Setiap dari manusia berkeinginan memiliki tubuh badan yang sihat. Kerana rasa sakit hanya akan mengundang ketidakselesaan dalam diri kita. Berbagai cara yang akan kita lakukan agar penyakit yang datang kepada kita akan sembuh secepatnya. Namun disebalik keinginan memiliki tubuh badan yang sihat ini, wujudnya manusia aneh yang mencipta penyakit sendiri dan sanggup memalsukan gejala penyakit.
Gangguan mental ini teramat aneh kerana pesakit rela mempertaruhkan nyawanya agar dirinya dipercayai orang lain, kalau dia benar-benar sakit parah. Pesakit rela mencederakan tubuh sendiri, agar terlihat sakit dimata orang lain bahkan pesakit sanggup untuk mati!! Munchausen syndrome. Itulah nama penyakit yang jarang didengar tapi wujud didunia.
Gejala munchausen syndrome ini terdiri daripada:-
1) Memalsukan gejala. Ini termasuklah pesakit akan berpura-pura sakit perut, pening kepala atau pengsan.
2) Mengganggu proses untuk sembuh. Pesakit akan cenderung untuk kembali sakit selepas disembuhkan kerana merasa dirinya memang masih sakit meskipun tiada tanda-tanda untuk sakit. Sebagai contoh, pesakit yang mengidap gastrik, akan berulang-ulang memakan makanan yang dilarang bagi pesakit gastrik dengan satu tujuan, agar ia kembali sakit.
3) Menyakiti diri sendiri. Jangan ingat pesakit munchausen takut untuk menyakitkan diri sendiri. Mereka bahkan sangat berani untuk memotong tangan sendiri, membakar diri atau melakukan hal-hal yang boleh mengancam nyawa seperti berpura-pura kemalangan. Sengaja menjatuhkan diri ketika menaiki motosikal atau melanggar kenderaan lain dengan tujuan dirinya akan mengalami luka atau tercedera.
4) Keinginan untuk menjalani pembedahan berisiko walaupun dirinya tidak mempunyai sebarang penyakit.
Dan ini antara orang-orang yang pernah mengalami munchausen syndrome.
1) Andrea Avigal. Si gadis ini ketika umurnya 5tahun, dia telah memotong tangannya sendiri menggunakan kaca dengan harapan ianya dapat menghentikan pertelingkahan kedua orang tuanya. Tidak berhenti disitu, dia juga pernah mematahkan tulangnya menggunakan penukul(hammer). Namun tahniah buatnya, kerana berjaya menyembuhkan penyakitnya melalui usahanya serta dibantu beberapa perawat psikiatari yang lain.
2) C.A. Gadis berusia 17tahun ini didianogsis doktor bahawa dia telah mengidap gastrik. Keluar masuk hospital hampir 34 kali dalam tempoh 3 tahun. C.A. mengaku dirinya merupakan mangsa pemerkosaan namun hasil pemeriksaan mengatakan dia hanya mengalami rasa gelisah dan depression yang melampau. Faktor dirinya seperti itu kerana keadaan kehidupan waktu kecilnya yang tragis. Dia terpisah dengan ibunya, dan mungkin pernah menjadi mangsa kekerasan seksual. Terkilan sikit pasal C.A ni, sebab dia lari dari hospital sewaktu dirinya masih memelukan perawatan.
3) ANN. Remaja ini ketika usianya 15 tahun, dia telah berpura-pura jatuh dari bangunan setinggi dua tingkat dengan harapan gurunya mempercayai dirinya kalau dia benar-benar sakit. Kerana sewaktu disekolah, dia sering ponteng dan mendapatkan cuti sakit dengan alasan demam. Cikgu tersebut memperlekehkannya membuatkan dia bertindak bodoh untuk meraih kepercayaan dari guru tersebut. Komplikasi dari itu, dia hanya mengalami patah tulang belakang. Bila orang tanya bagaimana dia boleh terjatuh, dia mereka cerita dengan beralasan dia pengsan kerana mengidap anemia 2-3minggu sebelumnya. Ketika umurnya menginjak ke 20an, beberapa kali dia dikejarkan ke hospital sewaktu dia menuntut di Universiti kerana dia berpura-pura pengsan hanya untuk mendapatkan perhatian dari orang tuanya yang sering sibuk. Malah dia juga pernah pura-pura lemas di kolam sewaktu bercuti bersama keluarganya. Dia mereka cerita dengan alasan, dia mengalami kekejangan kaki. Ann juga pernah beberapa kali terfikir untuk cuba menjatuhkan dirinya ketika membonceng motosikal. Dan Ann itu adalah aku. Ya. Aku rasa aku mengalami gejala ini kerana segala yang aku buat, semuanya gagal kerana sakit yang juga sengaja aku pura-purakan. Aku sendiri pun tak pasti kenapa perlu aku lakukan semua ni. Aku rasa aku sakit tapi aku tak sakit. Aku rasa aku perlu pengsan tapi aku sendiri tak pasti kenapa aku perlu pengsan dalam keadaan aku sedar kalau aku sedang pengsan. Aku perlu tarik perhatian orang ramai walaupun aku rasa aku dah cukup dapat perhatian dari keluargaku.
Sindrom ini telah berjaya mematikan impian dan matlamatku. Dia juga berjaya merosakkan masa depanku kerana umurku yang menginjak ke angka 24 ini masih belum mencapai satu kejayaan apa pun kerana apa? Kerana sakit yang dipura-purakan ini. Kerana penyakit mental ni, aku gagal segagal-gagalnya. Aku nak sembuh tapi aku sendiri pun tak pasti berapa peratus keinginanku untuk sembuh. Alangkah gembiranya, andai tubuhku tertukar untuk sehari pada tubuh badan manusia normal. Aku nak sekali rasa betapa bahagianya menjadi seorang manusia normal.
Sekarang aku sedang dirawat. Maaf kerana meminta tapi aku ingin sekali kalian semua doakan kesembuhan aku. Aku tahu tiada yang boleh menyembuhkan melainkan Dia namun tanpa usaha, ianya seakan sia-sia.
Dan aku sedang usaha untuk itu.
– Ann
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit