Overthinking Punca Belum Kahwin

Assalamualaikum. Maaf sekiranya post ini kurang menyenangkan anda yang membaca. Saya hanya meluahkan rasa, saya mohon rakan2 yang membaca sudi untuk memberikan nasihat yang baik-baik untuk saya.

Saya seorang anak dara yang berumur pertengahan 30-an, dan masih belum berkahwin. Puas ibu bapa saya suruh kahwin, siap mereka tolong carikan calon untuk saya. Tapi apabila berkenalan dengan calon, semuanya saya tolak.

Saya bukanlah perfectionist. Bukannya mahu yang kaya dan hensem semata. Tapi saya overthinking.

Lelaki pertama yang sukakan saya ialah Faizal (bukan nama sebenar). Faizal memang sukakan saya dari sekolah menengah. Bayangkan, dari sekolah menengah sampailah habis degree dia tunggu saya tapi saya susah sangat nak buka hati untuk dia.

Dia memang sangat kacak, rupa paras dan tubuh dia ada iras dengan Norman Hakim. Tapi saya rasa dia tak sesuai untuk saya.

Apabila saya bersembang dengan dia, saya jadi sakit hati. Ya kekurangannya dia tidak pandai berkomunikasi. Tanya sepatah jawab sepatah. Cara bercakap pun annoying.

Sedangkan saya ini kalau bertanya sesuatu saya mahukan penerangan panjang lebar. Sedangkan dia, tidak banyak bercakap. Susah juga untuk diajak berbincang. Tidak romantik juga.

Saya fikir kalau lepas kahwin pun masih begini, saya takut saya yang asyik makan hati. Yelah nak kahwin kenalah cari yang menyenangkan hati bukan? Setakat rupa paras sahaja kacak tapi macam tunggul kayu pun buat apa.

Tambahan pula, dia pun tidak serius untuk ajak kahwin. Hanya bercinta je lama, tapi plan kahwinnya tidak ada.

Akhirnya saya tinggalkan dia sebab saya tidak nampak masa depan kami. Sudah banyak masa terbuang menunggu dia. Saya overthinking, saya fikir dia hanya jadikan saya sebagai perempuan untuk dia lepaskan bosan sahaja.

Beberapa tahun kemudian, saya terjatuh cinta pada seorang lelaki sumbing. Ya lelaki ini langsung tidak ada rupa, apatah lagi kerjaya yang hebat. Lulusannya pun lebih rendah dari saya.

Tetapi apa yang buat saya tertarik padanya adalah kerana akhlak dan agamanya. Setiap kali berborak dengan saya, dia langsung tidak pandang mata saya.

Bercakap pun tidak berdua-duaan, apatah lagi nak berdating. Dia juga anak emak, sering keluar berdating dengan emaknya ke mana-mana.

Melihat dia melayan emaknya bak bidadari buat saya terpana pada dia. Cinta saya juga tidak bertepuk sebelah tangan, kerana dia juga sebenarnya sukakan saya.

Namun, ibu bapa saya menolak untuk menerimanya sebagai menantu. Alasan mereka, sumbing adalah penyakit genetik yang boleh diwarisi. Mereka tak mahu cucu mereka nanti ada yang sumbing.

Apabila berfikir dalam-dalam, benar juga kata ibu bapa saya. Btw keluarga saya memang sangat mementingkan keturunan.

Kemudian saya berkenalan dengan Haikal. Haikal memang ada rupa dan ada kerjaya yang bagus. Kami memang selesa berkawan dan Haikal pernah sampaikan hasrat untuk mengahwini saya.

Tetapi, Haikal ada latar belakang keluarga yang ada ramai pesakit kanser. Ibunya, kakaknya, datuknya, ibu saudaranya, ramai ahli keluarga dia yang ada kanser.

Sekali lagi saya terpukul. Ibu bapa saya cakap, penyakit ni memanglah ketentuan dan ujian Tuhan. Tapi selagi boleh elak, kita elak risiko. Kalau dah elak pun masih terkena, masa tu kena redha lah.

Mengahwini Haikal memang berisiko. Saya takut sekiranya anak cucu saya juga mewarisi penyakit kanser dari keturunan Haikal.

Salahkah saya menolak Haikal? Entahlah. Saya serba salah. Seolah-olah ditelan mati emak diluah mati bapa. Tapi bila fikir dalam-dalam, saya akur dengan ibu bapa saya.

Mula-mula, saya berfikir.. Lantaklah dengan keturunan! Tapi apabila melihatkan orang sekeliling saya yang berkahwin tanpa melihat keturunan, banyak pula padahnya selepas kahwin.

Contohnya, ada rakan saya baru kahwin tak sampai setahun tiba-tiba terus bercerai. Rupanya kerana suaminya curang. Kantoi jugak suaminya itu juga rupanya anak luar nikah.

Jiran saya juga ada anak luar nikah. Namun dia sudah insaf selepas kahwin dan mula berubah jadi lebih alim. Namun malangnya anak luar nikah itu apabila dewasa turut mewarisi sikap muda ibunya. Menjadi liar dan meniduri ramai lelaki.

Ibunya mengadu pada ibu saya, apalah salah didikannya. Sedangkan dia sangatlah warak sekarang. Cukup beri didikan agama untuk anaknya. Namun dia cakap, mungkin perangai lamanya kini menurun kepada anaknya.

Sejak itu keluarga saya pesan, nak kahwin kena tengok keturunan. Keturunan kami tiada yang pernah terlanjur apatah lagi punya anak luar nikah. Sebab sedikit sebanyak perangai liar itu boleh diwarisi kepada anak cucu.

Bak kata ibu “Nak kahwin ni memang kena tengok agama, tapi kena tengok juga latar belakang dan keturunannya. Kita nak keturunan yang baik-baik, sihat, tidak ada penyakit berat, tidak ada keturunan penyakit mental atau cacat, sebab kita nak elakkan benda2 itu diwarisi.

Memanglah kita masih tak boleh lari dari diuji dengan ujian sebegitu, tapi selagi boleh elak, kita elak risiko”.

Setelah lama putus dengan Haikal, akhirnya saya berkenalan dengan Faris. Faris ini lelaki yang sangat ramah dan nampak macho.

Ibu bapa saya memang berkenan dengannya sebab pandai ambil hati orang tua. Saya sendiri pun senang dengannya sebab romantis dan beradab. Saya fikir mungkin inilah jodoh yang saya cari. Bagi saya, Faris tampak sangat sempurna.

Namun apabila saya selidiki latar belakangnya, rupanya Faris pernah terlanjur dengan ramai perempuan sebelum ini. Lebih berkecai hati saya apabila rakan saya menunjukkan ada video tidak senonoh Faris dengan ex dia yang ex dia masih simpan.

Kebetulan ex dia kawan baik kepada kawan saya. Kawan saya terjumpa video itu dalam laptop ex Faris sewaktu dia pinjam laptop ex Faris.

Saya tanya Faris, betulkah dia pernah terlanjur? Saya mintak dia jujur dengan saya. Akhirnya dia mengaku dia pernah terlanjur dengan 5 ex gf sebelum ini dan pernah melanggan pelacur.

Saya terkedu. Terduduk diam saya. Hendak menangis tapi seolah tiada lagi air mata yang hendak tumpah. Hanya menangis di dalam hati.

Faris memujuk saya. Dia kata itu hanyalah masa silam dia. Dia sudah berubah dan tinggalkan maksiat itu.

Tapi saya tanya kembali pada dia, macam mana awak nak yakinkan saya yang awak tiada penyakit STD seperti herpes yang biasanya tiada simptom? Saya takut untuk berkahwin dengannya. Saya tidak mahu dia menularkan penyakit kelamin kepada saya kelak.

Kemudian, saya berkenalan dengan Kamal, seorang agen hartanah yang nampak mewah. Sering berkemeja dengan pakaian yang smart. Rambut sentiasa rapi. Dia pernah katakan bahawa saya adalah wanita idamannya.

Pernah dia cakap, dia ada plan nak kahwin dengan saya tahun depan. Tapi selepas setahun berkenalan, tiba-tiba Kamal nak pinjam duit saya sebanyak 10k. Saya tanya apa tujuan. Dia cakap dia nak laburkan untuk bisnes saham dia.

Tapi bukankah dia sudah ada banyak duit? Dia cakap semenjak covid ni projek hartanah dia slow sikit, tak banyak masuk. Tapi kenapa sampai nak pinjam duit saya? Kita belum kahwin.

Saya jadi marah benar. Tak tahu kenapa. Saya rasa saya seperti dipergunakan oleh Kamal. Saya fikir dia mendekati saya hanya kerana saya ada duit.

Yelah saya kerja gov dengan pangkat tinggi. Ada banyak simpanan. Tapi saya tak semudah itu untuk beri pinjam duit kepada lelaki yang belum bergelar suami.

Akhirnya saya angkat kaki. Saya memang cepat turn off dengan lelaki yang nak pinjam duit perempuan. Bagi saya lelaki ini takde rasa malu.

Baru-baru ini, ada lelaki bernama Asyraf berkenan dengan saya. Dia orang kampung saya juga. Ibu saya yang perkenalkan dia kepada saya.

Anak saudara kawan baik ibu Asyraf ni. Baik orangnya, nampak smart, educated. Peguam kerjanya. Rumah pun dah ada, kereta pun pakai Volkswagen. Ibu bapa saya memang dah bagi green light.

Asyraf sering ajak saya keluar makan dengannya hujung minggu. Untuk kami lebih kenal rapat. Saya dah pasang niat, kalau Asyraf ni ok saya on je nak kahwin dengan dia. Malas dah nak fikir panjang. Penat dah nak selidik semua latar belakang dia.

Lagipun dia anak saudara kawan Ibu. Ibu mesti dah check semua history dan keturunan dia. Tinggal saya je nak buat pilihan.

Selepas 5 kali keluar, saya rasakan Asyraf ni baik dan kelakar orangnya. Dia menyenangkan hati, pandai bergurau dan romantik juga. Sering belikan hadiah mahal-mahal untuk saya. Sebagai perempuan tipulah kalau tak cair. Plus dia pun ada rupa.

Tapi satu hari waktu kami jalan-jalan kat shopping mall, tiba-tiba dia ajak saya pergi kat kedai pakaian dalam. Dia tunjuk kat saya bra & underwear seksi sambil bisik “nanti i nak sayang pakai macam ni malam pertama kita”. Terus saya rasa geli geleman. Ya Allah apa benda dia ni.

Next perjumpaan tetiba dia bagi saya 1 produk untuk saya makan. Dia cakap saya kena makan produk tu jangan skip. Saya tanya apa tujuan, tanya saya sambil belum tengok bungkusan produk tu sebab dia letak dalam paper bag. Dia bisik kat saya “nak suruh besarkan awak punya”.

Jantung saya berdegup laju. Ya Allah saya rasa scary sangat waktu tu. Dia stalk badan aku ke? Sampai saiz bra pun dia tahu. Rasanya saya dah pakai baju selonggar yang mungkin, tudung bawah dada. Kalau macam ni memang turn off la citer dia.

Balik rumah saya belek produk yang dia suruh makan tu. Jelas tu adalah produk besarkan payudara. Malam tu dia whatsapp “makan tau.. i suka yang besar”.

Berkerut dahi saya baca whatsapp Asyraf. Ya Allah nak pitam saya dibuatnya. Dia ni nak kahwin dengan aku untuk apa sebenarnya? Macam2 saya overthinking. Belum kahwin dah nakal liar macam ni. Lepas kahwin nanti macam manalah agaknya.

Saya tak fikir panjang, terus saya bagitau ibu saya tak nak dekat Asyraf. Ibu tanya kenapa, saya cakap je takde jodoh.

Akhirnya saya tekad, saya sudah tidak mahu berkahwin. Daripada saya berkahwin dengan lelaki yang salah, lebih baik saya tidak berkahwin langsung.

Kalau berkahwin pun saya asyik overthinking je dan boleh jadi gaduh, baik tak kahwin terus kan? Belum kahwin pun dah macam-macam fikir tentang keturunan lah, masa silam lah, latar belakanglah, sedangkan manusia ni mana ada yang sempurna.

Tapi tipu lah kalau cakap keinginan nak kahwin tu tak ada. Tapi saya sudah malas hendak fikir. Sekiranya umur 38 saya masih belum kahwin, saya nak ambil anak angkat sahaja.

Salahkah saya terlalu memilih dan overthinking? Tolong berikan nasihat untuk saya. Saya buntu.

– Abcdefg (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *