Panggilan Kaabah

Panggilan Kaabah

Selalu kan dengar, Allah akan kabulkan apa yang kita minta, samaada cepat ataupun​ lambat. Yang penting sabar, dan teruskan usaha. Bersangka baik dengan Allah. Yakin dengan Allah.

Baru baru ini, ayah aku yang tercinta mendapat tawaran menunaikan haji. Ia mungkin sesuatu yang tidak pelik untuk mereka yang seusianya untuk terpilih di saat ini. Ayah aku bakal menginjak ke usia 70 tahun hujung tahun nanti. Sudah selayaknya mendapat panggilan ini bukan?

Tetapi ada sesuatu yang menarik tentang ayah aku, yang mengusik hati aku sendiri betapa Allah itu Maha Penyayang, Maha Baik.

Awal Januari tahun ini, ayah aku dapat menunaikan umrah bersama abang aku. Dan sebelum dia menjadi tetamu Allah ini, pelbagai ujian hadir menyapanya.

Ayah aku pemandu teksi. Setia memandu mengambil penumpang sehinggalah suatu hari dia ‘terambil’ perompak. Ayah aku yang sudah tua ini diacu dengan parang, dirompak wang tunai dan teksinya dilarikan. Ditinggal di tepi jalan. Keseorangan. Tetapi kes ini selesai cepat dengan kuasa viral, malam tu jugak teksinya dijumpai kembali. Lega. Hidup dijalani seperti biasa.

Dan siapalah sangka kejadian itu hanyalah ‘hint’ awal untuk ujian yang lebih besar.

Seminggu selepas itu, abang aku dilaporkan hilang dan 12 hari kemudian dia ditemui di hospital dan terkena strok. Lumpuh seketika anggota sebelah kanan. Dan disinilah bermulanya pengorbanan seorang ayah. Tanpa jemu dan mengeluh, setiap hari ayah aku menziarahi abang. Dialah paling penyabar sekali menyantuni abang, menjaganya. Bergilir gilir dengan kami adik beradik. Mak aku dah takde. Meninggal 14 tahun yang lalu. Bila abang aku keluar hospital, dia juga yang gigih mandikan abang, dan penuhi apa apa keperluan abang. Jangan salah sangka, kami adik beradik pun saling membantu, cuma di sini aku nak tekankan tentang ayah aku. Dan ayah aku tak pernah mengeluh pun menjaga abang. Aku kagum sangat.

Dan aku sangka itulah saja ujian kami. Ujian yang cukup besar dah bila mengenangkan abang aku yang dulunya sihat, terkena strok dan kini salah seorang pemegang kad oku. Tapi abang aku okay dah, boleh berjalan boleh buat banyak benda sendiri cuma tak sesempurna kita semua yang sihat ini.

Berbalik kepada ayah aku. Rupanya tahun yang sama, bulan Julai tahun lepas sekali lagi Allah uji ayah aku. Ayah aku bercerai atas permintaan bekas mak tiri aku selepas 10 tahun pernikahan. Aku hadir ketika prosiding di mahkamah menemani dia untuk lafaz cerai, and guess what, ayah aku menangis teresak esak waktu lafaz talak hendak diucapkan sampai hakim berikan rehat setengah jam untuk tenangkan diri. Betapa hatinya kecewa dan memendam rasa, waktu itu sajalah diluahkannya dengan air mata. Hanya pada waktu itu.

Dan selepas itu bermulalah kehidupan aku kembali serumah dengan ayah aku setelah beliau menjadi duda. Dan seperti aku nyatakan tadi, selepas diuji bermacam macam, Allah panggil ayah aku menjadi tetamunya untuk menunaikan umrah pada awal Januari tahun ini.

Balik dari umrah, memang dia selalu merindui Makkah. Malam malam kalau dia tak boleh tidur, aku selalu dengar dia bukak YouTube dengar bacaan alQur’an ataupun dia guna alQur’an Digital. Dia selalu tengok video video yang berkaitan Makkah. Memang dia selalu kata kalau ada peluang memang dia nak pergi lagi. Dan kebetulan Pak Long Mak Long aku akan tunaikan umrah InsyaAllah Oktober nanti, dan ayah aku dengan terujanya mahu turut serta. Deposit dah bagi dah pun. Memang dia dah berangan seronok nak ke sana lagi.

Dan siapa juga sangka setelah ujian, ujian, ujian maka datanglah nikmat, nikmat dan nikmat.

Ayah aku yang asalnya bercadang hendak tunaikan umrah kali kedua, Allah berkehendak untuknya menjadi tetamu untuk tunaikan rukun islam kelima. Dan dia bakal berada di Makkah dan Madinah selama 44 hari. Satu khabar gembira yang tidak berada dalam jangkaan kami.

MasyaAllah, Allah telah berikan hadiah yang hebat. Hadiah yang tak diduga. Setelah beratnya ujian, Allah jemput menjadi tetamuNya. Betapa aku kagum dengan kesabaran dan kesungguhan ayah aku, moga Allah terima tiap amal dan kebaikannya.

Aku kongsikan kisah ini agar kita selalu berbaik sangka dengan Allah. Kita buat kerja kita iaitu berusaha dan mengabdi padaNya dan Allah akan berikan takdir yang terbaik buat kita.

Air mata semalam itu boleh saja menjadi air mata bahagia pada hari ini.

Doakan ayah aku selamat pergi dan kembali, mendapat haji yang mabrur dan diberi kesihatan yang baik selama di sana nanti.

— Kak Chenta

– Kak Chenta

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit