Overthinking dan Sentiasa Buruk Sangka

Assalamualaikum semua. Erin sudah berkahwin selama 8 tahun dan dikurniakan 2 anak. Tetapi masalah dengan ibu mentua saya hadapi dari selepas saya berkahwin.

Selepas berkahwin, ini mentua saya seringkali mengingatkan saya yang keutamaan saya hanya pada suami dan keluarga mentua. Beliau tidak membenarkan saya pulang ke rumah keluarga saya.

Walaupun pada hari raya atau hari-hari istimewa seperti kenduri dan sebagainya, beliau akan menyusun rancangan supaya saya tidak dapat pulang.

Sekiranya ibu mentua telah menyusun hari raya pertama sehingga hari raya kelima, saya dan suami terpaksa turutkan saja untuk mengelakkan kena marah dan diherdik.

Saya dan suami akan pulang menziarahi keluarga saya selepas seminggu berhari raya, itupun ibu mentua akan kerap hubungi suami mengingatkan jangan terlalu lama. Biasanya pulang ke rumah keluarga saya cuma 1 malam dan terus pulang ke rumah keluarga suami.

Sekiranya saya dan suami pulang untuk menziarahi keluarga saya, beliau tidak akan bersalam dengan saya, beliau akan bermasam muka, sehinggalah apabila tiada siapa-siapa di rumah, beliau akan menggunakan masa tersebut untuk marah dan cakap bukan-bukan pada saya.

Beliau seringkali menggunakan ayat yang jangan pisahkan anak lelaki dia dengan keluarga dan keutamaan saya hanya kepada suami.

Ibu mentua bersifat overthinking dan seringkali buruk sangka adalah kerana terbawa-bawa oleh kisah silam.

Ibu mentua saya mempunyai sejarah silam yang beliau dijaga oleh moyang sehingga umurnya 18 tahun baru diambil oleh ibu sendiri memandangkan jarak kelahirannya dengan adik beradik yang lain terlalu rapat.

Ibu mentua saya merupakan anak sulung dalam keluarga. Beliau pernah menceritakan yang perpisahan beliau dengan moyang dan hubungan yang kurang baik dengan ibu kandung menjadikan beliau seringkali rasa menderita jiwa dan raga.

Hal ini semua saya mengetahui selepas saya berkahwin. Kisah silam ibu mentua telah menjadikan beliau suka buruk sangka dan sentiasa berfikiran yang tiada orang menyayanginya. Hal ini menjadi lebih buruk apabila saya berkahwin dengan anak lelakinya.

Beliau merasakan saya telah merampas kebahagiaan beliau dengan anak beliau.

Walaupun saya sentiasa mengingatkan suami agar berbuat baik pada keluarga dia, kirimkan wang bulanan kepada ibu bapa, bahagiakan ibu bapa dia, kerana saya akan rasa bahagia apabila dia membahagiakan keluarganya.

Namun tuduhan yang dilemparkan oleh ibu mentua saya adalah sebaliknya. Beliau seringkali menyatakan yang saya adalah pemisah kebahagiaan beliau dan anaknya.

Beliau menjadi batu api untuk merenggangkan hubungan saya bersama suami, adik/ kakak ipar dan ayah mentua serta keluarga yang lain.

Beliau seringkali mereka-reka cerita demi memburukkan saya. Selain itu, untuk mengelakkan saya dapat berjumpa keluarga saya, ibu mentua juga menuduh keluarga saya main sihir untuk memisahkan anaknya dengan keluarganya.

Tuduhan ini juga dicanang kepada keluarga dan saudara mara supaya semua orang pandang serong pada saya dan menasihati suami saya supaya tidak berjumpa keluarga saya.

Saban tahun, semakin banyak cerita yang direka-reka tetapi saya masih bersabar dan diam. Tapi sekarang perasaan saya pada suami dan keluarga suami semakin berkurang.

Saya tawar hati dan rasa mental saya sangat penat untuk hadap segala kecaman dan tuduhan yang tak pernah saya/ keluarga buat.

Saya bersyukur dikurniakan keluarga yang faham akan situasi saya dan tidak pernah memaksa untuk saya pulang menziarahi mereka. Akan tetapi saya juga berasa sedih dan tertekan apabila saya tidak dapat membahagiakan keluarga sendiri di hujung usia mereka.

Ibu mentua juga mempunyai perasaan cemburu yang sangat kuat. Beliau seringkali marah apabila nampak saya dan suami solat berjemaah dan sama-sama membaca Al-Quran.

Ketika saya berada di rumahnya, beliau akan marah apabila pintu bilik ditutup rapat atau berkunci. Kami hanya dapat menutup pintu bilik ketika malam hendak tidur.

Kini, perasaan tertekan saya berada pada tahap maksimum apabila keluarga mentua seringkali bercakap tentang anak saya. Mereka cakap saya menghasut anak supaya tidak rapat dengan keluarga mentua. Demi Allah, perkara ini tidak pernah berlaku.

Saya tidak pernah memburukkan keluarga mentua kepada anak-anak saya, dan saya juga tidak menceritakan apa tindakan buruk ibu mentua kepada suami dan keluarga saya demi menjaga silaturrahim.

Anak saya tidak mahu bergaul dengan keluarga mentua bukan kerana hasutan saya tetapi mungkin kerana anak-anak saya rasa takut kerana sedari kecil,

Anak saya melihat bagaimana ibu mentua saya memarahi, mengherdik saya ketika suami, ayah mentua dan ipar tiada di rumah.

Hanya saya, anak-anak dan ibu mentua. Beliau akan bercakap macam-macam seolah-olah dirasuk.

Selain itu, punca anak saya kurang bergaul dengan keluarga mentua adalah kerana mereka tidak layan anak saya bermain/ berbual. Anak-anak saya masih kecil, berumur 2 dan 6 tahun.

Apabila pulang ke rumah mentua, keluarga mentua hanya menyapa biasa dan terus buat kerja mereka sendiri. Adakalanya anak saya bermain “peekaboo”, lego dan mengajak keluarga mentua bermain sama tetapi tidak dilayan.

Yang pastinya ibu mentua akan cakap pada anak-anak “Mak awak tak suka atuk nenek main dengan awak.”

Kepada saya pula ibu mentua cakap dia tak suka ada bonding dengan anak-anak saya kerana dia takut sedih bila berpisah dengan anak-anak saya, jadi, dia ambil inisiatif untuk tidak rapat dan tidak layan anak saya.

Saya dan suami akan pulang ke rumah ibu mentua saya sekurang-kurangnya 2/3 kali sebulan tetapi keluarga mentua masih bercakap yang anak saya lebih suka keluarga saya kerana disihir oleh keluarga saya sedangkan perkara itu tidak berlaku.

Hanya andaian akibat perasaan overthinking dan buruk sangka.

Saya tidak tahu mengapa. Cuma perkataan yang bermain di mulutnya adalah jangan pisahkan anaknya dengan keluarga mereka.

Beliau seolah-olah ada perasaan takut kehilangan yang sangat kuat. Persoalannya, saya tidak tahu sampai bila saya mampu bertahan dengan persekitaran ini.

Dulu, saya mampu bertahan kerana saya hadap sorang-sorang, tapi sekarang saya mula fikirkan anak-anak yang membesar dalam suasana toksik hanya kerana sikap ibu mentua yang overthinking dan suka buruk sangka.

– Erin (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *