Pejuang Pahala atau Penghapus Dosa

Assalamualaikum para pembaca IIUM Confession. Saya tak sangka rupanya ramai yang berkongsi cerita melalui pelbagai platform tentang menjaga orang sakit yakni lemah upaya.

Saya sebenarnya buat carian Internet tentang tips interview kerja untuk saya yang punya pengalaman sebagai ‘caregiver’ atau penjaga.

Tetapi, Allah temukan saya melalui confession ini, buatkan saya tertarik hati, untuk berkongsi rasa dan emosi, bersama pejuang pahala istimewa di sini.

MashaAllah untuk segala ujian diberikan.

Alhamdulillah untuk segala nikmat kurniaan.

InshaAllah untuk segala harapan, kebahagiaan, keberkatan, dan kebaikan.

Tak percaya rasanya, sudah hampir dua tahun lebih berkelana di kediaman untuk berbakti pada kasih syurga saya, bapa, bersama sama ibu yang sudah mulai lemah kudrat badan, juga sebagai penjaga bapa yang telah menjadi peneman setia bapa selama sakit bapa sepanjang di dunia.

Sepanjang tempoh menjaga bapa, saya belajar banyak benda yang selama ini hanya ibu yang tahu tentang segalanya kerana kami sebagai anak-anak banyak meluangkan masa untuk pergi belajar dan bekerja.

Setiap saat saya menjaga bapa, segala hal daripada segi emosi, hati, jiwa, serta kudrat diri, sememangnya terpaksa saya gagahi pada ketika mahu bangunkan bapa, mandikannya, bagi makan untuknya, pakaikan pampers dan pakaian, dan cuba untuk berkomunikasi dengannya untuk terapi psikologi bersama pesakit.

Saya tak terlalu kekok pada saat besar sekarang menjaga bapa sementelahan saya sudah jaga bapa sejak kecil lagi.

Di saat budak-budak kecil lain sebaya saya sedang bermain alat permainan dan lari-lari, saya pakaikan bapa baju dan temankan dia makan serta bersembang sampai dinihari. Waktu itu ayah masih boleh ingat saya sebagai anaknya lagi.

Tapi sekarang, ayah pun sudah lupa saya sudah habis belajar atau sedang bekerja. Saya ingat lagi waktu saya kerja, kawan cerita tentang ayah dia tak tahu pun dia kerja dekat tempat tu sebab ayah dia kerja ‘offshore’.

Kawan cakap, “Ayah aku tak tahu pun aku kerja sini. Aku tak bagitau pun.”

Saya pula balas, “Ayah aku lagi dahsyat, ayah aku tak tahu pun aku belajar ke kerja.”

Terdiam mereka. Saya cakap saya gurau saja sedangkan setiap cerita saya bagitahu semua benar belaka. Saya tak tipu pun mereka. Tapi saya tak pernah cerita bapa saya sakit dan kalau ada beberapa kawan yang saya cerita pun, mereka tak tahu bapa sakit bagaimana.

Jaga orang sakit memang memerlukan mental kuat untuk handle, lagi-lagi bila datang perangai degil mereka tu, haru biru. Tapi, lumrah jaga orang sakit hanya orang terdekat sahaja tahu. Orang yang terpaksa menahan liku, menjaga orang sakit yang kita sebagai manusia biasa pun tak tahu, sampai bila akan jadi begitu.

Bila disebut tentang ujian,
Takkan pernah habis kronologi dan coretan,
Sudah namanya hamba Tuhan,
Hidup kan selalu dipenuhi dugaan.

Sebagaimana kisah anak menjaga ibu bapa,
Juga si isteri mengurus suami sakit pula,
Hatta ibu bapa yang melayan anak istimewa,
Kesemua cerita ada makna,
Untuk perjalanan kekal terus ke syurga.

Liku cabaran yang tiada noktah,
Memang rasa lelah dan lemah,
Tapi, dengan takdir harus mengalah,
Demi hidup sentiasa berkah.

Sudah pasti akan ada suara-suara yang berbunyi,
Di sebalik tirai kehidupan yang tiada bertepi,
Yang memberi khabar gembira syurga kan menanti,
Buat penawar ujian duniawi,
Juga tidak ketinggalan mulut bertikam duri,
Hamba abdi yang sibuk melaga-lagakan diri,
Umpama jaga orang sakit ini berita basi,
Namun, andainya mereka semua memahami,
Hidup ini ada ujian dan cubaan untuk dilalui,
Hari ini Allah duga kita begini,
Belum tentu tahu bagaimana nasib mereka esok hari.

Orang hanya tengok luaran saja. Cuba orang tengok proses kita jaga. Cuba rasa jaga satu bulan lamanya. Tengok tahan mental atau sudah ‘gila’.

Saya cakap pada mama.

“Biarlah mereka bicara kata nista sehingga penghujung langit dunia,
angkuh sombong lupa diri mereka kelak bagaimana,
walhal mereka buta dan alpa,
kita sebenarnya tengah mengejar langit abadi di syurga.”

Mungkin pada pandangan segelintir manusia,
jaga orang sakit ini sia sia,
umpama berserah takdir secara bulat-bulat yang takkan tahu kelak bagaimana.
Sedangkan kami sudah ikhtiar berbagai cara.
Namun, bagi saya,
ini barangkali sebahagian ujian saya dan ujian keluarga,
untuk saya kenal erti bersyukur kepadaNya,
kenal sifat Tuhan yang sentiasa kan ada,
Untuk hambaNya yang sabar selamanya.

Sementara orang lain sudah tiada bapa,
saya patut bersyukur saya masih lagi ada syurga bapa,
walaupun kesihatan ayah tak sihat secara berkala.
Maka, saya cuba ikhlaskan hati saya dan reda,
untuk menjaga kasih kehidupan dunia dan syurga,
sebagai anak yang berbakti kepada ibu bapa.

Sampai satu tahap, saya juga diuji dengan penyakit merana jiwa,
Bagi kami yang berumur sebegitu rupa,
Sudah ada sakit yang terpaksa ditelan perit bersahaja,
Bukan suatu perkara mudah untuk saya terima,
Hakikat yang dilalui kini sudah berubah rasa,
Terpaksa telan menahan kecewa,
Kenangan pahit yang melarang saya bekerja,
Hanya kerana saya punya sakit yang bukan semua orang ada,
Tapi, Alhamdulillah kerana sifat Allah itu Maha Esa,
Fitrah sihat datang kembali semula.

Hidup kita berlainan cara,
Ada yang berjaya capai cita-cita,
Juga merana kerana salah dalam percaturan dunia,
Tak lupa juga pada yang terpaksa lupa pada dirinya,
Kerana akur amanah Tuhan untuk dijaga,
Namun, siapalah kita untuk berkira,
Menghitung waktu bagai sia sia,
Sedangkan Tuhan itu sentiasa ada,
Untuk hambanya yang selalu merintih dan meminta,
Sekalung doa abadi yang tidak terhingga,
Buat ganjaran manusia,
Bahawa sabar itu ada hikmah yang berharga.

Di kala saya sudah reda untuk jaga ibu bapa sementara saya cari kerja semula, ya, semestinya saya mahu bekerja dan berjaya, orang sekeliling mula tanya saya sudah bekerja atau belum.

Ada yang saya jawab belum ada sangkut rezeki lagi, ada yang saya jawab saya jaga bapa sementara cari kerja. Ada yang memahami keadaan saya sebab ada antara mereka pun sedang menjaga.

Ada yang siap tanya saya, “kenapa tak kerja?” Ada juga yang banding saya dengan anak dia memandangkan kami sebaya, walhal bukan rapat pun dan berlainan jantina pula.

Entah segelintir manusia.

Pada waktu Tuhan tengok pada niat, manusia sibuk tengok pangkat.

Wallahi, saya memang berniat nak kerja semula, saya dah bincang dengan semua dari segala segi dan situasi, macam mana keadaan selepas ini, malah, saya dah pergi banyak interview, cuma banyak yang saya kena reject.

Mungkin sebab mereka fikir dalam masa dua tahun ni, saya cuma goyang kaki, walhal saya banyak luangkan masa saya belajar online course, buat business online, pergi volunteer, tolong meniaga.

Itu belum dikira ujian sewaktu depression dan anxiety. Tapi, saya gagahkan diri dan cuba untuk kuatkan semangat kendiri, kerana fikir masih muda lagi, takkan sudah berputus asa dan patah hati?

Mungkin bagi mereka, mereka fikir saya tak boleh bagi komitmen 100% untuk kerja sebab saya ada bapa kurang sihat untuk jaga sedangkan terang lagi bersuluh, bila saya apply untuk position tersebut di company tersebut, saya sudah bersedia 100% untuk mulai jalani kehidupan berkerjaya.

Bila mana ramai tanya kerja bagaimana,
Kan ku katakan majikan sementara waktuku adalah bapa,
Kata mereka kenapa perlu bersusah payah menjaga?
Kerana esok hari itu kan tiba,
Tuhanku akan bertanya,

Mana amalanmu kepada ibu dan bapa di dunia?
Apakah kamu lupa bahwa ibu bapamu itu suatu ujian sabar dan reda pada segalanya?
Untukmu lebih ingat pada Tuhanmu Yang Maha Kaya dan Berkuasa,
Juga doamu selama ini meminta nikmat syurga?
Wahai manusia,
Ingatlah amalanmu dosa pahala,
Yang menentukan kamu dunia dan akhirat semata.

Coretan cerita saya ini hanyalah 50% daripada setiap babak yang saya lalui. Benar hanya Tuhan sahaja tahu setiap yang terjadi dalam sisipan buku harian peribadi. Malah, kisah ini cuma suatu diari, yang menyingkap baga

Berat penerimaan sang hati,
Luluh lagi sang jiwa jadi saksi,
Ujian datang bertubi-tubi,
Tetapi apakan daya empunya diri,
Ini semua kuasa Tuhan Yang Maha Mengetahui.

Buat semua hamba Ilahi,
Yang membaca segala curahan isi hati,
Juga gerak gempur melawan onak duri,
Doakan saya serta semua pejuang pahala,
Nun jauh di luar sana,
Agar kita kan berkejaran sentiasa,
Mencari kebaikan untuk amalan selamanya,
Tika berkelana di dunia sementara.

Maaf andai antara kamu fikir ini cerita merapu,
Kerana jalan kisahnya penuh syahdu,
Mungkin ini solusi aku,
Untuk jangan dipendam rasa dan mahu,
Pada tiap cerita setiap waktu,
Bahkan segelintir manusia juga tahu,
Jika fikiran terlalu bercelaru,
Sampai otak jadi buntu,
Boleh jadi lemah kudrat mentalku.

Niatku untuk cerita hanyalah satu,
Bukan untuk perbandingan secara melulu,
Antara kisah kau dan aku,
Hanya doa dipinta untukMu,
Semoga setiap daripada kamu,
Ganjaran syurga tertinggi menunggu,
Buat pejuang pahala menahan liku,
Demi kasih syurga ayah dan ibu,
Juga doa untukku,
Agar dapat peluang baharu,
Untuk aku kejar pula masa depanku.

Ingat kata pujangga orang tua dahulu,

Ujian bertalu bukan pengukur Tuhan jauh darimu,
Itu tanda Tuhan masih ingin mendengar rayuanmu.

P/s: jika sesiapa tahu atau ada jawatan kosong kerja, boleh share dekat comment di bawah. Mana tahu, ada juga senasib macam saya yang sedang mencari kerjaya. Boleh kita kongsi rezeki.

– Antara Pejuang Pahala (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *