OKU Penglihatan Tak Senonoh?

Hai semua. Terima kasih aku ucapkan kepada admin IIUM Confession atas penyiaran perkongsian aku yang tak seberapa ini.

Mungkin selama ini kita biasa mendengar sisi baik golongan OKU Penglihatan / buta / penglihatan terhad. Kali ini aku kongsikan pengalaman aku sepanjang bergaul bersama mereka melalui aktiviti sukarelawan dan aktiviti sampingan.

Perkongsian aku ini aku harapkan dapat membuka mata kita golongan celik mengenai budaya dunia mereka yang tidak mungkin dapat difahami secara teori semata-mata.

Untuk memudahkan penceritaan, aku nyatakan mereka sebagai OKU Penglihatan la ya.

1. Tidak semua OKU Penglihatan itu buta sepenuhnya.

Bila kita bahaskan mengenai OKU Penglihatan, akan ada dua kategori masalah penglihatan iaitu buta sepenuhnya dan penglihatan terhad (low-vision).

Jadi tak perlu kita rasa pelik kalau dari bentuk fizikal mata nampak elok macam boleh melihat, tapi saraf dalaman mata yang rosak.

Selalunya mereka akan ada kad OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Tapi hati-hati juga dengan orang celik yang menyamar buta. Doakan jer agar si celik tu betul-betul buta kalau dia nak sangat menyamar.

2. OKU Penglihatan lembap & terencat akal?

Tak semua OKU Penglihatan ni tahap IQ & emosi mereka ni normal. Memang akan ada antara mereka yang pendek akal, mengadu domba, fitnah sana sini, mementingkan diri-sendiri, dan macam-macam lagilah.

Aku selalu dengar persepsi masyarakat sering mengungkapkan OKU Penglihatan ni terang hati.

Tapi hakikatnya tak semua OKU Penglihatan diberi kelebihan macam tu sebenarnya. Jadi jangan rasa pelik kalau ada terjumpa dalam kalangan mereka yang macam lembap / tak berapa aktif atau berperangai entah apa-apa.

Perkara ni kita boleh perhatikan dari segi perwatakan dan tutur kata yang diguna. Selalunya mereka ni akan cepat melenting bila ditegur atau diberi nasihat. Ada juga yang berlagak bodoh sombong entah apa-apa.

3. OKU Penglihatan kaki fitnah?

Sepanjang aku bergaul dengan mereka, mulut mereka ni boleh tahan juga kalau bab mereka-reka cerita dan menabur fitnah. Terutamanya kalau dah dengki bila tengok orang lain maju ke depan.

Ada juga yang jenis bangga diri konon-konon boleh buat itu ini. Tapi hakikatnya langsung tak pandai buat kerja satu apa pun.

Aku sendiri pernah difitnah OKU Penglihatan yang aku tolong bawa dia jalan ke hulu ke hilir. Siap tuduh aku makan duit dia la, curi barang dia la, guna barang dia tanpa izin la, tak hormat OKU la, dan lain-lain.

Tu belum lagi disebarkan fitnah mengata aku perempuan murahan, perempuan tak tahu malu, tak sedar diri. Dah nasib badan kan….

4. OKU Penglihatan hebat di alam maya?

Kalau bab ni, memang aku tak nafikan la. Dalam group media sosial bukan main cakap macam tu macam ni. Aku boleh itu, aku boleh ini.

Siap boleh lakonkan watak suci murni bersih mulia dalam alam maya hingga ada yang percaya penuh dengan drama mereka ni. Ayat pickup line cair meleleh-leleh hingga semut pun boleh dapat kencing manis.

Tapi sayang lakonan mereka ni tak pernah dapat anugerah seni lakonan terbaik bagi kategori OKU Penglihatan Alam Maya.

5. OKU Penglihatan suka ambil kesempatan meraba?

Dalam hal ni memang kita perlu berjaga-jaga masa berada dalam kelompok mereka.

Aku bukan nak cop semua OKU Penglihatan ni perangai tak senonoh macam tu, tapi lebih baik kita berwaspada lebih awal. Lelaki ke perempuan ke sama jer. Kadang-kadang mereka sengaja buat trick ‘tak sengaja’.

Pandai-pandai nilai sendiri la ya. Ada satu kes tu seorang lelaki buta ni sengaja jalan ke arah aku walaupun aku dah warning aku ada di tempat tu. Padahal dia boleh elak pun sebenarnya tapi sengaja nak langgar aku.

Aku pernah tengok dengan mata aku sendiri ada kes si lelaki buta ni sengaja langgar perempuan buta lepas tu siap meraba bahagian dada perempuan tu tapi mulut tak henti cakap ‘Maaf tak sengaja… Sorry tak sengaja…’.

6. OKU Penglihatan minta simpati?

Yang ni pun satu hal aku perasan. Kadang-kadang mereka sengaja ambil kesempatan minta simpati supaya orang celik buat itu, buat ini untuk mereka.

Ada juga sengaja nak semua urusan tu bayaran percuma. Tambang percuma. Beli itu ini nak percuma.

Lepas tu bagi alasan ‘Kau tak apalah sebab kau masih nampak. Aku ni buta.’. Tu belum lagi kalau jumpa yang jenis pentingkan diri-sendiri langsung tak berterima kasih atas pertolongan yang kita bagi.

Tapi macam aku selalu kata, pandai-pandai kita menilai OKU Penglihatan tu sebab tak semua perangai merapu macam ni. Semoga sedikit perkongsian aku ni mampu membina masyarakat & OKU yang lebih berkualiti.

Di kesempatan lain aku akan kongsikan ketabahan sepupu aku dalam mengaharungi cabaran hidup sebagai OKU Penglihatan yang hanya belajar setakat darjah enam.

Dan alhamdulillah sepupu aku ni bakal berkahwin dengan pasangan OKU Penglihatan yang bertanggungjawab, setia, dan jujur. Memang untung rezeki sepupu aku ni.

Semoga berjumpa lagi dalam perkongsian aku yang akan datang.

– Syarifah Shaklee (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *