Pandangan Saya Disebalik Kemiskinan II

Assalamualaikum. Thanks admin sebab sudi siarkan perkongsian pengalaman aku “Pandangan Saya Di Sebalik Kemiskinan” (https://iiumc.com/pandangan-saya-disebalik-kemiskinan/) some weeks ago. Thanks juga pada semua yang dapat menerima perkongsian pengalaman aku tu dengan minda dan hati terbuka. Pada yang ingin tahu tentang prosedur permohonan bantuan, aku mohon sila refer kepada jabatan berkaitan kerana banyak perubahan berlaku kepada SOP permohonan dan kelulusan pemberian bantuan since last aku uruskan program sebegini.

Mungkin nanti salah information kalau aku share di sini. Dan atas dasar anonymity sebagai kakitangan kerajaan, aku cuma mampu share pengalaman aku dari aspek individual sahaja yang terpilih untuk terlibat dalam pemberian bantuan kemiskinan ini. Apa yang aku kongsikan di sini tidak melibatkan pandangan jabatan atau kerajaan secara langsung. Aku juga tidak akan komen kelemahan atau kelebihan program-program dan peranan kerajaan secara langsung sebab ada pros n cons yang tidak semuanya sesuai dikongsikan di ruang media sosial sebegini.

Semasa last confession, aku bercerita pengalaman aku melibatkan tiga kategori orang miskin tapi sebenarnya aku lupa mention kategori keempat. Kategori ini aku personally gelarkan sebagai ‘no choice’ sebab mereka adalah golongan orang miskin yang memang tiada pilihan dan peluang untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Mereka ini perlu bergantung sepenuhnya pada bantuan dan penjagaan masyarakat dan kerajaan disebabkan keuzuran, faktor usia dan kesihatan mental. Jika team aku menemui kes melibatkan golongan ini, biasanya kes ini akan diserahkan kepada jabatan lain yang lebih hands on pada bantuan melibatkan golongan ini disebabkan skop jabatan aku ketika itu hanya terbatas pada bantuan baikpulih dan peningkatan pendapatan sahaja.

Golongan ini banyak membuatkan aku mengalir air mata dan menjentik hati aku agar bersyukur dengan rezeki yang allah kurniakan pada aku. Namun ada juga masanya mereka mampu menghiburkan aku dengan telatah mereka. Hingga kini aku berharap mereka ini dijaga dengan baik oleh ahli keluarga dan jika tidak, dihantar ke pusat penjagaan yang bersesuaian agar mereka sentiasa sihat dan terjaga dengan baik. Di sini aku kongsikan some cases melibatkan golongan ini.

Kes 1 :

Aku dan team pergi menyiasat permohonan bantuan baikpulih rumah yang dihuni oleh seorang pakcik dan anak tirinya yang lembam. Orangnya dah terlalu tua. Jalan pun bongkok tiga. Nasibnya tidak baik apabila perkahwinan terakhirnya hanya mampu meninggalkan bebanan pada dia. Menurutnya, dia berkahwin dengan janda anak sorang dengan harapan si isteri yang masih muda berbanding dirinya itu mampu menjaganya apabila dia betul-betul uzur nanti disebabkan anak-anak daripada perkahwinan terdahulu hidup jauh daripadanya dan mereka sendiri pun bukanlah terdiri daripada orang senang.

Namun tanpa disangka si isteri yang pergi meninggalkannya dahulu akibat asma. Ketika tu, dia terpaksa menjaga anak tirinya yang lembam berseorangan. Ketika kami sampai, dia sedang menyediakan makan tengahari. Sedih hati melihat menu mereka. Cuma nasi putih dan sayur tauge goreng.

Tauge pun dibeli di pasar berdekatan yang terletak kira-kira 2km dari rumah (dia kayuh basikal pi sendiri semata-mata beli tauge je). Katanya itu sahaja yang dia mampu sediakan untuk mereka 2 beranak. Rumah yang didiami mereka juga tidak mempunyai tandas. Segala aktiviti pembuangan terpaksa dilakukan di dalam belukar di belakang rumah namun aku lihat persekitaran rumah masih bersih dan tiada bau yang kurang menyenangkan. Menangis aku dan team aku apabila kami masuk semula ke dalam kereta. It’s one of the time when we felt so hopeless sebab selain daripada membina tandas baru, aku tau bantuan-bantuan lain yang diperlukan oleh pakcik ni adalah diluar bidang kuasa aku dan team aku.

Disebabkan itu, kami decide untuk hulur bantuan sebagai anggota masyarakat biasa dengan kumpul duit sesama kami dan belikan makanan seperti beras, tepung, minyak, gula, kopi, sardin dan sebagainya untuk disumbangkan kepada beliau. At the same time, kami juga turut alert jabatan lain yang berkaitan akan keadaan pakcik dan anak tirinya ini yang perlukan perhatian segera kerana pada pandangan aku, pakcik ini terlampau berumur (80 tahun lebih) dan tidak sesuai dipertanggungjawabkan untuk menjaga anak tiri perempuan yang lembam.

Kes 2 :

Asalnya tujuan kami masuk ke sebuah kampung ni untuk menyiasat permohonan bantuan rumah tapi terjumpa pula 1 kes yang agak unik ni. Kakak yang memohon bantuan rumah tersebut memaklumkan adiknya juga mungkin perlu dibantu. Ketika ditunjukkan rumah adiknya, memang kelihatan sangat uzur. Tingkap dan sebahagian lantai rumah dah tercabut. Keadaan sekeliling rumah memang penuh dengan semak samun. Memang syaitan dah bisik kat dalam otak aku time tu dan cop rumah ni sebagai rumah orang pemalas. Tapi bila jumpa tuan rumah, aku tak tau nak gelak or mengucap panjang. Kerana apabila ditanya nama, dia cuma maklum namaya ‘Dato’ K’ dan wifenya ‘Dato’ Siti’ dah keluar pi beli ikan.

Rupanya si adik yang merupakan peminat setia Dato’ Siti Nurhaliza ada masalah mental dan dibiarkan duduk berseorangan di rumah tu oleh ahli keluarga. Si kakak cuma bertanggungjawab menghantar makanan dan memastikan adiknya pulang ke rumah sebelum malam. Menurut si kakak, bukan dia tidak mahu mengajak adiknya tinggal sekali tapi perangai si adik boleh membahayakan orang lain kerana apabila dia naik angin, dia akan cabut semua cermin nako dan baling ke lantai. Mana papan atau lantai rumah yang boleh dicabut, dia akan cabut dan baling.

In this case, aku refer dia pada jabatan lain dan tak praktikal untuk baiki rumah sebab sikapnya yang destructive tu. Bukan tak terlintas bina rumah baru yang dibuat sepenuhnya daripada simen, tapi dalam kes tapak rumah masih di atas nama ahli keluarga lain, adalah satu risiko besar untuk buat rumah yang elok sebab ada kemungkinan dia akan dihalau keluar dan ahli keluarga lain pula yang masuk duduk dalam rumah baru tu (pernah berlaku kes macam ni).

Kes 3 :

Kami telah menerima permohonan bantuan rumah baru dan apabila disiasat, permohonan tersebut diluluskan berikutan pemohon sememangnya miskin tegar dan juga OKU (bisu dan cacat kaki) memerlukan rumah ‘atas tanah’ untuk memudahkan pergerakan berbanding rumah sedia ada yang bertiang tinggi dan si abang juga telah beri kebenaran untuk bina rumah baru di tapak tersebut (geran tanah atas nama abang). Rumah baru tersebut siap dibina di tepi rumah lama yang ketika itu tidak dirobohkan sepanjang tempoh pembinaan rumah baru dengan alasan pemohon tiada tempat tinggal lain jika rumah dirobohkan.

Selepas rumah siap, bukannya OKU tu yang pindah masuk rumah baru tetapi si abang dan keluarga dia yang pindah masuk. OKU yang mohon tu masih duduk di rumah lama. Pelbagai alasan diberi oleh si abang bila kami nak robohkan rumah lama dan suruh adik pindah masuk rumah baru. Antara alasan paling tak boleh diterima oleh kami ialah katanya adik dia selesa duduk di rumah lama tu lagi daripada rumah baru.

Si adik pula ambil pendekatan berdiam diri apabila ditanya tapi aku nampak mukanya sedih diperlakukan macam tu oleh si abang. Ikut hati, macam nak roboh rumah baru tu sebab geram dengan perangai si abang yang ambil kesempatan terhadap kesusahan si adik. Sampai sekarang, setiap kali lalu depan rumah tu, aku still rasa geram dengan perangai si abang.

Itu sebahagian daripada pengalaman aku dalam menghadap karenah golongan kurang berkemampuan ini. Pengalaman penglibatan aku dalam program melibatkan orang miskin ni ibarat membuka mata aku terhadap kesusahan dan juga in some cases, kebodohan, manusia dalam menjalani kehidupan di dunia ni.

Sebagai manusia biasa, aku cuba ambil iktibar akan pengalaman yang aku kutip sepanjang melaksanakan tugas aku dan cuba baiki kehidupan sendiri dan orang-orang terdekat dengan aku. Semoga kita semua tidak akan pernah berhenti menjadi lebih baik daripada hari sebelumnya dan pemberi sedekah/bantuan kepada golongan yang memerlukan.

– Kak Long

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *