Pembantu Rumah Bernama Gemma

Terasa nak berborak santai hari ini dan terlintas di kepala nak berkongsi pengalaman saya menjadi majikan kepada beberapa pembantu rumah dari negara seberang.

Kalau cerita pasal pembantu rumah (PR) ni, saya yakin ramai yang melalui bermacam-macam pengalaman dengan PR kan? Ada yang baik dan bertahan berbelas tahun. Ada pula yang tak sempat beberapa bulan dah ‘kabur’ (lari). Nasib majikan lah…

Hai semua. Nama saya Che Eton. Fulltime housewife sejak tahun kedua perkahwinan.

Sudah lebih 20 tahun saya berumahtangga. Izinkan saya bercerita dan berceloteh perihal pengalaman saya dengan PR-PR yang bermacam ragam. Sekadar bercerita santai-santai saja. Mana tahu kalau ada sedikit iktibar yang boleh diceduk buat pedoman.

Alhamdulillah, ketika usia perkahwinan menganjak 5 tahun, suami sarankan kami mengambil seorang PR bagi membantu saya dengan kerja-kerja rumah walaupun ketika itu kami masih belum ada anak.

Sejak dari itu, saya sentiasa ada PR silih-berganti sehingga kini. Kalau tak ada pun cuma sekadar sebulan-dua sementara menanti PR yang baru.

Pernah juga tak ada PR selama berbulan-bulan akibat kesukaran mendapat PR ketika musim covid dan PKP, tapi cuma sekali itu saja.

Ada beberapa sebab kenapa suami saya mahu mengambil PR.

Pertama, ketika itu kami baru sahaja berpindah ke rumah baru yang lebih besar. Tak lah sebesar mana, cukup untuk kami berdua dan future children.

Suami kata dia tak mampu nak bantu saya dengan kerja-kerja rumah (kerana kerjanya di pejabat agak demanding) jadi biarlah dia sediakan pembantu kerana itu yang dia mampu.

Kedua, saya didiagnos dengan kemurungan (depression) dan panic and anxiety disorder. Ketika ini saya masih lagi dalam rawatan, masih lagi struggle untuk pulih.

Ada hari saya ok, tapi kebanyakan hari saya tak ok. Saya berperang dengan intrusive and suicidal thoughts setiap hari. Oleh itu, suami merasakan perlu ada seseorang menemani saya di rumah.

Alhamdulillah memandangkan saya ada penyakit yang disokong surat doktor pakar, permohonan kami untuk mendapatkan PR diluluskan.

Memandangkan ini kali pertama saya bakal menjadi majikan, saya minta nasihat dari kawan yang berpengalaman dengan PR.

Antara pesanan kawan tersebut yang saya ingat, jangan ambil orang Jawa Barat. Cari yang belah-belah Jawa Timur.

Saya dah lupa kenapa, dan antara barat dan timur tu pun mana satu yes, mana satu no. Saya dah terkeliru which is which. Dah lama tapi lebih kurang begitulah pesannya.

Kedua pesannya, jangan bagi muka dengan PR. Jangan makan semeja. Jangan itu, jangan ini, lengkap dengan horror stories dia dengan pembantunya sekali yang menakutkan saya. Pendek kata, you be the boss!

Saya ni agak lurus bendul, maka di sinilah kesilapan saya, patuh sangat nasihat sahabat. Lama-kelamaan saya perasan yang sahabat yang satu ni selalu bagi saya nasihat yang saya sendiri found out tak boleh pakai sangat pun.

Always dishing out wrong advice dan bila dah banyak kali terkena, saya mula sangsi akan keikhlasan dia. Mana tidaknya, dia nasihat saya lain tapi dia sendiri buat lain.

Apa-apa pun, this is not the point. Pokok pangkalnya, saya lebih banyak belajar dari pengalaman sendiri bila saya sedar nasihat sahabat saya tu tak berapa sesuai dengan saya.

PR pertama saya bernama Gemma, berasal dari Karawang. Fizikalnya tangkas dan tegap, suara kuat tetapi agak penakut.

Perbezaan lenggok bahasa menyukarkan komunikasi antara kami. Agak sukar diajar tetapi tidaklah masalah besar bagi saya kerana saya belum ada anak ketika itu maka tidak ada keperluan saya memantaunya sentiasa.

Gemma ni baik orangnya, nampak keikhlasannya bekerja untuk menyara keluarga di kampung. Tapi saya yang dah termakan nasihat sahabat tadi tu, terlupa nak sesuaikan dengan keadaan dan naluri saya sendiri.

Sering juga saya memarahi dan meninggi suara dengan Gemma. Dan Gemma akan diam menikus bila dimarahi.

Sebenarnya, sebagai seorang penghidap anxiety disorder, salah-satu perangai kami ialah cepat melenting. Pesakit macam saya ni otak tak pernah diam dari overthinking, dan masalah mental kami ni menzahirkan simptom-simptom fizikal yang benar-benar kami rasa.

Simptom yang menakutkan yang membuatkan kami fikir mati sahaja. Sebab itulah kami ni selalu kelihatan irritable dan moody. Hakikatnya kami sedang berperang dengan perasaan sendiri dan we tend to lash out at the people around us out of frustration.

Saya hidup dalam dua dunia yang berasingan. Dunia dalam otak, dan dunia realiti.

90% of the time saya berada dalam dunia otak yang sentiasa busy, bising, tak berhenti dengan intrusive thoughts, self-loathing thoughts dan ketakutan yang saya sendiri tak dapat pastikan puncanya.

Apa-apa tindakan saya di dunia nyata yang 10% itu banyak dipengaruhi oleh dunia otak.

Walaupun jasad saya sedang berada di tengah-tengah pasaraya yang sibuk sekalipun, percayalah, chances are, saya sedang sibuk di dalam dunia otak, dan jasad saya yang berjalan tu seolah-olah on auto-pilot.

Saya bagi contoh di pasaraya tetapi hakikatnya, semasa kemuncak penyakit ini, saya banyak memerap di rumah saja. Asal keluar, kena anxiety attack, kena panic attack.

Penat tau! Home was my sanctuary. My safe place. Di rumah pun otak serabut, apatah lagi di luar. Terlalu serabut dan dibelenggu risau. Sukar saya nak terangkan.

Keserabutan itulah yang selalunya terzahir dalam bentuk panas baran yang kadang-kadang tak terkawal yang saya lepaskan kepada Gemma.

Mujurlah amarah saya cuma setakat di mulut sahaja.

Tidak pernah sekali pun saya sentuh Gemma atau berkasar secara fizikal dengannya. Paling-paling pun saya ugut potong gaji, tapi tak pernah pun saya potong sebenarnya. Gertak saja.

Gemma pun manusia biasa. Ada saja perangainya yang menaikkan baran saya.

Contohnya, disebabkan saya tak ada anak lagi masa tu, Gemma banyak masa lapang dan masa lapang itu digunakan dengan bermesyuarat pagar dengan PR jiran sebelah.

PR jiran sebelah tu majikannya dua-dua bekerja jadi dia pun boleh saja melepak sesuka hati. Sampai duduk bersilalah diorang membawang, cuma dipisahkan dengan pagar dawai saja!

Tentu saya pun pernah dijadikan topik membawang heh!

Itu jiran sebelah. Jiran di belakang rumah pun kebetulan PR-nya sekampung dengan Gemma.

Yang ni pulak disebabkan dapur bertemu dapur (cuma ada lorong kecil di belakang), maka berborak lah mereka dari dapur masing-masing, main laung-laung je. Boleh bayangkan tak? Lol.

Jadi bayangkanlah apabila saya nak memanggil Gemma nak minta buat sesuatu selalunya memang dia tak dengar. Habis… berborak pun suara masing-masing macam guruh, mana nak dengar saya yang memanggil dari tingkat atas?

Bila akhirnya saya terpaksa turun cari dia dan nampak pula dia sedang bersila membawang di tepi pagar, tentulah my blood go upstairs.

Gemma ni ada satu pe’el. Dia takutkan orang India. Katanya di tempat dia tak ada orang India. Pernah sekali saya tengok dia merangkak-rangkak dalam rumah. Ah sudah… ritual khurafat apa pulak minah ni buat?

Bila ditanya, rupanya ada seorang pekerja perbandaran berbangsa India sedang menyapu di tepi jalan. Tepuk dahi saya dibuatnya. Kena ceramah lah dia dengan saya.

Kulit suami engkau sama je dengan kulit orang tu (saya pernah tengok gambar suaminya), kau tak takut pulak? Dia tersengih saja. Hmm…

Sebut pasal gambar, Gemma pernah tunjukkan saya gambar keluarganya di kampung yang dikirim suaminya melalui pos. Zaman tu masih belum ada teknologi macam sekarang. Cuma ada servis SMS sahaja, zaman kegemilangan Nokia.

Sambil menangis, dia kenalkan ini suami, ini anak sulong dan anak kedua. Sungguh saya terdiam… sangat dhaif rumah Gemma di kampung.

Cuma berdinding mengkuang dan berlantaikan tanah sahaja. Ada satu pangkin dan unggun api tempat memasak. Allahu… insaf saya dibuatnya.

Lama-kelamaan saya mula berlembut, belajar kawal emosi dan bersabar dengan Gemma. Saya lupakan nasihat sahabat agar sentiasa bertegas, jangan berlembut dengan PR.

Dia tak mendatangkan masalah pun pada saya cuma kekurangan akalnya saja yang kadang-kadang menguji kesabaran.

Pernah saya bawa dia balik ke kampung saya dan satu hari Gemma tiba-tiba lesap bersama anak sulong saya yang baru 7-8 bulan usianya.

Untuk pengetahuan pembaca, saya ambil anak angkat beberapa bulan selepas Gemma datang.

Itu kali pertama Gemma balik kampung saya, masakan dia tau selok-belok kampung? Setelah dipanggil-panggil tiada jawapan, agak-agak kalau anda sebagai mak, anda panik tak?

Itulah yang berlaku. Tengahari rembang, PR dan anak hilang. Ke mana dibawanya anak saya panas-panas buta ni??

Mulalah kepala saya fikir yang buruk-buruk saja. Nak taknak terpaksa juga lah saya pekik sekuat hati panggil Gemma keliling kampung.

“Kampung” di sini saya maksudkan kawasan sekitar perkarangan rumah ibu-bapa saya yang luas dah rumah-rumah disekitarnya saja. Bukanlah saya keliling seluruh kampung ye, sebab hakikatnya kampung saya tu sebenarnya dah jadi bandar.

Masa ni sejujurnya saya hampir panic attack. Rupanya…. Gemma bawa anak saya bertandang rumah jiran yang baru bersalin. Jiran yang saya sendiri belum kenal, dia baru duduk menyewa di situ.

Astaghfirullahal’adziiim. Bertandang rumah orang waktu tengahari rembang entah orang nak berehat, apa lagi orang dalam pantang.

Agak-agak korang, Gemma kena apa lepas tu? Kena marah, kena bebel kaw-kaw lah ceritanya. Bukan saya saja yang marah. Suami dan ayah saya pun marah juga. Sekurang-kurangnya mintalah kebenaran kalau nak kemana-mana, bukan main langgar saja.

Ada satu kejadian, ketika ini Gemma masih baru. Masih belum faham do’s and don’ts sebagai PR. Satu malam, sedang saya dan suami santai-santai menonton tv, ada tetamu datang ziarah.

Seperti lazimnya kita, bila ada tetamu terjah tanpa maklumkan kita dulu, kita akan bingkas kemas-kemas rumah sedikit sebelum tetamu sampai depan pintu, betul tak?

Macam lipas kudung saya susun-susun kusyen dan hantar ke belakang pinggan dan cawan kosong yang kami pakai. Lepas tu bergegas pakai tudung. Bila saya menoleh nak ke pintu, tau tak apa yang saya nampak?

Si Gemma berdiri sebelah suami saya sambil salam-salam menyambut tetamu. Ehh? Aku tuan rumah ke kau tuan rumah? Itu suami aku ke suami kau?? Jem kepala otak saya.

Saya terkejar-kejar mengemas macam lipas kudung, dia pulak macam mem besar mengalu-alukan tetamu macam ini rumah dia. Wahh… menyirap darah saya.

Pelan-pelan saya arahkan dia pergi dari situ, biar saya yang sambut tetamu. Tak mau lah saya marah dia depan tetamu kerana saya faham setiap orang ada airmuka.

Sebaik tetamu duduk, sedang kami saling bertanya khabar elok saja si Gemma datang duduk bersimpuh atas lantai bersebelahan tetamu saya. Tanpa rasa bersalah dia join kami. Ya Allah… memanglah dia ni tak faham protokol hahaha!

Gemma bekerja dengan saya cuma 20 bulan, walaupun kontrak sepatutnya 2 tahun. Bukan saya pecat dia tapi dia yang mohon ditamatkan kontrak awal kerana suaminya sakit. Saya curiga tapi tiada bukti, cuma boleh bersangka baik saja.

Apatah lagi dia menangis merayu sampai peluk-peluk kaki saya macam drama pukul 7. Saya siap bercakap dengan pakciknya dalam telefon.

Katanya, kondisi suaminya “antara hidup dan mati”.

Kerana saya pun ada hati dan perasaan, tak sanggup saya nak paksa Gemma bertahan sehingga habis kontrak. Saya benarkan saja dia pulang.

Saya beri kesemua gajinya yang saya tukarkan siap-siap ke INR dan saya hadiahkan dia sebentuk cincin emas buat kenangan. Itu tanda penghargaan saya atas kesabarannya bekerja dengan saya yang serba kekurangan dan kadang-kadang gagal mengawal emosi.

Fast forward setahun kemudian, saya tergerak hati nak bertanya khabar Gemma di kampung. Saya ada menyimpan nombor telefon saudaranya.

Di kampung-kampung, sebelum berleluasanya handphone, biasanya kalau sesiapa ada telefon (landline), di situlah jadi focal point untuk semua penduduk kampung menumpang menelefon dan menerima panggilan dari keluarga yang bekerja di jauh di bandar atau luar negara.

Saya menelefon nombor berkenaan dan bertanyakan hal Gemma. Menurut embak yang menjawab telefon tersebut (yang kebetulan ada pertalian dengan Gemma),

“Gemma sihat-sihat saja. Baru aja 2 bulan melahirkan anak ke-3.”

“Suami baru ke?”

“Enggaakk, suaminya yang itu aja.”

“Ooohhh suami yang katanya sakit ‘antara hidup dan mati’ tu ye?”

“Masakan sakit2? Gak pernah. Kok sihat-sihat saja.”

Dalam hati saya, entah-entah yang bercakap telefon dengan saya yang konon pakciknya tu adalah suami si Gemma sendiri.

Hmmm…. Saya dah kena game.

***

– Che Eton (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *