Assalamualaikum pembaca IIUM Confessions. Aku seorang lelaki berusia pertengahan 30an. Bekerja di sebuah syarikat swasta di Selangor.
Alhamdulillah hidup aku semuanya lengkap, ada kerja, ada rupa, datang dari keluarga yang bahagia dan punya kawan-kawan yang baik. Cuma satu benda yang buatkan aku berbeza dengan lelaki lain iaitu aku punya perasaan suka sesama jantina.
Benda ni aku perasan sejak aku sekolah rendah lagi. Aku suka tengok kawan-kawan lelaki aku yang kacak. Masa tu bagi aku itu mungkin perasaan suka antara kawan.
Masuk sekolah menengah, perasaan yang sama masih ada. Masa tu aku tak tahu pun istilah g4y ataupun homos3ksual sebab aku memang tak terdedah dengan dunia IT dan hanya bersekolah di sekolah kampung.
Bagi aku itu perasaan normal dan aku tak pedulikan sangat sebab fokus aku cuma nak belajar rajin-rajin dapat keputusan yang cemerlang dan masuk universiti.
Alhamdulillah, lepas SPM aku dapat masuk universiti. Masa aku di universiti baru aku faham yang perasaan aku selama ni memang salah. Jauh terpesong dari fitrah seorang lelaki.
Aku cuba berubah untuk sukakan perempuan dan ada juga beberapa perempuan yang cuba dekati aku dan inginkan hubungan yang lebih serius.
Tapi aku bagi alasan nak fokus belajar dahulu baru fikir pasal jodoh sebab aku tak nak hancurkan harapan mereka jika perasaan sonsang aku ini masih ada.
Habis belajar, rezeki aku terus dapat kerja di sebuah syarikat swasta yang agak ternama. Masa tu umur aku 20 lebih dan perasaan tu memang tetap ada dalam diri aku dan susah untuk dibuang.
Aku memang fokus pada kerja sebab tak nak terlalu ikutkan perasaan atau terjebak dengan mana-mana aktiviti yang tidak bermoral.
Banyak dah aku baca pasal g4y dan homos3ksual ni makin menjadi-jadi sekarang dan bila kita dah mula terjebak memang susah nk keluar.
Sekarang umur aku dah 30 lebih. Bila buka saja FB dan IG tengok kawan-kawan satu universiti ramai yang dah berkahwin dan dah ada anak.
Aku bahagia untuk mereka tapi aku sedih untuk diri aku sendiri sebab jauh di sudut hati, aku inginkan sebuah keluarga yang sama macam mereka. Ada isteri untuk mendengar dan bercerita serta anak-anak untuk bermain.
Di tempat kerja aku pula ramai juga kawan-kawan aku yang nak jodohkan aku dengan saudara mereka atau kawan-kawan mereka.
Aku juga pernah keluar dengan beberapa orang perempuan untuk temu janji dan memang seronok dapat berbual tentang diri masing-masing tapi bila mereka ajak ke hubungan yang lebih serius aku mula jadi risau.
Ya, memang aku boleh berkahwin tapi adakah aku dapat tunaikan tanggungjawab aku sebagai seorang suami nanti.
Sebenarnya macam-macam cara sudah aku cuba untuk hilangkan perasaan ni. Tiap-tiap kali lepas solat memang aku minta supaya perassan ni hilang, solat hajat solat taubat semua aku dah buat.
Beli supplement untuk lelaki supaya naikkan hormon testosteron dan nafsu supaya lebih sukakan perempuan pun aku dah beli.
Exercise, pergi gym, bersukan diorang kata boleh tingkatkan hormon lelaki pun aku dah buat. Mungkin la ada kesan tapi kesannya sangat minima.
Jadi tujuan aku tulis ni, aku nak minta pendapat korang. Bukan kecaman atau cacian. Korang rasa perlu atau tidak aku berkahwin. Sebab aku dengar ada yang cakap perasaan sonsang ni akan hilang bila kita berkahwin.
Bolehkah seseorang perempuan menerima lelaki sebegini dalam hidup mereka? Ataupun ada siapa-siapa yang ada pengalaman macam ni boleh kongsikan kat aku supaya aku lebih yakin.
Kalau tak pun aku mohon doa korang semoga aku dapat jadi lelaki normal seperti lelaki-lelaki lain yang memang fitrahnya sukakan perempuan.
Semoga dengan keberkatan bulan yang mulia ini Allah makbulkan doa kita semua. InsyaAllah. Aamiin.
– Bayu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Â https://iiumc.com/submit