PAP Dari Neraka

Penceritaan semula ini mengandungi 1,500 perkataan dan mungkin akan mengambil masa anda sebanyak 6 minit untuk menghabiskan bacaan. Kisah ini ditulis semula oleh saya berdasarkan pengalaman yang dilalui oleh seorang jururawat KKM beberapa tahun yang lalu.

Kisah ini berlaku di sebuah hospital kerajaan di Malaysia. Sewaktu itu, aku berkhidmat di jabatan orthopaedic sebagai seorang jururawat yang baru sahaja masuk ke tahun kedua pekerjaan.

Orthopaedic merupakan jabatan yang menguruskan sakit-sakit berkaitan dengan tulang dan bahagian anggota tangan dan kaki, tak kira kecederaan yang diakibatkan oleh kemalangan jalan raya, jangkitan kuman mahupun ketumbuhan.

Kisah ini bermula apabila seorang perempuan berbangsa Cina yang berusia 65 tahun dimasukkan ke wad atas sebab jangkitan kuman di kakinya.

Dia yang kami panggil sebagai Auntie Lim (bukan nama sebenar) seringkali dimasukkan ke hospital dan mengikut kepada failnya, Auntie Lim mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi, serta kedua-dua matanya hampir buta akibat penyakit katarak.

Aku mengambil alih syif yang di pass kepada aku saat rakanku yang bekerja syif pagi pulang jam 2 petang. Syif PM aku bermula jam 2 petang seihingga 9 malam. Taktala aku melihat nama pesakit ni, terus aku bertanya rakan aku, seorang jururawat senior di wad tersebut.

“Eh, Auntie Lim ni bukan baru discharge ke 3 hari lepas?”, tanyaku apabila nama yang aku lihat amat familiar, ibarat deja vu.

“Yalah, biasalah dia ni, dah banyak kali keluar masuk hospital, sebab sakit yang hampir sama”, katanya

“Hmm, ni mesti tak compliance kat ubat ni, antibiotik mesti tak makan sampai habis”, aku mula menuduh, namun tuduhan aku cepat dipotong oleh seniorku itu

“Tak baiklah cakap macam tu, jangan assume yang bukan-bukan lah, karang tak pasal-pasal dapat dosa kering”, katanya sambil mengangkat begnya, bersedia untuk pulang.

Aku mengangguk sahaja tanda setuju dengan apa yang diperkatakan. Setelah aku melaksanakan pelan rawatan doktor, iaitu memberi antibiotik kepada Auntie Lim dan beberapa pesakit yang lain, aku melabuhkan punggung di kerusi di kaunter jururawat, bersedia menulis laporan dan update untuk setiap pesakit.

Apabila aku terlihat BHT (Bed Head Ticket aka Fail Rawatan Pesakit) milik Auntie Lim, perasaan ingin tahu aku menebal memikirkan mengapa dia seringkali dimasukkan ke wad.

Helaian demi helaian aku selak, membaca satu per satu tulisan doktor yang ibarat cacing kerawit itu. Aku pelik apabila terbaca informasi di bawah social history pesakit itu yang menyatakan bahawa pesakit duduk di rumah jagaan orang-orang tua, tidak jauh daripada hospital.

Aku pelik kerana saat aku memberi ubat-ubatan Auntie Lim tadi, aku lihat waris, atau selalu kita panggil PAP (People Accompanying Patient) berada di sebelahnya.

Budak perempuan itu berumur dalam lingkungan 17 tahun, dan dalam hatiku, mengapa dia tidak duduk di rumah menjaga Auntie Lim sahaja, mengapa perlu dihantarnya orang tua itu ke rumah jagaan? Tetapi, bak kata senior aku, lebih baik aku jangan tuduh macam-macam dan serkap jarang, nanti dapat dosa.

Beberapa hari selepas itu, aku mula dapat membaca apakah sebenarnya yang berlaku di dalam keluarga ini. Auntie Lim sudahlah tak fasih berbahasa Melayu, dan perangai anaknya, Sheryl (bukan nama sebenar) agak menyakitkan hati aku juga.

Masakan tidak, duduknya dia di situ hanyalah untuk duduk, bukan untuk membantu atau apa-qpa, tetapi duduk. Matanya terpaku di skrin telefon, dan setiap kali aku menghampir Auntie Lim baik untuk menyuapkan makanan, menukar lampin mahupun memandikannya, dia langsung tidak peduli.

Sampaikan perlu disuruh ketepi pula bila dia tertonggoh di situ menghalang laluan kami nak buat kerja. Entah apa jenis ketaksubannya dengan telefon yang dipegangnya itu sampai tak perasan orang lain nak buat kerja.

Aku dah pernah suruh berkali-kali untuk membuat tugasan itu sampai tahap berbuih mulut kerana maklumlah, menukar lampin, menyuapkan makanan itu kerja PAP pesakit, bukan kerja seorang jururawat.

Bukan aku nak berkira, tetapi itulah sebabnya mengapa hospital membenarkan seorang waris untuk menjaga pesakit. Bukannya berfungsi untuk duduk diam, main telefon dan hanya memenuhkan ruang di wad sahaja tanpa fungsi.

“Saya tak tau”,

Perempuan berumur 17 tahun itu, berambut karat, bermekap tebal dan pakaian yang amat sendat itu menjengkelkan mata aku dan akan memberikan respons yang sama iaitu ‘saya tak tau’ setiap kali aku menyuruh atau meminta bantuannya.

Ada sekali, aku abaikan sahaja pesakit, lantaklah nak jadi apa, nanti-nanti, pasti anaknya buat juga sebab kesian.

Tetapi, jangkaan aku jauh meleset. Dia langsung tak pedulikan ibunya. Ibunya berkali-kali minta air, minta makanan, dia buat bodoh sahaja.

Pandang ke tempat lain, kemudian beralih keluar daripada wad. Daripada pagi sampai ke malam, begitulah keadaan ibunya, yang tak mandi, tak makan, lampin tak ditukar, sehingga akhirnya kami, jururawat yang menjaganya terpaksa mengalah.

Ada satu hari itu, tiba-tiba Sheryl ini datang wad bersama seorang lelaki. Aku kira, itu teman lelakinya. Melihatkan betapa gediknya cara dia bercakap dengan lelaki tersebut, dan gayanya yang menggoda membuatkan siapa-siapa yang ternampak itu termuntah hijau. Malangnya, jangkaan aku benar kerana itu memang teman lelakinya.

Namun, 2 PAP di dalam wad juga tiada fungsi, tiada guna. Sama sahaja, dan semakin bising pula sampaikan makcik di katil sebelahnya mengadu kepada aku. Anak Auntie Lim terlalu bising bersembang dengan lelaki tersebut, sehinggakan makcik tu tak boleh tidur.

Akhirnya, aku meminta bantuan pegawai keselamatan di wad untuk meminta lelaki tersebut meninggalkan wad, menggunakan alasan hanya satu PAP sahaja dibenarkan untuk menjaga pesakit.

Memang aku sakit hati sampaikan aku rasa semacam tak ikhlas nak menjaga Auntie Lim. Namun, aku kuatkan semangat, dan imbas kembali niat mengapa aku menjadi seorang jururawat. Untuk menjalankan tugas bagi membolehkan pesakit sembuh dan sihat daripada penyakit dan menambah baik kualiti hidup mereka.

Berbuih mulut aku nasihat, membebel, menyuruh dan memarahi anaknya, respons yang sama sahaja membuatkan aku makin sakit hati.

Petang itu, aku lihat Sheryl bersama teman lelakinya sedang bising-bising, bercakap dalam bahasa cina dengan kuat. Sampai ke satu masa, tiba-tiba sahaja senyap.

Apabila aku menjenguk ke katil Auntie Lim, kedua-dua makhluk itu tiada di situ. Aku tak peduli pun sebab tak kira ada atau tidak, bukan ada perbezaan pun pada pesakit.

Pada satu hari, sedang aku membuat laporan jururawat dengan tekun, tiba-tiba ada seorang pesakit menghampiri aku. Pesakit itu merupakan pesakit yang duduk di sebelah katil Auntie Lim, satu kubikel dengannya.

“Misi, jamban tu kunci ke? Daripada petang tadi, dah 2 jam lebih dah, makcik nak guna, tapi berkunci pula” katanya.

Aku pelik juga kerana kalau mungkin ada pesakit menggunakannya, tandas sekalipun, takkan sampai dua jam. Lagi pun, tandas di kubikel tersebut cuma ada 2 pesakit, Auntie Lim dan makcik tersebut. Aku terus bangkit dan berjalan ke arah tandas tersebut, yang sememangnya berkunci. Aku ketuk berkali-kali, tiada jawapan langsung.

Darah aku yang menggelegak membuatkan aku menjerit untuk bertanya siapa yang berada di dalam tandas. Tiba-tiba aku terdengar suara Sheryl

“Saya, saya ada dalam, sekejap yaa”, katanya

“Buat apa lama-lama dalam tandas ni, keluar! Ada pesakit nak guna ni”, aku menjerit.

Apabila pintu dibuka, terpacul Sheryl dan teman lelakinya daripada tandas tersebut. Mereka tersengih-sengih antara satu sama lain. Saat itu aku betul-betul menyirap. Darah membuak-buak terus aku tanya

“Kamu berdua buat apa dalam tandas ni?!”, tanyaku

Mereka mendiamkan diri sahaja, sambil berjalan melewati aku dan terus keluar daripada wad. Riak muka mereka langsung tidak menunjukkan tanda-tanda bersalah atau apa-apa. Kedua-duanya tersengih sahaja macam kerang busuk menambah lagi kegeraman aku.

Saat aku melangkah masuk di dalam tandas, terpandang satu plastik kondom yang telak koyak di atas lantai.

“Argh, cilaka punya perangai, berani pula beromen dalam tandas hospital sampai ke tahap menyusahkan orang lain”, aku menyumpah-nyumpah dalam hati.

“Alah, ni bukan kali pertama depa buat lagu tu”, kata Kak Ngah, salah seorang jururawat senior di wad tersebut kepadaku, saat aku menceritakan kepadanya semasa pass over report.

“Dah kalau macam tu, apa kita boleh buat?”, aku bertanya.

“Entahlah, mungkin boleh beritahu anaknya yang lain, tapi yalah, bukan depa nak layan pun apa yang kita cakap ni nanti”, kata Kak Ngah, yang kemudiannya menyambung

“Tengok plan doktor petang ni pun patient dah boleh balik, biar sahajalah. Nak buat apa masuk campur sangat urusan diorang, buat serabut kepala je. Better gi jaga pesakit yang betul-betul nak sihat daripada yang macam tu”.

Aku tak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Auntie Lim pun bukan tak mahu nak sihat. Siapa je yang tak nak sihat di dunia ini kan? Tapi, aku menunggu sahaja abang atau kakak Sheryl sekiranya mereka datang untuk menjemput Auntie Lim pulang ke rumah untuk memberitahu tentang perbuatan adiknya itu.

Jam 6 petang, kelihatan kakaknya datang untuk mengambil ibunya pulang. Aku terus menghampirinya.

“Hey, you tau tak you punya adik bikin seks dalam tandas sini”. kataku kepada kakanya, Sharon.

Aku bercakap dengan nada perlahan, atas menghormati pesakit lain dan menjaga maruah Sheryl. Tujuan aku satu, untuk memberitahu bahawa perkara yang bukan-bukan dilakukan oleh adiknya itu perlu dihentikan. Mana-mana agama pun tak membenarkan seseorang itu melakukan seks luar nikah. Namun, jangkaan aku meleset, Sharon menjawab,

“So, what? You nak kami buat apa kat adik kami?”

“At least nasihat lah dia, you tahu ini hospital kan? Mana boleh buat macam tu”, jawabku.

“Ala, you mind your own business la, buat apa sibuk-sibuk. Ni, tepi sikit, saya mahu hantar mak balik cepat”, jawabnya

Aku betul-betul terdiam apabila dia menjawab sedemikian rupa. Terus sahaja diangkatnya Auntie Lim, diletakkan di atas kerusi roda dengan kasar dan disorong keluar. Terima kasih pun tidak. Biadap punya orang.

Bengang sungguh aku dengan perangai keluarga ini. Benarlah kata salah seorang seniorku, kadangkala PAP ni amat lebih-lebih dan bersikap kurang ajar dengan kami mengalahkan pesakit.

Terasa bahawa segala pelan rawatan yang dibuat oleh doktor tidak akan dapat membantu pesakit kalau beginilah mereka melayan ibu mereka. Aku agak pasti, sehari dua nanti, pasti pesakit ini dimasukkan semula ke wad, dan kitaran ini akan berulang-ulang sehinggalah pesakit mati.

Jauh di sudut hati, aku mengenangkan ibuku yang semakin tua, dan aku tinggal berjauhan dengannya. Aku cuma boleh berdoa, dan berharap, andai kata ibu atau ayahku sakit dan dimasukkan ke hospital, aku tidak akan menjadi PAP sedemikian, iaitu PAP dari neraka.

TAMAT…

– ILZANNO SHARKY

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *