Ini luahan jiwa saya sebagai ibu pada beberapa orang anak di sekolah menengah dan sekolah rendah.
Tak larat nak berfikir, tak larat dah menanggung. Penat 1000 kali penat dengan kerenah anak-anak dan pdpr mereka.
Rutin anak-anak bermula selepas subuh, jam 7.05 pagi mandi, kemas bilik, diikuti sarapan pagi. Kadang-kadang bihun, mee atau nasi goreng.
Jujur saya kata saya penat tapi supaya mereka dapat belajar dengan baik saya rela.
5 minit sebelum jam 8 wajib di meja belajar. Telefon seorang satu disediakan. Laptop dan komputer pun ada. Anak boleh pilih nak guna yang mana tapi biasanya mereka tetap dengan fon.
Saya ceritakan ni bukan nak riak. Cuma nak gambarkan persediaan dan kelengkapan yang disediakan untuk kemudahan anak-anak belajar. Keluarga saya bukan orang senang tapi kami usahakan juga demi anak-anak.
Menabung jugalah untuk beli telefon semua tu. Laptop tu laptop lama saya, slow sangat tapi masih boleh digunakan. Komputer desktop tu saya punya untuk kegunaan bekerja. Ya, saya work from home.
Isu saya ini berkenaan dengan PDPR anak-anak.
Ada guru yang bagus. Masuk kelas on time. Link Google Meet diberi dari malam lagi menunjukkan kesungguhan di situ.
Selesai Google Meet diberi latihan kemudian latihan yang dihantar pun disemak. Memang gigih betul. Tahniah dan syabas dari saya.
Ada guru yang terus terang saya cakap melepas batok di tangga. Send link Youtube tak habis-habis, kadang-kadang bagi latihan kadang-kadang tak.
Tempoh PDPR sejam setengah kerjanya suruh tengok YouTube 15 minit sahaja. Mana PDPR nya? Kalau buat soal jawab berdasarkan tontonan YouTube pun boleh diterima lagi sebagai PDPR.
Kalau macam ni, baik buat seorang guru saja untuk seluruh Darjah 4 satu Malaysia ni. Jimat duit bayar gaji.
Netizen mesti akan tanya, kenapa tak tegur guru atau buat aduan pada Guru Besar dan Pengetua? Sudah dibuat, alasan tidak bijak diberi.
Katanya kalau buat Google Meet, tak ramai murid yang join. Ramai murid tiada kemudahan Internet. Ada murid yang sharing telefon.
Jadi apa masalahnya? Kalau ada 6 dari 30 pelajar sekalipun, itu adalah hak murid untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik. Waima seorang pun.
Takkan nak cukup 30/30 baru kelas dibuat? Padahal kelas harian biasa pun jarang kehadiran penuh.
Bagi saya tu alasan selamatkan diri saja. Pentadbir tak nak buat kerja pantau/ tegur guru, dia bagi alasan macam tu. Atau dia sendiri pun mengajar macam tu.
Saya dah tak larat nak handle urusan PDPR anak-anak. Saya pun bekerja, perlu uruskan banyak perkara. Pada masa yang sama anak-anak tanya macam mana nak setelkan kerja rumah mereka.
Tak pernah ajar pun topik sekian-sekian tiba suruh buat projek. Suruh siapkan latihan.
Send worksheets tak bagi tau pun bab mana, anak pening dia dah belek satu-satu buku teks tapi tak jumpa datang cari kita yang tengah kalut dengan anak yang lain, dengan kerja sendiri lagi.
Jawabnya memang kena marah. Anak menangis. Bila saya semak semula, bukan salah anak pun. Memang cikgu dia bagi kerja tu susah di luar buku teks dia. Memang saya kesal sangat marahkan dia.
Harap pihak KPM sedar dengan keadaan kesihatan mental anak-anak ini.
Makin dibiarkan berlarutan makin parah jiwa mereka. Jangan hanya pandai buat webinar tu webinar ni realitinya takde perubahan pun.
Mana pihak N4zir? Musim Pdpr ni tak boleh ke pantau PDPR sekolah? Ke N4zir dah tak wujud dah?
Di sini saya pohon pada pengetua dan guru besar, arahkan guru jalankan PDPR dengan baik. Maksud saya disini, buatlah secara bersemuka secara online beberapa kali dalam sebulan.
Mungkin kalau dua kali seminggu, guru boleh buat sekali bersemuka dan sekali secara chat di whatsapp/ telegram pun dah bagus.
Pelajar perlu ada rasa connection dengan guru. Ni cuma send link melalui whassap, link Youtube guru lain sampaikan murid fikir guru YouTube tu guru dia sebab dia tak kenal pun guru dia rupa macam mana. Suara?? Pun tak pernah dengar.
Bila ibu bapa buat aduan, tolonglah ambil tindakan. Janganlah brush off perkara tu dan anggap tak penting. Bila ibu bapa bersuara tu, macam-macam yang dah mereka fikir.
Patut ke tidak nak cakap?
Nanti anak kena pulau, kena marah guru macam mana?
Nanti pihak sekolah rasa malu macam mana?
Nanti ingat kita nak tunjuk pandai?
Macam-macam dalam kepala, tapi kalau tidak diadu, perkara ini tidak akan berubah sampai bila-bila.
Beserta pangkat datangnya tanggungjawab. Tanggungjawab yang akan dipersoalkan kelak di sana. Kalau pihak pentadbiran cuma tutup mata dengan masalah ini, mana tanggungjawab anda?
Masa ceramah di perhimpunan bukan main lagi ditekankan sikap baik, jujur, amanah dan sebagainya. Harapnya yang memberi ceramah tu pun mengamalkan apa yang dikata.
Saya yakin ada antara pembaca disini akan kata, komen macam ni nanti tak berkat anak belajar. It goes both way.
Tuan/ puan, kerja separuh hati mengakibatkan hak murid terabai pun tak berkat gaji tu nanti. Seorang guru mengajar 25-35 murid, larat ke nak menanggung?
Cukuplah setakat ni dulu. Lama dah nak tulis tapi macam2 fikir dan harap situasi berubah. Bagi saya, saya berkata yang benar dan berpendapat masalah ini perlu diatasi.
Bagi guru yang komited, saya sebagai ibu mengucapkan jutaan terima kasih kerana anda menunaikan tanggungjawab anda sebagai guru pada anak saya. Saya doakan rezeki cikgu melimpah ruah, di dunia dan di akhirat kelak.
Kepada pihak guru yang kategori satu lagi, berubahlah. Massa berjalan dunia berubah, guru pun kena berubah seiring dengan teknologi. Hentikan memberi alasan yang tak logik.
Kepada KPM, PPD dan N4zir, tolonglah masuk ke kelas maya dan pantau guru. Atasi masalah ini dengan segera.
Tolonglah.
Tolonglah.
Tolonglah.
Saya dah penat.
– Ummi (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit