Saya merujuk kepada post ini sebagai balasan:
https://iiumc.com/dilema-guru-
Saya ucapkan terima kasih kepada Pendidik yang tersakiti atas keberanian meluah isu ini di IIUM Confession. Semoga hati confessor lebih tenang selepas meluah.
Ada banyak perkara yang saya bersetuju dengan penulis. Ya. Yuran yang kita sangka sudah cukup mahal rupanya tak setanding dengan kualiti yang diharapkan.
Terlebih dahulu saya berpengalaman menjadi guru dan juga memegang jawatan pentadbiran di beberapa buah tadika swasta francais islamik terkenal dan tadika di bawah NGO dakwah tarbiah dikenali di lembah klang.
Latar belakang pendidikan saya dalam bidang kemanusiaan dan kini sedang menunggu tawaran permohonan PhD.
Sepanjang saya bekerja juga, saya tidak pernah mendapat gaji yang setimpal dengan kelulusan. Namun saya suka bekerja dengan tadika sebab saya sukakan kanak-kanak.
Nak lebih perlu buka tadika sendiri sedangkan latar belakang keluarga saya hanyalah B40. Tak mampu. Belajar pun lakukan banyak side income dan mengharap biasiswa. Jadi, saya cuba mengelak mana-mana conflict of interest semasa menyalurkan pandangan dan panduan.
Sebelum saya bermula, semua perlu tahu bahawa Taska adalah untuk kanak-kanak berusia 2 bulan hingga 4 tahun dan di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Manakala Tadika adalah untuk kanak-kanak 4-6 tahun dan di bawah pemantauan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Ada beberapa tadika lain seperti Tabika Perpaduan yang di bawah pemantauan Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Kemas juga di bawah Jabatan Kemajuan Luar Bandar. Jadi nampak kan betapa tiada satu badan khusus yang menjaga kebajikan kanak-kanak?
Ada usaha untuk satukan tapi itu sebelum berlakunya rampasan kuasa dan saya tidak mahu bercerita lebih lanjut hal tersebut.
Jadi jika anak anda 3 tahun tapi anda tak sabar nak masukkan anak ke tadika dan tadika tersebut terima, adakah ianya salah? YA. SALAH.
Taska dan Tadika mempunya 2 kurikulum/standard pembelajaran yang berbeza. Walaupun banyak pengusaha yang melakukan salah laku ini.
Tadika mereka biasanya hanya dapat amaran. KPM bahagian pendidikan swasta tidaklah selalu kerap memantau operasi tadika dan mereka juga ada minimum requirement untuk tadika. Biasanya hanyalah menasihat pengusaha.
Tidak seperti JKM, mereka lebih tegas dengan operasi Taska, selalu buat pemantauan namun ada juga beberapa tindakan yang tidak tegas berhubung minimum requirement operasi taska.
Namun kita boleh semak taska yang berdaftar dengan JKM. Biasanya hanya taska yang memenuhi kesemua syarat operasi sahaja yang diletakkan di laman web.
Seterusnya, saya memfokus kepada tadika. Bagaimana nak tahu tadika itu bagus atau tidak bagus?. Hakikatnya, tiada yang sempurna, namun kita boleh pilih yang kita boleh terima kekurangan dan kelebihannya.
Dulu ada Instrumen Pematuhan Pemantauan dalaman Tadika Swasta. Kini saya cari tak jumpa. Mungkin sudah didigitalkan dalam bentuk laman web untuk akses pengusaha tadika sahaja. Di sana ada lebih banyak item yang boleh menjadi panduan ibu bapa semasa memilih tadika.
Mendapatkan tadika yang baik agak sukar kerana kebanyakkannya bergantung kepada sikap pengusaha itu sendiri. Malangnya saya berjumpa dengan ramai pengusaha yang berlindung atas nama tadika islamik namun masih ada juga yang menganiaya pekerja. Saya juga percaya ada pengusaha yang baik-baik.
Jangan percaya kepada media sosial tadika sebab saya juga tertipu. Masuk pejabat, fail pengurusan kosong, fail pelajar tak terurus, jadual harian untuk kanak-kanak hingga 7-8 subjek sehari(8-12.30 tengahari), guru pula setiap subjek berpindah-pindah kelas seperti sekolah rendah.
Selidiklah sendiri tadika anak-anak anda. Saya faham ibu bapa juga ada kekangan kewangan, masa yang kadangkala menuntut tadika yang buka hingga ke lewat petang.
Berikut adalah sedikit panduan asas selain di atas selepas mengambil kira limitasi ibu bapa, guru dan pengusaha.
1. Carilah tadika francais. Berat untuk saya katakan hal ini namun satu kelebihan yang ada pada tadika francais adalah modul yang stabil dan tersedia. Modul yang saya maksudkan bukanlah modul membaca BM, BI dan Iqra. Itu kita boleh selidik di pasaran, beli dan ajar anak sendiri di rumah jika banyak masa.
Modul yang saya maksudkan adalah modul didikan. Tadika yang baik biasanya mempunyai falsafah pendidikannya tersendiri. Guru-gurunya dilatih mempunyai fikrah didikan yang sama. Mereka mempunyai skrip guru tersendiri berdasarkan falsafah pendidikan sesebuah tadika.
Saya beri contoh, metod khalifah yang di pakai di sesetangah tadika. Ini memberi plus point kepada ibu bapa dan guru kerana guru sudah ada panduan yang jelas jangkaan didikan kepada anak-anak.
Namun hati-hati kerana ada juga guru yang tidak dihantar latihan oleh pengusaha mungkin atas faktor kewangan. Jika tak mampu, percayalah tadika Kemas lebih baik juga dari tadika swasta.
2. Carilah tadika yang sudah ada modul yang jelas/menarik dan sokongan keibubapaan. Pendekatan pembelajaran ada banyak jenis. Antara yang menarik di tadika adalah pendekatan bertema dan berasaskan projek. Cuba cari tadika yang sudah siap sedia dengan modul untuk setiap tema dan projek.
Hal ini memudahkan guru kerana tidak perlu buat lesson plan baru yang banyak. Perlu diingat juga, isu tadika yang kompleks menjadikan saya tidak berharap untuk seseorang guru berada lama di sebuah tadika.
Apabila modul sudah lengkap tersedia, guru baru yang masuk tidak terganggu dengan sistem pembelajaran kerana semuanya sudah tersedia.
Memandangkan gaji bagi guru tadika juga di paras minimum dan ada yang bekerja tak cukup 8 jam sehari, ianya cukup rahmah untuk mengurangkan beban kerja guru.
Ada juga tadika yang cuba menyelaraskan didikan mereka di tadika dengan di rumah dengan menyediakan kursus keibubapaan untuk ibu bapa yang mendaftarkan anak di tadika mereka.
Itu adalah yang terbaik. Guru dan Ibu bapa bergandingan mendidik menggunakan konsep yang sama.
3. Pantau nisbah pelajar dan guru. Selidiknya saiz kelas dan tanyalah kepada pengusaha nisbah guru dengan pelajar. Seeloknya carilah nisbah 1 guru untuk 10 orang pelajar. Bagi pengusaha, mungkin ini akan merugikan namun ianya adil untuk kanak-kanak, ibu bapa dan guru.
Kanak-kanak mendapat perhatian dan peluang belajar secukupnya, guru juga lebih tenang mengajar. Tak semestinya ibu bapa nampak ramai kawan-kawan hantar anak ke satu tadika, tadika itu terbaik.
Lihat dari aspek lain juga. Lebih 10 orang pelajar? pastikan pengusaha menyediakan tambahan satu guru lagi. Janji manis pengusaha juga perlu diselidik supaya tak tertipu selepas anak didaftarkan.
4. Jika anda mengambil berat dengan makanan anak, tanyalah kepada pengusaha menu harian anak. Sangatlah susah mencari pengusaha yang mengutamakan makanan sihat. Sama ada anak anda dibekalkan dengan makanan sendiri dari rumah atau berlapang dada dengan pilihan menu yang ada.
Jika ada dan pengusaha mahu mendengar keluhan anda alangkah bagusnya.
Namun saya tak pernah lagi ditemukan dengan pengusaha yang mengubah menu lebih sihat untuk kanak-kanak atas faktor kos, keuntungan dan pembekal makanan. Perjuangan memartabatkan makanan sihat ini masih jauh lagi. Tahniah buat pengusaha yang berani lakukan perubahan.
5. Perhatikan jadual kelas anak-anak. Sesi pembelajaran tadika agak singkat biasanya pukul 8.00 pagi-12.30 tengahari. Jika dilihat silibus KSPK, nampak banyak namun ianya boleh dicapai untuk setahun sesi pembelajaran dan menggunakan pendekatan yang berbeza.
Pastikan sehari tak lebih 5 matapelajaran. Seeloknya matapelajaran sains tidak mempunyai jadual namun dimasukkan dalam pendekatan projek ataupun pendekatan lain yang sesuai.
Begitu juga beberapa subjek lain yang boleh diintegrasikan dalam modul/pendekatan tertentu. Bertanyalah sistem pembelajaran sesebuah tadika dengan lebih teliti kepada pengusaha.
Ibu bapa mengeluh yuran mahal, kualiti tak setanding, makanan tak sihat/ tak cukup/ anak tak pandai-pandai,
Guru tadika pula mengeluh gaji kecil, letih jaga kanak-kanak, rehat sedikit, skop kerja terlalu besar untuk standard gaji dan pengusaha pula akan mengeluh kos mengurus tinggi, untung berkurangan, dan lain-lain lagi.
Rumusnya, ibu bapa melihat kualiti dengan harga di bayar, guru melihat skop kerja dengan timbal gaji yang diperoleh dan pengusaha pula sebolehnya mahu mendapat untuk yang setimpal.
Kanak-kanak? Apa yang terbaik untuk mereka?
Apabila kita menerima kelebihan dan menyokong kekurangan mereka. Ibu bapa berdamai dengan trauma didikan masa kecil dan terus belajar menjadi ibu bapa yang adil dan penyayang untuk anak.
Untuk ibu bapa, pengusaha tadika bukan musuh kita, guru juga bukan musuh kita. Buat guru dan pengusaha, ibu bapa juga bukan musuh kita. Kita saling memerlukan untuk menjadikan dunia ini lebih baik untuk kanak-kanak. Merekalah kelompok VIP dalam ekosistem tadika ini.
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Saya mengalu-alukan pembetulan fakta di ruang komen jika ada tersilap. Mohon maaf juga jika ada ketelanjuran bahasa.
Terima Kasih,
– Kak B (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit