Novel Melayu Zaman Sekarang

Terima kasih admin kalau publish confession saya ni.

Saya ni suka membaca. Lebih-lebih lagi novel melayu. Dahulu semasa remaja memang saya ada banyak baca novel melayu tanpa mengambil kisah tentang ceritanya, berkisahkan apa atau kewujudan plot berat atau ringan. Malah ada novel yang pada saya tak bermoral pun saya baca.

Novel melayu pada perhatian saya kebanyakannya mengangkat cerita tentang kahwin muda, kahwin paksa, kahwin lelaki ‘nakal-suka-menyakat-pada-awalnya-tapi-jatuh-cinta-dan-bahagia-akhirnya’. Bohonglah kalau saya cakap saya tak terhibur dengan semua tu. Lagi-lagi watak utamanya perempuan jadi kebanyakan pembaca wanita boleh ‘relate’. Genre sebegitu sudah menjadi kesukaan saya sejak pertama kali saya mula membaca novel.

Tetapi apabila saya dah besar sedikit dan sudah masuk kolej, saya mula memilih bahan yang saya baca. Kadang-kadang ada saya baca juga novel melayu macam itu, tapi apa yang saya perhatikan, kebanyakan novel seperti itu sudah tidak lagi menggunakan Bahasa Melayu yang betul. Ada juga penulis yang menggunakan Bahasa Inggeris dalam sesetengah karya mereka, tetapi Bahasa Inggeris yang mereka gunakan itu pun tidak betul. Kata orang “broken English”. Dari segi “grammar” terutama sekali.

Tolak ke tepi karya-karya sastera, boleh saya kira dengan jari, novelis yang masih menulis novel Melayu dalam genre kesukaan saya tu dengan mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu yang betul.

Ramai pembaca novel yang masih bersekolah, bukan sahaja orang dewasa yang membaca. Jadi saya harap sangatlah setidak-tidaknya penulis boleh mengambil peduli tentang semua ini. Sebab yang membaca akan mengikut dan mencontohi apa yang dibaca. Buat research tentang penggunaan perkataan Inggeris itu sebelum menulisnya, kerana pelajar-pelajar yang membaca novel melayu boleh terikut-ikut karya yang salah dengan secara tidak sengaja, dan menuliskannya dalam karya mereka.

Selain daripada menulis novel yang menghiburkan, boleh saja penulis menerapkan nilai atau moral positif di dalam karya mereka supaya pembaca muda dapat tempiasnya. Walaupun secara tidak langsung.

Saya tahu menulis ada sesuatu kerja yang bukan mudah sama sekali. Tetapi pada saya janganlah sampai menulis karya tidak bermoral kerana di akhirat kita akan dipersoalkan tentangnya.

Karya novel ialah hiburan semata-mata. Janganlah sampai ia menjadi punca dosa kita. Nauzubillah.

– Penny

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit