Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua readers. Ini kali pertama aku confess kat sini dan harap2 ada rezeki admin publish. Di malam yg indah bertemankan bunyi cengkerik ni aku nak cerita tentang kematian orang yg aku sayang dan dia juga lah tulang belakang aku selama ni iaitu nendaku.. Aku pernah share cerita ni di laman sosial aku, bagi kawan2 yg tahu aku siapa please lah jangan mention aku di comment tau. Hehe..
Selama aku hidup, aku pernah menyaksikan sendiri beberapa kematian ahli keluargaku tapi pemergian nenekku ini buatkan aku sedar tentang kebesaran Allah SWT dan sangat menyentuh hatiku. Setiap detik aku tak boleh lupa saat2 pemergian arwah. Genaplah sebulan arwah tiada. Maaf kalau cerita ni agak panjang.
Nenek menghidap kanser perut. Selepas mengetahui penyakitnya, nenek tak mahu ambil sebarang rawatan. Atas faktor usia juga doktor hanya sarankan nenek buat chemoterapy sahaja tapi nenek tak mahu. Katanya biarlah dia mati begitu. Allahu..
Aku yg bekerja di selatan tanah air pulang ke kampung demi menjaganya memandangkan anak cucunya yg lain mempunyai kerjaya dan keluarga masing2. Tambahan pula nenek jugalah yg membesarkan aku selama ini, jadi sudah menjadi tanggungjawabku utk menjaganya pula.
Nenek menderita sakit selama 6 bulan. Keadaan nenek makin lama makin merosot. Dari boleh makan jadi tak lalu makan sehingga berat turun mendadak. Dari boleh berjalan sendiri ke tandas jadi tak boleh berjalan sampai kena tolak guna wheelchair. Dari boleh tidur lena jadi tak boleh tidur. Tak boleh baring terlentang dan mengiring ke kiri. Hanya boleh tidur mengiring ke kanan sahaja. Sebulan sebelum nenek pergi dia susah nak bernafas. Nafasnya tersekat2. Bila check doktor kata kansernya dah merebak ke paru-paru..
Oh ye..bagi yg tertanya-tanya tentang mak ayah aku, mereka ada je. Mereka tinggal berdekatan dengan rumah nenek aku. Buat pengetahuan semua ayah aku lah orang yg bersusah-payah cari perawat tradisional utk nenek aku. Ikut je mana orang bagitahu, mesti cuba..sampai ke utara pun ayah aku pergi dapatkan ubat utk nenek. Setiap hari ayah aku datang tengok nenek. Solat hajat, doa dan bacakan yaasin sambil gosok2 perut nenek. Bermacam-macam ubat tradisional dah kami cuba. Tapi Allah lebih sayangkan nenek..
Bermulalah cerita tentang kematian nenek. (Panjang betul intro) Seminggu sebelum hari nenek pergi, waktu subuh tu nenek bagitahu aku dia mimpi semua anak2 dia balik kampung sambil air matanya menitis. Aku hanya mampu tenangkan nenek, aku cakap nanti mereka balik cuti lagi dua minggu. Tiga hari sebelum pemergiannya pula, masa aku mandikan nenek aku nampak mata dia lain. Matanya memandang-mandang ke atas. Aku mula tak sedap hati. Aku beritahu ayah dan telefon semua pakcik & makcik suruh mereka balik kampung segera.
Keesokan hari baru pakcik2 & makcik aku dapat gerak balik. Hari tu nenek aku tak banyak cakap. Aku tanya sepatah dia jawab sepatah. Selalunya nenek lah orang yg banyak cakap, ada saja cerita yg nak disembangkan. Hari tu juga nenek jadi lenguh2 badan dan kaki. Tambahan pula dia hanya baring mengiring ke kanan sahaja, boleh bayangkan tak betapa lenguhnya dia. Aku hanya mampu urut dan letak minyak angin je.
Sehari sebelum hari nenek pergi.. Malam jam 2 pagi, sampailah pakcik & makcik aku. Mereka gerak petang selepas pulang dari kerja. Cuma seorang lagi pakcik aku tak sempat sampai waktu tu. Nenek aku tak berhenti2 tanya mana pakcik aku lagi sorang tu. Subuh esoknya pakcik aku sampai. Semua anak cucu nenek ada hari tu. Nenek nampak gembira dan mula bersembang sikit2 dgn anak cucunya. Nenek tak habis2 cakap, “beli nasi sebungkus sorang bagi cukup semua, jangan tak cukup..” Kami tak hiraukan pun apa dia cakap, kami ingat nenek meracau..
Pagi tu aku pelawa nenek susu, dia angguk tanda setuju. Ayah suapkan nenek susu. Nenek minum habis separuh gelas. Selalunya dia akan tolak dan bila masuk susu sikit je dia akan muntah tapi hari tu tak muntah pun. Pagi tu juga adik beradik nenek datang. Nenek sempat berbual dan minta maaf dgn mereka. Semua ada di samping nenek dan bacakan yaasin untuknya. Kami tak tinggalkan nenek sendirian pun. Ada juga jiran2 yg datang ziarah..nenek masih kenal semua orang, dia tak lalai pun..
Nenek lenguh baring, dia minta bangunkannya (dalam keadaan duduk di tepi katil). Nenek duduk bersandarkan pakcik aku. Aku di tepi nenek sambil pegang tangannya. Yg lain ada di sekeliling kami. Penuh satu rumah waktu tu. Ayah pula di depan nenek. Aku nampak nenek tarik kepala ayah dan cium dahinya. Nenek mula bersuara, dia cakap kat kami semua.. “maafkanlah nenek, lepaskanlah nenek, nenek maafkan semua anak cucu nenek, nenek syg semua, nenek nk tidur ni..” Lepastu nenek angkat kedua-dua belah tangannya seperti melambai kami semua. Kami menangis menjerit2 waktu tu.
Pakcik2 dan ayah bisikkan dua kalimah syahadah di telinga nenek. Nenek ikut perlahan2. Selepas habis sahaja mengucap, kepala nenek tunduk ke bawah perlahan2. Kami tak sangka nyawa nenek habis macam tu je, kami ingatkan nenek hanya tunduk biasa tengok ke bawah. Sehinggalah pakcik aku suruh cepat2 baringkan nenek. Waktu tu nyawa nenek perlahan2 terhenti. Allahuakhbar..tiada sesak nafas langsung pun. Tiada tanda2 seperti ditarik sakaratulmaut. Nenek pergi sambil genggam tanganku dan berbekalkan separuh gelas susu yg aku buatkan pagi itu..
Mata dan mulut nenek tertutup rapat seperti tidur, bibirnya tersenyum manis, jenazahnya yg kekuningan bersih dan wangi. Tak puas aku menciumnya.. MasyaAllah, itulah kali pertama aku dapat menyaksikan kematian yg tenang. Nenek pergi di samping anak2, cucu2, dan adik beradiknya selepas mengucapkan dua kalimah syahadah. Nenek kuat, dia tunggu semua anak2 dia balik dulu..mungkin itulah maksud mimpinya, semua anak2 dia balik.. :)
Pengebumian nenek juga berjalan lancar, teratur dan cepat. Alhamdulillah..ramai yg bercerita tentang kematian nenek. Aku juga tidak tahu apa amalan nenek semasa hidupnya. Nenek bukanlah ahli jemaah surau. Masa nenek sihat dulu aku masih ingat ada jiran yg perli nenek depan aku, katanya nenek tak pergi ke surau nanti mati tiada siapa yg nak datang uruskan jenazah. Allahu..tajam betul lidahnya. Tapi hakikatnya ramai yg datang kebumikan nenek waktu tu..kuasa Allah..
Malamnya tahlil kami betul2 terkejut, ramai betul orang yg datang. Sampai tak cukup makanan… Kami terpaksa beli nasi bungkus lain, mujurlah sempat pergi beli waktu tengah tahlil. Satu rumah penuh sampai ke luar. Baru kami ingat pesan nenek sebelum dia pergi. “Beli nasi sebungkus sorang bagi cukup semua, jangan tak cukup.” Rupa-rupanya nenek nak suruh cukup makanan utk yg datang tahlilnya.. Subhanallah..
Ayah aku ada beritahu..seumur hidup ayah tak pernah cium nenek. Berbeza dengan pakcik & makcik aku yg lain kalau nk kemana-mana mesti akan salam dan cium nenek. Mungkin sebab tu jugalah waktu akhir hayat nenek hanya tarik dan cium ayah je antara anak-anaknya yg lain..
Aku kini dalam proses mencari dan membina balik kekuatan diri. Hidup aku gelap seketika apabila nenek tiada. Aku rindu kena bebel dengan nenek. Nenek jugalah yg menjadi ibu kepada aku selama ni. Aku tahu imanku lemah. Aku terlalu meratapi kematian nenek. Sesiapa yg ada tips macam mana nak bangkit boleh share tak? Aku tak kuat..setiap saat aku ingatkan nenek.
Kematian nenek buatkan aku sedar, janganlah kita suka2 menilai seseorang itu. Kita tidak tahu bagaimana pengakhiran kita nanti.. Terima kasih semua yg sudi baca sampai habis. Maafkan segala salah silap aku jika ada tersalah bahasa atau mengguris hati sesiapa.. Assalamualaikum..
– Cucu Nenek
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit