Orang Yang Belum Siap Kehilangan

Berkira-kira ingin berkongsi dengan portal kegemaran untuk aku singgah dikala kelapangan- IIUM Confession. Ku kira sekadar memotretkan kisah yang hanya aku yang tahu. Kisah aku yang belum siap kehilangan.

Aku adalah seorang wanita bekerja dalam golongan profesional. Tugasan harianku banyak bertemu dengan pelbagai golongan. Dari eksekutif, CEO, pengarah sehinggalah office boy / runner.

Mempunyai sikap ramah, ceria dan selalu memudahkan orang dalam urusan kerja, membuatkan orang selesa denganku. Cuma perihal peribadi, kisah hati dan perasaanku tidak seberuntung yang orang lihat diluaranku.

6 tahun aku bekerja dengan rutin yang biasa, sehingga tahun ke tujuh, aku ditakdirkan berurusan dengan seorang lelaki yang usianya 9 tahun muda dariku.

Ya, muda dariku tetapi telah memberikan kesan yang mendalam yang kalau boleh diberikan pilihan, ingin aku lupakan semuanya.

Beliau seorang runner baru, pembawa dokumen ke pejabatku. Perilakunya sopan dan bersahaja. Entah kenapa, aku gugup bila berhadapan dengannya.

Matanya (zaman aku jumpa dia, zaman wajib pakai mask kan), wanginya… membuatkan aku selesa dan gugup bersilang ganti, bagai ombak menghempas pantai yang sepi.

Disingkatkan kisah, suatu hari, dia menegurku sedang aku menunggu di mesin thumb print. Sebenarnya aku dah migrain pagi tu (memang dah terbiasa) dan tunggu nak balik untuk terus ke klinik.

Susuk tubuh berjalan kearahku dan menyapa, “Puan ok ? Nampak macam tak berapa ok?”… dan saat itulah melayang semua beban rasa.

Sebenarnya bukanlah pertama kali aku ditanya begini oleh orang lelaki sepanjang aku hidup. Dari dalam universiti, sepanjang aku dalam karierku…

Aku ni boleh lah ada sikit rupa tu, haha.. Dan bukan juga pertama kali aku dan dia berbicara.. (sebelum ini hanya hal kerja) tapi ini… lain.

Soalan kalini soalan hal bukan kerja dan aku yang memang dah rasa gugup lain macam dengan dia membuatkan situasi sangat awkard haha.. Mudahkah hati aku terusik? Ya. Hanya dengan dia.

Tidak semudah itu dengan yang lain. entah kenapa dengan dia, rasanya sangat lain.. tersedar dari lamunan, aku pantas menjawab, “Eh , ok2..” Aku mengerut dan memegang dahiku.. dan aku pulang.

Dalam perjalanan pulang, lenguh pipiku tersenyum. Semuanya dalam separa sedar. Klinik pun sekadar ambil ubat sahaja. Sekian lama aku tak merasakan rama rama dalam perut, bak kata orang putih.

Masa berlalu seminggu kemudian, hari lahirku menjelma. Dia yang mempunyai no telefonku kerana tuntutan kerja telah membalas status whatsappku. “Selamat Hari Lahir Puan. Nak saya belanja mai Jusco” . Dia hantar gambar dia berada di meja makan Nandos.

Disingkatkan, dari sinilah bermulanya conversation chatting, bergayut saban malam, tidur dengan lagu2 yang dia akan bagi untuk aku dengar sambil mengangankan impian indah. Sehinggakan panggilan Puan bertukar Sayang.

Namanya yang ku panggil, bertukar Bb… menyedari usia kami yang berbeza, aku tidak meletakkan harapan yang tinggi. Kerana dia muda.. sedangkan aku dah menginjak 30an. Dia tetap meyakinkan aku bahawa dia selesa dan tak kisahpun.

Kusangka rama rama membawa bahagia, Lama-lama menjadi luka yang paling payah untukku sembuhkan. Aku merasakan ada perubahan.

Aku yakin dia juga tahu yang keadaan kian tidak serupa. Tapi dia begitulah. Tiada lagi call malam, kadang panggilan di’reject’, whatsap dibalas lambat. Sedangkan masa mula dulu, dia sangat free untuk aku.

Benarlah, tiada yang terlalu sibuk untuk orang yang kita sayang. Tetapi bila berjumpa, ok saja. Sayang tetap dirasakan.

Menantikan dia hari2, umpama debaran yang tiada noktah. Marah dan rajuk hilang bila dia datang.

Aku selalu dengar kawan-kawan ku yang jatuh cinta dan diperlakukan ghosting begini oleh orang yang aku fikirkan hampir saban hari. Tidak pernah aku rasakan yang sama. Menunggu tanpa menggangu.. Hanya yang merasakan sahaja mengetahui sakit ini.

Satu malam, aku terlalu rindukan dia. Aku call lebih kurang jam 11 lebih. Tiba-tiba suara perempuan yang angkat. Suaranya seolah marahkan aku yang menggangu mereka berdua.

Sebagai wanita yang matang, aku memohon maaf pada perempuan itu dan menamatkan panggilan.

Tahu tak perasaan berada dalam bilik hitam, sepi dan sunyi hanya dengar jantung sendiri. Itulah aku.

Dalam jam 12 tengah malam, dia call semula. Aku angkat dan aku nyatakan aku tak marahkan dia, dia muda. Aku minta dia berterus terang.

Ya, dia keluar dengan perempuan tu. Perincian mengapa perempuan tu yang angkat panggilan tu, aku tak mampu nak tulis disini. Tapi, ia cukup melukakanku.

Aku pula memulakan penyiasatan pada dia, akhirnya menemukan bahawa, dia telah memiliki teman wanita yang PJJ. Dan teman wanita tu adalah perempuan sebayanya dan dikenali beberapa bulan sebelum aku.

Disini aku perlukan kejujuran tapi aku tak mampu nak marahkan dia. Sebab aku sedar posisiku, usiaku.

Walaupun aku memiliki segalanya, aset rumah lebih dari sebuah, kereta yang selesa, pekerjaan yang terjamin, bukan takdirku untuk mempunyai rasa disayangi oleh orang yang aku telah tersalah jatuh cinta.

Tapi aku wanita yang belum siap kehilangan. Aku tetap kembali dan melayan dia seperti biasa.

Aku cuba membaca lebih banyak kisah wanita yang berkahwin dengan lelaki yang jenis macam dia, aku dapatkan pendapat dari kawan2 aku berkenaan andai bersuamikan lelaki yang begini tanpa menceritakan itu adalah aku.

Kebanyakan jawapan sama. “Bersamalah dengan suami yang sayangkan kita lebih dari kita sayang dia. Kalau tak nanti makan hati”. Aku sangat berhati2 dengan hati sendiri supaya aku tidak trauma.

Bila aku paksa mata aku untuk tidak buta, banyak lagi hal yang telah aku nampak yang kami tidak mungkin bersama.

Terlalu banyak ketidaktelusan dalam hubungan kami walau aku hanya minta kejujuran sahaja dari dia. Duit aku tidak peduli. Perhatian aku tidak paksakan. Cuma jujur jangan membohongiku.

Boleh kata kebanyakkan gerakan hubungan kami, bermula dari aku. Aku yang bersungguh dan berusaha untuk memulakan. Sehingga aku sedar, cukup lah untuk aku berusaha. Aku kena lebih tenang dan lihat progress dengan lebih terbuka.

Aku akhirnya memilih untuk lebih menyedari posisiku dan menarik diri perlahan-lahan dari hubungan ini. Termasuk juga aku memberitahu yang aku nak tengok dia bahagia dan berkahwin dengan wanita pilihannya.

Berkali-kali ku nyatakan pada dia dan aku, bukan aku yang akan bersamanya. Aku tak sanggup menerima sebarang luka lagi.

Pelbagai cara aku buat agar kehilangan ini kurang menyakitkan dan mentraumakan aku. Secara berperingkat dan perlahan.

Aku mengambil pilihan untuk tidak lagi berjumpanya. Dari bervideo call, kini hanya kadangkala bertanya khabar dalam whatsapp. Tu pun boleh kira dengan jari.

Dia ada menyatakan perubahanku. Tetapi tidak juga dia yang memulakan. Aku bersyukur juga dia tidak memulakan semula seperti dahulu.. Kalau tak mungkin lebih sukar untukku.

Dia juga ada meminta aku tidak pergi jauh darinya. Dan andainya aku hendak berjumpa atau hubunginya, dia sedia menunggu. Entah apa tujuan dia cakap begitu. Benar mengharapkan aku tidak pergi atau sekadar menjaga hati.

Kini.. Aku seperti dah terbiasa. Terbiasa tanpanya. Tak mengapa jika tidak menghubungi. Kalau aku rindu sangat, aku akan menghubunginya. Impian untuk bahagia aku kuburkan sendiri. Janji dia untuk membahagiakan aku, telah ku buang ke tepi.

Perasaan sayang tanpa syarat ini aku simpan rapi. Aku manusia yang banyak rahsia dan memendam. Dengan dia, aku banyak bercerita rahsiaku yang tidak ku buka pada yang lain. Akhirnya dia juga yang mengecewakanku.

Rahsia dan kekecewaanku biarlah aku simpan sendiri. Coretan ini sekadar melepaskan rindu yang tak pernah hilang. Pelik mahkluk bernama perasaan ni. Luka pun masih rindu. Andai semudah bicara..

Kutitipkan ayat terakhir dia yang berlegar-legar dalam kotak fikiranku.

“Awak takkan boleh lupakan saya, awak pergilah manapun, buatlah apapun. Selama ni pun awak tak lupakan saya kan?

Awak hari-hari akan thumprint, tempat yang kita mulakan semuanya. Mana mungkin awak boleh lupakan saya. Satu saja cara nak lupakan saya.. Saya yang kena lupakan awak. Tapi saya takkan lupakan awak sampai bila-bila”

Keluhan berat tak mampu ku balas. Benar apa dia bilang. Walaupun ia pahit, aku suka kebenaran itu. Dan kebenaran yang aku tak akan berkahwin dengannya kerana aku tak mampu nak menghadapi kelukaan yang lanjut.

Semoga rindu ini berlalu dan aku takkan jatuh lagi jangankan dengan orang lain, bahkan dengan orang yang sama aku tak mahu lagi. Mr Balloons… terima kasih untuk semuanya.

– Mrs Balloons (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *