Patutkah Aku Berhenti Kerja?

Assalamualaikum, hi semua. Aku tak kisahlah kalau confession aku tak disiarkan pun. Tapi aku geram sangat, sangat-sangat geram, jadi aku nak luah kat sini. Bagi hilang perasaan marah aku.

Aku berumur pertengahan 20-an, anak perempuan bongsu dalam keluarga, ada dua orang adik lelaki yang masih belajar.

Oleh kerana abang-abang dan kakak-kakak aku yang lain sudah berkahwin dan bekerja, aku membuat keputusan untuk tinggal di rumah bersama ibu bapa aku, mudah kalau ada apa-apa, sebab aku masih bujang, dan aku anak perempuan.

Walaupun aku tinggal di rumah, aku bekerja dan belajar pada masa yang sama.

Selepas aku berhenti kerja di ibu kota, aku pulang ke kampung di selatan tanah air. Aku duduk rumah sahaja pada mulanya, disebabkan PKP.

Kemudian, disebabkan sukar untuk mendapatkan pekerjaan, aku membuat keputusan untuk menyambung pelajaran di universiti.

Namun, memikirkan kereta aku yang masih perlu dibayar secara bulanan mulai Oktober nanti, aku membuat keputusan untuk mencari pekerjaan.

Takkan dah tua bangka pun mak ayah bayar kereta aku lagi?

Jadi bermulalah kehidupan aku sebagai pekerja dan pelajar. Disebabkan ibu bapa aku sudah lanjut usia, aku banyak jugalah buat kerja-kerja rumah.

Tapi, taklah banyak sangat, kakak aku yang sudah berkahwin juga tinggal bersama ibu bapa aku. Jadi bila dia cuti, dia akan buat apa yang patut.

Yang aku geramnya, mak aku selalu bandingkan aku dengan kakak aku. Bukan banding apa, tetapi, lebih kepada menyuruh aku melakukan kerja-kerja yang sepatutnya menjadi tanggungjawab keluarga kecil mereka.

Aku tak kisah bahagian buat kerja rumah, basuh baju, sidai baju, lipat baju, kemas rumah, itu semua tanggungjawab aku juga.

Tetapi apabila melibatkan hal-hal seperti jaga anak-anak saudara aku (anak kakak aku), padahal kakak aku juga ada di rumah, aku jadi geram.

Aku dah cuba untuk tolong bila kakak aku bekerja, jadi apabila kakak aku berada di rumah, aku mahu ambil peluang melunaskan kerja-kerja pembelajaran aku yang selalu terbengkalai…

Hal-hal seperti menggunting rambut anak saudara aku, menyusun beg sekolah anak saudara aku, pastikan dia buat kerja sekolah, aku akan buat jika kakak aku sibuk bekerja.

Masalahnya, kakak aku cuti, aku pula perlu menghadiri kelas online, jadi mengapa aku yang dileter oleh ibu?

Jika kakak aku terpaksa pergi bekerja di hari cuti, ibu akan kata, tak apa, aku ada untuk tengokkan anak-anak, tetapi jika aku terpaksa keluar bekerja di hari cuti, ibu akan bertanya, mengapa aku perlu bekerja di hari cuti?

Walau aku sibuk dengan assignment, ibu masih minta aku tolong tengokkkan cucu-cucunya, walhal kakak aku, ibu cucunya itu juga bercuti.

Alasannya, kakak aku letih. Aku?

Aku juga letih. Aku tidak ada kawan untuk bercerita, kerana aku bekerja secara outstation, di mana tugas aku ialah bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

Aku tidak punya kawan untuk berbicara, melainkan boss aku. Boss aku pun banyak lagi benda nak fikir, takkan aku nak sibuk cerita masalah keluarga aku pada dia pulak…

Aku ada terfikir untuk mencari rumah sewa, tetapi memikirkan yang ibu akan letih menjaga cucu-cucunya, dan akan letih memikirkan aku tidak pulang ke rumah kerana bekerja, sekurang-kurangnya aku ada depan mata dia… boleh bantu sedikit sebanyak….

Dan, mesti ibu pelik dan kecil hati jika aku berpindah, sebab ofis dekat saja dengan rumah ibu bapa aku… aku ada terfikir untuk mohon asrama di universiti, tetapi universiti jauh dengan ofis aku…
Jadi… apa yang patut aku buat?

Kalau ikut hati aku, aku sanggup berhenti kerja, aku sanggup give up kereta aku, kerja aku, everything supaya aku boleh duduk dan tumpu sepenuhnya pada keluarga aku.

Tapi, ibu aku nak aku ada masa depan, dia nak aku kerja, dia nak aku belajar, dan aku mampu kerja dan belajar dalam masa yang sama.

Aku dah cakap pada ibu, tapi ibu bantah, siap marah aku lagi supaya jangan jadi suri rumah macam dia…

Habis aku nak buat apa? Bila aku cakap yang aku letih, dia akan compare orang lain yang buat sama ja kerja dengan aku, kerja, belajar, siap ada anak lagi.

Aku boleh ja argue, aku pilih untuk jadi bujang, jadi anak-anak tu bukan tanggungjawab aku.

Aku buat kalau kakak aku tak ada, tapi takkan asyik nak fikir anak orang lain walaupun mak ayah diorang ada. Kalau memang aku yang jaga, memang ibu aku yang jaga, aku tak kisahlah.

Tapi aku geramla, bila kakak aku ada, tapi ibu aku salahkan aku tak mahu tolong.

Aku tak nak gaduh, tak nak kecilkan hati ibu aku… Jadi aku memilih untuk diam. Tapi kadang-kadang tu… sabar ada batasnya juga, sebab tu aku tulis dekat sini, bagi lega hati aku. Tu je, bye!

– Dia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *