Bismillah. Aku mulakan penulisan ini dengan kalamnya yang mulia.
Serasa sudah lama aku tinggalkan ruangan ini atas beberapa sebab. Ternyata hari ini jari jemari rindu untuk mengetik aksara rasa yang tersimpan.
Sudah dua tahun berlalu. Seingat aku, kali terakhir aku menulis penuh dengan lambakan rasa yang amat menghimpit dada. Macam-macam ujian dan naik turun hidup aku alami saat itu yang aku pendamkan dan aku luahkan melalui penulisan di ruangan ini.
Aku hanya ingin berterima kasih kepada pembaca-pembaca ruangan ini yang memberikanku kata-kata semangat dan doa ketika aku berada di fasa titik terendah hidupku.
Walaupun ada banyak juga tulisanku dikecam, dikomentari dengan kata-kata toksik, mempersendakan, tak kurang juga memperlekehkan masalah dan kelemahan yang aku alami saat itu, aku TETAP bersyukur kerana masih wujud lagi manusia manusia yang punya hati Dan empati yang tinggi.
Terima kasih orang baik walaupun aku tidak tahu siapa anda sebenarnya.
Sekecil-kecil kebaikan kalian, amat aku hargai. Masih aku ingat di saat hidup aku hancur dari sudut kerjaya, keluarga, kewangan, perhubungan, harta, kesihatan mental, keyakinan aku pada Tuhan mula pudar perlahan-lahan.
Lidah yang sering menasihati lembut mula bertukar nada menjadi sekeras-kerasnya, tudung yang labuh hampir ingin ditanggalkan, solat dan tilawah yang sering aku didik pada anak muridku perlahan-lahan aku tinggalkan,
Benarlah Allah akan menguji, “Adakah kamu mengaku beriman, sedangkan kamu belum diuji?”
Aku dijatuhkan dengan keras. Berjilid jilid buku sembuhkan luka aku hadamkan dalam diam. Sudah berapa ribuan jarak kaki aku melangkah demi sebuah kesembuhan. Sudah beratus kali aku cuba memaafkan dan mengikhlaskan apa yang sudah ditetapkan.
Alhamdulillah, kini setelah fasa itu sudah berlalu.. aku semakin kuat dan tidak mudah rapuh. Tekanan yang dahulunya menghimpit kini sudah tidak terasa apa.
Beban kerjaku hari ini hampir tidak punya beban, pulang dan pergiku tidak lagi berat seperti dahulu, penghijrahan ke tempat asing memberi kekuatan dan kesembuhan yang luar biasa.
Majikanku amat prihatin dengan kesihatan usus pekerja. Hanya makanan sihat dan berkualiti sahaja dibenarkan melalui perutku. Tagline company “we are like family” sudah tidak menjadi mimpi dan igauan burukku. Makanan sentiasa tersedia dan dibungkus rapi setiap kali pulang. Alhamdulillah.
Urusan ibadahku juga turut dipermudah, antara nikmat yang sangat-sangat aku syukuri kerana selama ini aku perlu bercatu waktu rehat & solat hingga terkejar-kejar aku dibuatnya.
Ibarat Pelangi selepas Hujan yang Panjang. Setelah bermacam-macam permohonan kerja aku ditolak, kereta ditarik, wang simpanan makin menyusut setelah berbulan bulan mencuba dan memulihkan trauma tempat kerja, menyelesaikan isu dan konflik keluarga yang tidak berkesudahan,
Menjadi tempat diambil kesempatan oleh orang sekeliling, dikhianati oleh orang yang paling aku percaya, difitnah, dimalukan, dikenakan hukuman setelah berkorban segalanya hingga diri tiada apa-apa, hancurnya harapan yang aku gantungkan pada Tuhan dan aku alami fasa mati rasa yang agak lama.
Kini alhamdulillah aku ingin ucapkan, sesekali aku menoleh ke belakang, ternyata kuat juga aku ya melewati semua ini sendiri.
Kepada yang sedang lelah berjuang dan diuji dengan himpitan ujian yang bertalu-talu, ingatlah bahawa Allah tidak akan menarik sesuatu dari kamu kecuali ingin digantikan dengan lebih baik. Percayalah. Cuma masanya itu yang kau perlu bersabar.
Tidak ada suatu pun terjadi tanpa kehendak dan pengetahuan Allah.
Allah is a real wisdom.
Bersangka baiklah dengan takdirNya.
Ikhlas,
– HoneyDew (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit