Pelajar Kura-Kura

Salam readers. Aku tak ada apa sangat nak luahkan sebenarnya. Tak sekritikal luahan-luahan lain yang ada dalam page ni. Tapi sebab aku suka menulis, aku agak, bolehlah aku cuba kongsikan di sini, kalau-kalau ada yang boleh ambil yang baik-baik dan tunjukkan juga mana yang tak baik dalam luahan aku ni.

Aku nak cakap pasal study ni. Sebab aku student, full time student (tapi aku tak layak dapat E-Belia, whyyy? T & C aku layak kot, tapi tak ada rezeki la mungkin). Famili aku bukan orang senang, bukan keluarga berpecah-belah juga, cuma kurang stabil dalam segala aspek.

Aku anak perempuan tunggal, ada adik dan abang yang dah kahwin dan ipar-ipar aku pun dah bagi cucu-cucu (dua set) untuk mak bapa aku. Rezeki aku untuk jadi pelajar, sampai peringkat tinggi. Rezeki tu satu hal, tapi belajar ni pun pilihan aku sendiri.

Kenapa aku pilih belajar? Sebabnya, dari aku kecil, aku rasa cuma belajar kerja yang paling selamat. Selamat macam mana susah juga aku nak jelaskan tapi aku cubalah cerita. Famili aku bukan senang, tapi mak bapa aku pentingkan pelajaran. Rezeki aku masa mula-mula sekolah, aku terpilih masuk sekolah khas, sekolah budak-budak pandai dalam kawasan aku.

Sebelum masuk sekolah tu, budak-budak yang berkelayakan perlu duduki ujian, dan cuma budak-budak yang lulus yang diterima dalam sekolah tu. Aku tak lulus pun, tapi aku cakap aku lulus. Bukan menipu, cuma masa tu aku tak tahu apa maksud lulus dan gagal. Bila cikgu tanya aku lulus atau tak, aku terus jawab lulus, sebab aku tahu maksud ‘tak’ tu selalunya ‘tak baik’.

So, aku masuk sekolah rendah khas untuk ajar budak-budak yang berpotensi secara akademik, belajar dengan budak-budak lain yang aku tak tahu pun ada kategori khas dalam masyarakat. Aku belajar macam biasa, tapi awal persekolahan tu aku nampak ada perbezaan dalam kalangan murid di sekolah. Ada kasta tertentu yang aku tak pernah peduli secara langsung tapi aku sedar benda tu.

Kasta antara anak cikgu, dengan anak orang biasa. Mula-mula aku ingatkan semudah tu. So aku kagum dengan anak-anak cikgu dalam sekolah. Walau pun mak bapa cikgu di sekolah lain, budak-budak ni still dapat perhatian dalam kalangan guru di sekolah aku. Tapi aku tak adalah pandang negatif pun masa tu.

Aku respect sebab mak bapa orang lain mampu jadi cikgu, mak bapa aku orang biasa kot. Aku kagum sebab aku fikir, ada orang lain dalam dunia ni yang tak susah dan mampu jadi sesuatu yang baik untuk orang lain. Tapi masa tu aku dah mula fikir, anak cikgu, mesti paling tak dia jadi cikgu juga nanti.

Aku anak tukang kayu kot, takkan aku jadi tukang kayu juga nanti? Oh tak. Aku sedar hidup keluarga aku kurang serba serbi sebab mak bapa aku kerja biasa, aku tak nak teruskan hidup susah macam tu. Dan mak bapa aku pun jenis tekankan pelajaran sebab mak aku kata cuma pelajaran yang mampu ubah hidup kita.

So masa aku mula-mula kenal dunia pendidikan, selain sebab ramai kawan di sekolah, aku dah diinput dengan pelajaran = class masyarakat. Masa ni aku tak ada pandangan negatif ye, aku budak lagi. Aku cuma fikir apa aku patut buat untuk kebaikan aku.

Awal masuk sekolah tu, macam aku cakap, aku sedar ada kasta anak cikgu dan anak orang biasa. Anak cikgu selalu akan dapat perhatian. Tak kisahlah masa tu, aku memang tak suka pun kena soal dalam kelas, standard budak lah kan. Tapi lepas ujian penggal pertama, aku dapat dalam kedudukan 10 teratas.

Tak hebat mana pun, setakat 10 tempat pertama, bukan dapat hadiah pun. Hadiah 1-3 saja kan. Bawah aku ada lagi lebih kurang 50 murid lain. Hujung penggal kedua, aku bertahan 10 tempat teratas. Budak yang dapat no. 1 pun budak yang sama. Aku nampak benda tu kecil, tapi sekarang ni bila aku kenangkan balik, benda tu agak besar sebenarnya.

Macam aku cakap, aku masuk sekolah khas. Generasi pertama sekolah khas. Kira majoriti ahli dalam sistem pendidikan kawasan aku fokus dalam sekolah ni. Jangkaan tinggi dalam ujian awam. Anak-anak cikgu berlumba-lumba masuk dalam ni, dan kasta-kasta lain dalam masyarakat (yang kenal kasta lah) pun berlumba-lumba masuk.

So, dalam ujian penggal yang aku kata aku dapat 10 teratas tu, aku bukan setakat kalahkan orang biasa, tapi banyak kasta-kasta lain dalam kalangan orang biasa dan sekali anak-anak cikgu. Benda tak besar mana pun. Tapi kesannya, tahun berikutnya, cikgu-cikgu mula bagi perhatian secara akademik dekat aku. (Jangan baca dalam nada negatif.)

Tapi para cikgu kan memang neutral, (tak memihak mana-mana, at least kalau tak libatkan keluarga), so dari aspek akademik aku cuma murid biasa, budak yang mampu menguasai satu subjek, dan lemah dalam subjek lain.

Pasal kasta-kasta lain dalam kalangan orang biasa ni, aku mula sedar lepas dapat kerja rumah seni. Cikgu pesan kita kena buat ikut kreativiti sendiri, (aku jenis budak yang kreativiti melepasi standard biasa/sila faham aku sedang cuba bela diri haha) dan aku selalu failed kerja seni aku.

Susah betul aku nak dapat A. Aku fikir masa tu, aku tak boleh capai standard cikgu-cikgu ni, biar saja lah. Aku dari kecil bukan jenis yang study tengok orang tau, aku jenis yang buat apa aku nak buat, jenis ikut kepala sendiri. Tapi ada sekali kerja seni tu, cikgu dah pulangkan hasil kerja, dan cikgu mention, orang yang sama yang dapat A.

Aku pun teringin la nak tengok hasil kerja gred A. Dan aku setuju kerja aku gred F saja kalau dibandingkan dengan kerja murid lain. Aku kagum sebab aku tak mampu hasilkan kerja gred A dalam seni. Selalu-selalulah aku perhatikan budak-budak gred A buat kerja, yelah konon nak belajar meniru masa ni.

Tapi setiap kali aku tengok, aku rasa ehhh, budak lain pun buat gred lebih kurang aku. Memang taklah aku nak ikut, baik aku buat kepala sendiri. Tapi bila kerja kena pulangkan, selalu orang yang sama dapat A. Mula-mula tu aku tak peduli pun. Aku masih fikir aku saja yang tak mampu nak capai standard cikgu seni aku.

Sampai satu hari tu, aku ternampak kerja yang dah diberi gred A. Aku pelik. Sebab masa aku perhatikan dalam kelas, kerja tu hasilnya lain. Tapi yang dah kena pulangkan tu lain. Aku pelik, tapi aku tak pertikaikan.

Lepas tu sel-sel otak aku berhubung. Ada masa-masa tertentu dalam kelas, cikgu pesan kerja sekolah yang disiapkan di rumah, buat sendiri. Jangan suruh abang, kakak atau mak bapa buat. Sebab cikgu nak nilai murid, bukan orang lain. Aku tak pernah peduli arahan yang ini sebab aku tak boleh relate.

Aku nak suruh abang aku buat kerja, aku tahu kerja abang aku macam mana. Tambah pula abang aku dulu asyik gaduh ja dengan aku. Mak bapa aku pula bukan pandai, setakat boleh membaca dan mengira saja. Aku ingat aku pernah minta ajar dengan mak bapa aku. Dengan bersusah payah mak bapa aku ajar, siapkan kerja sekolah.

Lepas tu mak aku pesan, kerja sekolah siapkan di sekolah. Kalau ada kerja rumah pun siapkan di sekolah sebab sekolah ada cikgu untuk bertanya, di rumah, mak bapa aku tak pandai nak mengajar. Jadi, aku sekolah dengan nasihat mak aku. Ada sekali, kerja seni aku bawa balik.

Aku minta bapa aku ajar, dan bila tak reti buat, aku minta bapa aku buat. Tapi bapa aku cakap tu kerja aku, bukan kerja dia. So kalau bapa nak buat kerja aku, aku kena buat kerja dia. Ehh? Of course aku pilih buat kerja sendiri, bapa aku kerja angkat simen dan batu bata kot.

Balik pada kerja gred A tadi, yang aku mula rasa pelik tapi tak persoalkan. Lepas tu ada sekali dalam kelas, aku dengar budak-budak lain cerita pasal gred dan nilai masing-masing. Pasal latihan, kerja rumah. Masa tu aku dapat tahu, kerja seni budak gred A tu, kalau dia dapat A, selalunya bapa dia tolong buat bila dekat rumah.

Budak-budak lain yang bila ada latihan dan kerja rumah selalu dapat A, atau markah full ni, sebab dekat rumah orang lain ajar (atau tolong) buat. Aku tak judge, aku terima keadaan keluarga masing-masing lain. Lepas tu aku ingat ada sekali tu, aku minta bapa aku tolong buat kerja seni lagi.

Aku tak suka sangat seni sebab orang jarang faham tahap seni aku (bela diri lagi). Kali ni, aku ada benda lain untuk jadi excuse dekat bapa aku. Aku minta tolong sebab aku cakap budak lain dapat A sebab bapa dia tolong buat kerja. Aku ingatkan aku berjaya lepas dari kerja seni aku. Tapi tak.

Bapa aku cakap, kalau aku dapat A tapi bukan aku yang buat, aku rasa best atau tak? Bapa aku cuma bangkitkan satu soalan tu, aku fahamlah aku kena buat kerja aku sendiri.

Bila hasil kerja aku kena pulangkan dan gred aku macam biasa, bapa aku cakap, tak kisahlah kalau buruk sekali pun, yang penting masa tu aku dah tahu diri sendiri tahap mana. (Sob sob bergenang air mata kejap kenang semua ni. Aku duduk jauh dari mak bapa aku ni).

Lepas semua benda ni, aku masih dengan ‘kasta anak cikgu dan anak orang biasa’. Dua kategori murid. Aku mula sedar ada kasta dalam kalangan orang biasa lepas jadi benda lain. Ada sekali tu, kertas latihan aku yang dapat high mark kena pertikaikan dengan cikgu. Cikgu tu cakap, kerja rumah kena buat sendiri.

Jangan suruh mak bapa buat sebab dalam ujian mak bapa tak boleh tolong. Cikgu tu tak cakap secara langsung tapi sebab aku seorang yang dapat high mark masa tu. Anggaplah rezeki aku sebab murid lain tercuai masa tu, so aku dapat high mark. Bila kena pertikaikan macam tu, aku balik rumah aku cerita dengan mak bapa aku. (bukan dengan nada negatif).

Mak bapa aku gelak. Bapa aku cakap biarlah orang nak cakap apa, yang penting aku kena tahu diri sendiri. Kalau aku tak buat apa yang orang cakap aku buat, teruskan saja dengan hidup aku. Mak aku cakap, aku dekat rumah tak buat kerja sekolah pun, bila pula mak bapa aku nak ajar.

Tambah lagi mak bapa aku tak pandai pun. hahaha. (Bila aku dah besar sikit aku baru sedar perbezaan aku dengan murid lain. Ada murid yang suka lambat-lambat buat kerja sebab nak bawa kerja balik ke rumah. Aku pula jenis yang nak kerja cepat siap sebab dekat rumah aku nak tengok tv).

Kena pertikai ni aku tak fikir sangat pun. Aku tahu tahap aku kat mana. Tapi bila budak lain yang buat perkara yang sama tak kena mention macam aku kena, masa tu aku jadi tertanya-tanya apa beza aku dengan budak lain? Aku dapat high mark sekali tu pun terus kena pertikaikan, padahal kertas latihan aku bukan berbeza sangat pun dengan masa dapat high mark tu.

Maksud aku, dari kertas latihan aku boleh nampak aku berpotensi untuk dapat high mark, kalau diusahakan. Murid lain sah-sah, ketara, jelas memang bagi mak bapa adik beradik tolong siapkan kerja kenapa cikgu tak mention dalam kelas. Apa beza aku dengan budak lain sampai kalau aku buat silap, perlu diperbesarkan, tapi silap budak lain diketepikan?

Aku mula fikir benda ni tapi tak adalah sampai semua benda aku persoalkan. Lepas beberapa waktu, aku dapat jawapan. Sebab mak bapa budak-budak lain dikenali dalam kalangan cikgu. Jenis yang kerja pegawai, kerja TNB, kerja air, kerja kementerian. Aku anak tukang kayu kot, mana ada orang kenal. hahaha.

Mak bapa aku pun selalu tak datang perjumpaan dengan guru sebab mak bapa aku selalu cakap dengan aku, malu jumpa dengan mak bapa budak lain. Aku fikir, mak bapa aku bukan fikir malu sendiri.

Tapi risau kalau orang lain nampak aku bermak bapakan orang biasa macam mak bapa aku, orang akan pertikaikan lagi tahap aku. Yang lawaknya ada sekali tu jiran aku balik dari perjumpaan dengan guru-guru, lepas tu jiran aku tanya mak aku, jadual belajar aku macam mana? Sebab dekat rumah aku memang kaki TV.

Mak aku jawab dengan perasaan lawak, aku tak ada jadual belajar. Buat kerja sekolah pun mak aku tak nampak. Kerja aku dekat rumah, macam jiran aku nampak, tengok tv, makan, tidur. (Poin mak aku sebenarnya nak kata aku pemalas dan kaki tv ni, kalau nak dibandingkan anak perempuan jiran-jiran lain yang reti buat kerja).

Lepas tu jiran aku bagitau, cikgu sekolah tanya. Soalan cikgu sekolah aku sebenarnya macam ni, (aku tau sebab lepas tu dekat sekolah cikgu mention) mak bapa aku kerja apa, orang mana, ada abang atau kakak tak? Bila cikgu tanya macam tu dekat jiran aku, jiran aku jawab dan tanya semula, kenapa?

Cikgu terangkan, nak tahu tentang aku sebab potensi aku secara akademik. Bila sampai dekat jiran aku, dan nak disampaikan kepada mak aku, point dia kena twist sedikit. Jiran aku bagitahu kat mak aku, cikgu cakap aku pandai, sebab tu dia tanya pasal jadual belajar aku. Mak aku memang tergelaklah.

Mak aku kata cikgu tu sama ada silap orang atau belum kenal aku. Pandangan mak-mak dekat kawasan aku masa tu, pandai ni budak yang dapat hadiah no. 1-3. Aku tak. Dan jelas dekat mak aku rutin harian aku bukan anak yang sejuk perut ibu mengandung, sekadar tak memanaskan hati ibu yang melahirkan saja, hahaha.

Bila dah tahu semua benda ni, aku sedar aku tak boleh nak buat apa, dan aku tak nak buat apa pun untuk ubah kategori aku dalam kalangan murid, di mata guru-guru aku. So aku buat apa yang aku suka buat saja lah, belajar. Tapi sebab aku buat apa yang aku suka buat, sedikit-sedikit guru-guru lain bagi perhatian dekat aku.

Lepas beberapa tahun, bila keluar senarai murid yang dijangka akan mengharumkan nama sekolah dalam ujian awam, nama aku tersenarai. Ada lagi beberapa orang anak orang biasa dalam senarai tu, tapi pointnya, aku salah seorang. Masih juga ada pilih kasih walau pun aku dalam senarai tu, tapi kira aku bukan murid-murid pinggiran dah lah.

Sekolah aku, macam aku cakap tadi, sekolah khas. Banyak mata bagi perhatian untuk ujian awam generasi pertama sekolah khas ni. Dan sebab sekolah aku sekolah khas, aku banyak dapat kemudahan-kemudahan percuma. Sebab aku tersenarai dalam murid yang dijangka dapat keputusan cemerlang, lagi banyak kemudahan lain yang aku dapat.

Lepas tu sepanjang persiapan untuk menduduki ujian awam ni, ada cikgu yang selalu motivasikan pelajar dengan duit. Ada cikgu pesan, kalau dapat keputusan cemerlang, ramai orang yang akan bagi duit. Famili aku kurang serba serbi, dan tak stabil dalam banyak hal. Sepanjang aku membesar, aku sedar setiap masalah dalam keluarga aku selalu berpunca dari kekurangan duit.

Mak bapa gadoh sebab tak cukup duit. Even kedudukan aku sebagai orang biasa ni pun aku fikir sebab tak cukup duit. Mak bapa aku masa kecil tak cukup duit untuk belajar secara formal, jadinya mak bapa aku tak ada kelayakan untuk kerja macam mak bapa orang lain. Sebab motivasi duit tu, aku jadi lagi semangat nak belajar.

Tak ada yang berubah pun sebenarnya dengan motivasi duit tu. Cara belajar aku sama, satu-satunya yang berubah adalah semangat dan keinginan aku (untuk dapat duit, hahaha).

Tapi, keputusan aku tak secemerlang murid cemerlang lain. Kira aku tempat kedua dengan beberapa pelajar lain. Murid cemerlang (full A) dah ada beberapa orang. Lepas dapat keputusan ujian awam tu, aku dapat tahu ada beberapa ibu bapa (kasta ‘pertama’) yang naik turun kementerian untuk buat semakan kedua sebab tak percaya keputusan anak masing-masing.

Mak bapa aku? Buat dontknow. Keputusan kedua terbaik ni masih dikira cemerlang, mak bapa murid biasa lain cukup bangga, even yang bawah dari aku pun masih bangga. So aku balik dan cuba berbangga depan mak bapa aku.

Bapa aku cakap dengan aku, kalau ada tempat yang lebih baik, apa yang nak dibangga dengan tempat aku? (bukan negatif, aku ambil ni sebagai cara bapa aku ajar untuk tak jadi bangga diri).

Sepanjang dua tahun aku dengan rakan-rakan aku disiapkan untuk ujian awam, ada banyak larangan untuk kami tapi yang paling susah untuk budak-budak of courselah permainan. Dilarang bermain, dilarang dibelikan permainan (pesanan kepada ibu bapa. larangan ni tak relevan dekat aku.

Satu, sebab mak bapa aku tak dikenali, so pesanan ni tak sampai kepada mak bapa aku. Dua, sebab famili aku bukan orang senang yang hadiahkan permainan untuk anak-anak). Cikgu-cikgu dalam sekolah aku selalu motivasikan aku dengan rakan-rakan aku, kami boleh main sepuas-puasnya, bawa mainan datang ke sekolah lepas ujian awam.

Kalau ikut kiraan, kami ada tempoh dua tiga bulan untuk main semata di sekolah. So aku dengan rakan-rakan sekolah aku memang lagi bersemangat nak duduki ujian awam. Cikgu masa tu pun dah janji habis ujian awam kami tak ada ujian penggal. Ada seorang murid dalam sekolah aku ni, dia kira paling pandai dalam sekolah.

Jarang tersingkir dari tempat pertama. Bayangkan berapa tahun sekolah dia pegang rekod 1,2,3 saja. Dia ni antara murid yang terima tekanan untuk dapatkan keputusan cemerlang. Yelah dah dia pegang rekod bertahan, memang tinggilah harapan dekat dia.

Lepas habis ujian awam, aku dengan rakan dua kelas aku memang pulun enjoy bermain. Datang sekolah memang to have fun saja, untuk kehadiran. Ujian penggal pun dah tak ada.

Segala jenis permainan rakan-rakan sekelas aku bawa. Aku? Aku tak ada permainan, famili tak mampu dan lagi, hobi aku tengok tv. Dah semua pulun enjoy tak belajar berapa lama, tiba-tiba sekolah aku umumkan ujian penggal. Hahaha. Mengamuk weh budak sekolah aku.

Tapi ujian tetap dijalankan, dan keputusan akhir penggal sekolah rendah aku, hahahaha (bagi gelak kejap), aku kalahkan murid yang pegang rekod tadi. Menangis member tu. Masa dapat keputusan tu, aku tak expect apa pun, sekadar kekal kan kedudukan saja la.

Aku balik rumah dengan bangga bagitahu mak bapa aku, aku pecah rekod dan dapat tempat pertama (terbaik lah, kan?). Bapa aku dengan tenang cakap, aku kalahkan murid lain bukan sebab kelebihan aku, tapi sebab ‘kekurangan keadaan’ murid lain. Tak ada apa yang aku nak banggakan. Hahaha. Aku tetap bangga tapi aku terima apa yang bapa aku sampaikan.

Dekat sekolah, cikgu nak tenangkan keadaan sebab budak lain tak percaya aku pecahkan rekod masa tu, cikgu ulang benda yang sama macam bapa aku cakap, tapi dalam nada yang lebih tegas daripada bapa aku, dan aku anggap benda tu negatif. Aku balik rumah bagitahu mak aku apa jadi. Mak aku gelak, sambil cakap, betullah apa yang cikgu aku cakap.

Tapi mak aku kata, fikir balik, aku tak belajar (tak ubah cara belajar aku) tapi aku kalahkan budak lain yang selalunya belajar, bila dia tak belajar. Kalau kiranya dia tak berubah (masih budak yang selalu belajar), tapi aku berubah jadi budak yang selalu belajar, …. (aku tak fikir jauh masa tu aku cuma fikir sampai ayat pertama dan aku anggap tu rezeki aku).

Aku ada mention aku tak lulus ujian kelayakan masuk sekolah khas ni kan tadi? Ada sebab kenapa aku masukkan sekali dalam cerita ni. Sebab aku dan rakan sekelas (dua kelas) ni generasi pertama sekolah khas, (kira generasi eksperimen), punya nak fokus ke arah mengharumkan nama sekolah tu, kami didedahkan dengan ujian awam dua tahun lebih awal.

Mula didedahkan dan ditekankan dengan format ujian awam lebih awal daripada murid sebaya sekolah lain. Zaman budak sekolah lain masih mampu bersuka-suka, murid-murid sekolah aku dah kena push untuk dapat markah cemerlang, bahkan sehingga ke tahap full mark is not impossible.

Tak adalah teruk macam tengok dalam drama korea, tapi teruk jugalah berbanding murid sekolah lain masa tu, dan relatif punya cakap, zaman tu.

So, cakap pasal kelulusan aku. Bila sekolah aku mula fokus untuk ujian awam, aku agak kelayakan setiap murid mula kena bangkitkan di sekolah. Isu kelayakan ni termasuklah kelulusan masa ujian sebelum masuk sekolah khas ni. Ada satu tempoh tu, ada beberapa orang murid yang kelayakannya dipertikaikan.

Bukan budak-budak yang tak pandai tau ni, sekadar budak-budak yang dianggap tak mampu capai keputusan cemerlang (full A). Agaklah, orang kata belakang parang kalau diasah tajam juga.

Even aku dengan budak-budak lain yang dikatakan tak lulus ujian kelayakan ni memang kureng dan tak layak masuk dalam sekolah khas, tempoh beberapa tahun dalam sekolah tu cukup untuk majukan tahap kami kepada tahap murid biasa dari sekolah lain kan. (Atau cuma aku yang positif ni?)

Yelah, sebab sekolah khas, cikgu-cikgu sekolah aku semua cikgu pakar. Kalau pun para orang dewasa masa tu tak yakin dengan kemampuan kami, paling tak boleh yakin dengan kemampuan masing-masing untuk mendidik kami yang masa tu dah masuk 4-5 tahun dalam sekolah khas.

Balik pada murid-murid yang kena pertikaikan ni, aku tak faham kenapa dengan kelayakan tu tapi bila budak-budak dan beberapa cikgu bangkitkan dalam kelas, aku out of wanting to get in the conversation gamaknya waktu tu, jujurlah bagitahu dengan rakan-rakan sekelas aku kisah aku. Aku tanya apa maksud lulus dan gagal, dan macam mana bezakan?

Rakan-rakan aku terus potong percakapan aku, dan cakap aku lulus so aku tak payah risau. Tapi rakan-rakan aku masih bangkitkan pasal isu lulus tak lulus beberapa rakan lain, so aku tanya lagi. Bila rakan aku dah terangkan, aku kata aku tak tahu aku lulus atau gagal.

Rakan sekelas aku kata takkanlah aku tak ingat, (masa ni ingatan ni satu isu sensitif sebab kata pun budak-budak pandai kan, takkan tak boleh ingat). Ada rakan sekelas lain yang bagitahu, kalau aku jawab semua soalan, aku lulus. Aku pun jawablah, aku tinggalkan banyak soalan.

Sebab aku ingat masa aku ambil ujian tu aku baru masuk tadika berapa bulan, (6 tahun), pandai membaca saja, siap ada tulisan yang aku tak kenal. Tapi rakan sekelas aku banyak yang tak percaya. Aku ingat isu ni sebab tak ada orang pernah pertikaikan kelayakan aku masuk sekolah tu.

Aku bukan murid yang kena aim pasal isu kelayakan IQ, tapi lepas aku kongsikan sendiri kelayakan aku, keputusan ujian aku dirujuk semula kepada tadika lama aku dan memang aku tak lulus. Lepas tu baru keluar rumour-rumour dalam kalangan murid dan guru, yang gagal masih diterima sebab ada kekosongan dalam sekolah.

Bila aku kenang-kenangkan ni, aku tersedar pengalaman akademik aku tak teruk. Dan aku tak terkesan macam rakan-rakan sebaya, sesekolah yang lain.

Masa tu selalu saja dengar cerita ada rakan dua kelas yang kena marah dengan mak bapa sebab fail, kena marah sebab markah jatuh sikit, sebab tak dapat meningkat dalam ujian penggal, tak dapat full mark. Tapi seingat aku, aku tak tertekan macam rakan dua kelas aku.

Sini lagi satu rezeki aku. Rezeki aku yang berbeza dengan murid lain. Aku mention kan, mak bapa aku ada banyak kekurangan sebab pendidikan. Tapi kekurangan mak bapa aku jadi kekuatan untuk aku belajar, dan dalam masa yang sama jadi benteng yang neutralkan aku dari segala perkara-perkara stress bagi rakan sebaya lain.

Mak bapa aku tak ambil tahu pasal pelajaran aku. Bukan sebab tak kisah, tapi sebab aku tak ada masalah pelajaran. Apa yang jadi pada rakan sebaya aku tu, jadi juga pada abang dan adik aku. Haha. Setiap malam buku latihan kena semak sebab nak pastikan abang dan adik aku siapkan kerja sekolah.

Tak boleh keluar main sebab perlu belajar. (Tapi tak adalah seteruk tekanan daripada mak bapa rakan-rakan aku yang lebih tinggi pendidikan.)

Kalau ada yang terfikir mungkin mak bapa aku tak bagi penekanan pendidikan sebab aku anak perempuan, aku tak boleh nak bantah sangat. Tapi kalau nak kata mak bapa aku bandingkan dan pilih kasih antara anak lelaki dan perempuan, aku perlu nafikan secara keras.

Aku pernah tanya mak aku, kenapa buku sekolah aku tak pernah kena pantau macam apa yang adik dan abang aku lalui. Mak aku kata sebab mak bapa aku tahu aku siapkan kerja di sekolah. Sebab tu masa abang dan adik aku kena siapkan kerja sekolah atau tidur awal, aku masih ada masa bermain dan tengok tv sampai lewat malam.

Lepas tu, aku pun jenis yang rajin pergi sekolah. Alasan aku rajin ni ironi sikit. Bukan sebab nak belajar sangat pun. Aku dengan abang dan adik aku selalu gaduh. Jadi aku tak ada kawan dekat rumah. Satu-satunya masa aku ada kawan bermain adalah masa di sekolah.

Aku cuma mula ambil tusyen percuma dan kelas tambahan (ini antara kelebihan yang aku sebut tadi) secara aktif tahun aku perlu duduki ujian awam. Rakan lain mula tiga tahun awal, ada jadual belajar dan bermain.

Apa aku nak cakap, belajar ni yang bantu aku survive dalam persaingan-persaingan ciptaan sesama manusia, sejak aku kecil. Macam bapa aku cakap, up to now, aku tak pernah ada kelebihan berbanding orang lain. Aku cuma ada konsistensi aku ke hala tuju aku.

Kalau diibaratkan aku macam kura-kura dalam cerita arnab, penuh dengan kekurangan berbanding arnab, jadi jauh untuk aku berbangga dengan apa yang aku ada. Apa yang aku patut buat, bersyukur dengan apa yang aku ada sebagai kura-kura.

Kalaulah dalam versi kura-kura aku ni, arnab tak cuai, aku takkan mampu kalahkan arnab. Tapi kemenangan arnab tu pun tak tambahkan kekurangan aku yang sedia ada. Jadinya aku tak perlu bagi perhatian pada arnab (atau kura-kura lain). Aku cuma perlukan teruskan perjalanan aku sendiri.

Terpanjang pulak. Tak habis lagi ni, haha.

– Mata Air (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *