Hi. Nama aku Fafau (female). Aku tulis ni sebab nak meluah perasaan aku sebagai anak kepada mak ayah yang suka bergaduh.
Aku anak ke 4 daripada 7 orang adik beradik dan umur aku 27 tahun. Aku bujang, sudah bekerja tapi masih tinggal serumah dengan mak ayah. Abang dan kakak yang atas aku termasuk adik aku yang pertama semua dah berkahwin dan tinggal di negeri lain.
Yang ada di rumah kami sekarang ialah mak, ayah, aku dan dua orang lagi adik aku yang berumur 17(P) dan 21(L).
Daripada semua adik beradik aku, aku lah yang paling lama tinggal di rumah ini sebab aku dulu sekolah biasa dan tak duduk asrama, berbeza dengan adik-beradik aku yang lain yang mana semuanya masuk asrama bermula dari tingkatan satu.
Lepas habis ijazah, aku pulang semula ke rumah mak ayah dan tinggal bersama kerana dapat kerja dekat dengan kawasan rumah. Sebab lain aku masih tinggal bersama juga ialah kerana adik perempuan bongsu aku (17 tahun) minta aku teman dia tinggal di rumah disebabkan hal-hal yang melibatkan mak ayah aku.
Nak dipendekkan cerita mak dan ayah aku memang sering bergaduh dari aku sekolah rendah sampai la sekarang aku dah nak dekat 30an. Daripada pengalaman aku sebagai orang yang paling lama tinggal sebumbung, aku tak rasa diorang ni sekufu langsung.
Ayah jenis cepat marah dan sangat teramat berjimat (kadang kedekut). Mak pula jenis cepat menjawab dan suka boros walaupun dia tak kerja. Honestly aku tak tahu macam mana dua orang ni boleh kahwin. Tak matching langsung di mata aku.
Btw, ayah aku berpoligami. So aku ada mak tiri. Ayah kahwin lagi satu di Siam tanpa pengetahuan mak masa aku form 2. Sebelum ayah kahwin senyap ni pun memang mak ayah dah sering bergaduh, tapi lepas kes nikah Siam ni makin menjadi-jadi gaduhnya.
To be honest pada awalnya aku kesian dekat mak aku. Sebab ayah dah banyak kali buat hal belakang mak. Sebelum ni pun dah dua tiga kali kena tangkap dengan perempuan lain. Cuma kali ni dia terus kahwin senyap-senyap.
Satu lagi, ayah aku ni bagi aku memang tak layak nak poligami. Bukan dari segi kewangan, tapi dari segi nilai keagamaan dia.
Ayah jarang solat, nak mengaji surah pun fail bagi aku. Bab agama ayah aku memang fail. Tapi bab kebajikan anak-anak memang dia jaga. Duit makan, sekolah semua cukup. Cuma ayah jenis baran dan semua anak tak berani nak tegur ayah dalam apa jua perkara.
Lepas kes kahwin ni, mak aku berubah 360 darjah. Aku masih ingat perwatakan mak masa aku sekolah rendah dulu baju longgar, make up pun tak over sangat.
Sekarang ni aku macam tak kenal mak aku sendiri. Dia mula pakai baju ikut badan, make up tebal. Yang paling aku risau, dia mula berkomunikasi dengan lelaki-lelaki di laman sosial.
Aku pernah terbaca chat mak aku dengan seorang lelaki ni dekat Facebook messenger. Lelaki tu suami orang. Memang meremang bulu roma aku. Terus aku tinggi suara dekat mak. Kenapa buat perangai macam ni.
Ayat mak aku masa tu, dia kata kalau ayah boleh buat lagi teruk dekat dia, kenapa pula dia tak boleh buat benda sama. Lepas aku nangis tersedu baru dia cakap dengan aku kata dia tak serious pun dengan lelaki tu.
Sejak haritu memang aku tawar hati dengan mak dan ayah aku dua-dua. Aku rasa diorang dua-dua perangai buruk. Aku rasa malang jadi anak diorang.
Aku kesian dengan mak aku. Kadang aku rasa dia jadi macam tu sebab dah bertahun lama pendam perangai buruk ayah. Sebab tu walaupun aku tawar hati, aku masih hormat dan layan mak aku baik-baik.
Yang buat aku makin hilang respect dekat mak sekarang ialah sebab dia banyak sangat memburukkan ayah dekat aku. Aku tahu perangai ayah aku teruk. Dia tak payah cerita pun aku dah tahu sendiri. Tapi aku tak nak dengar benda-benda negatif ni terlampau banyak sangat dari dia.
Setiap masa dia buka mulut macam tu. Aku turun pergi dapur, masa nak salam dia pergi kerja, kalau aku lalu depan ruang tamu sekejap, mesti dia akan buka mulut membahan ayah aku 24/7. Sumpah serabut.
Adik-adik aku yang dua orang tu sampai dah tak nak turun ke ruang tamu langsung bila mak ada kat bawah (kami duduk rumah dua tingkat).
Aku faham dia sakit hati dengan ayah, tapi perlu ke buat kami macam ni. Aku dengan adik aku sampai nangis depan dia cakap “sudah la tu. Kami tak nak dengar benda-benda ni. Kami faham tapi jangan la macam ni. Sudah la tu”.
Dia diam kejap, lepas tu dia sambung balik percakapan dia. Sampai benda dalam bilik tidur dengan ayah aku pun dia nak cerita pada aku dan adik. Ayat maki lucah-lucah semua keluar dari mulut dia. Tak ke gila adik aku tu sekolah lagi dah kena dengar benda bodoh macam ni.
Aku pun nak jadi gila jugak tapi at least aku dah dewasa. Walaupun aku belum kahwin, aku faham sikit-sikit benda ni walaupun aku geli. Aku rasa kalau aku tak stay sekali kat rumah tu memang dah gila adik bongsu aku ni. Nasib baik la aku still ada jadi tempat dia luah rasa, nangis sama-sama.
Cuma itu la. Aku rasa diri aku sekarang jadi sangat negatif. Ibarat macam bekas air yang dituang isi negatif hari-hari sampai melimpah.
Aku sampai takut nak kahwin sebab hari-hari tengok contoh perkahwinan membinasakan mak ayah aku. Adik bongsu aku pun kata jangan kahwin, suruh aku teman dia. Kadang rasa benci pada mak dan ayah pun ada.
Aku tak tahu macam mana ayah aku nak hadapi akhirat nanti. Bagi aku dia bukan ketua keluarga yang baik. Banyak lagi benda buruk dia buat, tapi malas la aku nak cerita kat sini.
Ada sekali tu mak kantoi chat dengan lelaki dekat fb, lepas tu ayah macam nak meluah dekat aku. Dalam hati aku kata, “engkau pun perangai teruk, lepas tu pelik bila mak buat benda macam ni”. Aku tak menangkan mak aku. Aku rasa dua-dua saling buat dosa terhadap satu sama lain. Sedih aku.
Aku benci bila mak dan ayah dua-dua suka burukkan satu sama lain dekat anak-anak. Dua-dua selfish tak fikir emosi anak-anak langsung. Aku dah banyak kali suruh cerai tapi diorang tak nak. Pelik aku. Dah tak nak cerai kau hadap je la hidup kau diam-diam. Ini tidak. Nak juga kacau anak-anak yang tak ada buat salah langsung ni.
Sejak akhir-akhir ni ayah dah mula naik tangan. Tapi mak pun jenis mulut tak reti nak diam. So kadang aku pun jadi malas nak kesian dekat mak sebab dah banyak kali aku pesan, jangan melawan cakap ayah, dah tahu ayah memang baran kenapa nak bagi dia makin marah. Memang memakan la mulut kau tak reti nak diam.
Lagi satu mak aku ni kalau time gaduh di suka libatkan anak dia sekali. Tiap kali gaduh mesti dia tarik aku depan ayah, konon nak aku jadi pelindung dia sambil-sambil dia membahan ayah face to face.
Sebab ayah walaupun dia baran, dia tak pernah naik tangan dekat anak dia. Ini yang buat aku makin hilang respect dengan mak.
Kenapa kalau gaduh nak kena libatkan aku sekali. Kau penakut tapi nak gaduh besar. Sampai tak kisah aku ni jadi makin gila hari-hari, janji dia puas hati. Mak apa perangai macam ni. Malang betul nasib aku.
Yang aku lagi sedih, abang kakak aku semua tak nak ambil tahu hal mak ayah kat rumah. Bila aku dan adik mengadu minta tolong cakap sikit dengan mak ayah, semua tak nak buat apa. Jadi sebagai anak tertua yang masih bujang, aku la yang paling banyak kena tempias perangai mak ayah.
Pernah terfikir nak sewa luar sambil bawa adik bongsu aku tu tinggal sekali. Mak pulak bising kata kami nak tinggal dia seorang dengan ayah.
Bila aku ajak tinggal sekali, dia kata kenapa pulak dia yang kena keluar. Dia kata rumah tu rumah dia sebab dia dah puluhan tahun tinggal situ dan dah puluhan tahun menghadap perangai buruk ayah. Jadi ayah yang patut keluar. Pulak dah. Sakit kepala oiii. Dua-dua penting diri sendiri.
Banyak lagi aku nak meluah sebenarnya. Tapi cukup la sampai situ dulu. Terima kasih sudi baca luahan hati aku. Tolong doakan aku tetap siuman ya.
– Fafau (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit