Assalamualaikuum semua. Pernah tak dengar pasal obsessive love dissorder?
Aku tak pandai mengarang. Maaf andai cerita aku memeningkan. Tapi aku betul-betul mengharap kan pandangan kalian.
Aku di awal 30an. Ada suami dan dua anak lelaki. Aku ada ayah yang seakan menghidap bipolar disorder. Memiliki dua karakter berbeza.
Tapi kata ayah, ini mungkin kerana saka. Yang pasti aku tahu ayah pernah refer doktor psikiatri, mungkin dia cuba menafikan. Entah.
Berbalik cerita diri aku. Aku bercinta dengan suami ketika sekolah menengah. Aku terlalu cintakan dia hingga kan dunia aku cuma ada dia.
Keluarga cuma pada aku merimaskan.
Selepas tamat sekolah, aku berpindah ke negeri lain ikut makayah, 450km jauh dari dia.
Sepanjang hubungan jarak jauh, bermacam-macam situasi berlaku. Dia curang entah berapa kali. Dan setiap kali berlaku tu, dada aku sesak yang teramat sangat. Sampai ada masa, aku akan melukakan diri aku sendiri.
Ending nya aku tetap beri peluang lagi dan lagi. Masa berlalu hingga lah 9 tahun hubungan, aku memaksa dia untuk berkahwin. Dan segala perbelanjaan ditanggung oleh aku sepenuhnya. Walaupun dia takda income tetap, aku tetap nak kahwin dengan dia.
Sekarang perkahwinan hampir 7 tahun. Alhamdulillah dia dah ada income yang stabil. Sikap curang dia yang dulu pun dah ditinggalkan.
Cuma apa yang memberi kesan dalam diri aku, aku membenci sesiapa pun yang miliki nama sama dengan perempuan-perempuan yang dia pernah curangi dulu.
Bahkan muka yang seakan pun, hati aku dah sakit. Kesan tu jugak membuatkn aku ada masalah ‘Trust Issues’ dengan suami.
Sejak-sejak ni ada berlaku satu situasi yang membuatkan aku terasa bodoh dan marah dengan diri sendiri. Aku ada kawan(Mimi) dimana kakak dia(Mila) dalam proses menuntut fasakh. Dia ada anak lelaki dan perempuan.
Anak aku suka berkawan dengan anak dia. Mila ni baik, lemahlembut, suka kanak-kanak. Entah kenapa aku suka kan dia. Mungkin aku mula simpati dan kesian dari cerita masalah rumahtangga dia.
Walaupun aku ada kisah hitam yang dulu, tapi aku tak membenci poligami.Entah kenapa tiba-tiba aku terfikir nak jadikan dia madu aku. Sebab karakter dia menarik sebagai madu dan isteri yang baik.
Ada satu masa tu kami bercuti beramai-ramai. Mimi suami-isteri. Mila dan anak2. Sedara Mimi, Sarah satu keluarga. Dan aku satu keluarga.
Sepanjang bercuti tu aku, Mimi, Mila dan Sarah spend time bagai kan bestfriend forever. Masa ni lah aku terfikir idea bodoh untuk jadikan dia madu aku.
Dalam kereta perjalanan balik tu, aku ceritakan kat suami aku idea bodoh ni. Surprisingly, suami aku okay je. Dia terima.
Aku pelik jugak sebab Mila takda la berpewatakan mengiurkan. Biasa-biasa je. Beza jugak lah banding penampilan dia dengan aku. Rupa nya ada cerita dibelakang aku….
Sebelum berangkat balik, ada satu kejadian ni dimana ramai cirit birit dan pening ketika bercuti. Ketika tu kami sewa homestay lagi sebelum balik ke rumah masing-masing.
Hari nak checkout keluar, aku tiba-tiba pening kepala. Suami aku ambikkan air kat dapur.Aku perasan dia macam terdiam selepas masuk bilik. Aku malas nak tanya sebab kepala aku sakit sangat.
Dalam perjalanan balik tu lah dia baru nak cerita itu pun selepas aku usulkan idea bodoh untuk bermadu tu. Ikutkan dia tak cerita apa pun pasal ni. Bila aku cerita pasal idea nak madukan Mila, baru dia nak cerita.
Dia kata Mila ada pegang tangan dia dan urut belakang badan dia sewaktu ambik air di dapur untuk aku. Katanya konon untuk ajar cara mengurut aku nanti. Aku terdiam. Berderau darah dan jantung aku.
Tapi aku masih buat biasa dan sambung cerita idea bermadu tu. Suami aku pulak dah macam suka bukan main. Yelah ada chance kahwin lagi.
Dalam perjalanan tu, ada beberapa kali kami berhenti R&R. Ketika tu lah hati aku terasa mencucuk-cucuk bila nampak suami dan Mila berborak mesra depan aku.
Masa tu pulak suami tengah cirit birit. Mila bukan main lagi tunjukkan prihatin ambik berat, dia bagi minyak angin kat suami.
Ada masa, Mila pegang lagi lengan suami dibelakang pandangan aku(suami cerita). Masa ni aku rasa bodoh sangat. Bagai ditipu dengan diri sendiri. Mila yang nampak baik sebelum ni, terus dibayangi watak perempuan tak baik di fikiran aku.
Aku dah mula takut. Aku fikir disebabkan aku buka cerita pasal idea bermadu tu lah baru suami nak terbuka cerita dipegang Mila. Kalau tak, mungkin aku tak tahu apa-apa. Sebab suami sedia tahu sikap cemburu buta aku waktu dulu.
Fikiran aku mula kacau. Dalam kereta, aku luahkan yang aku tak jadi nak teruskan idea bodoh tu memandangkan suami dan Mila dah berlaku tak jujur dengan aku.
Bodoh alasan ni kan?. Tapi aku rasa macam jijik pulak belum apa2 lagi, tahu-tahu dah bersentuh-sentuh belakang aku.
Suami pulak macam tak boleh terima aku batalkan niat bermadu tu. Dia masih lagi sebut-sebut idea tu. Sepanjang 8-10jam perjalanan tu, aku terasa lama sangat nak sampai rumah.
Bila hampir sampai ke rumah, kami bergaduh. Tapi hubungan aku dan Mila sama mesra macam biasa. Aku tak boleh putuskan hubgan ni bila anak-anak aku dah selesa dengan dia.
Ada satu hari tu, tengah berborak pasal Mimi dan Mila, tibq-tiba suami cakap kesian Mila (yelah takda suami kat sisi,suami dia ada perempuan lain dan taknak ceraikan dia). Hati aku sakit. Panic attack aku datang. Dada aku sesak, badan aku menggigil. Nafas mula terasa berat.
Nampak aku menangis, suami minta maaf. Bila dah reda, Aku warning jangan sebut lagi. Cukup sampai harini dan anggap idea tu dah habis sampai sini. Takkan berulang lagi. Tapi…
Baru-baru ni, Mila buat birthday party anak dia. Mimi dan Sarah sekeluarga ada sekali. Aku sekeluarga datang memandangkan birthday anak aku selang sehari dengan anak dia. Kami lepak sampai ke tengah malam. Anak-anak dah mengantuk,aku mintak izin untuk balik.
Ketika perjalanan balik, suami mengusik tiba-tiba. Kata lepas hantar aku dan anak2 ni dia nak balik rumah sana pulak(seakan bunyi balik rumah madu). Emosi aku mula berubah. Aku tahan tak bagi pergi walaupun tahu dia bergurau.
Memang tiap malam suami aku akan lepak malam hingga ke pagi dengan suami Mimi memandangkan dorang memang berkawan rapat.
Walaupun dihalang, suami aku terus jugak nak ke rumah tu semula memandangkan suami Mimi dan kawan lelaki yang lain tengah tunggu di rumah tu. Hati aku sakit sangat masa ni.
Situasi ni membuatkan aku mengingatkan kejadian dulu. Aku asyik overthinking kalau ada perkara-perkara buruk yang berlaku kat sana.
Sampai aku tak boleh tidur lena.
Bila dah pagi, suami aku tak balik lagi. Call tak berangkat. Dah tengahari pun sama tak balik.
Aku dah mula menangis. Dada dah berdebar-debar. Aku call Mimi, rupanya suami tidur dirumah Mimi. Hati aku sakit sampai aku mula terasa nak melukakan diri sendiri.
Aku menangis teruk macam teringat-ingat kisah lama tu bagaikan baru berlaku. Dah 2petang baru lah dia angkat call, dalam keadaan dada berdebar, aku tertengking dia. Kat sini dah mula jadi punca kami bergaduh.
Aku dah mula terasa yang aku perlu mengawal gerak geri suami aku. Macam dulu. Sejak kes Mila tu Aku sakit hati bila suami terpandang perempuan lain.
Dia terpandang perempuan lalu pun hati aku sakit. Aku jeles bila dia sebut nama Mila walau pun sekadar bercakap secara umum. Perasaan ni sama seperti kejadian dia pernah curang dulu.Sakit yang sama. Kali ni dikira curang jugak ke dia?
Aku cuba cari apa simptom perasaan aku ni. Aku dah penat. Hidup aku tak tenang bagai kan tak pernah bahagia. Bila mencari, rupanya aku ada simptom obsessive love dissorder. Dimana aku obses dengan suami sendiri akibat dari sayang yang berlebihan dan aku cuba mengawal dia.
Cemburu yang menggila. Pernah tak baca kisah suami kerat leher isteri yang curang? Aku bagai memahami perasaan si suami tu. Sangat lah sakit hati ni.
Aku tahu ni mental health problem. Tapi aku tak tahu nak refer mana, nak berubat macam mana. Nak diadukan pon tak tahu dengan siapa.
Yang aku sedar, aku jugak ada anxiety & panic attack walau belum di diagnose oleh pakar, aku terasa terbeban dengan sakit ni.
Aku tersangat sayangkan suami aku sehinggakan aku obses kan dia. Ada tak yang mengalami masalah macam aku? Apa step pertama aku perlu buat?
Bila datang cemburu menggila tu, macam-macam overthinking datang bila suami takda disisi aku. Dada aku sesak. Nafas aku tercungap.
Menangis pun tak dapat menenangkan aku. Aku mula rasa nak mengamuk. Aku rasa nak bunuh diri.
Tolong lah aku,
– Anna Bella (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit