Nukilan Untuk Natrah

As salamu’alaikum semua pembaca IIUM Confession. Selamat Hari Raya.

Nukilan saya hari ini adalah untuk memberi respond kepada kisah MAK YANG PILIH KASIH, (https://iiumc.com/mak-yang-pilih-kasih/).

Saya tak tahu, sama ada apa yang saya nukilkan di sini untuk sama-sama berkongsi rasa atau sebagai buah pandangan untuk Natrah – MAK YANG PILIH KASIH.

Kisah saya, tidak lah hampir serupa dengan perjalanan hidup saudari Natrah. Yang hampir sama ialah kami membesar dalam keadaan tidak tahu kenapa ibu kandung sendiri menyisihkan anak yang pernah ia susah payah lahirkan dahulu.

Untungnya saya, ibu tidak sampai mendera fizikal dan mental secara melampaui batas. Cuma, sedihnya kenapa saya sentiasa rasa disisih…

Ibu bukan tidak pernah melayan saya dengan baik. Seingat saya, kali terakhir dia memberi perhatian pada saya adalah ketika saya ketakutan semasa pulang mengikut kakak dari kedai.

Ketika itu, saya dalam umur 3 – 4 tahun. Mungkin ada yang tertanya, betulkan saya masih ingat kejadian seawal umur 3 tahun? Ya, saya masih ingat.

Tetapi itu bukan yang paling awal. Malah saya boleh ingat beberapa peristiwa ketika saya (mungkin) berumur setahun lebih ke 2 tahun (peristiwa yang saya ingat itu, telah disahkan sendiri oleh ibu saya apabila ditanya semasa saya telahpun dewasa).

Bahkan, saya boleh melakar semula kedudukan beberapa bangunan yang ada di sekitar rumah saya ketika itu, walhal kami berpindah ke tempat lain semasa saya berumur 4 tahun lebih. Saya ni dah berkali-kali pindah.

Entah kenapa, semakin usia saya meningkat (sejak pindah), ibu seperti semakin hari tidak dapat menerima saya seperti dulu. Ibu semakin dingin terhadap saya.

Saya juga kerap dimarah walaupun tentang perkara-perkara kecil sahaja. Saya bukan seorang kanak-kanak yang lasak. Saya memang seorang pendiam dari kecil lagi.

Sebenarnya, bukan saya sahaja perasaan perbezaan sikap ibu terhadap saya. Orang lain pun ada yang perasan. Tetapi, ada yang menyangka kerana mungkin saya jelous pada adik yang jarak usianya dari saya hampir 5 tahun.

Hakikatnya, tidak sedikit pun saya ada perasaan jelous. Cuma, keadaan sering menyebabkan saya disangka jelous.

Pernah ketika mendengar perbualan antara ibu dan rakan-rakannya yang merancang untuk ke suatu tempat, saya dilanggar bahu oleh seorang budak lelaki yang badannya sangat pejal (tidak gemuk, tetapi apabila terselisih bahu semasa dia sedang berlari, sakitnya memang tak terkata).

Serta merta saya menangis sambil memegang lengan kanan. Tapi, tangisan saya itu pula disalah ertikan sebagai tanda jelous sebab ketika itu jugalah ibu mengatakan dia merancang untuk membawa adik.

Itu cuma sekadar satu contoh. Banyak lagi salah faham lain yang terjadi. Tapi, saya lebih banyak mendiamkan diri atau sekadar menangis sahaja

Kalau nak dikatakan saya jelous, saya sebenarnya lebih jelous pada kakak. Kakak umpama anak emas ibu. Adik pula kecil sangat lagi. Biasalah ibu-ibu akan beri perhatian lebih seperti menguruskan keperluan anak kecil dan menemaninya. Tetapi, layanan kepada kakak sangat berbeza.

Sedangkan usia saya dengan kakak hanya berjarak 1 tahun lebih sahaja. Kakak sudahpun bersekolah ketika itu. Apa-apa sahaja, ibu akan layan sembang dengan kakak, tetapi tidak dengan saya.

Kakak boleh mengadu atau bercerita apa sahaja dengan ibu, tanpa ibu merendah-rendahkannya atau mengabaikannya. Ini sebenarnya yang lebih banyak menghantui perasaan saya ketika itu. Kenapa ada perbezaan?

Adakah kerana cerita-cerita kakak lebih menyeronokkan dari saya? Adakah kerana luahan perasaan kakak tentang apa yang berlaku di sekelilingnya lebih menyedihkan dari saya?

Kenapa kakak sahaja yang ibu akan tatap matanya semasa dia sedang bercerita dan mengadu? Adakah perkara yang saya perkatakan padanya sangat membosankan dan tidak penting satu pun.

Saya memang sangat terasa perbezaan layanan ibu. Sehingga saya terfikir hakikat bahawa apa sahaja kesusahan yang saya alami di luar tidak terbanding dengan kesusahan saya mendapat perhatian ibu.

(Mungkin sejak itu, saya tak rasa cabaran di sekeliling saya begitu besar. Sebab, ada yang lebih besar dari itu, iaitu di rumah saya sendiri).

Akhirnya, saya tidak fikir saya punya sesuatu yang boleh diadukan pada sesiapa kerana, kesusahan saya hanya SATU. Iaitu, susahnya saya nak dapatkan kemesraan dari ibu, sedangkan tak patut pula saya adukan hal itu pada orang lain termasuk pada ayah.

Saya tak tahu, pada siapa saya patut luahkan segala perasaan yang terbuku di hati.

Sebenarnya dari kecil, saya memang sangat rapat dengan ayah. Tapi, tak mungkin saya adukan kedinginan sikap ibu terhadap saya. Saya tak mahu, ayah marahkan ibu kerana saya.

Namun, suatu hari terlepas juga satu kejadian. Ketika itu, ayah telah pun pergi kerja dari awal pagi. Tiba-tiba ibu marahkan saya sedangkan kesalahan itu dilakukan oleh kakak.

Saya menangis perlahan-lahan sambil berdiri kaku memandang lantai. Tiba-tiba ayah masuk ke rumah dan terus ternampak keadaan saya ketika itu.

Asalnya, saya tidak berniat pun untuk ceritakan apa yang berlaku. Tetapi setelah dipujuk beberapa kali, saya terangkan sedikit tentang apa yang berlaku.

Ayah memang sangat marah, tetapi tidak lah sampai berlaku pertengkaran kerana ibu hanya mendiamkan diri. Keadaan itu menyebabkan ibu semakin marah pada saya, tetapi hanya diluahkan selepas ayah kembali semula ke tempat kerja.

“Ooo… dah pandai mengadu ya!” Tapi, itulah aduan saya yang pertama dan juga terakhir hingga kini.

Tahukan pembaca semua, kejadian-kejadian itu, semuanya berlaku sebelum saya menjejakkan kaki ke alam sekolah rendah lagi.

Dalam usia seawal itu jugalah, macam-macam yang saya fikirkan. Saya sering tertanya kenapa. Kenapa ibu layan saya seperti ini? Kenapa ibu boleh layan kakak dengan baik, tetapi tidak pada saya?

Kenapa kakak boleh mengadu apa sahaja, tetapi saya tidak? Apa sikap saya yang membuatkan ibu tidak suka pada saya? Adakah saya ni anak angkat? Jika kerana sikap saya sendiri, kenapa ketika saya tidak melakukan apa-apa kesalahan pun, ibu tetap tidak sukakan saya?

Ketika itu, saya sering menganggap, jawapan-jawapan kepada persoalan saya adalah kerana sikap saya sendiri yang tidak serupa dengan kakak. Itulah andaian saya saat saya berusia antara 6 – 7 tahun.

Lalu, pernah satu ketika, saya berlatih hampir seminggu lebih di hadapan cermin untuk meniru gaya kakak berbual dan mengadu pada ibu.

Berkali-kali saya fikir, apa perkaya yang sesuai untuk saya adukan pada ibu. Saya taknak pilih isu-isu terlalu besar dan berat, mahupun, yang terlalu remeh-temeh.

Tapi, apalah sangat pemikiran kanak-kanak seusia itu, kan? Saya juga perhatikan keadaan dia dan cuba memahami waktu-waktu yang sesuai untuk melaksanakan impian saya itu.

Saya tak nak pilih ketika dia kepenatan, muram, sedang sibuk membuat tugasan rumah. Dari situ saya belajar, waktu-waktu santai ibu dan juga ayah, yang sesuai digunakan untuk menyuarakan sesuatu.

(Kakak selalu hairan, macam mana saya boleh tahu waktu sesuai untuk minta duit dari ayah atau beritahu apa-apa masalah penting, hahahaha…).

Saya fikir, saya mula belajar memahami perkara ini bermula dari saat saya cuba belajar memahami situasi ibu untuk rancangan saya itu.

Malangnya saya, impian saya berkecai!! Ibu tetap meremehkan saya, walaupun saya cuba sedaya mungkin meniru gaya kakak dan mencari situasi-situasi sesuai untuk saya jalankan rancangan saya itu (dah besar, baru saya sedar yang saya memang tak ada bakat meniru gaya sesiapa pun, hahahaha…)

Apabila saya mulai masuk ke alam persekolahan, saya mula mengenal tuhan dan Islam dalam erti yang sebenar. Ibu ayah bukanlah orang yang tidak beragama. Ayah sendiri sering mengajar saya pelbagai surah dan ibu pun pernah mengajar saya mengaji mukhaddam. Mereka jarang-jarang sangat solat.

Setahun entah berapa kali sahaja. Cuma setiap kali jumaat, ayah memang pergi solat jumaat seperti orang lain. Walaupun begitu, saya tahu, mereka bukan termasuk orang-orang yang menolak agama atau mempertikaikannya. Mereka cuma sangat kurang mengamalkannya.

Saya mulai belajar mengadu pada ALLAH, menangis sambil membaca al-qur’an dan solat. Tetapi, semua itu hanya saya lakukan apabila saya menghadapi masalah dengan ibu.

Yang menyedihkan, semakin saya meningkat remaja, semakin dingin ibu terhadap saya. Saya mulai rasa tertekan sehingga pernah berniat membunuh diri.

Saya pernah merancang membunuh diri menggunakan pisau ketika ibu dan adik-adik sedang tidur tengahari. Namun, puas saya cari sekitar dapur, sebilah pisau pun saya tak jumpa.

Lalu disebabkan rasa terlalu tertekan, saya mengadu pada ALLAH sambil saya terus-terusan membaca al-qur’an dalam keadaan menangis.

Akhirnya saya tertidur di atas al-qur’an itu sendiri. Dalam mimpi, saya seolah-olah dibawa ke sebuah taman yang sangat cantik dengan suasana cahaya alam yang sangat mendamaikan.

Apabila saya terjaga, saya tidak lagi berniat meneruskan rancangan bunuh diri tu. Saya sedar, ALLAH sangat sayangkan saya dan DIA mendengar segala keluh kesah saya selama ini. Saya Cuma perlu bersabar.

Tak disangka-sangka selepas itu, apabila ke dapur, beberapa bilah pisah tersusun kemas di tempat asalnya seperti tidak pernah dialihkan oleh sesiapa. Ibu dan adik-adik pun masih tidur tidak berganjak daripada sebelumnya.

Hampir 20 tahun, keadaan itu berterusan dan saya masih tidak tahu apakah sebabnya. Hingga room mate saya di universiti pun boleh mengagak kedinginan sikap ibu terhadap saya.

Jika orang lain, setiap kali start cuti semester, ibu-ibu mereka lah yang bersusah payah menapak dalam kepayahan ke bilik-bilik asrama mereka.

Tetapi saya tidak. Tidak pernah sekali pun ibu turun menjemput saya, walhal dia ada sahaja di dalam kereta menunggu ayah yang susah payah ke bilik saya. Pernah sekali saya lihat ayah datang ke bilik dalam keadaan mata merah.

Rupa-rupanya dia tengah demam teruk. Room mate pula tanya, kenapa ibu awak dalam kereta sedangkan ayah tengah demam? Saya tak tahu nak kata apa. Tapi, saya tahu, mereka memang tahu sesuatu.

Sehinggalah suatu hari, salah seorang room mate saya pesan “jangan sekali-kali kita benci ibu sendiri. Kelak nanti, anak sendiri akan bencikan kita”. Saya tidak pernah pun membenci dia. Saya cuma ingin tahu, kenapa dia buat begini pada saya.

Seiring saya meningkat dewasa, saya baru perasan ayah sering bercerita tentang kisah seseorang yang dibenci oleh ibunya sendiri.

Semua kisah-kisah tu, asalnya bercampur-baur dan kurang saya fahami. Sebab ayah tidak ceritakan pada kami anak-anak, tetapi menceritakannya kepada orang lain yang dia rapat.

Lama kelamaan, barulah saya sedar, ia adalah kisah hidup ibu yang disisihkan ibunya sendiri akibat perceraian kedua orang tuanya semasa ia masih kecil (bayi).

Walaupun dihujani dengan fitnah tentang betapa buruknya sikap nenek, sebenarnya ibu saya sentiasa menyimpan keinginan untuk bertemu empat mata dengan ibu yang pernah melahirkannya dulu.

Tidak pernah sekalipun, dia dapat bersua dengan ibunya sehinggalah dia berkahwin dengan ayah.

Bertahun-tahun, ayah berusaha mencari ibu mertuanya itu sehingga satu ketika, ayah berjaya menjejaki rumahnya. Dengan perasaan berbunga-bunga, ibu saya datang menghulurkan tangan secara perlahan-lahan ke arah nenek. Namun, nenek berpaling menjauhkan diri.

Bayangkan perasaan ibu ketika itu yang menaruh harapan lebih 20 tahun untuk bertemu dan mendakap ibu kandungnya, namun berkecai sekelip mata. Rupa-rupanya sejak itulah ibu membenci nenek.

Mengingatkan kembali kata-kata rakan tentang jangan membenci ibu sendiri, saya fikir, saya perlu buat sesuatu untuk membetulkan perasaan ibu selama ini. Dengan bantuan kakak, kami berjaya pulihkan perasaan ibu dan memecah segala fitnah dan cuba memahamkan ibu tentang situasi nenek ketika itu.

Hanya dengan bacaan Yassin. Kakak pujuk ibu bacakan yassin buat arwah nenek demi diri kakak (kalau demi saya atau dirinya, memang tak mungkin, dia nak).

Akhirnya, ibu suarakan perasaan rindunya pada arwah nenek dan bermula dari situlah juga, saya perasan, hubungan ibu dengan saya bertambah pullih. Ia jadi dengan sendirinya.

Sebelum rancangan tu, saya sebenarnya pernah berdoa, jika diberi peluang sikap ibu berubah terhadap saya. Takkan sekalipun saya bertanya pada dia, kenapa dia bencikan saya sejak kecil. Biarlah ia berlalu seolah-olah tidak pernah terjadi apa-apa yang buruk antara kami.

Tak sangka, semua persoalan saya selama ini terjawab sudah. Semua belenggu yang menyelubungi saya selama ini juga terlerai. Saya syukur sangat-sangat.

Dan saya memang tunaikan niat saya itu hingga kini. Ibu pun tak pernah mengatakan apa-apa tentangnya sedikit pun, walaupun kini dia sudah boleh berkongsi masalah dengan saya dari hal-hal yang dulu hingga sekarang.

Buat Natrah… mungkin awak perlu banyak berdoa dan mohon petunjuk dari ALLAH. Saya doakan, masalah ini akan terlerai juga nanti.

Kita mungkin masih tidak tahu punca dan apa perasaan ibu awak yang sebenar sehingga mendorong dia bersikap begitu. Carilah puncanya dan fahamilah keadaannya. Mungkin dari situ, awak akan jumpa cara untuk menyelesaikannya.

Kepada pembaca IIUM Confession, maaf, kisah saya sangat panjang. Saya tak pandai lukis.

– Lin (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *