Penarik Kereta Scammer

Namaku Mamat. Minggu lepas, hari Jumaat, aku ada kerja outstation, 3 jam perjalanan dari rumah aku tinggal, aku bermalam di hotel.

Esoknya lepas checkout, aku pergi ke kereta untuk masukkan luggage. Tiba-tiba ada dua orang lelaki bukan Melayu datang mendekati aku dan bertanya adakah aku pemilik kereta. Aku mengiyakan.

Dia jawab, saya wakil dari bank (dia sebut nama bank yang bagi aku loan kereta tu). Lantas aku mengangguk sebab aku memang tahu aku ada tunggakan masuk 3 bulan. Dia ajak aku bincang di cafe hotel.

Dia bagi aku 2 option, yang pertama, dia keluarkan surat tarik dan tarik terus pada waktu tu. Jadi aku kena fikir macam mana nak balik ke rumah.

Option kedua, dia kata, “saya boleh bagi abang peluang, saya tak tarik kereta ni sebab abang pun nak balik jauh kan. Tapi saya ni bekerja, wakil bank.

Bila saya tarik kereta ni, bank akan bayar gaji saya. Kalau abang taknak saya tarik kereta abang, abang bayar gaji saya yang sepatutnya bank bayar.

Dan nasihat saya, lepas ni abang terus balik ke rumah, jangan singgah di mana-mana sebab kereta ni memang ramai orang tengah cari untuk tarik. Jadi harini saya pejam mata, tak nampak kereta ni sebab kesian abang nak balik jauh.”

Aku tanya berapa dia nak aku bayar, dia jawab “RM1200 abang”.

Untuk pengetahuan, kereta tu tertunggak RM7ribu macam tu, memang aku dah plan nak bayar minggu ni. Tak sempat, dah kena terjah dengan penarik kereta.

Ni pengalaman pertama aku tertunggak lepas hampir lima tahun pakai kereta ni. Jadi aku memang tak tahu apa prosedur tarik kereta.

Selepas berfikir dalam 10 minit, aku kata okaylah aku bayar RM1200 sebab memang aku nak balik jauh lagi, 3 jam perjalanan.

Aku pun bayar cash sebab dia kata dia takboleh terima online transfer sebab nanti bank akan tahu. Dia siap ikut aku pergi cash out duit di bank.

Tiga hari lepas tu (hari Isnin), aku cuba bayar separuh dari tunggakan kereta tu tapi tak lepas buat online. Jadi aku call bank bahagian collection. Dia kata minimum bayar dua bulan, dalam RM5ribu, kena bayar last Rabu ni sebab Khamis surat tarik akan keluar.

Aku terus terkesima. Aku tanya balik, “jap, surat tarik belum keluar ke?” Pegawai bank tu cakap belum tuan, Khamis lepas surat last warning keluar, jadi selepas seminggu baru surat tarik keluar, hari Khamis ni.

Allah, memang confirm aku kena tipu. Aku cerita balik dengan pegawai tu apa yang jadi, dia kata, “sepatutnya kalau ada orang cakap dia nak tarik kereta, tuan terus call bank untuk double cek. Dalam kes tuan, surat tarik belum keluar lagi.”

Terduduk aku dibuatnya, senang macam tu je orang tu tipu aku RM1200. Aku dah la memang tengah sesak, kalau tak takde lah tertunggak kereta tu. Sampai hati ambil kesempatan atas kesusahan orang lain. Itulah harga bagi sebuah pengalaman, aku redha.

Tapi sekarang aku dah tahu, kalau kereta tertunggak 3 bulan, bank akan keluarkan sekurang-kurangnya dua kali surat amaran (yang belum sampai lagi pun lagi setakat dekat alamat aku), barulah surat tarik akan keluar.

Penarik kereta tak boleh tarik pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum. Proses tarik hanya boleh berlaku dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.

Katakan kau kena terjah hari Sabtu atau Ahad, ataupun hari biasa tapi pukul 10 malam, kau terus je ajak dia pergi balai polis. Jangan ikut je apa dia nak.

Lepas kejadian tu aku cuba search pasal kes tarik kereta ni, rupanya memang ramai yang kena. Cuma aku pelik macam mana diorang boleh dapat data pasal kereta tertunggak dan siap mention nama bank yang betul.

Macam mana data tu boleh leak? Sedangkan baru surat amaran yang keluar, belum surat tarik lagi. Data kita memang tak selamat la kiranya kan?

Harapnya tiada orang lain akan terkena macam aku. Dan yang paling penting, jangan biarkan ansuran kereta tertunggak macam aku. Usahalah untuk bayar setiap bulan.

Moga dipermudahkan urusan kita semua di dunia ni. Assalamualaikum..

– Mamat (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Waalaikumsalam. Terima kasih Bang Mamat sebab share pengalaman. Serius saya baru tahu. Bahaya betul sekarang ni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *