Pelajar IPT Melayu Mabuk

1. Naif

Pertama sekali, terima kasih admin kerana menyiarkan tulisan aku ni. Aku cuma seorang budak IPT biasa, pencapaian taklah setinggi mana dalam peperiksaan degree aku, alhamdulillah cukup2 makan dan insha Allah tak lama lagi akan bergraduasi. Aku cuma nak cerita pengalaman aku membesar sebagai budak universiti.

Aku menuntut di sebuah IPT yang agak terkemuka bawah tajaan sebuah badan kerajaan. Malangnya aku tak begitu meminati apa yang aku belajar sekarang, tapi aku tetap teruskan untuk menggembirakan kedua orang tua aku kat kampung. Alang-alang dah dapat biasiswa, aku teruskan aja lah. Antara pendorong kuat aku ialah keberkatan yang aku percaya ada di sebalik semua ‘kesilapan’ pilihan hidup aku ni.

Okay tolak tepi cerita tu dulu. Apa yang aku nak ceritakan kat korang ialah apa yang terjadi sepanjang beberapa tahun aku di universiti. Kalau korang expect cerita ni pasal budak Melayu togok arak dan sebagainya disebabkan tajuk atas, aku mintak maaf ni takda kena-mengena langsung. Bagitahu siap2 takut ada yang kecewa lepas baca panjang-panjang. So di tahun-tahun awal aku di universiti, aku banyak terlibat dengan persatuan pelajar dan tak kurang juga berfoya-foya dalam minat dan hobi remaja-remaja lain.

Aku ibarat rusa masuk kampung, masa tu rasanya semua perkara mahu dicuba, sehinggalah di satu tahap ni, aku terjebak dengan gerakan berunsurkan politik. Parti mana tak perlu cakaplah, korang teka sendiri. Aku mungkin antara yang terpilih jugak diajak senior sebab senior nampak aku antara yang berpengaruh dan yakin bila berpengucapan awam. Awalnya macam okay, seronok jugak dapat tajaan itu ini pergi sana sini. Program dengan menteri lah dan sebagainya. Tak kurang jugak networking yang kau boleh buat untuk dapat kerja dengan orang-orang besar ni, iyalah kan aku nampak ramai senior yang dah ‘berjaya’ melebarkan sayap karier diorang berkemungkinan disebabkan semua ni walaupun diorang taklah cemerlang sangat pun.

2. Aku Tetap Aku

Lama-kelamaan jadi mabuk jugak, bila dah banyak terima dana dan budi, kami berubah daripada menjadi mahasiswa, kepada menjadi lembu yang dicucuk hidung. Apa sahaja orang atasan katakan, semuanya kami turuti. Disuruh kata A, kami kata A. Disuruh buat B, kami buat B. Tak ada lagi soal-menyoal atau rasional di sebalik semuanya. Sehinggalah di satu saat ni, hati aku jadi tak sedap. Aku bukan jenis yang mudah nak turut semberono dengan apa orang kata, semuanya aku mahu persoalkan.

Maklumlah orang muda kan, minda cerdas, darahnya pun panas. Pimpinan tertinggi persatuan aku pula nampaknya kurang senang dengan pendirian aku masa tu. Akhirnya kerana dah tak tahan dengan aku yang selalu melawan arus, mereka beri ultimatum. Patuh arahan atau keluar. Masa tu aku dah pegang jawatan kanan dalam persatuan, jadi mereka seperti masih mahu aku kekal untuk terus capai agenda mereka di universiti. Tanpa sikit pun ragu-ragu, aku terus keluar dan ambil keputusan jadi orang neutral. Sebelum tu pun aku neutral jugak, tak pernah pulak terfikir nak sokong mana-mana parti politik.

3. Hobi Baru

Hidup aku makin aman sejak aku keluar persatuan tu. Tapi kerana dah menjadi kebiasaan aku mengikuti perkembangan aktiviti universiti, aku beralih kepada minat baru iaitu menjadi pemerhati kepada semua penggerak persatuan mahasiswa di universiti. Aku juga mula lebarkan sayap kenalan aku meliputi rakan-rakan pelbagai latar belakang dan ideologi. Ada yang liberalis, ada yang sosialis, ada yang penggerak usrah dan sebagainya. Aku lepak jugak dengan budak buku jalanan uni aku, walaupun aku hanya duduk di pinggiran. Aku mula jatuh cinta dengan banyak karya Pak Sako sebab beliau antara orang yang aku fikir sangat percayakan tenaga dan ide orang muda. Dari sini bertitik tolak segala perubahan pandangan hidup aku tentang masalah kita semua. Pemerhatian demi pemerhatian memperlihat kepada aku realiti baru tentang apa yang terjadi kepada mahasiswa kita di IPT.

4. “Bagimu partimu, bagiku partiku”

Antara masalah yang aku perhatikan ialah bagaimana corak pemikiran pihak yang mendapat kuasa, baik kuasa di tampuk kepimpinan mahasiswa mahupun sekadar kuasa dalam persatuan akan berubah mendadak. Naik sahaja ke kerusi teratas, mereka seperti terdesak untuk terus berada di atas dan sanggup melakukan apa sahaja menjatuhkan pihak lain yang dilihat suatu ancaman kepada mereka. Inilah yang aku maksudkan mabuk, budak Melayu kita mudah sangat mabuk kuasa. Mereka terus lupa segala yang dicanang ketika berkempen, segala kebajikan yang mahu dijaga, segala integriti dan persaudaraan yang mereka pegang.

Yang nak berjuang kerana Tuhan, berubah menjadi berjuang menggunakan Tuhan, sehingga saranan Tuhan untuk mengutuhkan tali persaudaraan pun mereka abaikan. Ada yang bermasam muka, ada yang memaki hamun malah ada yang terus memutuskan persahabatan. Yang tak bertuhan malah lebih teruk, berkiblatkan nafsu sahaja. Natijah daripada pemikiran sebegini membawa kepada perpecahan dalam kalangan mahasiswa, malah lebih buruk jika ianya berpunca daripada matlamat hanya untuk mengekalkan orang-orang atasan yang sebenarnya tak berminat pun menjaga kepentingan mahasiswa.

Faktor lain yang aku perhatikan menyumbang kepada masalah ni ialah kurangnya rasa hormat kepada pendapat lawan dan juga kepada ‘kebenaran’. Kalau boleh nak jugak aku huraikan ide ‘kebenaran’ ni kat sini, tapi panjang pulak nanti. Nanti aku cerita di ‘post’ lain pulak. Tatkala aku berkawan dengan semua orang, aku lihat banyak salah faham berlaku hanya kerana kita tak dipupuk dengan kemahiran berkomunikasi yang baik. Mahasiswa kita juga lebih suka kepada kontroversi dan fitnah daripada bertanya untuk mencari kesahihan. Kita lebih rela malu mempertahankan apa yang salah asalkan mendapat ‘political mileage’ untuk membelasah reputasi lawan daripada hidup diam dalam hormat-menghormati dan berlaku jujur dengan diri sendiri.

Aku percaya semua ini berpunca daripada satu bentuk pemikiran individualistik. Meskipun kita berfikir sebagai kumpulan, itu masih lagi seperti individualistik atau nafsi-nafsi belaka, cuma dalam skala yang besar sedikit (intra-society berbanding inter-society). Akhirnya mahasiswa kerugian dari segenap sudut. Kalau kita bukak semula sejarah, kita boleh perhatikan kebangkitan mahasiswa di negara lain yang memperjuangkan autonomi mereka di universiti seperti demokrasi yang berlaku di Tiananmen Square di China lewat 90-an dahulu ataupun perjuangan mahasiswa Afro-American membela hak sivil mereka menentang diskriminasi dalam pilihanraya. Kesepakatan mereka memperjuangkan hak demokrasi berbekas sehingga hari ini meskipun pada waktu itu tak memperlihatkan kesan serta-merta.

Aku bukan nak mengajak korang berdemo atau melawan kerajaan dan sebagainya, tapi aku sedih bila tengok terang-terang mahasiswa kita jadi mainan politik orang lama. Bila ada yang menyuarakan pendapat ni, ada pula mahasiswa kita yang sanggup jadi perisai pihak berkuasa dan menidakkan realiti ni lantas menutup mulut pengkritik yang mahukan pembaharuan dengan taktik kotor mereka. Tak kurang juga yang kononnya melawan kerajaan seolah-olah mereka merdeka pemikirannya, walhal mereka jugak hanyalah boneka pihak pembangkang.

Sedarlah, universiti kita terbantut kerana mahasiswa kita hanyalah doh yang diuli mengikut corak ‘pre-set’ orang lama, akhirnya kita tak mampu bawa kreativiti dan pembaharuan kepada masyarakat kerana diletakkan had pada tahap pemikiran kita. Ibarat ‘error carried forward’ dalam menjawab soalan matematik lah senang kata. Impian kita dah betul, semangat kita dah betul, tapi hasilnya tetap silap kerana kita bermula dengan acuan pemikiran dahulu yang salah.

5. The Way Forward

Permasalahan ini terbuka kepada semua orang untuk dibincangkan. Penyelesaiannya juga mungkin terserah kepada masing-masing untuk difikirkan sebagai individu atau kumpulan. Asalkan tujuan akhirnya sama, aku fikir tiada masalah untuk semua orang percaya dengan kaedah tersendiri. Aku fikir yang penting ialah mulai hari ni, mahasiswa mesti berfikir sebagai satu entiti besar, lebih besar daripada persatuan dan fahaman politik sahaja. Kita wajib menganggap sesiapapun dalam kalangan mahasiswa sebagai saudara kita.

Takda masalah untuk berbeza ideologi dan bertembung, yang pasti akan ada ruang untuk kita bersetuju pada ‘common ground’ kita, contohnya dalam hal kebebasan memperjuangkan ideologi. Sebanyak mana kita mahu bebas menyebarkan jenama kita, kita mesti hormati hak orang lain menyebarkan jenama mereka. Kurangkan berpolitik dengan perkara kontroversi, maksimumkan perjuangan ide serta kebajikan dan pamerkan mentaliti yang lebih baik daripada orang terdahulu. Tunjukkan bahawa generasi baru ini tak segan untuk mengakui kebenaran pihak lawan, kita takkan menaikkan imej sendiri dengan menjatuhkan reputasi lawan atau menyebarkan aib mereka, kita menghormati hak-hak lawan dan kita sentiasa bersedia untuk rugi demi mempertahankan ‘the greater good’.

Seperkara lagi, kalau korang pemimpin pelajar, banyakkanlah membaca karya ilmiah baik dalam bentuk fiksyen atau bukan fiksyen. Tak perlu aku hurai panjang, kau tengoklah kehebatan pemimpin yang banyak membaca seperti Nabi Muhammad, Nelson Mandela, Mahatma Gandhi dan Dr Sun Yat Sen, mereka bukan sembarangan pejuang, mereka pembebas manusia daripada belenggu akal penjajah. Membaca mengubah akhlak, corak pemikiran dan cara pandang kita.

Kepada golongan pemerhati pulak, ataupun yang tak ambil port langsung, anda juga ada peranan kerana apa sahaja yang mereka lakukan akan beri impak kepada situasi anda di universiti, ke arah baik atau buruk. Mainkan peranan anda sebagai pengundi yang baik, suarakan pendapat anda dengan cara berhemah, malukan orang atasan anda yang suka memburukkan orang dengan ucapan yang bernas dan kritis supaya mereka tak lagi ambil mudah golongan neutral di bawah.

Terima kasih kerana sudi baca entry aku yang panjang ni. Aku cuma nak ambil kesempatan guna platform sensasi ni untuk menyedarkan semua mahasiswa baik yang masih belajar di IPT, yang akan masuk mahupun yang dah selesai pengajiannya. Berapa lama lagi yang kita perlukan untuk orang muda ada kaki dan tangan sendiri. Politik-politik remeh di kampus kita membantutkan usaha universiti kita untuk terus maju ke hadapan sedangkan potensi pelajar kita sangat besar.

Aku impikan satu hari nanti mahasiswa kitalah yang menjadi rujukan kerajaan untuk apa sahaja dasar di kampus universiti. Maaf atas salah silap dan kekurangan aku dalam memberi pendapat. Ini cuma sudut pandang aku, dan tak semestinya mewakili apa yang benar-benar berlaku.

Akhir kalam, goodluck pada korang semua okay. Moga kita menjadi produk universiti yang cemerlang akhlak dan budinya untuk masyarakat.

– Murid Pak Sako

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *