Orang Lain Pun Ada Tekanan Hidup, Bukan Kamu Saja

Assalamualaikum. Maaf, saya cuma nak meluah dan andai kalian punyai pendapat yang sedikit sebanyak mampu membantu saya, silakan saja komen.

Saya seorang gadis di pertengahan usia 20an. Mempunyai sejarah penyakit mental (Major Depressive Disorder, Psychosis, Bipolar Type II dan Panic Attack) namun bukan gila. Cuma hormon tidak stabil dan tekanan dalam hidup. Ya, mungkin juga berpunca dari keturunan.

Sejak kecil, saya terkadang terlihat sesuatu yang mungkin hanya imaginasi atau halusinasi tapi ia sangat mengganggu kehidupan seharian saya.

Kadang kadang, saya boleh melihat kelibat diri saya sendiri, tersenyum, sinis. Seolah olah mempunyai suatu rancangan jahat.

Kadang kadang, saya terdengar sesuatu berbisik di sebalik dinding, walhal saya tinggal di rumah sebuah yang asing dari jiran jiran. Bisikan juga pernah kedengaran di telinga. Jelas dan dekat.

Kerapkali juga saya mendengar dan terdengar suara suara bisikan yang menyuruh saya melakukan sesuatu di luar jangkaan atau kawalan,

Antaranya seperti membunuh orang yang terdekat, meletakkan clorox atau racun di dalam minuman ahli keluarga yang dibenci, mematahkan tangan atau kaki adik adik secara karate, membakar rumah, mengelar tangan setiap ahli keluarga dan kumpulkan koleksi darah mereka,

Mengikat ahli keluarga dan botakkan rambut mereka dan berbisik di telinga mereka sehingga mereka percaya apa yang saya rasa dan alami,

Cungkil mata mereka dan jadikan makanan untuk haiwan jalanan sebagai balasan mereka tidak memahami masalah mental saya, dan menganggap saya cuma terikutkan perasaan dan tidak pandai mengawal jiwa.

Keluarga saya pernah sembunyikan setiap peralatan tajam seperti pisau dan gunting dari capaian saya.

Namun, mereka tidak tahu bahawa orang seperti saya, capai apa sahaja yang terdekat untuk dijadikan senjata. Seperti botol air, boleh digunakan untuk sumbat di mulut mereka sehingga ke anak tekak, sehingga mulut mereka koyak.

Saya juga mempunyai bayangan atau dunia sendiri tika bersolek di hadapan cermin atau berada di hadapan cermin untuk masa yang lama. Pantulan wajah di cermin terkadang berbicara sendiri seolah mempunyai roh dan jasad yang berasingan.

Tika aku bermuram, di cermin terlihat senyuman, sambil menyuruh aku membalas dendam atas apa jua yang membuatkan aku berduka. Keluargaku mengeluarkan setiap cermin di bilikku agar aku tidak lagi berada dalam dunia itu.

Tanganku terdapat kesan kelaran. Bukan untuk meraih simpati atau menagih kasih atau membunuh diri, tetapi aku mengelar untuk menghilangkan rasa sakit di jiwa dengan menzahirkan rasa sakit di fizikal tubuh. Dengan cara itu, aku dapat menjauh seketika dari suara suara dan bayangan kelam itu.

Aku juga terkadang mempunyai mood yang tidak menentu. Ada turun. Ada naik. Aku juga boleh tertawa tanpa henti dalam satu hari.

Keluarga melihat aku pelik kerana aku mampu ketawa seolah tiada hari esok dengan hanya melihat sesuatu yang tidak kelakar seperti daun kering, cawan di atas meja dan lain lain. Aku juga boleh menangis secara tiba tiba tanpa sebab.

Aku sering dikenali sebagai seorang gadis yang baik dan berbudi bahasa. Namun mereka tidak tahu, aku seorang yang sakit jiwanya dan setiap hari hari yang berlalu diiringi dengan senyum terpaksa dan tawa yang palsu sekadar untuk menghilangkan rasa pilu.

Aku lebih suka menyendiri, berada di bilik, tidak bersua muka dengan ahli keluarga, tidur sepanjang hari atau pun membuat aktiviti secara bersendirian. Bukannya aku mahu mengasingkan diri, tetapi aku tidak mahu terus berpura pura sihat seperti kata kata ahli keluarga ku,

“Anggap je diri kamu tu dah sihat. Nanti hilang lah perasaan tu”

“Abaikan je perasaan tu. Mainan setan je”

“Keluarga aku takde lagi penyakit mental macam kamu”

“Ubat tu tak payah makan. Buat sakit buah pinggang je. Baik jumpa Ustaz, minta air penawar”

“Buat happy happy je. Jangan bagi diri tu sedih”

“Kami dah taknak dengar kamu buat bukan bukan lagi. Tu semua sebab kamu asyik layan perasaan kamu je. Bukan sebab hormon tak stabil”

“Yeke kamu ni tekanan? Kami semua pun ada tekanan tapi boleh je handle”

Ya, kata kata ini cuma sebahagian daripadanya. Terlalu banyak perkataan dan ayat yang dilontarkan seolah mereka tidak berilmu. Yang pedih dan perit lagi apabila setiap ayat itu disudahi dengan gelak tawa yang seakan memerli dan memandang remeh akan masalah kesihatan mental.

Disebabkan itu aku pilih untuk memendam segalanya dari keluarga aku. Cuma seorang dua sahaja yang aku percaya untuk aku ceritakan isi hati aku.

Segala galanya yang aku sudah ceritakan ini adalah diari jiwa aku yang meronta untuk kembali pulih dan hidup seperti seorang manusia yang normal.

Seumur hidup aku, perasaan ini tak pernah surut. Sentiasa membara seolah ada sesuatu yang perlu dituntut atau dilangsaikan. Aku mulai sedar perkara ini di usia aku 7-8 tahun. Namun aku lewat untuk bertemu pakar yang lebih arif supaya masalah ini dapat diselesaikan.

Aku bertemu Pakar Psikiatri di sebuah hospital pada tahun 2018 dan mendapat diagnosis masalah mental yang aku hidapi.

Doktor sudah aku temui. Ubat ubatan sudah aku telan. Sedikit sebanyak membantu aku. Namun jiwa aku mungkin sudah terlampau sakit.

Keluarga aku pernah membawa aku pergi berubat dengan beberapa orang Ustaz. Hampir kesemua mereka memberikan jawapan yang sama, iatu ada sesuatu bersama aku.

Di akhir proses pengubatan, air penawar dan potongan ayat dari Al Quran sebagai doa untuk membantu aku sembuh. Namun masih tiada perubahan.

Ya, mereka ada beritahu tentang apa yang ada bersama aku. Aku tidak mampu untuk menceritakannya di sini. Melainkan kalian serius untuk tahu dan mampu membantu aku, aku akan cuba untuk dm kalian secara personal.

Sampai di sini sahaja cerita aku. Terlalu banyak kejadian yang aku alami, tidak mampu untuk aku tulis di sini semuanya. Terlalu panjang ceritaku mungkin tidak akan ada yang baca.

Terima kasih buat kalian yang membaca cerita aku. Ini bukan rekaan, tetapi realiti hidup seseorang yang mempunyai masalah kesihatan mental.

Mohon tiada manusia yang bersikap ‘stereotype’ terhadap golongan seperti saya, kerana saya juga berjuang untuk keluar dari masalah ini.

Sakit fizikal boleh disimpati dan dikasihani, mengapa tidak sakit di jiwa? Kerana sakit di jiwa tidak kelihatan? Tidak, kerana kalian tidak mencuba untuk memahami.

Love,

– Ira (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *