Pedih Hati Seorang Lelaki

Assalamualaikum semua. Sebut sahaja lelaki, pasti dicopkan sebagai buaya darat, main kayu tiga empat, tetapi jarang sekali lelaki meluahkan perasaan kerana tiada siapa yang sudi mendengar kerana asyik dicopkan negatif oleh warga wanita.

Aku ini hanya taraf diploma sahaja, penduduk miskin bandar, aku tersalah langkah apabila aku terjatuh cinta dengan wanita yang jauh lebih berada dari aku. Benarlah cinta itu buta, aku diberi syarat hantaran RM20k dan barang kemas “serba berdiri”, waktu itu aku sebenarnya tahu pihak wanita telah menolakku dengan cara beralas. Mereka tahu aku tidak mampu.

Ibu sudah beri nasihat, tidak perlu menerima syarat mereka. Tetapi sikap aku yang ego dan menerima cabaran itu dengan yakin. Aku diberi masa setahun untuk kumpul segalanya.

Waktu itu aku hanya ada RM3k dalam simpanan. Aku buat keputusan untuk ke korea menjadi buruh secara haram dengan mengambil cuti tanpa gaji selama setahun. Butanya mata aku waktu itu kerana aku sudah tidak nampak cara aku waktu itu telah menyusahkan rakyat Malaysia yang lain. Dek kerana perjuangan cinta, aku kembara mencari rezeki.

Mulanya tunang aku, Tia, memahami. Siap beri dorongan dan memuji keberanian aku berjuang untuknya.

Siang malam aku membanting tulang bekerja di Korea, aku mengikat perut untuk mengumpul duit dengan segera. 6 bulan selepas itu, aku merasakan Tia semakin menjauhi aku. Aku cuba mesej dengannya tetapi jarang dilayan. Kalau mesej pun hanya perkataan yang pendek dan dibiarkan “blue tick” sahaja.

Aku tahu Tia sudah penat menungguku pulang. Tia seorang yang manja, dia perlukan aku disisinya sentiasa. Genap 8 bulan, aku berjaya mengumpul duit yang dijanjikan dan kembali ke Malaysia dengan hati yang rindu menggunungkan kepada keluarga dan Tia.

Sekembalinya aku ke Malaysia, aku masih belum dapat menjejaki Tia, aku kerumah ibu bapanya, tetapi malangnya mereka sekeluarga bercuti ke Switzealand selama 2 minggu. Aku menunggu dengan sabar dan menyuruh ibu untuk bersiap sedia menghantar duit belanja seperti yang dijanjikan.

Tia langsung tidak menghubungi aku. Aku sabar dan membelikan teddy bear kepadanya. Aku tunggu Tia di luar pagar rumah mereka pada hari dia dan keluarga tiba di Malaysia. Malangnya aku dihalau oleh abangnya dan mengatakan aku tidak malu menunggu dan diibaratkan seperti peminta sedekah. Menangis air mata jantan aku waktu itu.

Aku kembali kerumah dan menceritakan kepada ibu. Ibu terus membatalkan rancangan kami untuk menghantar duit belanja. Hati ibu sudah tertutup untuk menerima Tia sebagai menantunya.

Ibu berkata, pada dahulu lagi hatinya tidak tenteram. Ibarat pipit dan enggang tidak akan terbang bersama walaupun si pipit cuba sedaya upaya. Aku perlu sedar diri aku yang family kami hanya tinggal di rumah PPR. Bagaimana aku ingin membawa Tia untuk tinggal dengan kami walaupun rumah PPR tersebut adalah atas nama aku.

Aku seperti tersedar, aku terus menelefon Tia, walaupun dia enggan berjumpa aku, tapi kami perlu selesaikan masalah ini. Akhirnya kami berjumpa, Tia beritahu sejujurnya dia tidak dapat menunggu aku lagi. Dia bosan dan telah bertemu dengan lelaki yang setaraf dengannya.

Aku hampir mahu menjerit waktu itu, ikutkan hati mahu sahaja aku membunuh Tia kerana tidak berpegang pada janji. Tetapi aku masih ingatkan nasihat ibu, aku berlalu meninggal Tia dengan tangisan yang aku pendam didalam hati.

Sebulan juga aku tidak mahu makan dan minum. Badan aku semakin susut dan tidak mahu berjumpa dengan sesiapa pun. Aku tidak salahkan Tia, tetapi aku salahkan diri aku kerana terlalu buta dan tidak sedar diri yang aku ini pemuda miskin yang hanya ada keikhlasan didalam percintaan.

Genap sebulan, ibu datang bercakap dengan aku. Ibu mengatakan aku ada kekuatan dan kelebihan yang aku sendiri tidak mengetahui. Iaitu rajin mencari rezeki dan berazam tinggi. Dengan duit yang aku kumpul untuk Tia, aku bersama adik membuka cafe di pinggir ibu kota.

Berkonsepkan santai, kami berjaya mendapat ramai pelanggan tetap dan sekarang lebih mudah kerana ada service delivery. Walaupun cafe kami agak kecil, masih belum stabil sepenuhnya, tetapi aku telah memberikan cahaya baharu terhadap kehidupan adik aku kerana dia memang minat berniaga sejak dahulu lagi.

Kini, hidup aku kembali normal, aku masih bekerja biasa, dan malam aku akan membantu adik di cafenya. InsyaAllah tahun depan kami merancang untuk membuka cawangan di tempat lain dan resepi kopi ibu aku sendiri menambat sambutan hangat dari customer kami.

Walaupun hati aku masih sakit, ya, masih sakit.. Aku masih trauma dengan wanita tetapi perasaan aku sedikit terubat melihat ibu dan adik yang gembira menguruskan cafe setiap hari. Siapa tahu duit yang aku kumpul untuk memberikan kehidupan baru kepada wanita lain rupanya berguna untuk kehidupan baru untuk ibu dan adik aku.

Nampak macam novel kan? Tahu tak kenapa? Sebab lelaki jarang luah perasaan di media social. Hakikat orang yang teraniaya seperti aku masih ada, tetapi jarang ditengahkan oleh sesiapa.

Kepada Tia, abang harap Tia bahagia dengan pilihan hati, abang mohon maaf kerana abang tidak mampu memberi kebahagiaan kepada Tia, dan abang maafkan segalanya yang sudah terjadi antara keluarga kita. Walaupun pedih itu tetap ada, tetapi kepedihan hati ini kerana kasih sayang itu masih ada dihati. bukanlah kerana abang membenci Tia.

Kepada seluruh warganet, nasihat ibu bapa dalam mencari jodoh itu amat penting. Dan juga ia perlu melihat dari segi taraf dan kedudukan antara dua keluarga. Sejujurnya ini silap aku.. kerana aku telah cuba untuk terbang bersama enggang, tetapi aku gagal…

Sekian.

Assalamualaikum WBT.

– Muzaffar (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *