Patut Ke Aku Kahwin?

Assalamualaikum. Aku perempuan dsalam usia pertengahan 20-an dan single. Baru je habis belajar dan insyaAllah akan bekerja tak lama lagi. Maaf post ni agak panjang.

Keluarga aku dulunya bahagia sehinggalah mak aku jatuh sakit masa aku umur 11 tahun dan berhenti bekerja. Gaji mak aku lebih besar dari ayah aku maka bila perkara ni terjadi ekonomi keluarga pun tak stabil.

Mak aku daripada seorang yang ceria jadi pendiam, berkurung dalam bilik dan tak mahu makan sehinggalah berat badannya turun mendadak. Yang tinggal hanya tulang dan kulit. Dia langsung tak nak bercakap sehingga bertahun-tahun sampai aku pun lupa macam mana senyuman dia.

Kami sekeluarga sangkakan ianya buatan orang dan pergi berubat dengan ramai ustaz tapi tiada hasil. Akhirnya kami dapatkan rawatan hospital dan mak aku didiagnos sebagai MDD (Major Depressive Disorder) tapi mak aku tak mahu makan ubat, makan nasi pun kena paksa. Jumpa doktor sebulan sekali pun kena heret.

Aku dan adik beradik masa tu sekolah lagi. Ayah kerja negeri lain jadi memang selalu terlepas appointment dengan doktor. Mak aku cuma akan bangun dari katil dan keluar rumah untuk hantar dan ambik kami balik sekolah. Sebab mak memang pentingkan pelajaran.

Tapi perkara lain seperti makan kami kena paksa. Bercakap pun tak. Aku ingat lagi masa di Tingkatan Satu aku sekolah petang. Adik beradik lain sekolah pagi. Jadi sebelum pergi sekolah aku akan bancuh oatmeal dan pujuk mak aku makan sebab nak bagi dia makan ubat.

Aku selalu nangis setiap malam sebab sedih tengok keadaan mak aku. Walaupun mak aku seorang je yang sakit tapi emosi satu keluarga terjejas. Aku selalu lapar bila pergi sekolah dan waktu rehat aku makan banyak sampai kawan aku tanya “Mak kau tak masak ke kat rumah?”. Aku tahu dia bergurau dan tak tahu perkara sebenar tapi jauh di sudut hati mestila aku sedih.

Masa mak aku sihat die pernah cakap “Mak gembira bila anak-anak mak rajin belajar”. Berpegang pada kata-kata tu aku belajar betul2 dan berjaya dapat biasiswa untuk sambung pelajaran lepas SPM. Selain tu aku fikir adik-adik aku sekolah lagi jadi aku nak kurangkan beban keluarga.

Tapi biasiswa tak banyak mana pun, sebulan RM350 je. Ayah aku tak bagi duit tambahan dan aku pun tak pernah minta. Aku memang jimat cermat, kadang-kadang kalau kakak aku tak cukup duit aku bagi sikit. (Kakak aku tak ada biasiswa).

Mak aku keluarkan duit simpanan tabung haji dia untuk kakak aku sambung belajar. Masa ni mak aku dah sihat sikit dan boleh makan sendiri dan bercakap bila perlu. Bila simpanan tabung haji mak aku habis mak mintak nak pinjam simpanan TH aku dan aku bagi je. Mak aku tak nak anak-anak dia berhutang selagi boleh. Bagi mak aku sambung belajar tu tanggung jawab dia untuk support.

Ayah aku pulak memang tak pandai manage saving so memang tak ada simpanan. Aku terluka bila dia suruh kakak aku cari kerja lepas spm, tak payah belajar sebab dia tak ada duit nak bayar.

Kolej aku di ibu kota dan agak jauh dari rumah, tiket bas pergi balik dah rm50 tak termasuk duit teksi dan LRT ke stesen bas. (Zaman tu tak ada grab). Jadi aku hanya boleh balik rumah tengok mak dan adik-adik sebulan sekali.

Satu hari aku dapat berita salah seorang adik aku lari dari rumah dan curi duit mak aku. Hancur luluh hati aku. Tapi aku tak boleh nak salahkan dia 100%. Dari kecik dia membesar dalam keluarga yang tak bahagia jadi bila remaja dia memberontak. Hari-hari aku mesej dia suruh balik tapi tak pernah dia reply.

Tak lama lepas tu aku dapat tahu ayah aku kahwin lain. Masa tu hampir dengan exam penting yang menentukan biasiswa aku diteruskan untuk sambung degree atau tidak. Alhamdulillah aku lepas juga. Tapi aku terkilan dengan ayah aku. Sebab semasa di rumah aku pernah demam muntah-muntah tapi ayah aku cakap tak ada duit nak bawak aku pergi klinik.

Lepas tu aku dapat tahu yang sebelum diorang kahwin dia drive dari selatan ke utara setiap 2 minggu nak jumpa perempuan tu. Ada pulak duit tol dengan minyak? Dan apa yang aku paling kecewa sekali adalah dia tak pernah singgah jenguk aku pun kat ibu kota.

Mak aku masuk ward 3 hari sebab tak makan lepas dapat tahu ayah kahwin lain. Nenek dan datuk aku yang teman kat hospital. Aku tak dapat balik sebab exam.

Aku ambil masa bertahun untuk maafkan ayah aku. Tapi aku tak pernah berhenti doakan dia berubah sebab dia tetap ayah aku yang pernah basuh berak aku masa kecik sebab mak aku kerja.

Alhamdulillah selepas hampir 2 tahun baru adik aku muncul balik dalam hidup kami dan dapat kesedaran nak buat spm dan sambung belajar. Masa tu ayah aku pun dah berubah sikit dan sudi biaya pelajaran adik aku tu.

Aku pulak masa degree dapat rasa pelajaran aku semakin merosot. Ingatan aku dah tak kuat macam dulu. Fokus aku senang lari dan bila bercakap jadi tergagap. Aku nangis tanpa sebab dan tak lalu makan sampai kurus kering. Period pun dah jadi tak regular.

Bila balik rumah selepas 6 bulan kakak aku yang amik kat stesen bas tak kenal aku masa aku lambai-lambai kat die sebab dah terlampau cengkung die cakap.

Aku jumpa psychiatrist dan perlu amik ubat untuk depression dan hadir untuk kaunseling. Ubat yang mula-mula doktor prescribe tak berkesan walaupun da bagi optimum dose.

2 hari sebelum final year exam doktor cakap aku patut kena admit dan perlu di monitor sebab ubat makan tak berkesan. Tapi aku tolak sebab kalau aku tak datang exam nanti pelajaran tertangguh selama 6 bulan dan aku mungkin hilang biasiswa dan kena bayar ganti rugi kepada penaja. Aku mana ada duit nak bayar balik.

Aku baca jugak buku dan usaha tulis exam walaupun aku memang tak ingat sangat dan rasa tak confident langsung dengan jawapan aku. Tapi alhamdulillah Allah bagi aku lepas jugak exam tu dan aku berjaya habiskan degree on time.

Setelah hampir 3 tahun dalam rawatan sekarang aku on minimum dose dan doktor sarankan aku cari psychiatrist berdekatan rumah aku (sebab da habis belajar) dan decide boleh berhenti ubat atau tak lepas aku settle down kat rumah. (Sebab doktor tahu keadaan keluarga aku jadi dia nak pastikan aku boleh sesuaikan diri semula bila kat rumah sebelum hentikan rawatan)

Alhamdulillah mak aku dah pulih dan ceria seperti dulu. Lepas belasan tahun aku tunggu akhirnya Allah makbulkan doa aku nak tengok die senyum macam dulu. Aku pernah hampir putus asa nak berdoa sebab dari sekolah rendah aku berdoa tapi sampai aku da habis degree baru Allah makbulkan doa aku.

Mungkin sebab tu aku tersentuh setiap kali aku baca kisah nabi zakaria dalam surah maryam ayat 4, “Dia (Zakaria) berkata, “Ya Tuhanku, sungguh tulangku telah lemah dan kepalaku telah dipenuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada-Mu, ya Tuhanku”.

Sekarang mak dan ayah aku tak tinggal sekali tapi ayah tetap bagi duit tiap-tiap bulan. Aku tinggal dengan mak aku tapi mak aku halang aku daripada jumpa psychiatrist. Die tak nak orang lain panggil anak die gila macam orang buat kat die sampailah sekarang.

Orang pernah cakap kat aku masa sekolah dulu, “kalau orang tahu mak kau macam tu, mesti tak de orang nak kahwin dengan kau”.

Belasan tahun dulu kesedaran tentang depression tu tak banyak macam sekarang tapi stigma tu masih ada hingga kini. Tapi bukan sebab tu aku tak pasti nak kahwin ke tak. Aku takut kalau aku jatuh sakit macam mak aku nanti anak-anak aku terjejas.

Dan aku risau siapa nak jaga mak aku kalau aku kahwin. Lagipun bila ada keturunan depression anak-anak aku ada kebarangkalian 5% lagi tinggi dari orang lain untuk dapat depression. (Tapi psychiatrist suruh aku fikir positif, ada 95% diorang tak akan depress)

Sebab inila aku tak respond orang yang approach aku dan aku tak mencari pun. Aku takut pisang berbuah dua kali. Aku sebenarnya tengah tunggu panggilan untuk bekerja sebagai HO di hospital kerajaan. Orang yang sihat pun boleh depress masa HO. Inikan pula aku yang ada keturunan dan history of depression.

Bila aku baca confession seorang suami yang isteri die doktor tu lagila aku tak pasti nak kahwin. Bayangkan isteri kau doktor, depress pulak tu? (Tak pandai masak pulak tu, simple2 bolehlah)

Dan mungkin juga aku takut aku dapat suami macam ayah aku, yang tak pandai manage kewangan. Bertahun juga ayah aku tunggu mak aku sembuh sebelum die kahwin lain. Mak aku pula tak nak ambil rawatan jadi aku tak boleh salahkan dia sepenuhnya cuma fasa semasa die bercinta tak ingat keluarga tu yang aku marah. At least die bahagia sekarang dan ade orang jaga die.

Dan kalau ada rezeki aku nak sambung pakar. Antara faktor kenapa aku pertimbangkan untuk kahwin sebab nanti susah nak bahagikan masa antara belajar, kerja dan keluarga. Aku dengar ade seorang doktor perempuan lagi 3 bulan nak habiskan master tapi suami die pulak dah tak boleh tahan sebab isteri terlalu busy dan suruh die buat pilihan antara cerai atau berhenti master.

So apa pandangan kalian? Patut ke aku amik risiko kahwin?

– xyz (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *