Pelangi Tujuh Hilang Warna Merah

Assalammualaikum wbt semua. Terima kasih admin sekiranya menyiarkan luahan saya ini. Nama saya Ainni. Saya penghidap MDD, anxiety dan bipolar. Telah hampir dua belas tahun saya menanggungnya.

Sepanjang dua belas tahun ini sedikit pun saya tidak pernah menyalahkan Allah swt atas ujian yang melanda. Patah riuk, koyak dan komot itu perkara biasa dalam menjalani dua belas tahun ini tetapi saya terima dengan redha setiap takdir yang terlukis indah buat saya.

Saya sudah berkahwin selama empat belas tahun dan tidak mempunyai anak. Saya telah berusaha sehingga tahap menjalani IVF namun tetap belum diizinkan Allah swt untuk ditiupkan satu ruh ke dalam rahim pinjamanNya.

Saya dan suami redha dengan hikmah di sebalik ketiadaan zuriat ini.

Saya pernah beberapa kali mengandung secara semualajadi tetapi ditakdirkan untuk gugur dan juga saya pernah mengandung luar rahim dan sebelah tiub fallopio terpaksa dipotong.

Tetap kami redha atas lakaran indah kanvas takdir kami. Kami berdua bahagia menjalani kehidupan berdua dengan sakit mental saya yang semakin meruncing kebelakangan ini.

Alhamdulillah, Allah sangat baik pada saya. Allah hantarkan saya seorang suami yang redha menjaga dan merawat saya yang sakit ini.

Apabila tidak sedarkan diri dan berubah menjadi budak kecil, suami saya akan merawat dan menguruskan saya dengan penuh kasih sayang.

Suami memandikan dan menguruskan segala urusan buangan najis dan kencing saya tanpa merungut.

Alhamdulillah dan terima kasih Allah atas kurniaan nikmat suami ini. Semoga hamba tidak terlupa dan terbuai dengan nikmat ini sehingga mengkufurkanmu.

Sakit mental saya tidak dapat diterima oleh keluarga saya terutamanya mak saya. Akibat makan terlalu banyak ubat psikatri saya menjadi gemuk. Mak saya selalu ‘body shaming’ saya sehingga menambahkan lagi kemurungan saya.

Mak selalu cakap saya tidak dekatkan diri dengan Allah swt, tidak selalu mengaji, solat sunat dan sebagainya yang hanya menambahkan lagi kemurungan saya.

Setiap hari saya akan menelefon mak sebanyak kali yang mungkin kerana saya sedar mak sunyi dan tiada kawan berbicara dan meluahkan perasaan.

Dan setiap kali itu mak akan menyerang mental saya dengan teruk sehingga saya menjerit di dalam hati meminta mak untuk berhenti.

Tetapi saya tak mampu meluahkan kerana saya sangat sayang mak dan saya tahu mak risaukan saya juga menyayangi saya lebih dari nyawanya sendiri.

Cuma kadangkala saya mengharapkan mak faham dan dapat menerima bahawa anak perempuannya menghidap penyakit mental.

Saya disarankan untuk mengambil kad OKU pesakit mental dan saya memaklumkan kepada mak tetapi mak menjerit mengatakan mak tak redha pada saya jika saya mengambil kad tersebut. Mak menyalahkan suami saya yang membuat saya menjadi gila.

Baru-baru ini saya telah mengambil pisau dan ingin menikam suami saya kerana saya dah tak tertahan dengan segala suara-suara yang menghantui saya.

Mujur suami saya sempat mengigit tangan saya dan melempar pisau itu jauh dari saya. Kejadian berlaku semasa suami akan pergi kerja shift malam. Lantas saya seperti orang gila mengasak suami sehingga suami hilang pertimbangan dan menjadi stress.

Suami bertindak agresif dan menjerit-jerit memarahi saya. Saya yang ketakutan diserang anxiety sehingga sukar untuk bernafas dan menagis seperti orang hilang akal. Kasihan suami saya. Disebabkan saya, suami saya dimarahi oleh orang atasannya.

Suami mengatakan bahawa beliau ingin tikam diri sendiri agar semua ini berakhir dan tidak perlu berhadapan dengan semua ini lagi. Saya sedih melihat suami yang terpaksa menanggung bebanan menjaga saya.

Pihak pengurusan juga tidak memahami masalah suami. Suami telah banyak kali memohon pertukaran ke kampung halaman saya tetapi tidah diendahkan dengan alasan nak pindah kena tukar suka sama suka.

Untuk pengetahuan semua juga saya kerap lari dari rumah kerana saya mendengar bisikan-bisikan menyuruh saya bunuh diri di jalan besar depan taman saya.

Saya juga sering dijumpai pengsan dalam kawasan taman. Suami saya yang penyayang tidak pernah putus asa untuk balik dari tempat kerja dan menguruskan saya.

Rentetan dari saya ingin menikam suami, suami saya yang kasihan telah membawa saya berjumapa dengan seorang ustaz. Ustaz tersebut menyatakan bahawa saya telah terkena gangguan dan telah lama gangguan tersebut menghantui saya.

Ustaz tersebut telah mengubati saya dengan cara menyuruh saya berbaring di atas sejadah lalu mengalunkan alunan ayat-ayat suci al quran dan memegang bahagian rahim, ari-ari, kepala dan keseluruhan badan saya.

Kemudian saya diminta mandi tiga hari dengan air yang telah dibekalkan. Setelah tiga hari saya perlu datang berjumpa beliau semula.

Selepas tiga hari saya berjumpa ustaz itu semula. Seperti biasa beliau mengubati saya dengan kaedah yang sama sebelumnya.

Kali ini saya diminta untuk mandi tiga hari dengan air yang dibekalkan dan mengamalkan zikri Ya Salam sebanyak seribu kali untuk enam hari.

Saya hanya mendengar tetapi jujur saya katakan saya tak mampu lakukannya. Ini menambah kemurungan saya. Bukan saya tak berusaha untuk mengamalkan zikir berkenaan tetapi saya kerap bertukar menjadi budak kecil bila saya kemurungan.

Maka, saya tidak mampu melakukannya. Suami saya yang penyayang kecewa dengan sikap saya dan menganggap saya tidak mahu pulih dan ingin merosakkan segala yang kami ada sekarang.

Saya memahami situasi dan apa yang sedang bergelojak dalam sanubari suami saya yang baik hati ini.

Masalahnya saya sudah penat berubat dengan ustaz-ustaz kerana mereka akan menyuruh mengamalkan zikir-zikir yang diluar kemampuan saya kerana pada fasa sekarang untuk saya mengenal diri sendiri juga selalu tidak dapat saya lakukan.

Inikan pula suruh berzikir dan fokus sehingga mengeluarkan aura dan cahaya agar makhluk halus tidak dapat menembusi saya.

Masakan orang mental seperti saya diminta berbuat demikian yang pada titik akhir hanya menambahkan lagi tahap kemurungan saya.

Di saat-saat ini saya ingin berkongsi cerita dengan mak kerana selain Allah swt saya hanya ada mak tempat untuk bercerita apa sahaja.

Tetapi saya tak sanggup untuk mendengar kata-kata mak yang hanya akan menambahkan keterukan tahap kemurungan saya.

Saya hanya mampu percaya dan meletakkan kebergantungan sepenuhnya pada kuasa Allah swt. Saya tak ingin jadi bebanan dan kerisauan kepada semua yang saya sayangi.

Saya dah penat berubat dengan ustaz dan fobia dengan permintaan mereka yang diluar kemampuan saya. Mereka hanya bisa menunding jari menyatakan saya tidak mencuba sedangkan saya lelah dalam peperangan antara diri sendiri dan permintaan mereka.

Saya lebih selesa berjumpa pakar psikatri saya yang memahami saya.

Sekian luahan saya yang sedang kusut dengan rawatan dari seorang ustaz. Saya tidak menidakkan kredibiliti beliau apatah lagi tidak percaya pada kuasa Allah swt cuma saya penat dan sakit ingin memenuhi permintaan ustaz berkenaan.

Apa pun juga saya bersyukur ke hadrat Allah swt dengan ujian manis ini.

Saya juga teramat bersyukur kerana Allah swt mendatangkan pelbagai bentuk bantuan dan teguran dari tanganNya melalui setiap yang saya kenali seperti suami saya yang penyayang, mak yang tidak putus-putus berdoa dan pakar psikatri yang lembut dalam menyantuni saya.

Terima kasih kerana sudi membaca luahan saya. Saya minta maaf kerana luahan saya sangat panjang.

– Ainni (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *