Assalammualaikum. Nama aku Teja, bukan nama sebenar. Di sini aku ingin berkongsi beberapa cebisan hidup buat sempadan dan teladan masyarakat di luar sana.
Aku anak sulung, seorang perempuan dan ada empat orang adik di bawahku.
Aku dan keluarga bukan orang senang dan kami dibesarkan dalam keadaan serba susah ; pernah tak ada elektrik dan tak ada air kerana ibu saudara sendiri yang buat hal maka aku belajar untuk PMR menggunakan pelita.
Esoknya aku turun ke sekolah dengan jelaga hitam di hidup dan muka, asbab belajar guna pelita. Ya, jangan tak percaya zaman itu masih ada yang belajar guna pelita. Akulah itu, hehe.
Setiap malam aku merintih dalam solat mendoakan semoga mereka yang menganiayai kami sekeluarga mendapat balasan yang setimpal dari Tuhan,
Seikhlas-ikhlasnya aku meluah kerana yang jahat pada keluarga kami itu bukannya orang lain, tetapi keluarga sendiri, sebelah bapa.
Walaupun belajar guna pelita, result aku tetap cemerlang.
Jujur, akulah harapan keluarga untuk mengubah nasib keluarga. Jadi, bahu aku sudah terlatih untuk belajar bersungguh-sungguh dan mengubah nasib keluarga kami yang miskin dan dipandang hina.
Tiada seorang pun keluarga sudi memijak lantai rumah kami, kerana kami miskin yang hina.
Lucu bukan manusia? hehe. Aku abaikan walau hati bagaikan dicarik mendengar mak dan bapa aku dikeji dicaci dimaki, bahkan dipergunakan sesuka hati.
Mak aku sampai menangis kerana difitnah ipar birasnya dan diumpat sesuka hati.
Bapa aku pula sentiasa menyabarkan aku dan adik adik, meyakini balasan Tuhan sentiasa ada kepada mereka yang berbuat zalim.
Kepada Tuhan aku meluah semuanya dan benar, jalur langit tidak pernah menghampakan.
Masa berlalu dan semuanya semakin kelihatan. Semua yang menghina dahulu perlahan-lahan menerima kifarah sendiri. Apa yang mereka aniayai, berbalik kepada diri mereka sendiri.
Ada mak cik aku yang seronok menghentam anak orang lain, di belakang anak perempuannya sendiri bermain dengan lelaki tanpa pengetahuannya.
Aib anak perempuannya aku simpan rapi, enggan jatuh ke level emaknya yang batu api. Biarlah emaknya tahu dari mulut orang lain, bukan aku.
Nenek yang dahulu pilih kasih, mengata aku hitam dan tak ada lelaki yang akan mahukan aku, mencerca keluarga aku, kini merintih ke mana-mana mengatakan aku cucu derhaka, hehe.
Lucu betul kenangkan balik bagaimana semuanya boleh terbalik. Adik adik aku memang tak jejak langsung ke rumah nenek, aku apatah lagi.
Bukan kerana sakit hati menyimpan dendam walaupun parutnya masih ada, tetapi aku ingin menjaga keluargaku dan hatiku sendiri daripada disakiti lagi.
Nenek masih sama walau usia sudah menjengah senja, masih sibuk menjaga tepi kain orang lain dan mengadu domba anak menantu.
Memang sudah lama aku tidak melihat orang tua itu, biarlah dia, nanti mati diam juga mulutnya. Jahat kan aku?
Tapi inilah kesan perbuatan nenek aku sendiri kepada keluarga aku, hilang rasa kasih aku sebagai cucu bahkan aku lebih rela mengabaikan saja bila disuruh menjenguknya setiap kali balik kampung.
Hati batu. Jangan salahkan aku dan adik adik aku kerana nenek sendiri punca kami jadi begitu. Tidak semua orang boleh memaafkan dan jika sekalipun boleh memaafkan, melupakan itu sangat sulit sekali.
Mak cik pak cik aku? Aku juga melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana mereka satu-persatu dilanda masalah, tak pernah tenang nampak gaya hidup mereka.
Ada yang anak mengandung luar nikah, bukan sekali, dua kali pula. Ada yang anaknya berkira dengan ibu bapa, langsung tak menghulur duit.
Ada yang suka bermain sihir nampak termakan sihir dan saka sendiri, sampai buang air besar pun di bilik saja kerana tak mampu berjalan.
Ada yang sampai hilang harta dan benda bahkan porak peranda kehidupan keluarga.
Ada anak lelaki mereka yang jadi kaki perempuan dan kaki dadah, tapi masih juga disanjung dan dipuja dan yang ini merupakan antara cucu kesayangan nenekku kerana wajahnya kacak (bagi aku tidaklah kacak kerana peribadinya sudah hancur disebabkan najis dadah).
Semua itu berlaku kepada mereka tetapi mereka masih juga tidak belajar sesuatu, bahkan lebih teruk dari dulu. Entahlah labu, hidayah milik Allah.
Aku?
Aku sudah bekerja tetap dengan gaji yang agak tinggi. Sekaligus menutup mulut mulut puaka yang suka mengata dan mengeji. Aku bergraduasi dengan Ijazah Kelas pertama sekaligus tak perlu bayar PTPTN sebab jadi biasiswa.
Aku belikan barang barang untuk mak bapa aku, bayar apa yang aku mampu macam bil rumah mereka, barang barang keperluan harian mereka dan kalau raya, akulah yang bersemangat membawa keluarga aku shopping raya.
Seronok adik adik aku dan aku sekarang sudah berkahwin dengan insan yang mampu menerima aku dan keluarga aku seadanya. Kehidupan keluarga aku juga sudah tidak sesukar dahulu, alhamdulillah.
Aneh kan seorang insan miskin biasa dapat besarkan anak sehingga menyambung ijazah tetapi itulah bapa dan mak aku.
Pelangi selepas hujan, aku percaya itu semua ada hikmahnya dan kini aku masih usaha membalas jasa orang tuaku. Doakan aku.
– Teja (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit