Assalamualaikum pembaca yang budiman. Terima kasih jika luahan kisah saya ini disiarkan.
Tajuk? Tidak pasti tajuk yang sesuai, tetapi dalam kisah ini ada hal yang berkaitan agama, juga isu orang ketiga dalam rumahtangga… mungkin isu yang sering menjadi topik hangat.
Usia perkahwinan saya dan suami 11 tahun, ada 4 cahaya mata. Diringkas kan cerita, tahun ini perkahwinan kami diuji. Kali ini ujian yang saya hadapi ialah berhadapan dengan orang ketiga yang masih belajar.
Dia mempunyai keluarga dari latar belakang agama yang baik, memakai jubah, tudung labuh semua lengkap. Pernah belajar di sekolah pondok, secara luaran tidak nampak kelemahan. Saya juga mengenali orang ketiga, saya nama kan S kerana S anak murid kepada suami. Saya dan suami masing masing bekerjaya.
Ada satu peristiwa, saya mendapat satu sms, dari seorang sahabat S menceritakan dan membongkar segala-gala. Saya tahu suami dan S sering berhubung melalui telefon, tapi saya hanya menyangka sekadar teman berbual. Tetapi, selepas terbongkar segala cerita, baru saya sedar selama 2 tahun saya telah ditipu.
Mereka berdua sering membuat video call, panggilan telefon bermula jam 1 pagi kadangkala tidak tidur, S tidak segan silu memanggil suami saya hubby, begitu juga suami memanggilnya sayang. Rahsia terbongkar setelah telefon S dirampas.
Sukar saya hendak gambarkan tapi hakikatnya hubungan mereka berdua hanya tinggal step terakhir sahaja lagi iaitu zina. Yang lain seperti keluar bersama, ada juga sampai S tak pulang ke asrama, vc, mesej…. semua mereka dah lalui.
Saya jumpa ibu S, ibu S tidak mempercayai apa yang berlaku. Katanya anaknya S tidak pernah keluar rumah, anak yang baik, selalu mengaji. Cuma S selalu dengan handphone sahaja.
Saya jumpa S, saya tanya dia, tidak malu kah bergambar selfie sambil memeluk bahu suami, dia jawab tak berdosa sebab berlapik… MasyaAllah…
Saya tanya dia kenapa melayan suami saya sedangkan dia tahu suami ada anak dan isteri. Jawabnya cinta itu fitrah manusia… tidak berdosa jika tidak sampai berzina, dia juga memberitahu suami hanya teman mesra sahaja, tidak berniat untuk merampas.
Saya bukanlah wanita mulia untuk menghukum, saya juga punya kelemahan namun saya cukup sedih apabila akhir zaman… insan yang zahirnya cukup ilmu agama boleh berkata begini. Adakah ini yang dinamakan penunggang agama?
Seringkali jika isu orang ketiga diutarakan, pasti poligami akan diusulkan bersama, poligami dan curang dua hal yang berbeza. Mampukah seorang suami yang tidak mampu menampung nafkah keluarga, solatnya culas, minum ketum, tidak adil, berkahwin lebih dari satu….
Kerana itu saya tidak bercakap tentang poligami kerana ciri lelaki sebegini hanya akan merosakkan poligami menggunakan alasan menundukkan nafsu dan mengelakkan maksiat.
Kini, sudah sebulan peristiwa berlalu, saya juga tidak pasti adakah S masih berhubung dengan suami, namun saya bergantung sepenuhnya pada Allah..
Jika suami adalah jodoh terbaik buat saya, maka saya mohon Allah beri taufik dan hidayah pada suami, jika dia bukan yang terbaik buat saya, mudahan Allah leraikan hubungan ini kerana Allah maha mengetahui….
Begitu juga buat S, semoga Allah memberi taufik dan hidayah buatmu. Di dalam syurga itu dipenuhi dengan pendosa yang bertaubat dan di dalam neraka dipenuhi orang alim yang munafik….
– Puan M (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit