Assalamualaikum admin dan pembaca sekalian. Terima kasih jika tulisan aku disiarkan. Jika tidak, tak mengapalah.
Tujuan aku menulis ni adalah untuk mengupas isu orang muda atau yang dikategorikan sebagai belia dengan cinta. Apa yang aku perasan di laman sosial seperti instagram, facebook dan twitter, kebanyakkan orang muda banyak memuat naik status berkaitan cinta. Bukan cinta kepada Maha Pencipta, bukan juga cinta kepada Rasul ataupun ibu bapa. Yang sering aku lihat di skrin telefon adalah cinta kepada manusia yang belum bergelar pasangan yang halal.
Anak muda sekarang makin lalai dengan dunia percintaan yang tiada kesudahan. Status- status seperti bagaimana hendak move on dari ex-girlfriend atau ex-boyfriend, bagaimana nak cari jodoh, tips-tips kahwin muda, ciri-ciri pasangan idaman dan banyak lagi dimuatnaik di laman sosial. Ada juga status seperti memperlekeh atau mengejek orang-orang yang tidak mempunyai pasangan kekasih. Adakah orang-orang yang tidak bercouple ini dianggap hina atau ketinggalan zaman? Perlukah mereka-mereka ini mengejar cinta manusia demi memuaskan hati manusia lain?
Apa yang merisaukan aku sekarang ialah anak-anak muda yang beragama islam. Wahai anak muda sekalian, apakah tujuan kita hidup di muka bumi ini sekadar untuk mencari cinta ? Tidak. Di dunia ini kita bertanggungjawab menjadi khalifah. Setiap orang berperanan sebagai khalifah tidak kira lelaki dan perempuan. Lelaki, jadikanlah Rasulullah dan sahabat baginda sebagai contoh tauladan. Perempuan, jadikanlah Saidatina Khatijah, Saidatina Aisyah, Sumayyah, Masyitah sebagai model dalam kehidupan. Jadikanlah rasa malu itu sebagai perhiasan. Ini tidak, apa yang aku perhati sekarang ni, wanita-wanita di luar sana sudah kurang rasa malu tidak kiralah yang menutup aurat dengan sempurna atau tidak.
Isu yang semakin viral ialah isu nikah muda. Sekarang ini ramai anak muda melayu dan beragama islam terjebak dengan trend ini. Orang lain kahwin muda, kita pun nak kahwin ikut. Tanpa menilai tahap persediaan : mental, fizikal, kewangan dan iman. Adakah kita bernikah untuk nafsu sahaja, semata-mata untuk menghalalkan pasangan? Alasan untuk mengelakkan maksiat digunakan untuk berkahwin. Wahai anak muda sekalian, apakah kamu lupa terdapat banyak cara lain dalam islam untuk menjaga diri daripada maksiat? Berpuasa, membaca, memahami dan mengamalkan Al-Quran, menjaga pandangan adalah antara cara untuk memelihara nafsu. Bukan dengan hanya bernikah sahaja ! Bagi yang sudah berkahwin awal, Alhamdulillah. Jalanilah kehidupan rumah tangga dalam pegangan islam. Dan yang paling penting, janganlah kamu menayang-nayang kehidupan bahagia dengan kerap sehingga menyebabkan anak muda yang lain hendak bernikah juga tanpa mengambil kira faktor yang diperlukan.
Bagi anak muda yang bercouple tetapi tidak mempunyai niat untuk segera bernikah, mohonlah petunjuk dan hidayah Allah agar tidak terus tersesat dalam hubungan yang sia-sia. Dan jika sudah mempunyai niat untuk mendirikan rumah tangga, jagalah batas-batas dalam perhubungan seperti yang digariskan Islam. Bagi yang masih mencari jodoh, berdoalah kepada Allah kerana hanya Dialah tempat kita bergantung. Jika tiada juga, janganlah risau kerana Allah mengetahui apa yang terbaik bagi kita. Mungkin jodoh kamu akan dipertemukan di syurga kelak.
Janganlah kita terlalu asyik megejar cinta manusia sehingga terlupa tujuan kita di muka bumi ini. Anak muda melayu dan beragama Islam, bangkitlah dan berjuang demi agama, bangsa dan negara kita! Bangkitlah seperti Salehuddin Al-Ayyubi dan Sultan Muhammad Al-Fateh. Mereka berdua inilah yang menegakkan islam di bumi Turki Uthmaniyyah. Peribadi yang sangat mulia, semangat yang bak singa! Marilah kita berusaha untuk melahirkan ramai lagi anak-amak muda seperti Salehuddin Al-Ayyubi dan Muhammad Al-Fateh. Marilah kita berjuang untuk mengembalikan kegemilangan Islam! Sekurang-kurangnya, apabila ditanya di hadapan Allah kelak, adalah jawapan kita. Akhir kata semoga kita berada dalam redha Allah sentiasa.
– sang pengembara
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit