Pantri Hospital

Pantri hospital? Ada apa dengan bilik pantri ini? Bilik ini terletak di setiap wad, mempunyai peti ais, meja dan beberapa alatan seperti pinggan mangkuk dan cawan serta penapis air. Bilik ini menjadi tempat singgahan staf di wad seperti jururawat dan juga doktor taktala mereka penat melakukan tugasan demi tugasan yang pasti akan ada dan pasti tidak akan habis.

Di bilik inilah aku pernah sekali melihat seorang jururawat yang menangis teresak-esak sambil memandang tingkap di luar, cuba untuk menyembunyikan emosi dan fakta bahawa dia sememangnya sedang menangis daripada aku yang singgah untuk minum.

Baru beberapa minit sebelum itu dia dimarahi, dihumban dengan cawan berisi air oleh waris pesakit yang menuduhnya tidak menukarkan lampin dan memberi ayahnya makan, walhal semua tahu, itu bukan tugas seorang jururawat. Dia menangis, mengelap air mata, memabasuh muka, dan kemudiannya berjalan keluar sambil senyum melihat pesakit-pesakitnya yang lain, yang masih menghargainya.

Di bilik ini jugalah aku melihat seorang doktor (house officer), yang mengurut-ngurut kepalanya taktala migrain menyerang dirinya selepas dia terlalu stress dan menjadi hypoglycaemia saat dia tidak sempat makan dan minum apa-apa daripada jam 6.00 pagi dia tiba di wad sehinggalah jam 9.00 malam akibat kemasukkan pesakit bertali arus sepanjang hari. Dia sendiri memerlukan ubat-ubatan dan sedikit makanan untuk dirinya berfungsi semula sebagai seorang doktor.

Di bilik ini jugalah aku pernah melihat seorang staf yang menyuap satu mulut makanan, dan kemudiannya berlari keluar kerana tiba-tiba ada seorang pesakit di kubikel acute collapse dan memerlukan resusitasi.

Ada sebuah sofa bewarna biru disudut pantri ini, yang sudah agak buruk dan lunyai. Aku pernah melihat seorang medical officer yang berlari ke wad kecemasan, dan naik semula ke wad dan kemudiannya ke wad kecemasan semula tanpa henti sepanjang hari pada satu hujung minggu yang sibuk, dan akhirnya, dia terbongkang tidur di atas sofa buruk tersebut yang aku rasa, merupakan satu tempat tidur paling istimewa di dalam dunia baginya kerana di situlah dia dapat tidur dengan nyenyak dan lena saat kerjanya sudah selesai.

Di bilik inilah aku mendengar perbualan demi perbualan staf, yang mana topiknya cuma satu, iaitu pesakit, pesakit dan pesakit. Sambil makan, sambil minum dan sambil berbual, tentang pesakit. Itu sahajalah tajuknya.

Di bilik ini jugalah aku pernah melihat seorang staf mengamuk, dan membaling begnya ke almari menyebabkan semua perkakasan yang berada di atas almari jatuh berderai. Semuanya gara-gara sudah 3 hari berturut-turut dia perlu kerja double-shift, menggantikan orang lain yang tidak semena-mena terpaksa mengambil cuti akibat kecemasan.

Dan di dalam pantri inilah tempat aku makan, minum, berehat dan berbual kosong sepatah dua sebelum meneruskan kerja yang tidak akan habis di wad. Kau nak tonton drama? Kau nak tahu sedikit sebanyak mengenai staf pekerjaan mereka di wad? Inilah tempatnya. Kau luangkan sahajalah beberapa minit di situ, kau pasti akan dapat belajar banyak mengenai bagaimana rasanya menjadi seorang pekerja di hospital dan betapa warna-warninya kehidupan ini boleh jadi.

P/s – Nukilan di saat tidak boleh tidur. Bukan bertujuan mengangkat profesion dan menjunjung pekerjaan ini ke langit ke-7, cuma berkongsi apa yang aku lalui dulu, serta bagaimana bilik kecil ini membawa 1001 kisahnya yang tersendiri.

– Ilzanno Sharky (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *