Assalamualaikum dan salam sejahtera, aku harap semua pembaca yang membaca kisah aku ini diberikan kesihatan dan kelapangan rezeki dan aku hanya ingin mendapatkan nasihat serta sokongan dari semua.
Pertama sekali, aku ingin memperkenalkan diri aku boleh panggil aku, Rohaizad . InsyaaAllah, dalam perancangannya aku akan menamatkan zaman bujang pada tahun hadapan. Cuma apa yang aku lalui sekarang ini adalah sedikit takut mengenai ketidakpastian pasangan aku dalam hubungan.
Secara jujurnya dulu aku bekerja sebagai pengawai eksekutif pemasaran di KL dan masa itu aku hanya berkawan dengan dia atas sebab junior-senior universiti. Aku pun tahu masa itu aku tidak mempunyai apa-apa sangat. Tapi lama kelamaan aku anggap dia sebagai seorang yang istimewa dalam hidup aku. Dia merupakan graduan dalam bidang kesihatan dan bekerja di utara tanah air begitu juga keluarganya.
Penerimaan dia? Alhamdulillah dia terima aku dalam hidupnya setelah aku berterus terang aku suka pada dia. Masa aku kerja, aku setup bisnes dan alhamdulillah hampir 2 tahun aku buat bisnes, pendapatan sebulan aku lebih kurang dalam 9 ribu. Aku beritahu sebegini bukanlah bermaksud aku bermegah dengan apa yang aku ada cuma aku hanya menunjukkan yang dari segi kewangan aku mampu. Komitmen bulanan aku pun lebih kurang dalam 2600 sahaja. Tambah tolak semua, pendapatan bersih aku dalam 6 ribu macam tu.
Sebelum aku berhenti kerja, aku pun tak yakin dengan bisnes aku. Cuma Allah mudahkan jalan aku dengan cara macam ini. Aku pun dah berumur 27 tahun manakala dia 26 tahun. Aku, kalau dari segi kewangan, aku dah cukup. Duit belanja kahwin aku dah kumpul siap-siap lebih kurang 30 ribu. Cuma bila aku bawa jumpa famili aku dengan famili dia dalam pertengahan tahun ni, dia macam belum bersedia.Perancangan awal aku adalah bulan 12 ini bertunang dan bulan 5 sebelum puasa bernikah.
Jadi perkenalan aku dengan dia menginjak tahun kedua dan dia pun baru bekerja setahun lepas. Kerjaya dia pun agak tinggi grednya, pengawai kesihatan kerajaan gred 41. Manakala aku ini hanya bisnes. Tapi bisnes aku, bukan aku buat macam biasa. Aku betul-betul sistemkan bisnes aku. Aku bina syarikat, gajikan staff dan bina akaun syarikat. InsyaaAllah akan di naik taraf ke SDN BHD hujung tahun ini. Semua ini aku buat demi kelangsungan perhubungan aku pada masa hadapan dengan dia.
Mengenai latar belakang dia, dia merupakan anak kedua dan anak perempuan tunggal dalam keluarga dia. Lulusan ijazah sama seperti aku cuma lain bidang sahaja. Abang dan adik-adiknya masing-masing belum bekerja. Adiknya masih menuntut di USM dan seorang lagi di sekolah menengah. Senang cerita dia dikira sebagai tiang rezeki juga dalam famili dia. Ayah dia dah pencen tapi pencen sebagai pembantu tadbir pejabat daerah tapi mak dia masih bekerja sebagai seorang Cikgu. Aku pun memahami dia punya tanggungjawab pada keluarga dia. Tapi biasalah, aku tak lari dari rasa perasaan seperti manusia lain.
Perasaan sayang aku pada dia dan ingin melengkapkan hidup aku dengan dia terbatas disebabkan tanggungjawab dia pada keluarga. Aku tak pernah rasa menyesal kenal dia dan mengharapkan dia jadi suri hati aku sepanjang hidup aku. Aku pun dah pernah ‘heart to heart talk’ dengan dia, cuma dia cakap insyaaAllah dalam tahun depan. Dia terima aku seadanya dan berharap aku menjadi suaminya. Jadi aku pun agak keliru, aku takut kalau dia ada orang lain yang lebih terjamin kerjaya dan masa depannya.
Hubungan aku dengan famili dia sangat baik. Pernah satu masa tahun famili dia dan dia datang tempat aku dekat Puchong, ajak aku keluar dan jalan-jalan dengan famili dia. Bawa aku jumpa sedara mara dia dekat sini. Aku cukup gembira dengan semua itu. Mak dia pun cakap pada mak sedara dia ‘insyaALLAH akulah menantu diorang’ .
Aku pun banyak berubah lepas berhubungan dengan dia. Tahun lepas masa aku pergi umrah, aku banyak berdoa kalau aku ada jodoh dengannya permudahkanlah dan sikit demi sikit Allah permudahkan. Aku solat fardhu dulu 4/5 waktu sekarang Alhamdulillah sekarang aku dah cukupkan 5. Tapi aku buat ni bukan sebab dia semata-mata. Aku buat atas sebab aku nak jadi orang yang lebih baik. Aku nak galas sebaiknya amanah sebagai seorang ketua keluarga yang dipertanggungjawabkan kelak.
Secara peribadi, dia seorang yang sangat penyayang dan berdikari. Perwatakan dan pembawaan dirinya sangat matang.Aku hanya mampu berdoa dan usaha sehabis baik. Aku pernah buat surprise hadiah sebab dia dah disahkan jawatan dan ada masa dengan dia bila dia susah. Cuma dalam perhubungan kami, aku berhubung dengan dia pun tak terlalu kerap dan ada sahaja setiap hari . Setiap hari ada aku berhubung dengan dia melalui wasap cuma jarang call. Call pun mungkin seminggu sekali sahaja.
Aku cuma rasa risau dengan ketidaktentuan dia. Tapi dia rasanya macam biasa sahaja. Aku pun pernah terfikir, kalau dia tak terima aku, kenapa dia bawa famili dia jumpa aku? Jumpa sedara mara dia? Layan aku macam sebahagian dari famili dia? Betul tak? Sekarang pun dia ada dah survey wedding planner, katering dan sebagainya. Adakah aku ini terlalu overthinking?
Jadi aku hanya berharap pada pembaca agar berikan aku kata-kata semangat dan dorongan yang positif. Mungkin ini adalah ujian bagi aku.Aku harap Allah permudahkan urusan jodoh kami. Terima kasih aku ucapkan. Maaf sekiranya ada perkara yang mengguris hati mana-mana pihak.
– Rohaizad
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit