Oh Ibu

Hi semua, aku seorang wanita telah berkahwin dan kini ibu kepada dua cahaya mata. Berusia 30an. Masih mempunyai seorang ibu, namun ayah telah meninggal dunia sejak hampir 10 tahun daripada kami adik beradik bujang lagi.

Masalah yang aku hadapi mungkin tak lah besar. Cuma tiada tempat meluah dan sering pendam menyebabkan aku rasa makin lama, makin terbeban.

Adik beradik ku ada empat orang semuanya perempuan dan telah berkahwin. Ibu tinggal di rumah dengan adik bongsu dan suami si adik. Tapi suaminya kerja off shore jadi berapa bulan biasa tak balik rumah.

Masalahku adalah sikap ibu yang suka mengatur anak-anak sejak kematian ayah. Kalau dulu selalu harapkan arwah ayah yang menemani dan melayani kerenah ibu, tapi sejak ayah meninggal, segala urusan diharapkan pada anak.

Tapi ia memberi sedikit masalah pada kami adalah permintaan ibu yang membebankan kami dan adakalanya terpaksa membelakangkan suami.

Ibu suka merancang pelbagai perkara contoh masak berlebihan dengan harapan aku akan datang ke rumahnya. Memang rumah kami tak jauh tapi lebih 40km juga. Bila datang sana, ibu akan pujuk suruh tidur.

Yang buat aku tak selesa adalah, aku ada suami dan anak-anak yang perlu diuruskan. Ada rumahtangga yang perlu dijaga, mana mungkin semudah itu aku nak datang ke rumah ibu asbab dia dah masak banyak dan itu adalah lauk kegemaranku.

Baju di rumah bukan boleh cuci sendiri, pinggan mangkuk di sinki bukan terbasuh dengan sendiri. Uruskan anak-anak yang masih belum bersekolah tentu lebih memenatkan aku sebagai suri rumah.

Dan 1 hal lagi, kereta di rumah adalah milik suamiku. Tapi ibu suka desak atau terus atur untuk aku datang tidur di rumahnya pada hari itu.

Nanti keluar ayat mudah ibu “Alah, Azlan (menantunya) tak kisah,” “Tak apa, nanti ibu cakap dengan Norman (menantu) dia mesti bagi.” Walhal mana boleh begitu, kami adalah isteri yang mempunyai suami untuk minta izin.

Contoh lain adalah, ibu mengajakku pergi ke rumah kakak yang terletak lebih kurang 200km untuk berjalan dan tidur di sana. Kakakku memang tak kisah sebab tahu ibu nak datang mestilah dia suka.

Masalahnya ibu meminta anak-anak lain untuk hantar dan ikut sekali. Aku kadang rasa berat hati takkan nak tinggal suami seorang diri beberapa hari. Dan ibu pulak bukan bertanya boleh atau tak, dia terus merancang dan ajak.

Nanti bila aku kata tak boleh sebab suami aku cuti minggu ni (suami ku kerja shift so jarang cuti weekend), nanti ibu balas “Oh, mudahlah boleh ajak suami kau sekali”.

Masalahnya bukan suami ada atau tak, pada aku common sense, kenalah berbincang, bagi aku ruang untuk tanya suami dulu atau ambil tahu keadaan aku sesuai ke tak?

Suami ku memang setiap hari balik rumah, tapi masa kerjanya siang atau malam tak menentu, dengan jadual kerja yang setiap hari akan di update dari semasa ke semasa.

Maksudnya tugasan kerja suamiku untuk seminggu tu memang kami tak akan tau. Setiap petang baru suami akan dapat makluman shift kerjanya esok. Jadi keadaan itu menyebabkan kami susah nak rancang berjalan, mengemas rumah bersama (deep clean).

Tapi masa suami kerja, masa tu lah ibu desak aku datang rumahnya. Rumah kami bukan sekampung, jadi tak mudah untuk aku tiba-tiba berkunjung lepak di rumah ibu.

Macam aku kata, kereta milik suamiku, minyak dia bayar, jadi tak wajar kalau aku terus guna pergi sana-sini. Kena lah minta izin kan?

Anakku pula boleh dikatakan sangat lasak. Yang sulung lelaki berusia 4 tahun suka buat perangai bila diajak salin pampers, ajak mandi, masa tu lah dia menyorok, berlari, sakat kita, penat aku nak kejar, nak paksa dia.

Mana-mana pergi aku akan uruskan anak-anak seorang diri, ibu pun tak bantu. Kalau ada suami, barulah dia yang urus salin anak sebab tau kekuatan aku terbatas nak angkat anak masuk toilet.

Jadi, bila ibu suka aturkan itu ini buat aku rasa lemah. Sebenarnya bukan takat isu ke rumah dia, ibu pun suka ajak ke rumah adik-beradik lain; saudara mara; ajak pergi berjalan sana sini, tu semua ibu akan aturkan aku bawa dia. Walhal tak penting pun.

Contoh rumah kakak ibu (makcik aku) dikunjungi kakaknya yang lain, so bila ibu tau, ibu mesti nak join. Aku bukan duduk serumah dengan ibu, rumah aku ke rumah ibu ambil masa 40 minit perjalanan. Nanti ibu pandai-pandai rancang dengan kakak dia nak datang sana dan suruh aku hantarkan.

Aku bagitau kenalah tanya suami dulu, nanti jawapan ibu macam biasa “Alah laki kau mesti bagi.” Ya memang suami akan izin, cuma aku rasa tak suka ibu terus plan dan atur anak semudah tu.

Macam aku cakap, bila kat tempat lain tanpa suami, aku yang terpaksa urus anakku sendiri. Nanti dia main barang hiasan rumah orang, panjat tangga, masuk bilik macam-macam lagi. Aku penat kalau hadap anak seorang diri kat rumah orang sebab dia suka explore.

Tapi ibu tak kisah semua tu, dia hanya berbual sampailah cukup masa berapa jam baru dia balik. Tapi bukan kejap ya, kalau datang lepas zohor, nanti dia akan stay sampai isyak. Aku kadang rasa nak nangis sebab stress sangat hadap anak-anak sepanjang hari dekat rumah orang.

Situasi sekarang pula aku ada baby berusia 3bulan, next week ada majlis kahwin anak angkat ibu yang kami semua memang rapat pun. Ibu dah rancang aku akan bawa dia kalau belum bersalin.

Aku bagitau kalau suami kerja aku tak dapat pergi. Mustahil untuk aku nak drive ke majlis kahwin terletak 200km dari rumah dengan aku sorang nak melayan anak-anak. Baby fully breastfeeding.

Tapi ibu asyik cakap boleh, nanti dia tolong. Walhal ibu bukan pandai drive. Bukan setakat tolong salin pampers, tapi aku perlu urus anak nak menyusu. Aku kena berhenti R&R ke setiap kali nak susu anak? Kalau susah macam tu, aku tak rasa aku patut pergi majlis kahwin tu.

Sebelum ni pernah jadi isu sama aku hamil 38 minggu, dan ibu insist nak aku bawak dia ke majlis kahwin kawannya. Ayat ibu memang mudah “kalau nak beranak contraction datang sikit-sikit bukan terus keluar”.

Tapi aku bagitau ibu takkan aku perlu drive dengan ibu dan anak aku sambil melayan contraction atas highway. Kalau ada suami at least dia drive dan aku layan sakit, mungkin logic lagi walaupun lokasi tu jauh dengan rumah aku.

Macam mana pula kalau highway tengah traffic jam sambil aku sakit contraction? Tapi ibu asyik cakap boleh, pergi kejap jek tak payah singgah bla bla.

Inilah antara situasi yang aku katakan ibu suka atur. Bila aku cerita kat suami, dia serba salah nak halang. Suamiku hati lembut dan jenis respect ibuku. Dia susah nak cakap tidak kalau ibu pujuk untuk gunakan aku.

Tapi aku tau dia berat hati biar aku drive sendiri. Kadang kala aku terus direct cakap ibu aku tak nak, tapi nanti ibu akan sentap.

Sebenarnya banyak lagi benda lain yang ibu selalu atur melibatkan aku. Adik bongsuku yang duduk serumah jenis rebel, kalau tak nak, dia cakap tak nak. Jadi ibu memang tak paksa dia sangat dan disebabkan itu juga mereka kerap gaduh. Dua lagi adik beradikku duduk jauh.

Aku masih layan sebab fikir taat kat ibu, kesiankan ibu, raih pahala daripada ibu. Ayat ‘berbaktilah kat ibu selagi hidup. Kita tak tahu berapa lama masa tu ada’ ni buat aku lembut hati untuk layan kehendak dia, tapi kadang kala aku rasa ‘ketaatan’ tu lah buat ibu suka rancang dan tarik aku.

Bukan aku tak nak merajakan ibu, tapi aku juga harap ada sesetengah situasi ibu faham dan hormat aku yang ada suami. Ada orang yang perlu aku utamakan, perlu taat dahulu kemudian baru ibu.

Ini tidak, dia terus rancang A-Z, pegi mana, pukul berapa, balik bila, nanti singgah sana sini sebab dia teringin nak rasa makanan kedai ni, semuanya dah siap dalam list dia, kemudian dia cerita kat aku dan yang sampai aku rasa aku takde pilihan untuk ubah. Hanya setuju atau tolak.

Aku yang baru tahu plan dia jadi terpinga-pinga dan rasa tak seronok sebab dia buat keputusan semua sendiri tapi perlu harapkan aku, walhal aku ni ada anak dan suami.

Aku tak rasa isu kesunyian sebab kat rumah ibu ada adik dan anak buahku (anak adikku). Adik pun rajin bawa ibu makan sana sini, pergi supermarket, pergi kedai emas kalau ibu nak beli. Aku sendiri setiap minggu wajib datang rumah ibu tidur selama dua atau tiga malam.

Masa di rumah ibu, nanti aku ajak ibu pergi cuba makanan viral, layan dia ke kedai sana sini stock up barang dapur ke, nanti balik tu aku ajak singgah makan pisang goreng.

Pendek kata kat rumah ibu tu aku biasa je bawa dia jalan-jalan walaupun dekat. Kalau aku takde, adik pulak rajin ajak ibu pergi lotus, pergi kedai makan.

Ibu pun ada kawan baik yang juga ibu tunggal, mereka rajin pergi jualan rahmah, pergi pasar sama-sama, pergi makan kat warung. Kadang ke rumah anak yatim, pergi kelas agama.

Entahlah, kalau korang di situasi aku apa yang korang buat? Kalau perlu tegur bagaimana nak cakap? Ni bukan soal berbakti pada ibu semata-mata, tapi kami semua dah bersuami and at the same time ada permintaan daripada si ibu.

– Bunga (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *