Terima kasih admin atas penyiaran confession saya. Saya bertugas di sektor swasta dan merupakan ibu kepada tiga orang anak OKU penglihatan.
Baru-baru ini saya melihat ada sedikit perkembangan positif melibatkan info dari pihak hospital sama ada daripada para doktor mahupun jururawat yang bertugas.
Mereka menyampaikan maklumat mengenai sekolah rendah dan sekolah menengah bagi murid pendidikan khas penglihatan di seluruh negeri meliputi SKPK & PPKI,
Selain memberikan cadangan tempat-tempat yang boleh dirujuk kepada individu yang baru sahaja mengalami masalah penglihatan seperti Adult Blind Association of Selangor, Persatuan Orang Buta Selangor, Malaysia Association Blind, St. Nicholas Home, Sarawak Society Blind, dan lain-lain.
Saya sekadar berkongsi harapan melalui luahan ini agar akan ada penambahbaikan kepada kualaiti pendidikan khas penglihatan di Malaysia secara berterusan.
Antara pandangan yang saya perolehi daripada perkongsian bersama beberapa orang guru di sekolah anak saya serta daripada rakan ibu bapa yang turut mempunyai anak pendidikan khas penglihatan adalah seperti yang berikut:
1. Sentiasa menambah baik dasar / akta pendidikan khas penglihatan.
Memang terdapat beberapa penambahbaikan dilakukan dari semasa ke semasa dalam bidang pendidikan khas penglihatan, namun masih banyak juga yang perlu diberi perhatian.
Antaranya penekanan kepada pembelajaran braille bagi murid low-vision / rabun teruk, penggubalan kurikulum pendidikan khas penglihatan yang memfokuskan kemahiran interaksi sosial, dan kemahiran vokasional yang lebih luas pasaran pekerjaan.
Selain itu, penggubalan kurikulum bagi murid multiple disabilities juga masih perlu diberi penambahbaikan. Hal ini secara tidak langsung akan berkait rapat dengan tugas guru yang akan menjadi pendidik kepada murid-murid ini kelak.
Tanpa dokumentasi dan pewartaan dasar / akta sedemikian, guru tidak dapat menjadi pelaksana yang berkesan kepada kemenjadian murid pendidikan khas penglihatan.
2. Penempatan (posting) Guru Yang Sistematik
Isu ini memang tidak pernah berakhir berikutan tiada dasar / akta yang benar-benar kukuh memperjuangkan guru pendidikan khas penglihatan. Saya cuba jelaskan dalam dua situasi ini :
Situasi 1 : Rina sangat bercita-cita ingin menjadi seorang doktor pakar jantung kerana adiknya menghidap penyakit jantung berlubang.
Setelah menamatkan pengajian selama 7 tahun, dia ditempatkan bekerja di wad pakar tulang. Dia mencuba sedaya-upaya untuk merawat pesakit berpandukan ilmu dan pengalaman yang dimilikinya.
Namun tetap dia tidak mampu membangkitkan jiwanya bertugas sebagai doktor pakar jantung yang diimpikannya suatu ketika dahulu.
Segala ilmu mengenai jantung serta kemahiran langsung tidak dapat dipraktikkan sepenuhnya. Dan akhirnya dia bertugas mengikut kemampuan dirinya walaupun hasilnya tidaklah seperti yang diharapkan.
Situasi 2 : Sazali sangat bercita-cita menjadi guru pendidikan khas penglihatan kerana dia mempunyai adik yang juga cacat penglihatan.
Setelah menamatkan pengajian selama 7 tahun, akhirnya dia ditempatkan berkhidmat di sekolah pendidikan khas pembelajaran. Dia mencuba sedaya-upaya mendidik murid berpandukan ilmu dan pengalaman yang dimilikinya.
Namun tetap juga dia tidak mampu membangkitkan jiwa guru pendidikan khas penglihatan seperti yang diimpikannya suatu ketika dahulu.
Segala ilmu mengenai pendidikan khas penglihatan serta kemahiran braille langsung tidak dapat dipraktikkan.
Dan akhirnya dia bertugas mengikut kemampuan dirinya walaupun hasilnya tidaklah seperti yang diharapkan
Situasi 3 : Johan bercita-cita menjadi seorang guru Bahasa Inggeris di sekolah arus perdana. Setelah menamatkan pengajian selama 7 tahun, dia ditempatkan bertugas di sekolah pendidikan khas penglihatan.
Dia cuba mempelajari tulisan braille namun dia tidak mampu menguasai tulisan tersebut berikutan terlalu banyak kekangan kerja selain dia juga kurang berminat kepada tulisan braille yang dianggapnya rumit.
Yang difikirkannya hanyalah tugas mengajar mengikut sukatan pelajaran dan menyiapkan dokumentasi tanpa perlu memberi penekanan kepada tulisan braille serta kemahiran murid.
Itu juga yang berlaku dalam dunia realiti penempatan guru pendidikan khas penglihatan yang telah dilatih khusus di IPT tetapi kemudiannya ditempatkan bertugas berlainan dengan opsyen.
Hal ini merupakan kerugian yang amat besar dalam dunia pendidikan khas penglihatan kerana telah kehilangan guru berjiwa pendidikan khas penglihatan selain kehilangan kepakaran guru.
Kebanyakan guru yang berkhidmat dalam pendidikan khas terutamanya bukan opsyen pendidikan khas penglihatan, mereka hanya mengajar ala kadar.
Tidak langsung memfokuskan kemenjadian murid terutamanya pada penuasaan literasi braille murid dan ada juga yang merendahkan kemampuan murid pendidikan khas penglihatan.
3. Pegawai Yang Komited
Dalam hal ini, saya juga membuat pemerhatian serta rujukan melihat kepada pegawai yang bertanggungjawab dalam bahagian pendidikan khas penglihatan.
Hasil maklumat yang saya peroleh mendapati bahawa kebanyakan pegawai pendidikan khas langsung tidak memiliki jiwa OKU selain tidak melaksanakan tugas yang sepatutnya kepada perubahan positif pendidikan khas penglihatan.
Hal ini jelas dibuktikan apabila golongan OKU penglihatan yang memiliki ijazah masih tidak memiliki peluang pekerjaan yang setaraf. Itu belum lagi kepada kemenjadian murid masalah penglihatan yang memiliki tahap IQ sederhana / lemah.
Setelah tamat tingkatan 5, kebanyakan mereka terlibat dengan menjual tisu di jalanan kerana ingin mendapatkan wang dengan cara yang pantas dan mudah.
Hal ini bukanlah salah guru sekolah semata-mata, tetapi turut melibatkan kredibiliti pegawai pendidikan khas penglihatan.
Ramai pegawai yang hanya tahu duduk di pejabat tanpa tahu apa-apa mengenai keperluan sebenar bagi golongan murid pendidikan khas penglihatan dari peringkat awal yang akhirnya menuding jari kepada salah guru.
4. Kerjasama NGO & Masyarakat
Selain menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan kepada PIBG SKPK / PPKI, bantuan juga boleh diberi dalam bentuk cetakan buku braille / podcast audio yang bermanfaat.
Mereka boleh bekerjasama dengan pihak sekolah dalam menjayakan penghasilan buku cerita braille terutamanya yang sentiasa memerlukan rujukan dari semasa ke semasa.
Semoga kemenjadian murid pendidikan khas penglihatan Malaysia akan lebih menyerlah setaraf dengan kualiti OKU penglihatan di negara maju di dunia.
– S.H. (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit