Untuk part I, (https://iiumc.com/operasi-sayang-abah/).
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera kepada pembaca-pembaca setia IIUM Confessions yang budiman.
Pertamanya, Abang ingin memohon maaf atas ketidaksiapan jalan cerita yang tergantung pada penulisan yang pertama.
Jujur Abang akui disini, untuk mengimbau kembali kisah ini agak berat. Pada penghujung penulisan Abang yang pertama, Abang tidak mampu lagi untuk mengempang air mata.
Tapi alhamdulillah, komen-komen dari pembaca berjaya mengembalikan semula semangat Abang untuk bercerita. Terima Kasih!
Sambung kisahnya. Jadi, sebaik saja seruan Abang kepada Angah dan Acik untuk menyelamatkan Abah disambut dengan baik, kami tubuhkan 1 group ‘Whatssapp’ bagi tujuan memudahkan perbincangan.
Kami bertiga yang masih muda pada masa itu sejujurnya tidak tahu, apakah langkah pertama yang harus diambil. Ikutkan hati Abang yang muda ni, memang nak saja Abang bersemuka dengan Abah, bincang, soal sahaja secara langsung.
Abang sudah siap untuk bertumbuk dengan Abah andai perbincangan tidak seperti yang dirancang.
Maaf, Abang agak b#doh ketika itu, masih mentah. Tapi dihalang oleh Angah dan Acik, kata mereka, itu bukanlah jalan yang rasional. Abang akur, cadangan Abang tidak diterima pakai.
Lagi antara cadangan yang diutarakan seperti, meng’kidnap’ Mama dan 2 orang lagi adik dan dibawa pulang ke kampung tanpa pengetahuan Abah. Lagi tak masuk akal. RUMIT!
Operasi ni mesti dijalankan tanpa pengetahuan orang lain kecuali kami bertiga sahaja.
Selang tak berapa lama. Abang mendapat nasihat dari kenalan Abang yang mana dia sendiri pernah mengalami situasi seperti ini.
Oh, dan dari kenalan Abang ni jugalah Abang dapat tahu khabar angin mengenai Abah sebab kami pernah tinggal dalam 1 estet dan keluarga kami saling kenal.
“Jupo Ustaz.” cadangnya dalam dialek Kelantan. “Boh(Ayah) kawe rajin keno doh dulu, sapa angkat parey ko anok sediri. Ruponyo keno buatey ore.”
Abang yang masa tu rasa macam baru lepas kena tumbukan kat muka mula sedar. BETUL! Kenapa Abang lupa pada ciri-ciri Kemelayuan Abang. Tak salah kalau kite ikhtiar ikut cara ni.
Kembali pada kisah keluarga Abang di tempat baru. Semasa ketiadaan Abah di rumah untuk menunaikan Umrah, keluarga Abang teruk diganggu oleh makhluk halus.
Siapa antara pembaca yang tinggal di estet mesti akan terbiasa dengan kisah-kisah paranormal ni. Dan tidak terkecuali juga keluarga Abang.
Seingat Abang, dari kecil hingga ke besar menjadi budak estet, setiap rumah yang kami huni, pasti akan ‘berkongsi’ tanah dengan dunia ‘mereka’.
‘Mereka’ disini Abang boleh panggil sebagai Bunian. Yup, Bunian. Bukan makhluk-makhkuk hodoh yang menjelma sini sana menimbulkan kekacauan.
7 buah rumah yang pernah kami huni sepanjang 30 tahun lebih Abah berkhidmat, mungkin cuma 1 yang tidak berkongsi tanah dengan mereka. Dan mereka semua ni kebanyakkannya Bunian Islam. Tak pernah menganggu kami sekeluarga.
Bunyi guli, tarik sorong perabut, cakaran di dinding semua tu tak pernah kami alami. Cuma kalau rumah ditinggal lama macam contoh 3 atau 4 hari, Mama perasan beras dalam bekas beras akan berkurang.
Ataupun lantai bilik air akan basah seperti orang berwudhu, bukan basah seperti mandi. Paip bocor? Mana mungkin bocor ketika ketiadaan kami dirumah saja. Sedang kami dirumah elok saja.
Pernah juga Angah nampak pantulan di cermin sosok seorang perempuan yang berpakaian ala-ala orang istana pada zaman dahulu cantik bersanggul. Tapi hanya tersenyum di balik cermin. Cukup dulu cerita mengenai bunian!
Jadi berada di rumah baru, dengan ketiadaan Abah, ditambah dengan gangguan lagi, buatkan Mama 4 beranak berada dalam ketakutan.
Disoroknya baju sekolah, stokin dan macam-macam lagi. ‘Jiran’ kali ini lain macam sikit gurauannya. KASAR! Ustaz cakap nak ajak adik yang Bongsu main- main dengan ‘dia’.
Acik pada masa tu sedang rancak lagi membuat sisatan pada telefon Abah. Banyak yang berjaya Acik rungkaikan.
Antaranya isi-isi kandungan chat Abah dengan si S tu. Macam orang muda sedang mabuk bercinta. Dengan panggilan-panggilan manja. Chat dengan anak si S yang bongsu pun ada kami jumpa.
Abah siap tanya lagi nak hadiah apa untuk harijadi yang akan datang. Nak di pos kan katanya. Lagi tak guna, dimintanya patung beruang masa tu kalau tak silap.
Allahu, kami yang anak-anak baca pun nak luluh hati. Bayangkan kalau Mama yang baca. Lagi teruk kalau Mama dapat tahu dari mulut orang lain.
Jadi rancangan kami pada masa tu adalah untuk sorokkan telefon ini daripada Abah. Dengan menggunakan situasi semasa, iaitu barang disorok bunian!
Ya, kami 3 orang kambing hitamkan Bunian yang tidak tahu menahu pun mengenai perkara ini. Telefon Abah tidak boleh terus menghilang, lesap terus.
Pada satu tahap, harus dipulangkan semula agar nampak kejadian ‘sorok’ ini terlihat benar. Nak dirosakkan juga tidak boleh. Akan jadi mencurigakan kerana belum pernah Bunian sebenar merosakkan barang yang disorok.
Hendak dibuang terus kad sim juga seperti tidak bernas, bimbang banyak kenalan kerja Abah yang penting tersimpan di dalam dan mungkin akan menyusahkan Abah.
Langkah pertama. Kami pastikan Abah terputus terus hubungan dengan semua orang dari estet sebelum ini.
Caranya tidak sukar, kerana hampir setiap kenalan yang Abah simpan di dalam telefonnya itu kami kenal. Baik dari Pengawal Keselamatan, Taukey Kantin semua kami kenal. Kami buang satu persatu kenalannya di estet lama dari telefon dan kami ‘block’. SELESAI!
Sebelum kepulangan Abah dari Tanah Suci juga, Abang berjaya mendapatkan pertolongan dari seorang ustaz, dengan izin Allah.
Ustaz ini memerlukan Abang supaya membawa beberapa botol air mineral, sedikit beras, garam dan gula untuk dibuat sembahyang hajat. Memang betul dakwaan kenalan Abang.
Abah memang telah terkena buatan dari si S melalui makanan dan minuman. Tambah Ustaz lagi, si S memang merancang untuk berkahwin dengan Abah dalam masa terdekat.
Sudah berapa banyak makanan dan minuman yang disuap Abah dek kerana perbuatan si S itu, wallahualam.
Selagi kami bertiga hidup, pasti akan ada sinar. Insyaallah! Siap saja barang-barang tersebut ‘diubatkan’ oleh ustaz, Abang terus pulang ke rumah dan mengamanahkan kepada Acik.
Dengan perlaksanaannya, haruslah barang-barang ini dicampurkan dengan barang-barang makanan di rumah dan dibacakan selawat.
Seperti beras disekalikan dengan beras dirumah. Begitu juga gula, garam dan air mineral tanpa pengetahuan sesiapa! Beberapa jam sebelum kepulangan Abah, Acik berjaya menyelesaikan misi yang paling penting ini. Alhamdulillah.
Pulang sahaja Abah dari Umrah, sudah tentu selain dari mendengar cerita-cerita dari Mama mengenai gangguan yang berlaku disepanjang ketiadaaan Abah disini, Abah mula mencari kehadiran telefonnya.
Ditanya pada Mama dan adik-adik sudah semestinya mereka tidak mengetahui selain dari Acik.
Puas dibelek, diselak segenap penjuru rumah, namun Abah tidak dapat menjumpai telefonnya itu. Sehinggakan 2 hari selepas kepulangannya, Abah terpaksa mendapatkan khidmat seorang yang boleh tengokkan barang yang hilang pada satu malam.
Kami bertiga yang ketika itu agak cuak kerana takut Operasi kami ini terbongkar cepat-cepat memikirkan jalan keluar.
Individu yang Abah guna itu hanya tersenyum ketika dia sedang ‘mencari’ telefon Abah. Katanya, telefon masih ada dalam rumah, tempat yang tak disangka.
Sampai disitu sahaja pertolongan yang boleh diberi. Entah ya entah tidak cariannya itu, kami pun tak pasti. Pada keesokkan hari, Acik cepat-cepat sorokkan telefon Abah bawah karpet dibawah meja makan.
Dan lewat petang pada hari itu juga, Mama telah menjumpai telefon Abah yang disorok bunian di bawah karpet.
Selepas kejadian itu, kami mengangap Operasi kami berjaya kerana Acik terdengar perbualan antara Abah dan Mama mengenai kenapa kenalan-kenalannya yang dari estet sebelum ini sahaja tidak ada walhal kenalan lain semua masih disimpan disitu.
Pandai pulak bunian ni main telefon. Dan perkara itu kekal ‘MISTERI’ di situ. Macammana kami tahu yang Abah takkan cuba dapatkan balik contact si S?
Abah orang besar di estetnya, si S pula hanya pekerja biasa, tidakkah pelik jika seorang orang besar cuba untuk mendapatkan contact pekerja biasa dari orang lain? Air mukanya juga perlu dijaga.
Dan selepas kejadian itu juga, Abah dah tak boleh berenggang lagi dengan Mama. Nak keluar walaupun ke kedai runcit, diminta Mama supaya temankan. Alhamdulillah.
Maaf cik bunian, kamu terpaksa dikambinghitamkan untuk kesejahteraan keluarga Abang.
– Abang (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit