Once Alone, Always Alone

Aku Sya. 27 tahun. Aku introvert. Sejak kecik dari zaman sekolah rendah aku selalu sorang-sorang. Tak pandai buat kawan. Pendiam. Aku mula ada kawan bila ada kawan aku ni kesian tengok aku sorang sorang.

Sejak tu aku mula ada kawan sebab dia. Tapi sekarang kami dah lost contact dan sekarang aku dah takde kawan lama sebab dia memang sekadar ‘kawan’, bukan sahabat.

Naik sekolah menengah aku ada je kawan sorang dua. Tapi kawan aku mudah jatuh sakit. Jadi bila dia tak datang sekolah, aku akan sorang sorang.

Kadang kadang aku terpaksa buat buat baik dengan orang, cuba jadi peramah sebab nak ada kawan tapi result nya aku sedih dengan diri aku sebab aku tahu tu bukan diri aku yang sebenar.

Aku rasa macam hipokrit gila. Dan bila kawan aku takde, aku baru sedar yang selama ni aku boleh bergaul dengan orang lain disebabkan dia.

Kalau dia takde, baru aku tahu yang aku sebenarnya takut nak berkawan dengan orang. Aku tak boleh cipta kawan aku sendiri. Aku berkawan atas kawan.

Aku bukan tak cuba ubah diri aku. Aku nak ubah diri aku. Sebab aku tak suka bila orang cakap aku pendiam, pemalu walau hakikatnya memang itu diri aku. Aku pernah murung kot. Rasa nak mati. Tak nak datang sekolah sebab takde orang peduli pun pasal aku.

Aku cuba join persatuan untuk luaskan circle aku. Ingatkan dengan cara tu aku boleh improve cara pergaulan aku. Rupa rupanya aku salah. Semakin aku cuba dekat dengan orang, semakin aku rasa orang menjauh dari aku. Sebab aku try hard sangat kot.

Bila ada meeting persatuan ke apa, aku tak nak pergi sebab aku rasa aku tak penting. Aku pergi ke tak, takde orang peduli pun. Tujuan aku masuk persatuan sebab nak kenal dengan orang tapi sebaliknya orang tak nak pun kenal dengan aku.

Lama lama aku mula penat dengan diri aku. Aku nak jadi diri aku sendiri. Aku penat cuba jadi orang lain semata mata nak buat orang suka aku. Aku mula belajar yang aku tak boleh nak paksa orang suka aku. Orang tak kisah pasal aku kenapa aku perlu kisah pasal mereka kan?

Aku cuba tanamkan mindset begitu dalam otak aku. Ya, ada masanya menjadi. Aku tak peduli dah orang nak cakap apa. Nk cakap aku lonely ke, takde kawan ke. Aku tak kisah. Tapi hakikatnya benda tu tak lama sebab fikiran dan hati aku tetap sedih bila orang tak pedulikan aku.

Aku selalu pahat dalam diri aku ‘Sya, jadi jadi sendiri. Tak perlu nak terhegeh hegeh buat orang suka kau. Orang tak nampak pun effort kau untuk berbaik dengan mereka. Kenapa kau perlu pedulikan orang yang tak pedulikan kau?’

Aku cuba memotivasikan diri aku sendiri sampai akhirnya aku menjadi seorang yang tak kisah dah pandangan orang terhadap aku. Tapi still.. Aku tetap sedih dan cemburu melihat orang yang ada kawan.

Bila masuk universiti, aku masih sama. Tahun pertama aku masih ok sebab orang belum kenal diri aku. Tapi bila masuk tahun tahun seterusnya, aku kembali kepada diri aku yang dulu. Alone. Berkawan pun dengan kawan sekolah dulu je. Dalam kelas aku tak boleh buat kawan sendiri.

Macam kat sekolah jugak, aku ada kawan sebab kawan atas kawan. Kalau kawan aku tu takde, takde orang pun nak berkawan dengan aku. Aku mula biasakan diri pergi mana sorang-sorang. Aku okay, tapi orang sekeliling aku yang pelik dan kesian kan aku.

Aku selalu jugak search pasal personaliti aku. Aku nak kenal diri aku. Aku nak tahu siapa aku, kenapa aku begini dan aku menemui jawapannya. Lepas tu baru aku tahu yang bukan aku sorang begini.

Baru aku tahu yang aku ni seorang introvert. Pendiam, pemalu, suka menyendiri, tak suka bercakap. Aku mula terima siapa diri aku. Aku gembira, at least bukan aku sorang begini. Tapi gembira itu hanya sekejap cuma.

Ya, memang ramai yang ada personaliti macam aku tapi mereka bukanlah orang sekelilingku. Aku tak dikelilingi oleh orang introvert. Aku dikelilingi oleh orang extravert. So, aku lost. Lagi.

Bila masuk alam pekerjaan, aku tekad tak nak dah jadi orang yang nakkan perhatian orang. Nak orang tahu kewujudan aku. Aku nak jadi diri aku. Aku tekad.

First kerja aku tak ramai pun staff kat situ. Dalam empat lima orang. Aku suka macam tu sebab aku tak suka ramai ramai. Ingatkan boleh lah aku get along dengan mereka. Rupanya aku silap.

Mereka bukanlah orang yang baik untuk aku dekati. Mereka negatif. Suka cakap belakang. Talam dua muka. Aku perasan yang mereka pernah bercakap belakang pasal aku. Akhirnya aku kembali menyendiri.

Aku tak boleh bergaul dengan orang yang negatif sebab diri aku ni dah cukup negatif untuk terima lagi perkara negatif. First kerja buat Aku jadi kemurungan sebab asyik fikir nak berhenti je. Aku suka kerja aku. Tapi disebabkan orang lain aku tak dapat nak teruskan.

Aku pernah cabar diri Aku untuk bertahan lebih lama. Aku fikir kenapa Aku perlu lepaskan kerja yang aku suka hanya kerana orang tak suka aku. Aku ingat aku boleh bertahan tapi.. Aku tak kuat.

Aku tak nak buat diri aku penat. Penat bila hari hari sebelum kerja aku kemurungan sebab fikirkan keadaan aku keesokannya. Aku masih antara dua, nak resign atau pertahankan kerja aku. Akhirnya aku memilih untuk resign sebab aku sayangkan diri aku.

Aku tak nak jadi penat. Aku tak nak hari hari datang kerja dalam keadaan terpaksa. Betullah. Kebahagian itu terletak pada ketenangan hati. Lepas resign, aku tenang. Aku dah tak perlu fikir apa yang orang nak mengata pasal aku. Aku bebas.

Tapi aku kena kerja. Takkan lah aku hidup nak mengharapkan mak ayah selama lamanya. Aku ada kudrat. Aku kena kerja. Aku rehatkan diri aku dari bergaul dengan orang sebelum aku mula minta kerja balik.

Dan alhamdulillah aku diterima bekerja di satu syarikat yang aku mohon. Semua staff termasuk bos kat situ semuanya baik baik belaka. Aku suka. Mereka peramah dengan aku tanpa aku perlu ramahkan diri aku.

Awal2 kemasukan aku, walaupun aku okay dengan mereka semua tapi aku tetap dengan diri aku. Aku masih lagi pendiam sampai mereka mula tahu yang aku ni pendiam rupanya.

Sejujurnya, Aku memang tak suka orang cakap aku pendiam. Aku masih mengambil masa untuk rapat dengan mereka. Mereka baik tapi aku tak tahu macam mana nak memecahkan tembok diri aku dari merasa takut berkawan dengan mereka.

Sampailah satu hari, ada staf baru masuk. Aku namakan dia Lia. Dia ok dengan aku. Dia seorang yang banyak mulut. Sejak dia masuk dan rapat dengan aku, Aku pun terikut jadi bising jugak. Aku mula ok dengan staff2 kat situ. Semuanya bermula bila staf baru tu masuk.

Aku berasa selesa dengan kerja aku. Aku dapat environment yang aku inginkan selama ni. Masa tu, baru aku rasa diri aku ni dah normal macam orang lain. Orang yang ada kawan.

Tapi.. kebahagiaan itu tak lama. Selepas beberapa bulan, Lia terpaksa berhenti kerja sebab ikut suaminya. Aku sedih sebab aku fikir selepas ni aku akan bersendiri lagi. Walaupun aku dah okay dengan staff2 kat situ tapi bila Lia tu takde.

Aku rasa aku akan kembali kepada diri aku yang asal. Pendiam. Bila Lia pergi, aku tersedar lagi yang aku jadi rapat dengan staff kat situ disebabkan Lia. Bila Lia pergi, Aku semakin menjauh dari mereka.

Selama ni aku berlindung di sebalik personaliti Lia. Selama ni bukan aku yang mencipta suasana tapi Lia. Betullah. Aku tak pandai cipta kenalan aku sendiri. Aku banyak bergantung kepada orang lain.

Aku kemurungan lagi. Memikirkan bagaimana hari hariku nanti tanpa Lia. Adakah layanan staff kat situ masih sama seperti ketika Lia ada? Aku sedih dengan diri aku. Aku terlalu nakkan perhatian orang luar padahal family aku semua care pasal aku.

Kadang bila orang tak senyum dekat aku, aku dah fikir mereka tak suka aku. Kadang bila orang bercakap dengan aku, aku akan fikir mereka bosan bercakap dengan aku. Kadang bila mereka tak pedulikan kehadiran Aku, Aku akan fikir yang aku ni tak penting pun.

Aku membaca setiap reaksi dan respon orang terhadap aku. Dan aku menafsir sendiri. Tafsiran itu selalu bermain main di minda aku sampai Aku penat nak layan dan nak fikir kenapa dia tengok aku begitu, kenapa dia tengok aku begini.

Aku sebenarnya tak nak ambik tahu pun pasal benda tu tapi benda2 ni dah ganggu fikiran aku. Aku rasa aku ni desperate sangat nak orang tahu kewujudan aku sampai Aku tak suka dengan diri aku sendiri. Kenapa aku begini? Aku bermasalah ke?

Setiap hari Aku akan buka video motivasi untuk positifkan diri aku dari fikiran2 negatif. Tapi video itu hanya berguna bila minda Aku dalam keadaan positif.

Bila Aku dalam keadaan negatif, Aku akan membangkang kata2 motivator itu dan tak dapat terima apa yang dia sampaikan. Sebab apa? Sebab tak mudah nak ubah fikiran negatif kepada positif.

Aku tahu, korang mesti akan cakap ‘jadilah diri sendiri, bersyukur dengan diri sendiri. Ada yang lagi teruk daripada situasi kau’. Okay wait.. Aku sedang cerita pasal diri aku. Jadi kalau tak boleh tolong, janganlah buat aku down.

Aku cuma nak tahu. Aku ni bermasalah ke? Attention seeker ke? Macam mana Aku nak kenal dan terima diri aku? Aku rasa macam aku ni dah cukup besar untuk cari identiti diri sendiri. Tapi kenapa Aku masih mengeluh dengan diri aku? Aku tak faham.

Dan aku tahu satu perkara. Yang aku ni tak pandai pun berkawan sebenarnya. Aku nampak macam ada kawan tapi rupanya takde. Dulu aku selalu sendiri. Ingatkan bila dah kenal ramai orang aku tak perlu bersendiri lagi. Tapi tak. Aku masih sendiri.

Aku pernah terbaca yang mengatakan, kita tak dapat lari dari sifat asal kita. Kalau dari kecil kita seorang yang pendiam, walaupun kita cuba ubah untuk menjadi seorang yang banyak mulut kita tetap tak dapat ubah sepenuhnya sebab tu dah jadi sifat semulajadi kita.

Aku tak tahu la betul ke tak statement tu. Yang pasti Aku setuju bila tengok keadaan aku sekarang. Dulu aku bermula dengan seorang yang menyendiri. Aku cuba berkawan, cuba ubah diri menjadi bukan diri aku. Tapi akhirnya aku kalah. Aku tetap sendiri. Once alone always alone.

Luahan aku mungkin tak dapat difahami oleh orang yang tak ada masalah dalam berkawan. Mungkin ada yang akan cakap, ‘alahh pasal kawan je pun. Tu pun nak buat confession’.

Fahami lah.. masalah kecil pada pandangan kita tak semestinya kecil pada pandangan orang lain. Boleh jadi masalah kecil yang kau katakan itu sudah membuat hidupnya terseksa.

Jangan cakap kau faham kesusahan orang lain selagi kau belum merasainya. Seandainya kau diletakkan dalam situasinya, belum tentu kau akan menjadi setabahnya.

– Sya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. aku x tahu kau akan baca tak..tp aku perangai sama mcm kau..first time aku komen sbb x ramai org mcm kita yg meluah..aku skrg dpt kerja badan berkanun..buat test personality introvert tggi..terus kena kecam..aku x blh nk adapt dgn suasana yg memaksa aku utk jadi extrovert 24j..haruskah aku cari kerja lain…skrg dh menjejaskan kesihatan aku..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *