Assalamualaikum, saja nak share pengalaman aku. Dan membetulkan stigma yang sering kali kita dengar, “ohh bapa tiri tak bertanggungjawab, tak ambil endah tentang anak tiri dia”.
Seingat aku, mama berkahwin dengan papa tiri bila aku darjah 4, yang mana aku tak ingat sangat lah. Sebab waktu tu fikir nak main je. Tapi, dengan kehadiran papa tiri, aku ada 2 bapa!
Aku duduk dengan mama dan papa tiri. Jumpa dengan bapa kandung setiap hujung minggu. Bapa kandung aku dan keluarga bapa kandung aku sangat menentang kehadiran papa tiri aku. Mereka bertanyakan nama, layanan dia terhadap aku. Mereka sering mengingatkan aku agar jangan sayang papa tiri, dia tu orang luar, awak (aku) ada bapa lagi.
Tentang layanan papa tiri kepada mama, papa tiri seorang yang baik, sangat penyayang kepada mama, dan sering berborak kepada aku dan adik-adik. Papa tiri juga membawa mama,aku dan adik-adik yang lain bercuti. Pasal pembelajaran, dialah yang sering ambil tahu, mengajar aku subjek matematik dan bahasa inggeris.
Aku masih skeptikal akan papa tiriku dari sekolah rendah sehingga habis sekolah menengah. Manakan sama bapa kandung dengan papa tiri?
Tapi, titik permulaan aku bertukar pandangan adalah apabila bapa kandung aku meninggal dunia. Papa tiri aku yang drive kereta, bawa mama aku, dan adik-adik melihat bapa kandung dan menguruskan jenazah.
Dia peluk aku, bagi kata-kata semangat.
Dia kata, “I’ll always be there for you. You will still have me,your father. I love you so much, my daughter”
Aku membalas kata-katanya, ” i love you too”. Sedangkan selama bertahun lamanya aku tidak pernah membalasnya.
Aku sekadar diam dan senyum sahaja. Mama pula marah aku dan menyatakan bahawa papa tiriku berkecil hati apabila aku tidak membalasnya.
Aku lupa. Aku tidak matang.
Aku tidak sedar akan segala pengorbanannya, membeli rumah untuk kami sekeluarga, mengecat dinding rumah 2 tahun sekali, membaiki lampu, memberi wang saku untuk persekolahan, membantu aku dalam urusan persekolahan, menjaga mama dalam kesedihan dan kebahagiaan. Dia juga seorang yang berilmu, sering menitikberatkan hal agama dalam seharian.
Papa tiri aku juga sangat ramah dengan nenek dan atuk sebelah ibu. Tapi malang tidak berbau, kehidupan kami yang serba mewah sebelumnya bertukar arah. Kami terpaksa menjual unit rumah kami,dan menyewa rumah. Papa tiri difitnah rakan sekerjanya sehingga dia terpaksa berhenti kerja.
Namun, papa tiri seorang yang kuat, berpendirian teguh, dia kerja sementara sebagai seorang pemandu teksi, kemudian mengusahakan sebuah restoran dengan kawan baiknya. Tapi sangkaan bahawa matahari akan menyinar buat selamanya pudar apabila bapa saudara aku menghasut kawan baiknya agar dikeluarkan nama papa tiri dari menjadi pemilik restoran itu.
Papa tiri sampai demam, terkejut dengan pengkhianatan bapa saudara aku. Ya Allah, engkau menduga kerana engkau tahu bahawa hambaMu mampu.
Sekarang, kami masih tinggal di rumah sewa, cukup keperluan harian, aku di universiti dan adik-adik bersekolah menengah. Sayangnya, perkahwinan mama dan papa tiri aku tidak ada rezeki anak. Pernah sekali mama mengandung, tetapi keguguran. Kalau tidak, pastinya keluarga kami lengkap dengan si kecil. Allah lebih mengetahui.
Jangan sangka bahawa perkahwinan mama dan papa tiri bahagia sepanjang masa, kerana, mama hampir-hampir bercerai dengan papa tiri akibat ketiadaan papa tiri dalam satu jangka masa yang lama. Oh ya! Hal ini kerana mama merupakan isteri muda papa tiri, papa tiri ada isteri tua, dan anak seramai 5 orang.
Aku cuma ralat kerana mama bukan seorang isteri yang pertama, dan terakhir buat papa tiri. Kami beraya hari pertama tanpa papa tiri, berpuasa boleh dikira dengan jari berapa hari papa tiri bersama kami, dan paling penting bila aktiviti keramaian seperti majlis nikah orang akan bertanyakan kepada mama” mana laki awak?”
Dan mama akan menjawab, “dia outstation. Busy sikit”.
Aku tidak tahu berapa lama lagi dia akan hidup, tapi kalau boleh aku harap Allah panjangkan usia papa tiriku, aku tidak sanggup kehilangan seorang lagi bapa. Di saat ini, aku bersyukur akan kehadiran papa tiriku,mungkin dia kiriman Allah untuk jaga aku, mama, dan adik-adik.
Aku cuma harap suatu hari nanti keluarga bapa kandung aku dapat menerima kehadiran papa tiri aku. Aku tahu arwah bapa kandung aku mesti gembira sebab papa tiri menjaga anak-anaknya dengan sangat baik. Sering mengingatkan agar aku sedekahkan al-fatihah untuk bapa kandung aku.
Selamat berpuasa dan menunaikan ibadah!
– Cik Siti (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit