Assalamualaikum semua. Aku nak share kisah hidup aku sebagai pengajaran dan iktibar. Lepas beberapa kali dipujuk adik aku agar berkongsi kisah ini agar dapat memberi semangat dan pengajaran kepada mereka yang senasib dengan aku.
Aku mendirikan rumahtangga dengan Atif (bukan nama sebenar) sebaik sahaja tamat pengajian. Kami berkahwin atas dasar cinta. 2 tahun pertama perkahwinan kami masa dalam fasa bulan madu. Tetapi biasalah mulut-mulut org sekeliling mula bertanya ‘bila nak ada anak?’.
Pada mulanya aku dan Atif sama-sama tidak kisah kerana fokus kami masih pada kerjaya kami. Walaupun rezeki anak masih tidak kunjung tiba tetapi Alhamdulillah kami masing-masing mampu membeli rumah dan kereta yang agak selesa.
Konflik bermula apabila mak mentua aku sudah mula mempersoalkan tentang zuriat kepada aku. Untuk makluman semua, Atif merupakan anak lelaki tunggal dalam keluarga. Atif mempunya 5 orang adik beradik dan dia anak yang ke 3.
Jadi mungkin disebabkan adik beradik perempuan Atif yang lain sudah berkeluarga dan mempunyai zuriat masing-masing maka Mak mentua aku sudah mula bising dan mendesak Atif untuk mendapatkan zuriat.
Pada tahun ke 4 perkahwinan, aku sudah pun memulakan rawatan kesuburan. Menurut doktor kami suami isteri tiada masalah kesuburan. Tapi doktor ada menyarankan kaedah IUI kepada kami suami isteri. Berita tersebut terus sahaja Atif sampaikan pada mak mentuaku. Perkara tersebut pun menjadi isu buat mak mentuaku kerana merasakan aku tidak seperti anak-anak perempuannya yang subur.
Kecil hati aku bila mendengar kata-kata mak mentuaku sampai begitu sekali. Sepatutnya seorang perempuan lebih memahami perasaan perempuan lain bila berkaitan hal begini. Siapa yang tidak menginginkan zuriat? Tapi zuriat itukan salah satu rezeki Allah. Siapa kita nak mempersoalkan rezeki Allah.
Aku sedikit berjauh hati dengan mak mentuaku. Hubungan kami suami isteri sedikit sebanyak turut terkesan. Mujur ada orang tua aku yang banyak memberi sokongan dan nasihat supaya bersabar. Kesabaran aku teruji saat mak mentuaku sendiri yang mencadangkan Atif beristeri lagi agar dia dapat menimang cucu dari anak lelaki tunggalnya.
Ya Allah, sampainya hati mak mentua aku cakap begitu di depan aku. Atif sekadar mentertawakan kata-kata maknya itu mungkin memikirkan itu hanya gurauan semata-mata tetapi tidak bagi aku. Balik sahaja dari rumah mentua, aku menangis sepuas hati. Sepanjang malam aku tidak tidur memikirkan kata-kata mentuaku. Aku ingat lagi bermula pada malam itu lah aku doa dan mohon pada Allah, berikanlah apa yang terbaik untuk aku dari sisiNya.
Tepat ulangtahun 5 tahun bulan perkahwinan aku dan Atif, kami bercerai secara baik. Banyak perkara yang terjadi tapi aku tidak mahu membuka aib mana-mana pihak.
Sewaktu kali terakhir aku menyalam tangan Atif waktu itu aku dah ikhlas dan redha dengan segala-galanya. Aku ingatkan aku akan menangis tetapi tiada setitis pun airmata mengalir dari mataku. Cuma mungkin hujan lebat pada hari itu menangisi perpisahan kami.
Masuk tahun ini sudah 4 tahun aku beraya sejak penceraian yang lalu. Hihi. Dugaan sebagai seorang Janda juga sangat hebat. Tapi aku bukanlah seorang perempuan yang akan membina kebahagiaan atas airmata orang lain. Aku juga tidak mahu memegang title penyondol. Haha.
Allah itu maha baik. Syukur Ya Allah.
Dia temukan aku dengan Amar. Terima kasih Ya Allah untuk segala rezeki dan nikmat yang Kau berikan. Sebelum aku menerima pinangan Amar, aku berterus terang kepada Amar dan keluarganya yang mungkin aku tidak dapat memberikan zuriat kepada Amar jika dia tetap ingin berkahwin denganku. Tidak semena-mena Ibu Amar memeluk aku pada waktu itu. Aku masih ingat kata-kata dan hangatnya pelukan Ibu sehingga ke hari ini.
Alhamdulillah aku dan Amar sudah pun hampir 10 bulan bernikah. Doakan aku dipermudahkan urusan bersalin bulan Ogos nanti. Aku bersyukur dengan segala ujian dan nikmat yang Allah berikan pada aku. Buat Ibu, terima kasih sebab menerima Tya yang serba kekurangan dalam keluarga Ibu. Terima kasih untuk doa-doa ibu dan terima kasih sebab besarkan Amar.
Amar, kita bercinta sampai syurga ya.
Fyi, Atif juga bahagia dengan isteri dan anak-anaknya. I pray for your happiness, always.
Pengajarannya di sini, kadang-kadang kita putus asa sampai rasa kenapa Allah tak makbulkan doa aku ni. Allah Maha Mendengar. Allah tahu apa yang kita perlukan dan bukan apa yang kita inginkan. Sabar seems to be the hardest word. Tapi kuncinya memang sabarlah. ALLAH MAHA BAIK.
P/s : Cantiknya pelangi selepas hujan :)
– Nian di hati (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit