Oleh Kerana Ice

Assalamualaikum nama aku Kerengge Putih (bukan nama sebenar). Tolong hide profile aku admin. Aku sangat berharap agar confession ini disiarkan agar dapat menerima bantuan dan buah fikiran dari pembaca semua. Confession aku agak panjang.

Aku ada seorang abang saudara, berusia 30 an, aku namakan dia abg am. Abg am dulu seorang yg ceria, tapi entah dimana silapnya sekarang dia terjebak dengan ketagihan dadah jenis syabu. Mungkin kerana dia hanya anak lelaki tunggal dalam keluarganya membuatkan dia agak sunyi dan tiada teman bersembang. Tambahan pula keluarganya agak berantakan sudah lama.

Pada usianya sekarang dia masih bujang. Zaman remaja abg am normal seperti org lain, selepas spm dia belajar di institut kemahiran, grad dan bekerja di Selangor untuk beberapa tahun. Mungkin salah memilih kawan dan tekanan hidup menyebabkan dia mula mengambil dadah.

Dulu semasa bekerja di Selangor, dia pernah rapat dengan seorang wanita, tapi emaknya tidak merestui hubungan tersebut. Selepas putus hubungan dengan perempuan itu dia berpindah balik ke kampung. 2 tahun Abg Am seolah-olah kemurungan. Berkurung di dalam bilik dan tidak bekerja.

Tetapi hidupnya berubah 360° apabila suatu hari dia mendapat hidayah dari Allah semasa solat Asar dirumah. Usai sahaja solat Asar tersebut, Abg Am bergegas mendapatkan emaknya, menangis teresak-esak meminta ampun atas segala dosa yang telah dia lakukan dulu. Begitu juga pada ayahnya.

Sejak dari peristiwa itu Abg Am rajin menolong emaknya berniaga di pasar malam, dan kemudian mula berjinak-jinak dengan masjid dan jemaah tabligh. Selalu juga dia ikut jemaah tabligh keluar berdakwah. Kadang dua tiga hari dia ikut. Masa tu keadaan dia sangat baik. Berubah ke arah islamik, sembahyang setiap awal waktu di masjid. Selalu dia nasihat org yg dia jumpa agar jaga solat, solat di awal waktu. Merokok pun dia dah berhenti. Ramai yang terkejut bercampur gembira dengan perubahan mendadak abg am.

Namun selepas 2 tahun berhijrah dia kembali berubah menjadi teruk. Dia mula murung dan suka menyendiri. Sentiasa berkurung dalam bilik. Keluar hanya untuk makan atau beli rokok. Kadang dia bercakap sorang-sorang, adakala dia menyumpah seranah dengan kata-kata kesat seperti ada orang yang mengganggunya. Pernah dia tiba-tiba menangis dan keluar rumah. Kitab suci Al-Quran habis dikoyak dan dicampak ke dalam tandas dan ada org kampung yang pernah lihat dia solat di kubur pada waktu malam.

Keluarganya ada bawa Abg Am berjumpa ustaz Darul Syifa’ namun tiada menampakkan perubahan. Beberapa kali rawatan tradisional yang lain pun dah dicuba. Ada juga keluarganya terfikir adakah dia ada mengamalkan ilmu sesat, namun selepas mereka berubat secara tradisional keadaannya masih juga tidak berubah.

Ketika keadaannya begitu dia telah mula mengambil dadah kembali. Keadaan abg am sekarang semakin membimbangkan, dia seperti berhalusinasi, sering bercakap sorang-sorang dan adakalanya membaling dan menghempas barang. Pinggan mangkuk habis pecah dibaling abg am ketika dia marah dan menyumpah seranah sorang-sorang. Tv di biliknya juga rosak pecah, pintu bilik air juga begitu.

Aku berfikir mungkin keadaan abg am ini akibat daripada pengambilan dadah jenis syabu. Sebab aku ada terdengar orang tuaku bercerita bahawa ayah abg am pernah terjumpa dadah dan peralatan yang digunakan untuk mengambil dadah tu dibilik Abg Am. Aku kesiankan emaknya, kerana ayah abg am baru saja setahun meninggal dunia dan mereka juga bukan orang yang senang. Emaknya sendiri takut untuk berdepan dan menjaga abg am.

Oh ya, abg am pernah dikejar polis kerana memandu kereta terlalu laju. Pihak polis menggeledah kereta Abg Am kerana mengesyaki dia di bawah pengaruh dadah. Semasa ditahan tu, abg am yg tanya kat polis tu, tuan cari ni ke? Dia yg serahkan sendiri dadah tu ke tangan polis tu. Polis tu pelik sbb sebelum ni tak pernah ada penagih yg serah sendiri dadah yang dimiliki mereka. Abg Am ditahan di lokap selama 2 minggu.

Tapi selepas ditahan reman 2 minggu, pihak AADK tak dapat ambil abg am utk ditahan di pusat kerana urin test negatif semasa ditahan.

Untuk pengetahun pembaca semua, ketika ayah abg am masih hidup, arwah telah membawa abg am ke hospital berjumpa pakar psikiatri memandangkan keadaan dia yang semakin teruk dan langsung tak menunjukkan tanda-tanda untuk berubah. Setahu aku doktor ada prescribe beberapa ubat untuk abg am salah satunya untuk bagi dia bertenang dan tak mengamuk tanpa sebab.

Keadaan agak terkawal kerana arwah yang menguruskan abg am, dan juga kerana abg am agak takut dengan ayahnya. Arwah jugalah yang akan membawa abg am ke hospital untuk follow up setiap bulan. Namun langit tak selalu cerah, arwah telah pergi meninggalkan mereka dan sekarang tiada siapa yang boleh diharapkan untuk menguruskan dan menjaga Abg Am.

Aku risaukan keluarga makcik aku kerana setiap hari ada sahaja berita buruk di surat khabar berkaitan penagih dadah yang kita dengar. Dan aku harap sangat perkara buruk tu tak berlaku pada mereka.

Aku mohon pendapat pembaca semua bagi pihak makcik dan sepupuku kerana mereka benar-benar buntu dan takut sekarang. Mereka seperti kepatahan sayap setelah pakcik aku tiada.

Aku harap ini boleh jadi salah satu bantuan yang dapat aku hulurkan, itupun kalau kalian semua boleh bantu aku. Mungkin ada yang senasib atau pernah berdepan dengan masalah sama seperti keluarga abg am jadi aku perlukan buah fikiran semua. Ada tak rawatan alternatif untuk penagih syabu? Masihkah ada harapan buat Abg Am?

Terima kasih kerana sudi membaca.

– Kerengge putih

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *