Pemula Langkah

Assalamualaikum w.b.t buat pembaca IIUM Confessions. Saya perkenalkan diri sebagai Farah (bukan nama sebenar).

Saya dibesarkan di dalam keluarga yang penuh dengan kasih-sayang walaupun terkadang ada sahaja ujian menimpa keluarga kami tapi ujian yang datang saya yakin ada hikmah disebaliknya.

Saya juga hanyalah seorang gadis biasa yang masih lagi sedang berusaha untuk berbuat tujuan hidup sebagai abid dan khalifah untuk mencapai redha Allah dan syurgaNya.

Saya tidak pandai bercerita tapi hanya ingin berkongsi apa yang pernah dilalui.

Seperti tajuk di atas iaitu pemula langkah adalah kisah saya sendiri yang menjadi seorang pemula langkah untuk mencari teman sejati dalam perjuangan berbuat tujuan hidup yang sehingga kini masih belum ditemui.

Saya cadangkan untuk pembaca buka lagu Brothers-Teman Sejati sebagai latar belakang muzik ketika membaca kisah ini. (gurau sahaja)

Menginjak usia pertengahan 20-an, keluarga saya sudah bertanyakan tentang pasangan hidup baik keluarga kecil saya mahupun keluarga besar termasuk mak cik dan saudara-mara.

Mereka selalu berpesan jangan kahwin lambat sangat dan jangan terlalu memilih kerana kerjaya saya di bidang profesional ini sememangnya membuatkan lelaki takut dan tidak berani mendekati. Jika ada lelaki yang berkenan pada saya, saya dinasihatkan untuk menerima.

Saya hanya tersenyum dan mengatakan jodoh itu yang dicari mestilah orang yang beragama yang mempraktikkan Islam, Iman dan Ihsan dan lelaki yang beragama itu sukar dicari. Jika ingin lelaki biasa, saya pasti sudah berkahwin sekarang dan mempunyai beberapa orang anak.

Jujurnya, ada perasan yang terdetik ingin segera berkahwin lebih-lebih lagi bila bonda kesayangan mula bercerita tentang kawan-kawannya yang sudah bercucu dan paling mencuit hati,

Bonda kesayangan ni sudah mempunyai nama untuk diberikan pada bakal cucu-cucunya yang bakal lahir dari rahim saya baik lelaki mahupun perempuan.

Maklumlah, saya adalah anak sulung dari tiga beradik yang kesemuanya perempuan. Saya melihat kesungguhan bonda kesayangan ini pun mula membuat misi pencarian lelaki yang beragama untuk dijadikan pasangan hidup.

Misi pencarian pertama adalah rakan sekolah atau senior sekolah. Saya merasakan saya akan dapat lebih mengenali dan menilai mereka jika mereka adalah orang yang saya pernah kenal.

Setelah ditapis, tiada yang saya nampak ciri-ciri lelaki yang beragama tersebut melainkan seorang senior sekolah saya yang saya gelarkan A.

A yang saya kenal sememangnya seorang lelaki muslim yang baik sehinggakan para guru sangat sayangkan A dan jika disebut nama A di sekolah, pasti semua cikgu mengenali dek kerana perwatakannya yang baik itu.

Kami pernah berhubung di Facebook memandangkan kami berada di bidang profesional yang sama untuk berbincang dan berbahas mengenai topik-topik berkaitan bidang kami tapi tidaklah selalu bahkan jarang sekali.

Sehinggalah satu hari, terdetik di hati untuk saya menyatakan hasrat untuk ajak A bertaaruf (baca= proses yang dilakukan oleh dua orang yang ingin mengenal satu sama lain sebelum lanjut ke pernikahan dengan tetap menjaga syariat Islam ataupun adat masyarakat melalui orang tengah).

Pada mulanya, saya teragak-agak sebab saya takut ini hanyalah mainan perasaan dan hasutan syaitan semata-mata.

Saya solat taubat setiap hari untuk Allah ampunkan saya kerana perasaan ini dan juga solat istikharah untuk meminta petunjuk Allah apa yang saya harus perbuat dengan perasaan ini.

Setelah beberapa ketika, jawapan kepada istikharah saya adalah apabila Allah hadirkan perasaan yang kuat untuk saya memulakan langkah mengajak A bertaaruf kerana mungkin Allah yang Maha Penyayang tidak ingin saya terus tenggelam dengan perasaan ini.

Dengan menyusun kata-kata yang sesuai dan teratur, saya menyatakan hasrat saya kepada A untuk bertaaruf dengan beliau jika beliau masih tidak mempunyai ikatan dengan sesiapa.

Bagai pucuk dicita, ulam mendatang, A menerima ajakan saya untuk bertaaruf cumanya A berpesan untuk saya tidak menyimpan sebarang harapan jika proses taaruf kami tidak ke peringkat selanjutnya.

Tanpa membuang masa, saya memberitahukan perkara ini kepada Murabbi (baca=kakak usrah) untuk mencarikan saya orang tengah bagi menguruskan proses taaruf kami.

Sehinggalah hari yang dinantikan, pertemuan kami tidak dapat dijalankan kerana beliau ketika itu sedang sibuk dengan kerja-kerja beliau dan banyak berulang alik dari satu negeri ke satu negeri.

Kami tinggal di negeri berlainan di mana H bekerja di selatan tanah air dan saya di Ibu Kota jadi agak sukar untuk mencari masa yang sesuai.

Maka, ingin diaturkan pertemuan berikutnya tetapi tiada jawapan dari A. Saya menunggu agak lama dan pernah bertanyakan kepada A namun tiada jawapan yang diberikan sama ada ingin diteruskan proses taaruf ini atau tidak.

Saya tidak memaksa kerana ketika itu saya mendapat makluman yang ayah beliau sedang sakit jadi beliau agak sibuk menguruskan ayah dan kerjaya beliau pada masa yang sama. Saya masih lagi menunggu.

Hampir setengah tahun kemudian, masih tiada jawapan dari A dan akhirnya penantian saya berakhir. Saya mendapat tahu dari rakan baik saya yang beliau sudah bertunang.

Pada ketika itu, perasaan saya bercampur baur ada sedih, kecewa dan gembira.

Perasaan gembira kerana akhirnya penantian saya sudah tamat, saya sudah mengetahui jawapannya dan kini saya boleh meneruskan kehidupan saya, sedih dan kecewa kerana A tidak berterus terang dan memberikan jawapan di saat saya memerlukan.

Saya tahu saya tidak patut menyimpan harapan kerana A juga sudah berpesan untuk tidak berharap apa-apa kepada beliau jika proses taaruf kami tidak menjadi. Tetapi saya akui saya ada menyimpan secebis harapan di saat A menerima ajakan taaruf dari saya.

Kini, A sudah pun berkahwin dengan tunang beliau tersebut.

Cantik, baik dan solehah orangnya. Beberapa bulan sebelum perkahwinan mereka, A menghantar mesej memohon maaf kerana tidak memberikan jawapan dan membiarkan saya menunggu lama.

A juga menerangkan segala-galanya dan perkenalan beliau dengan isterinya hanyalah dalam masa yang singkat yang akhirnya membawa mereka ke alam perkahwinan.

Sudah tertulis bahawa jodoh saya bukan dengan A dan mungkin A bukanlah lelaki yang beragama yang saya cari. Maka, saya redha dan berakhirlah misi pencarian pertama saya. Sekian.

Eh SABAR…Saya belum berputus asa maka saya mulakan misi seterusnya.

Misi seterusnya, sekali lagi menjadi seorang pemula langkah dan kali ini abang kepada rakan perempuan saya di Universiti yang saya gelarkan H. H seorang graduan perubatan Mesir dan mempunyai sosok seorang lelaki muslim yang baik.

Pada awalnya, saya hanya mengusik rakan saya untuk saya dijadikan kakak ipar dia tapi tak sangka pula dia bercerita kepada ibu dan ayahnya sehingga ibu dan ayahnya pula ingin menjodohkan saya dengan abangnya.

H seorang yang agak kekok bergaul dengan perempuan bahkan telah banyak menolak perempuan-perempuan yang ingin berkenalan dengan dia.

Saya ada mengusik rakan saya yang jangan-jangan H seorang ‘GAY’, tapi dinafikan sekeras-kerasnya sebab H cuma tidak pandai bergaul dengan perempuan dan itu kelemahan dia.

Saya pun mula tertarik dan ingin mencari tahu pasal H. Jadi, saya banyak mengetahui kisah-kisah H melalui rakan saya tersebut tetapi tidak banyak yang saya boleh ketahui. Saya mula untuk solat istikharah untuk Allah berikan petunjuk jika H adalah jodoh saya.

Sekali lagi, Allah hadirkan perasaan yang kuat untuk saya memulakan langkah.

Saya tidak pasti sama ada H mengenali saya atau tidak sebab rakan saya pernah bercerita yang keluarga dia pernah memberitahukan perihal saya kepada H dan terkadang akan mengusik H seperti saya ada kirim salam pada H dan lain-lain lagi.

Tapi H tidak menunjukkan sebarang respon. Pada awalnya, saya ingin menghantar mesej untuk mengajak H bertaaruf melalui e-mel tetapi saya tidak pula mengetahui e-melnya.

Jadi, saya menghantar mesej memperkenalkan diri saya kepada H dan mengajak H untuk bertaaruf melalui Facebook walaupun saya tidak tahu sama ada H akan membalasnya kerana H juga tidak aktif di sosial media.

Mesej saya berbalas dengan tolakan dari H. Saya dah agak dah H akan menolak. H mengucapkan terima kasih atas keberanian saya mengajak beliau bertaaruf tetapi beliau belum bersedia.

Saya juga ada menyatakan jika H tidak ingin bertaaruf sekarang dan mungkin pada masa akan datang, saya boleh menunggu tetapi H tidak mahu saya menunggu bahkan H mendoakan supaya saya akan dapat suami yang lebih baik dari H.

Entah mengapa saya sangat suka cara dia menolak bahkan saya merasakan ianya adalah menunjukkan dia sangat ihsan kepada orang lain. Maka, saya redha dan berakhirlah misi pencarian saya kali ini. Sekian.

Jangan risau saya masih belum berputus asa mencari lelaki beragama saya ye…

Sekarang saya yang masih perlu mempersiapkan diri dengan lebih usaha untuk menjadi wanita yang beragama supaya di saat lelaki beragama tersebut datang, dia akan menemukan saya adalah jawapan kepada doa-doa dia selama ini.

Tiada istilah perigi cari timba. Jika ingin yang terbaik, maka kita perlu berusaha untuk mendapatkannya.

Moga Allah redha.

Wassalam.

– Cik Farah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *