PascaSiswazah: Cheap Labor?

Assalamualaikum. Terima kasih ya admin, approve luahan hati saya. Tulisan ini sepatutnya dihantar ke page yang lebih berkaitan. Atas sebab-sebab tertentu, saya mahu identiti saya dirahsiakan. Saya juga tidak menolak jika artikel ini dikongsikan ke laman2 yang berkaitan. Saya dahului dengan ucapan terima kasih.

Ianya tentang bantuan kewangan kepada pelajar2 pascasiswazah (Masters/PhD). Kisahnya begini, pada zaman dahulu Kerajaan Malaysia di bawah kelolaan Mosti – Ministry of Science, Technology and Innovation ada menawarkan skim biasiswa yang dikenali sebagai NSF – National Science Fellowship.

Di bawah skim ini, pelajar ditaja sepenuhnya yuran pengajian dan elaun bulanan sebanyak RM1560 untuk palajar sarjana/masters dan RM2300 untuk pelajar PhD. Di samping NSF, ada juga ditawarkan skim2 biasiswa lain seperti TPM – Tenaga Pelajar Muda, SLAB – Skim Latihan Akademik Bumiputera dan lain2 lagi. Namun saya jadikan NSF sebagai rujukan dalam penulisan ini.

Kemudian, skim NSF dimansuhkan dan digantikan pula dengan MyBrain. Di bawah skim ini, pelajar masters hanya mendapat tajaan yuran pengajian & tesis, manakala bagi pelajar PhD yuran pengajian dan elaun Tesis & Jurnal ditawarkan bersama elaun bulanan yang asalnya RM2300, kini menyusut menjadi RM1800. Mybrain PhD dibahagikan kepada beberapa kategori, hanya yang tidak bekerja tetap sahaja yang layak mendapat elaun sara diri.

Ketika saya menulis artikel ini, para pensyarah dan penyelidik dari universiti awam dan swasta sedang giat mencari pelajar untuk menjalankan kajian di bawah seliaan mereka. Ini kerana, keputusan permohonan skim FRGS – Fundamental Research Grant Scheme baru sahaja diumumkan. Namun yang meruntun hati saya ialah kenapa di bawah skim ini, elaun bulanan yang ditawarkan kepada pelajar terlalu rendah dan tidak mengikut piawai/standardize.

Ada yang menawarkan RM 1000, RM 1200, RM 1500 dan RM1800 kepada pelajar masters, banyaknya dalam julat RM1200-1500 dan jarang-jarang ditawarkan RM1800, serta RM1000 bukanlah jumlah yang asing. Manakala bagi pelajar PhD pula, elaun yang ditawarkan ialah RM1800, RM2000 dan RM2300. RM1800-2000 lebih banyak ditawarkan berbanding RM2300.

Namun begitu, kebanyakan iklan dipaparkan tidak menyatakan dengan jelas tentang yuran pengajian dan yuran tesis & jurnal. Keadaan ini menimbulkan beberapa persoalan di hati saya, iaitu:

1. Dalam keadaan gaji minima di Malaysia sentiasa dipantau dan dibahaskan, mengapa hal yang sama tidak berlaku kepada elaun pelajar pascasiswazah? Mengapa skim FRGS tidak menetapkan jumlah yang standard sebagai elaun pelajar?

2. Jika NSF menjadi benchmark, mengapa amaun elaun bulanan secara kasarnya dilihat menyusut? Bukankah seiring masa berlalu, ianya juga sepatutnya lebih tinggi? Merujuk kepada elaun bulanan NSF terdahulu (RM1560/RM2300), amaun yang saya rasakan munasabah untuk masa kini ialah RM1800 (masters) dan RM2500 (PhD).

Rakan sepengajian yang memilih untuk bekerja mendapat gaji permulaan yang lebih tinggi. Apakah pilihan menjadi pelajar pascasiswazah tiada nilainya? Adakah bila menjadi seorang pelajar, keperluan menjadi berkurangan, makan pun semakin sedikit, hanya layak berpanas hujan menaiki bas, keretapi dan jalan kaki, tak perlu motor atau kereta?

3. Kos sara hidup semakin meningkat, jadi mengapa elaun sara diri pelajar semakin berkurang? Bayangkan dengan RM 1000-1500, perbelanjaan penginapan, makan minum, pengangkutan dan hal2 lain seperti kecemasan bagaimana pula? Bukan mudah ya, untuk pelajar pascasiswazah mendapat penginapan dalam kampus, ramai yang terpaksa menyewa di luar kampus dan automatiknya perbelanjaan menjadi lebih mahal. Bagaimana pula dengan pelajar yang berkeluarga?

4. Sampainya hati para penyelia menawarkan elaun yang amat rendah. Bukan jarang2 terjadi, dana geran yang ‘berjaya dijimatkan’ akan disalurkan kepada hal2 lain, seperti konferens cum melancong, membeli alat2 dan material yang bukan untuk projek tersebut, contohnya dibelanjakan untuk pelajar tahun akhir/kajian2 lain agar data boleh dipublish oleh pensyarah tersebut dan berbagai-bagai hal yang lain lagi. Integriti? namun, bukan semua penyelia sebegitu. (harap maklum, saya bukan generalize) Bagi mereka yang menjaga integriti, Tahniah! Namun di mana hati nurani anda?

5. Saya tahu, akur dan simpati. Keadaan ini berterusan kerana apabila offer yang tidak munasabah ini dibuat, ada pula pelajar yang menerima tawaran tersebut. Jadi trend ini berterusan seiring dengan konsep demand and supply. Bukanlah saya mahu menyeru para pelajar untuk boikot projek yang memberi elaun dengan kadar yang tidak munasabah ini.

Namun sesuatu yang realistik perlu dilakukan agar pelajar masters, PhD dan para RA – Research Assistant tidak diperlakukan laksana Cheap Labor Source, kerana mereka semuanya berijazah. Silalah berlaku adil. Yang menerima elaun juga harus sedar, jumlah yang ditawarkan itu tidak wajar, adil dan setanding dengan tahap pendidikan anda, kepayahan kajian penyelidikan, tuntutan pengajian dan keperluan hidup anda.

6. Saya menyanjung tinggi keazaman, ketabahan dan pengorbanan yang dilakukan oleh para pelajar masters dan PhD. Atas sebab mahu menuntut/menambah ilmu, mahu memberi sumbangan kepada agama, negara, bangsa & cabang ilmu, mahu menambah pengalaman dan kepakaran masing-masing, mahu membaiki keadaan sosio-ekonomi keluarga, mahu membalas jasa orang tua dan seribu macam lagi sebab-sebab yang tak mampu saya tuliskan di sini, mereka sanggup berkorban dan bersusah-susah untuk menggenggam segulung Ijazah (kadang-kadang bergulung-gulung jadinya).

Seharusnya mereka tidak dianiaya sebegini rupa. Sudahlah pengajian di peringkat masters dan PhD itu sememangnya sukar dan kadang-kala sehingga lewat malam pun masih tak jumpa-jumpa katil, masalah kewangan pula menjadi beban. Sesudah graduasi nanti, cabaran mencari kerja pula menunggu. (aduh, ini bab lain pula ya)

7. Saya masih ralat, mengapa skim sebaik NSF dimansuhkan. Diganti pula dengan MyBrain yang hanya tawarkan yuran pengajian kepada pelajar masters? Umpama luka ditaburkan garam. Jika mahu menjimatkan wang negara, banyak cara boleh dibuat. Namun kebajikan utama rakyat seperti Pendidikan dan Kesihatan langsung tidak boleh dikompromi. Katanya skim pencen pun akan direview semula (eh?).

Apa kata, selepas ini kita sebagai rakyat pula yang mengeluarkan manifesto ‘apa keperluan & kehendak rakyat’? Parti politik perlu akur dan ukur kemampuan sendiri. Kita mahu jika mereka menjadi menteri, untuk berjimat maka elaun itu-ini dipotong menjadi lebih munasabah, pencen yang berhormat dikurangkan, dan lain-lain lagi. Yang sanggup sahaja kita akan pilih. Boleh?

8. Sebagai disclaimer, saya sedar ada beberapa lagi skim biasiswa/pinjaman yang boleh dimohon oleh pelajar pascasiswazah, namun saya hanya fokus kepada perbandingan Skim NSF dan FRGS dalam penulisan ini.

Kesimpulannya, era ini era yang perlu diperbanyak-banyakkan bersabar. Perjalanan menuntut ilmu itu akarnya memang pahit, namun buahnya manis. Di penghujung hari, jika maut pula yang menjemput, syahid bayarannya.

Namun pihak-pihak yang berkaitan, (ya, saya tujukan kepada anda-anda para PI – Primary Investigator, pensyarah, penyelidik dan penyelia) usah menganiaya pelajar anda. Anda sudah punya kerjaya tetap, namun mereka baru sahaja mahu mengorak langkah untuk mencari masa depan yang lebih baik.

Andai tulisan ini sampai kepada penaja di pihak Kerajaan Malaysia, saya mohon agar pantau-pantaulah perjalanan dana tajaan anda.

Sekian. Terima kasih dan selamat maju jaya untuk semua.

– Avengers (takkanlah nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *