Penantian Dan Harapan

Saya seorang perempuan berusia 21 tahun, yang sejak kecil telah melalui pengalaman hidup yang mengajar saya banyak tentang kesepian dan ketabahan.

Ayah saya meninggal dunia ketika saya berusia 13 tahun, dan saya yakin mereka yang pernah kehilangan ayah pasti faham bagaimana rasanya membesar tanpa bimbingan seorang lelaki yang sepatutnya ada dalam hidup kita.

Sejak di bangku sekolah, saya bukanlah jenis yang suka terlibat dalam pergaulan sosial yang melibatkan lelaki atau bahasa mudahnya ‘bercouple’.

Jangankan lelaki, kawan perempuan pun saya tidak sering berhubung, melainkan hanya jika ada urusan penting. Mungkin kerana saya seorang yang lebih tertutup, dan lebih banyak berfikir sendiri.

Saya juga bukanlah seorang yang mudah jatuh cinta. Malah, saya sendiri sedar akan kecenderungan saya yang lebih tertarik kepada lelaki yang lebih berusia. Mungkin, ada kaitannya dengan pengalaman saya membesar tanpa seorang ayah yang menjadi model atau contoh dalam hidup saya.

Saya rasa saya memerlukan seseorang yang matang, yang boleh memberi arah hidup, yang bijak menguruskan kewangan dan kehidupan, dan tentunya, yang boleh menyelesaikan masalah dengan tenang.

Saya dapati sifat-sifat ini sering kali lebih terserlah pada golongan lelaki yang lebih berusia, berbanding dengan rakan lelaki sebaya saya yang lebih cenderung mahu menikmati masa muda mereka.

Kisah ini bermula ketika saya di tingkatan 4. Ketika itu, saya belajar dengan seorang guru lelaki yang berusia pertengahan 40-an. Penampilannya tidaklah begitu menonjol; berpakaian biasa, kurus, dengan sedikit kebotakan, dan agak tegas dalam cara mengajar.

Sebagai seorang pelajar, saya cukup sedar bahawa banyak di antara rakan-rakan sekelas yang kurang menghormati beliau. Ada yang tidur dalam kelas semasa beliau mengajar, tidak menyiapkan kerja rumah, malah lebih teruk lagi, mereka menganjing guru selepas beliau keluar dari kelas.

Namun, saya rasa, sebagai seorang pelajar, kita seharusnya menunjukkan rasa hormat kepada guru, walaupun kadang-kadang kita tidak faham sepenuhnya apa yang diajarkan.

Saya mula merasa kasihan kepada guru tersebut. Beliau bukanlah seorang yang peramah atau banyak bercakap, malah selepas cuti panjang, beliau akan masuk kelas, terus menulis di papan putih dan mula mengajar tanpa banyak bicara.

Saya mendapati bahawa beliau seorang yang sangat profesional dan fokus dengan tugasnya.

Ada satu hari, saya mendengar dari rakan-rakan bahawa beliau sebenarnya masih belum berkahwin. Lagi saya rasa kesian, kerana beliau seorang yang introvert dan mungkin tiada sesiapa untuk berkongsi cerita setelah seharian bekerja.

Saya mula lebih memerhatikan beliau, dan berusaha untuk menjadi pelajar yang baik agar beliau tidak rasa seperti tidak dihargai.

Tanpa disedari, rasa hormat saya terhadap beliau mula bertukar menjadi perasaan yang lebih dalam. Saya mula merasakan ada sesuatu yang lebih antara kami, walaupun hubungan kami hanya terhad pada urusan pelajaran sahaja.

Saya tidak pernah mendapat layanan istimewa dari beliau, namun ada kalanya saya terperasan pandangannya yang agak lama. Waktu itu, saya masih remaja, dan mungkin saya terkeliru dengan perasaan itu.

Selepas SPM, saya melanjutkan pengajian di matrikulasi, dan sepanjang tahun tersebut, saya masih menjaga hubungan profesional dengan beliau, dengan sekadar memberi ucapan tahniah atau hari raya melalui WhatsApp.

Setiap kali beliau membalas mesej saya, beliau akan menjawab dengan sangat profesional dan tidak pernah melebih-lebih. Namun, perasaan saya masih belum berubah. Saya masih mengingatinya walaupun saya telah berada di universiti.

Saya akhirnya memutuskan untuk meluahkan perasaan saya kepadanya. Saya tahu kami berdua jauh berbeza usia — dia sudah berusia 48 tahun, dan saya baru 19 tahun.

Walaupun saya sedar mungkin saya terlalu muda dan mentah untuk memahami sepenuhnya soal perasaan, saya merasakan bahawa tidak ada salahnya untuk memberi tahu. Harapannya, mungkin dia boleh menerima saya, atau sekurang-kurangnya memberikan saya kepastian.

Beliau akhirnya membalas mesej saya selepas 7 hari berfikir, dan menjelaskan bahawa sebenarnya saya memang mempunyai ciri-ciri wanita yang baik yang beliau suka, tapi perbezaan usia kami yang besar mungkin menyebabkan banyak halangan untuk mewujudkan hubungan yang serius.

Beliau menasihatkan saya untuk terus fokus pada pelajaran dan berkata bahawa saya akan bertemu lelaki yang lebih baik di masa depan.

Saya bersyukur kerana beliau tidak menggantung pesanan Whatsapp saya tempoh hari. Walaupun itu bukan jawapan yang saya harapkan, saya tetap menghormati keputusan tersebut dan menghargai kebaikan serta ketegasannya.

Namun, walaupun saya cuba untuk berdamai dengan takdir, perasaan saya tidak pernah hilang. Saya masih berharap, masih terfikirkan dia.

Setiap kali saya melalui hujan, saya teringat bagaimana dia pulang ke rumah. Mungkin ia bukan hal yang penting, tetapi entah kenapa saya terlalu memikirkan dia.

Tahun demi tahun berlalu, saya kembali meluahkan perasaan saya sekali lagi, mencari kepastian yang saya rasa masih belum jelas. Namun, jawapan yang saya terima tetap sama — fokus pada pelajaran.

Sejujurnya, saya mula merasa bingung, adakah ini penolakan yang sebenar, atau sekadar alasan yang diberikan?

Kadang-kadang saya rasa seperti saya hanya mengada-ngadakan semuanya. Seharusnya saya tahu bahawa dalam hidup, kita harus menerima kenyataan dan bergerak maju, namun saya terus terperangkap dalam perasaan ini.

Saya cuma ingin kepastian. Saya tidak tahu apakah dia juga merasakan perkara yang sama, atau adakah saya hanya terlalu berpegang kepada harapan yang tidak pasti.

Kini, saya berusia 21 tahun, dia sudah 50 tahun, dan saya terus bertanya-tanya, berapa lama lagi saya perlu menunggu untuk mendapat jawapan yang jelas?

Walaupun hati saya tahu bahawa mungkin saya sudah memberi terlalu banyak ruang untuk harapan ini, saya masih berfikir… apakah saya hanya terlalu terperangkap dalam perasaan saya?

Apa yang saya perlukan sekarang adalah kepastian. Saya tak mahu terus dalam keadaan tidak jelas, mengharap sesuatu yang mungkin tidak akan terjadi.

Jika dia benar-benar tidak ada perasaan, saya harap dia boleh katakan dengan tegas. Dengan itu, saya boleh mula bergerak maju, fokus pada diri sendiri dan kehidupan saya. Jangan biarkan saya terus dalam kebingungan, menunggu sesuatu yang tak pasti.

Saya tahu saya masih muda, dan ada banyak perkara yang perlu saya capai dalam hidup ini, tetapi saya perlukan kepastian agar saya tidak terus terperangkap dalam perasaan ini.

Sekurang-kurangnya, jika saya tahu dia tidak mahu, saya boleh belajar untuk melepaskan dan mencari pasangan yang lebih sesuai, terutama dalam masa yang tersisa di universiti ini.

Saya tidak mahu terus membuang masa, dan lebih penting lagi, saya tidak mahu merosakkan diri sendiri dengan harapan yang mungkin tidak akan menjadi kenyataan.

Dalam perjalanan perasaan ini, kadang-kadang saya teringat lirik dari lagu “Takdir Penentu Segala” oleh Jamal Abdillah:

“Kau ku cinta dari seluruh ragaku,
Melebihi segala di dunia ini,
Namun harapan masih tinggal harapan,
Dilema menanti lebih menyiksa dari segala.”

Dan lagu “Suatu Masa” oleh M Nasir:

“Entahkan kau rasakan apa yang aku rasa,
Atau kau tak endah,
Tapi ku percaya semua telah tertulis,
Dan niat suciku takkan dipersiakan,
Dan disuatu masa dihari yang indah,
Ku hulur tanganku lalu kau terima..”

– Segumpal tanah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. entah lah dik , ingat satu je. kalau adik sanggup jaga dia time dia sakit tua nanti , sanggup uruskan anak2 sorang diri (lg 10 tahun cikgu tu dah 60)..teruskan je la dgn niat baik tu..jangan nanti dia dah sakit , adik lari tinggal dia pulak ye..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *