahkan dengan cerita kakak sahaja.
Tidak dinafikan dari kecil sehingga dewasa, kehidupan kakak tampak mudah dan “smooth” sahaja. Boleh dikatakan membesarkan kakak tidak menjadi beban kepada mak dan ayah.
Ketika kakak sedang menjalani pengajian di sebuah institut perguruan, mak dan ayah membelikan sebuah kereta baharu kepadanya.
Mereka telah mencarum insurans untuk kakak seawal usia dan menyerahkannya kepadanya saat dia bergelar isteri. Jumlahnya agak banyak. Sangat memadai untuk memulakan hidup bersama suaminya di ibu kota.
Berbeza dengan saya, ketika insurans saya sudah mencapai usia matang, ayah bertindak menggunakan kesemuanya untuk membeli sebidang tanah untuk dibuat pusaka. Yang ditinggalkan kepada saya hanyalah notis bahawa kesemua wang sudah ditransaksi keluar.
Dalam pada itu, ayah merancang untuk menyerahkan tanah tersebut kepada kakak di masa hadapan.
“Kakak balik kampung nanti, tanah ni ayah nak ratakan. Bolehlah dia bina rumah di sini nanti…”
Meskipun dalam diam saya berulang kali mempersoalkan tindakan tersebut yang berat sebelah, pada akhirnya, saya memutuskan untuk tidak mengambil hati. Duit itu milik ayah juga pada asalnya.
Apa yang saya kesali ialah sepanjang hidup saya, semuanya harus berlandaskan jalan hidup kakak. Dari kecil hingga dewasa, kakak merupakan kayu pengukur hidup saya. Saya dituntut untuk mempunyai “timeline” dan “achievement” yang sama dengan kakak.
“Apply lah bidang pendidikan macam kakak.” Gagal masuk dalam bidang pendidikan, mereka menggesa saya untuk apply kursus yang sama seperti kakak.
“Dah grad nanti carilah peluang jadi cikgu macam kakak.”
“Kalau nak kahwin, carilah suami macam suami kakak.”
“Kalau kakak, umur 26 baru kahwin…” (apabila saya mengajukan soal perkahwinan).
Bahkan bagi sekecil-kecil penampilan juga saya ditegur. Saya dituntut untuk berpakaian seperti kakak, meskipun penampilan saya tidaklah seteruk mana, cuma lebih kasual dan agak berfesyen. Baju saya masih longgar dan tudung saya masih labuh.
Ketika saya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti terbaik negara, “hype” yang saya perolehi seakan tidak sama dengan kakak. Tidak ada ucapan tahniah apatah lagi keraian.
Yang ada hanyalah peringatan dan peraturan supaya saya lebih fokus dalam pelajaran kerana saya bukanlah pelajar institut perguruan seperti kakak.
“Belajar di IPG macam kakak senang nak dapat kerja…”
“Graduan IPTA susah nak jadi cikgu.”
Persoalannya, kenapa mesti profesion guru yang harus saya kejar? Banyak lagi pekerjaan lain di dunia ini!
Di kala pandemik ini, bukan mudah untuk bergelar seorang penjawat awam. Sedangkan graduan bidang pendidikan juga bergelut untuk mendapatkan pekerjaan, apatah lagi saya yang memiliki ijazah bukan pendidikan.
Untuk bergelar seorang guru adalah “almost impossible”! Tambahan lagi, bukankah saya lebih mengetahui keupayaan diri? Biarlah saya sahaja yang menentukan jalan hidup saya.
Dalam pada saya menjalani pengajian, saya mengakui sedang menjalinkan hubungan dengan suri hati yang bekerja sebagai tentera. Mak dan ayah menentang dan tidak merestui.
Kata mereka, sifat seorang tentera yang sering mereka dengar agak negatif. Apabila berkahwin nanti pasti dia curang di belakang isteri kerana harus menetap jauh.
Gaji seorang tentera biasa juga tidaklah banyak sebagaimana gaji seorang guru. Mereka menggesa saya untuk mencari calon suami dalam kalangan mereka yang bergelar guru.
Tambah mereka, bersuamikan guru menjadikan hidup saya lebih stabil dan menyenangkan. Siapalah saya untuk “demand” dalam mencari seorang suami berstatus guru? Bahkan saya sendiri bekerja dalam bidang administration sahaja.
Saya akui, suri hati saya tidaklah sehebat abang ipar yang bergelar guru tetap. Pendidikannya juga biasa sahaja, tetapi cukuplah dia berkhidmat dalam sektor kerajaan juga, jika status itu yang dipandang oleh mak dan ayah. Jurang ekonomi mereka juga tidaklah jauh berbeza.
Saya percaya sekiranya berkahwin dengan pilihan hati kini, tidaklah saya harus hidup merempat dan mengemis. Saya juga seorang yang berkerjaya. Sekurang-kurangnya jika berjodohan, hidup kami tidaklah mewah, namun tidaklah susah jua.
Meniti ulang tahun perkenalan yang ke-6, hubungan kami masih belum direstui.
Bagaimana mungkin saya menidakkan perkara yang nyata terbentang di hadapan saya?
Saya sudah dewasa dan berkeyakinan tinggi dalam membuat keputusan soal jodoh. Pengalaman mematangkan saya. Saya bukan anak kecil yang tidak tahu apa-apa!
Mental saya sudah “burnout” kerana masa saya dihabiskan untuk belajar menjadi seperti kakak. Bahkan segala keputusan yang saya ambil sering dibandingkan dengan pengalaman masa lalu kakak. Sampai bila saya harus akur dengan keadaan ini?
Allah SWT berfirman:
“Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali.
Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. ALLAH MAHA MENGETAHUI LAGI MAHA TELITI.” (Surah al-Hujurat, ayat 13).
Buat para pembaca, khususnya yang bergelar ibu bapa, santunilah perbezaan antara kita. Setiap yang Allah jadikan ada keistimewaan yang tersendiri. Tidak ada manusia yang lebih berharga nilainya melainkan dia yang bertakwa kepada Allah SWT.
Terima kasih kerana sudi membaca luahan yang sudah lama bersarang di dalam hati ini. Doakan saya.
– Mira (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit