Terima kasih kepada admin jika confession ini diterima.
Bismillah.
Kisah yang bakal dikongsikan ini berkisarkan tentang hidup aku.Maaf jika pembaca sekalian tidak selesa jika terlalu panjang. Catatan ini lebih kepada luahan perasaan aku yang selama ini aku pendamkan.
Aku membesar di kampung bersama keluarga besarku,6 orang adik-beradik.Kehidupanku sangat susah pada ketika itu. Aku masih ingat lagi,sewaktu kecil aku menumpang di rumah opah sebelum ayahku menyewa rumah lain yang juga sekampung. Tidak jauh dari rumah opah.Pada waktu itu,aku belum mengenal erti kehidupan.Aku masih ingat lagi, satu-satunya kereta buruk ayahku ditarik semula.Pada waktu itu, adik bongsuku yang masih bayi demam dan kami ingin membawanya ke klinik.Tetapi, ada seorang cina datang dan membawa kereta ayah pergi sementara aku dan adik-beradikku melompat-lompat gembira kerana kata ibu kereta kita masuk hospital.Allahu, sedih bila kenangkan kembali.Kalaulah aku tahu perasaan ibu dan ayah waktu itu.Semenjak hari itu, hanya motosikal ayah yang mengangkut kami sekeluarga ke mana sahaja. Berhujan, berpanas dan berhimpit di atas motosikal cabuk itu sudah menjadi rutin.
Ayahku mengambil upah menjaga sawah di belakang rumah kami manakala ibuku merupakan suri rumah sepenuh masa. Upah tidaklah banyak tetapi ayahku giat memberi ceramah tentang pertanian di kampung-kampung lain. Jadi, masih mampu menampung makan harian kami sekeluarga. Ibu dan ayah masih mampu mengadakan majlis menyambut hari lahir kami dan menjemput jiran terdekat. Sehinggalah pada suatu hari,ketika tengah hari terik ayahku pulang dari sawah sambil menahan kesakitan di dadanya.Ayah diserang sakit jantung.Jiran di hadapan rumah kami yang menolong membawa ayah ke hospital sementara ibu terpaksa menemani kami di rumah.
Semenjak hari itu,ayah tidak boleh lagi melakukan kerja-kerja berat dan tidak lagi pergi memberikan ceramah seperti kebiasaannya. Hidup kami semakin susah. Pernah pada suatu malam,aku terdengar ayah dan ibu bergaduh besar kerana ayah memaksa ibu memberikan wang kepadanya sedangkan ibu pun tiada apa-apa. Telinga aku menangkap segala perbuatan ayah terhadap ibu .Aku menangis ketakutan.
Walaupun hidup susah,ayah sanggup hantar aku ke tadika yang agak jauh di bandar walaupun terdapat pra sekolah berdekatan. Apabila aku mula memasuki sekolah rendah, hidup kami semakin melarat kerana tanggungan semakin bertambah. Kami berpindah rumah sekali lagi. Mungkin tuan rumah menghalau kami kerana ayah tidak mampu membayar sewa. Rumah tersebut hanya selang beberapa buah rumah sahaja. Rumah kayu tinggi bertiang. Keadaannya sangat usang kerana terlalu lama ditinggalkan. Ia dapat digambarkan seperti tunggu masa untuk menyembah bumi sahaja. Terdapat satu bilik yang bersambung dengan ruang tamu sahaja yang masih elok. Bahagian dapur semuanya reput,berlubang-lubang dan tiada bumbung. Syukur, bilik air di hujung masih elok kerana strukturnya batu. Memang mustahil untuk manusia tinggal di situ tetapi kami terpaksa.
Hidup kami kais pagi makan pagi,kais petang makan petang. Kadang kala,beras pun minta daripada opah. Ayah dan ibu makan nasi tidak berlauk dan kami adik-beradik berkongsi lauk. Ketika itu, kami tidak pernah sekali pun merungut,mungkin sudah biasa hidup susah. Majlis hari lahir tidak pernah diadakan lagi apatah lagi hadiah daripada ibu dan ayah. Keluarga kami dicemuh dan dihina oleh orang kampung. Kami dipandang keji. Ayah berhutang sana-sini untuk membeli barang dapur. Sejak itu,ibu mengambil upah menjahit baju dan membuat kek. Itu pun berapa sangatlah yang dapat kerana hanya beberapa orang sahaja yang mahu menempah.
Di sekolah,aku antara budak yang selekeh dan ‘tomboy’ kerana aku sering mengikut abang-abangku bermain. Aku tiada kesedaran untuk belajar walaupun aku berada di kelas pertama setiap tahun. Belanja sekolah 50 sen sahaja sehari. Setiap hari aku makan seketul karipap 20 sen dan air 30 sen. Cikgu pernah tanya masih ada atau tidak pelajar yang berbelanja kurang dari seringgit zaman sekarang. Aku tersentak dan malu untuk mengaku. Tambahan pula,aku dan abang-abangku tidak dapat RMT (Rancangan Makanan Tambahan) untuk pelajar miskin.Ayah kata, ramai ibu bapa yang menipu dengan mengaku pendapatan mereka rendah sedangkan pendapatan ayah pada masa itu hanya RM200. Tidak mengapalah, jujur itu lebih baik. Kawan baikku sangat memahami aku dan menyuruh aku makan makanan RMT secara curi-curi sehinggalah cikgu dapat tahu. Sejak itu, aku hanya memandang kawan-kawanku makan makanan yang sedap-sedap. Aku semakin membesar dan semakin memahami kesusahan hidup keluargaku. Aku tidak lagi berbelanja di sekolah dan duit tersebut aku pulangkan semula kepada ayah.
Sudah jatuh ditimpa tangga tergolak pula. Kami sekali lagi dihalau oleh tuan rumah.Kali ini,tuan rumah tersebut meghalau kami di hadapanku. Bahasanya berkias,tetapi cukup untuk difahami. Alhamdulillah,kebetulan pula saudaraku menyuruh kami sekeluarga tinggal bersama-sama arwah nenek di bandar raya,tempat ayah membesar. Dia berjanji akan beri RM400 sebulan kepada ayah. Lumrah manusia, janji untuk diingkari. Satu sen pun tak pernah dihulurnya. Beban menjaga arwah nenek ditinggalkan seratus peratus di atas bahu ayah. Ayah dan ibu tidak bekerja. Kos perubatan, makan minum, bil itu ini dan kos persekolahan kami macam mana? Pisang berbuah dua kali. Namun,Alhamdulillah rezeki Allah ada di mana-mana. Ayah dilantik menjadi muazzin menerusi kenalan-kenalannya di sini. Ibu pula mendapat banyak tempahan menjahit. Tetapi,masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan keluarga besarku. Hampir setiap kali, aku dan adikku akan berjalan ke kedai berhampiran untuk berhutang keperluan dapur. Sehinggalah pada suatu hari,tuan kedai memerli aku dan aku tidak mahu lagi pergi ke sana untuk berhutang. Malu!
Tetapi,kehidupan di sini lebih baik berbanding di kampung. Aku dan adik beradikku mendapat RMT.Guru-guru di sini amat memahami kesusahan keluargaku terutamanya Madam dan guru-guru lama. Mereka sering menghulurkan wang untuk kami membeli baju raya setiap kali raya menjelma.Duit raya pun selalu lebih dari kawan-kawan lain.Madam pernah menyebut tentang kesusahan hidup aku di hadapan kelas sehingga membuatkan aku menangis. Bukan untuk memburukkan tetapi sebagai motivasi. Ibu kurang mengambil tempahan selepas tidak mampu menyiapkannya pada tahun pertama. Masih segar dalam ingatanku,hari raya pertama ibu masih menjahit dan ada seorang pelanggan yang memarahi dan memaksa ibu untuk menyiapkan bajunya pada masa itu juga. Aku sedih,ibu terpaksa bekerja keras sehingga jatuh sakit dan tertekan.Mungkin kerana ibu bapaku terlalu memikirkan wang, mereka menjadi sedikit kasar dan aku terasa sedikit kehilangan perhatian.Namun,mereka tetap mengambil berat terhadap kami.Ayah juga sering meminjam duit tabung kami. Saudara-mara? Tidak pernah sekalipun bersimpati. Keluarga sebelah ibu sahaja yang baik tetapi kebanyakannya masih belajar. Saudara-mara sebelah ayah sampai sekarang pun kalau ditanya, mungkin aku tidak kenal mereka. Ada yang baik tetapi semuanya jauh-jauh belaka.
Pisang berbuah tiga kali? Tidak mustahil. Selepas arwah nenek meninggal dunia,kami dihalau oleh SAUDARA sendiri. Mereka mahu menjual tanah dan rumah pusaka tersebut. Sayangnya, arwah datuk pasti akan kecewa jika dia masih ada kerana dia amat sayangkan rumah tersebut.Sedangkan cucu-cicitnya hanya tamakkan harta.Dengan berat hati,kami berpindah ke sebuah rumah kecil buat sementara waktu sebelum ayah mencari rumah yang lebih selesa untuk adik-beradikku yang ramai.
Alhamdulillah,kini kami sekeluarga tinggal di rumah wakaf.Kehidupan kami bertambah baik kerana anak-anak ayah yang sudah besar (anak bekas isteri) sudah bekerja dan memberi sedikit duit setiap bulan.Sedikit-sedikit hidup kami semakin pulih daripada kesusahan.Pada tahun lepas,ayah membeli sebuah kereta lama untuk keselesaan kami sekeluarga. Ibu pula berniaga secara kecil-kecilan.Abang-abangku kini sedang menuntut di kolej swasta kerana ayah inginkan masa depan yang terbaik buat mereka.Mahal? Ya memang terpaksa. Namun saudara-mara banyak menolong,tambahan pula abangku yang seorang dapat biasiswa yang mencukupi.Dulu,aku sering memendam perasaan apabila melihat rakan-rakanku mempunyai pelbagai barangan yang aku tidak mampu miliki tetapi sekarang aku juga mampu dengan hasil simpanan sendiri.
Aku berharap suatu hari nanti,kami adik-beradik dapat membanggakan ibu dan ayah.Kami ingin buktikan kepada orang-orang yang pernah menghina kami bahawa kami juga mampu berjaya seperti anak-anak orang kaya lain.Mereka belajar di atas meja,kami di atas lantai.Mereka makan nasi berlauk ayam,kami berlauk ikan goreng. Mereka berbaju baru di hari raya,kami memakai baju lama.Tetapi masih mampu mendaki puncak yang tinggi.
Alhamdulillah wasyukurillah Allahuakbar.Terima kasih Allah atas kehidupan ini,untuk ibu bapa yang terlalu kuat dan untuk keselesaan ini. Terima kasih juga buat mama tersayang yang banyak membantu dan sudi berkongsi kasih-sayang.Terima kasih semua.
– Kakak
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit